Sabtu, 21 November 2009

Selamat Bercuti!!!!!


Cuti sekolah kembali lagi. Bagi kanak-kanak bersekolah, inilah masa yang ditunggu-tunggu. Bagi ibu-bapa inilah masa yang paling teruk kerana semua anak-anak ada dirumah pulang dari asrama dan sebagainya. Datuk dan nenek di kampung sudah telefon, bila anak cucu mereka nak balik ke kampung.

Semuanya seperti kembali kepada kehidupan keluarga yang penuh, anak-anak bergaduh dan bercakar dirumah, rumah jadi tidak kemas dan sebagainya. Bagi yang punya kampung halaman, lebih gemar hantar mereka ke kampung bermain ayam dan itik, kerbau dan lembu dan paling tidak mandi sungai atau parit.

Inilah saat yang ditunggu, semua mahu bercuti seperti kanak-kanak tadi. Bagi yang dah dewasa itulah kenangan manis mereka. Yang lelaki teringat waktu nak dikhatankan, yang perempuan teringat zaman main masak-masaknya. Ayam, itik, lembu kerbau juga tidak bersisa dikejar mereka. Bermain-main sepanjang hari meneroka keseronokan dikampung yang tidak pernah ada di bandar.

Tebing-tebing batas sawah diredah, kolam dan sungai menjadi tempat mandian dan memancing, kesejukan air telaga dikampung menusuk ke tulang hitam. Nak ke tandas pun kejutkan atuk dan nenek – gelap, takut, tak biasa.

Seronoknya ada dikampung, makan ayam kampung yang liat, makan sambal belacan, ikan kering, ikan pekasam, pucuk ubi, rebus keledek dan lain-lain makanan kampung.

Hilanglah seketika kesesakan jalanraya, keriuhan kanak-kanak menunggu bas sekolah diwaktu pagi dan ibu bapa bergegas menghantar anak ke sekolah. Sunyi seketika siber cafe tempat main game bagi yang dah balik kampung, kuranglah pengunjung cilik McDonald dan Pizza. Bagi yang tak berkampung atau berpeluang, rutin bercuti seperti biasa, banyak masa dibazirkan jika tidak dipantau dek ibu bapa yang sibuk dengan kerja. Jangan biar anak melepak dengan aktiviti tidak berfaedah sudah lah...

Selamat bercuti untuk semua......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.