
Zaman bahari yang lampau, Melaka merupakan sebuah ketamadunan Melayu/Islam yang hebat dari segi politik, ekonomi, sosial, perdagangan dan kesusasteraan.
Kesusasteraan Melayu tidak sahaja berkisar tentang Alam Dunia Melayu kisah-kisah kesultanan, adab sebagai penganut Melayu/Islam tetapi juga lebih meluas seperti sastera Jawa – Sang Kuripan, Raden-raden, asal kejadian Demang Daun Lebar dan juga Siam Kuno seperti Raja Bersiong, Barongan, Che Siti Wan Kembang, Naga Chini serta iltizam kesusasteraan yang menyeluruh meliputi tamadun Islam, Buddha dan Hindu sebagai tonggak asal kebudayaan kita.
Zaman tersebut, ketinggian sastera adalah disebabkan kecekalan pemikiran para ‘penglipur lara’ menciptakan pelbagai cerita dewa-dewa dan cerita-cerita rakyat seperti pak pandir, cerita-cerita haiwan, asal usul kejadian, dan lain-lain yang disampaikan terus menerus berketurunan.
Kini, rakyat Malaysia lebih bertumpu kepada material. Kesusasteraan dikesampingkan. Para pelakon lebih memerlukan glamor dan muka ‘plastik’ dari bakat dan ketokohan kelakonannya. Para cendekiawan lebih minat mengulas sajak mewah dan elit dan menjadikan seni sebagai sesuatu yang elit dan mewah berbanding semasa ‘zaman Jepun’.
Jika di zaman Jepun, pentas-pentas wayang tumbuh menghiburkan penonton, wayang-wayang kulit dimainkan tok-tok dalang dikampung-kampung sehinggakan teater juga ada di kampung-kampung. Kini, kalau mahu melihat teater, tengoklah di Istana Budaya, tempat lain tidak ada. Kalau mahu melihat wayang kulit dan ceritanya, lihat sahaja di muzium. Kita sudah ‘bungkus’ sastera kita kerana kita mahu menjadi bangsa maju dan moden.
Kita lupa Korea dan Jepun juga maju bahkan lebih maju dari kita. Amerika dan Britain sudah tentu lebih maju dan sudah tentu komersilnya sastera mereka seolah-olah mereka lebih elit dan mewah dari kita. Artis kita lebih suka Amerika (Hollywood) dan ketepikan filem-filem Korea dan Jepun serta Tamil (Kollywood) kerana mereka lebih hebat.
Tahukah kita para penyanyi dan pelakon dari Korea dan Jepun itu mendapatkan pendidikan sehingga ke universiti sebelum ke lokasi lakonan atau konti. Mereka sanggup mengkaji cara orang Islam makan di negara Islam sebelum melakonkan watak Islam itu dengan ‘real’. Barulah lakonan mereka mantap dan berkesan.
Drama tamil, memang kelakar, tapi tahukah kita drama atau filem adalah cerminan masyarakat dan mengisahkan kisah masyarat terbanyak (sosial)? Sedih, pilu, tipu daya, belot adalah asam garam filem-filem tamil. Itu kenyataan, maka sebab itu cerita mereka lebih ‘benar’ dan hidup tak seperti filem atau drama kita, elit bagaikan apa, tapi bak tin milo kosong. Gaya lebih, gosip banyak, kontroversi hebat, hidup gah, tapi habuk pun tiada. Penyanyi ada sesetengah, hanya harap muka dan kepandaian PR mereka semata-mata.
Oleh itu, seni dan sastera haruslah ditunjangi dengan ‘jiwa’ masyarakat, jalan cerita berkisar kisah kehidupan yang menyindir, mencerminkan kedangkalan masyarakat. Itulah seni, sastera pula ialah pemikiran yang melangkaui seni berfikir dan falsafah yang tinggi tentang kehidupan luar yang tidak normal (kata-kata kini seperti fiksyen).
Bagi pelakon, dapatkanlah ilmu yang cukup sebelum nak tampal muka dalam filem atau drama, penyanyi pula perbaiki mutu vokal sebelum nak menyanyi, masyarakat pula jangan hanya nak lihat yang cantik dan indah sahaja sebagai satu seni tetapi tak menjiwai bakat yang ada. Bagi pemerintah, seni bukanlah elit dan kelas tinggi untuk mainan Istana sahaja. Wujudkan lebih banyak kelab seni, lakonan dan sastera di daerah-daerah dan anjurkanlah teater atau lakonan di peringkat kampung dalam mencungkil bakat-bakat serta menggiatkan seni dan menggalakkan sastera.
Disamping kita mengejar moden, nilai-nilai kemanusiaan juga harus dihidupkan. Sain dan Teknologi yang artifisil tidak melahirkan jiwa yang lebih bersyukur dan mengetahui asal usul kehidupan dan sastera masyarakatnya. Sastera adalah jiwa dan akal masyarakat yang dibukukan dan diceritakan turun menurun sebagai khazanah sosial masyarakat kita.
Penulis skrip teater, drama dan filem, penulis lirik dan penulis lagu serta penggiat penulisan buku dan sastera, perbanyakkanlah pemikiran diluar kotak yang lebih ‘rakyat’ berbanding mementingkan elit dan kelas-kelas yang tinggi, kerana sastera dan seni itu untuk rakyat juga dan bukannya untuk golongan atas dan Istana sahaja.
Usah kita terpengaruh dengan Hollywood yang menjadikan seni mereka elit seperti ‘harta Istana’ kerana seni mereka ditunjangi oleh ‘tuan-tuan tanah’ dan elit hartawan tidak seperti kita yang datang dari ceruk-ceruk kampung yang bermain lumpur sawah dan sungai.
Sastera dan seni Nusantara akan terus mekar kalau kita merakyatkannya dan memberikan ruang dan peluang kepada para ‘eskaptisme’ ini terus berkarya dan mendidik masyarakat dengan seni sebagai cerminan kehidupan, bukannya seni sebagai impian kayangan.
p/s: Teringat kisah Asal Padi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.