Sabtu, 26 Julai 2014

Seniman Malaysia Papa Kedana?

Seniman di Malaysia Papa Kedana

Berkesempatan berada di belakang seorang Menteri memberikan satu peluang untuk mencuri-curi mendengar masalah yang diajukan kepada Yang Berhormat tersebut.  Memang tidak sopan mendengar butir bicara orang dan bergosip tentangnya tetapi apakan daya, sebagai bukti satu keprihatinan maka berikanlah sesuatu idea yang difikirkan patut.  Saya suka berkongsi dengan tulisan walaupun panjang lebar, meleret-leret dan berkronologi panjang – peduli apa, teruskanlah (kalau nak baca). 
Nyonya Mansur 

Rupa-rupanya, artis di Malaysia ini semuanya jenis papa kedana dan tidak menjamin masa depan, keluh saya sendirian.  Patutlah Nyonya Mansur marah anaknya nak berkahwin dengan ahli muzik – Kassim Selamat!  Mak mana nak lihat anaknya miskin dan merempat, ya tak?  Maka betullah pendirian mak ayah saya yang tidak benarkan kami terlibat dengan muzik atau apa jua bidang seangkatan dengannya dulu.  Bila saya kata ada latihan pementasan drama sekolah, cepat-cepat mak saya buat muka dan kata tidak ada faedah, rupanya inilah maksudnya.  Bila mak dah tarik muka, pandai-pandailah jaga diri sebab kalau dia tak suka dan tak izin janganlah mengeluh kalau tak nak kena pulang paku buah keras.  Mak doa tue makbul tau!

Arakianlah sang artis tersebut rupa-rupanya minta projek atau ‘job’ daripada Pak Menteri tersebut.  Bagusnya Pak Menteri Malaysia nie tak pernah nak tolak permintaan orang.  Tapi demi menjaga integriti dan amanah rakyat, Pak Menteri akan memanjangkan permintaan segenap orang yang berjumpa dengannya kepada pentadbir Kementerian berkaitan sama ada boleh atau tidak dan apakah solusi (penyelesaiannya).  Tercampaklah ‘kertas kerja’ yang entah apa-apa permintaan artis tersebut.  Bukan sedikit, beribu-ribu lemon jugalah maksud kertas kerja tersebut.  Patutlah Pak Menteri tak berani, silap-silap ‘ke dalam’ Pak Menteri kita nak menjawab permintaan individu tersebut.  Begitulah caranya ‘orang kita’ nak hidup, harapkan projek Kerajaan dengan benda yang bukan-bukan.  Tak sedikit jumlah yang dia hendak, boleh menjerut leher jugalah, tak kiralah artis atau orang ‘usaha atas awan’. 

Terkesan dengan kertas kerja itu, saya diminta untuk menyemak sama ada idea kertas itu sesuai atau tidak dan adakah berbaloi jika kerajaan berbelanja bagi maksud kertas itu.  Bukan merendahkan, tetapi benda itu tidak pantas (layak) dibuat oleh mereka yang menggelar diri mereka ‘selebriti’.  Bak kata orang Melayu, buat jatuh air muka sahaja.  Tapi demi sesuap nasi, mereka sanggup – lantaklah dengan air muka, cacing dalam perut pun perlu diisi semestinya.  Walaupun idea itu hanya layak dibuat oleh para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi artis Malaysia sanggup juga turut membantu demi sesuap nasi. 
 
Olga Syaputra
Dibanding dengan artis Indonesia – Shahrini adalah artis yang ada kelas – ada jet peribadi, pengerusi persatuan kereta-kereta ‘sport’ Indonesia.  Olga Syaputra pengacara ‘lempuk’ ala-ala Abang Wan kononnya turut tak kalah – mampu beli Alphard dengan tunai lagi, belum kira banglo keluarganya dibelikan dengan tunai juga.  Olga juga dapat buat rawatan kesihatan di Singapura juga secara tunai tanpa campur tangan pemerintah atau ‘jual projek’ dengan pemerintah Indonesia.  Rafi Ahmad juga sama, mampu beli rumah banglo tunai dengan ratusan juta ringgit (milyaran rupiah) hanya 2 tahun sahaja berusaha mengumpulnya.  Betullah jadi artis di Indonesia lebih dihargakan dari di Malaysia yang maju dan makmur ini.
 
Mr. Os dan Salleh Yaakub
P. Ramlee yang setaraf pengarah Steven Speilberg Melayu juga pernah merempat dan papa kedana dalam tahun-tahun terakhirnya berkarya.  Jangan terkejut kalau artis-artis di Malaysia tinggal di kawasan perumahan rakyat termiskin (PPRT) ataupun di rumah-rumah murah di lokasi yang agak sedikit kumuh.  Ada juga artis bertaraf bintang 3 atau 4, tapi tetap perlu kerja sampai putus urat saraf.  Nasib tak baik, dilupakan orang bahkan terpinggir dari arus kehidupan dan kembali menjadi ‘penggemis harapan’ untuk sesuap nasi.  Lihat sahaja Mr. Os yang pernah menjadi artis bertaraf 4 bintang di zaman kegemilangannya, terpaksa menarik teksi demi meneruskan hidup.  Beliau bukan tak pernah jadi hero filem Malaya bahkan sangat terkenal sebagai ahli komedi.  Mungkin nasib juga bak kata sesetengah rakan, lihat Abang Salleh Yaakub yang sezaman dengan Mr. Os, masih diterima peminat walaupun ‘dah kertu’, bahkan isterinya sahaja – Ya Allah, makmur!  Tetapi Abang Salleh juga pernah terpinggir beberapa tahun sebelum kembali disambar stesen radio Sinar FM.  Lihat Ucop (Pelakon Komedi dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah), lepas pecah panggung dalam lakonannya di dalam filem tersebut, pernah ditawarkan menjadi juruhebah radio selama beberapa ketika.  Kini, hilang juga ke laut. 

Ziana Zain
Dibanding-bandingkan, betullah kata orang “jadi artis Malaysia nie tak ke mana”.  Ziana Zain yang bersuara lantang dan menyanyi dengan hebat juga terpaksa berlakon dan menjadi duta prosuk demi meneruskan kerjayanya di awal tahun 90an.  Neelofa terpaksa menjual tudung kepala, Siti Nurhaliza yang bertaraf 5 bintang pun terpaksa menjual kosmetik walaupun semua tahu kekayaannya berapa dicampur pula pendapatan sang suaminya yang kaya raya.  Walau pun samping-sampingan, tetap ada kerja lain selain menjadi artis.  Itu yang bertaraf 5 bintang, yang suam-suam kuku bagai mana pula?  Fizo Omar terpaksa menjual burger bakar dan ramai lagi artis lain yang bak kata Tan Sri SM Salim – Tak Seindah Wajah! Sedih betul.  Apa yang salahnya dalam industri seni Malaysia ini?  Betul ke kata mak ayah saya dan Nyonya Mansur, ahli muzik ini tak kemana?  Patut ke Tun Dr. Mahathir seru agar banyakkan upaya sains dan teknologi dari membazir masa dalam bidang seni dan budaya.  (Tun Dr. Mahathir pernah mengubah kuota kemasukan ke Universiti awam Malaysia dengan 60% di dalam bidang Sains dan Teknologi dan bakinya 40% di dalam bidang Kemasyarakatan dan Sastera)  Betulkah?

Sebagai pelajar jurusan komunikasi massa, saya melihat ada benarnya juga jika ia dikira untuk kelakonan masa depan individu.  Tetapi dalam masyarakat, ia tidak wajar sebab adat resam, budaya dan sastera harus dipelihara sesuatu bangsa dalam tamadunnya.  Lihat tamadun dunia, sastera dan seni budaya mereka disimpan barulah menjadi bangsa yang besar dan dicontoh-contohkan orang.  Tetapi apakah masalah seni dan budaya di Malaysia?  Pelik bukan?

Stesen televisyen (Penyiaran) di Malaysia ada 3 kelompok; Pertama milik Kerajaan (RTM), kedua dari Media Prima dan ketiga ASTRO.  Mereka bukan kecil, mereka adalah gergasi media di Malaysia.  Sama ada media elektronik, cetak mahupun paparan luar – bak kata orang semua jenis pengiklanan dan komersil adalah tali barut mereka jugalah.  Untung sesebuah syarikat bukan kecil anak, bahkan berbilion ringgit jugalah (Kecuali RTM kerana ia milik Kerajaan dan bukan bermatlamat keuntungan).  Jadi, adakah wajar pemilik-pemilik stesen ini mengaut jutaan hingga bilion ringgit sedangkan artis-artis Malaysia bak melukut di tepi gantang?  Siapa salah, dasar awam? masyarakat ataupun konglomerat media ini?  Kalau Rupert Murdogh boleh menjadi billionaire media, mengapa jutawan media di Malaysia tak boleh?  Jika Mariah Carey atau Justin Bieber boleh menjadi kaya raya kenapa Ning Baizura atau Tomok Indrawan tidak? 
P.Ramlee

Zaman kegemilangan filem Melayu (tetapi pemiliknya ialah India dan jutawan media dari Hongkong – Shaw Brothers), artis-artis mendapat peluang yang sangat hebat, rumah-rumah media dan syarikat produksi dapat membikin ratusan filem bahkan lagu-lagu piring hitamnya boleh memecah rekod yang hebat.  Anugerah jangan cakap, filem P. Ramlee sahaja sehingga ke Jepun bahkan dapat membolot beberapa anugerah kategori utama.  Tetapi kini, filem Melayu layak ke bakul sampah sahaja kata Siti Jarum (Penulis Pojok).  Kalau tak ada adegan orang kaya naik Mercedes, adegan makan-makan di restoran mewah, aksi-aksi lucah, hantu tahyul atau lawak bodoh maka itu bukan filem Melayu – filem Hantu agaknya.  Bukankah P. Ramlee pernah beri dialog – Bahasa Melambangkan Bangsa (Filem Seniman Bujang Lapok), tetapi filem Melayu kini memang layak ‘dibuang’, tetapi tidak patutlah kita kata begitu sebab akhirnya P.Ramlee pun pernah dibuang ke laut (walaupun karnya hebat).  Ada yang kata P. Ramlee memang wajar ke sana sebab pernah jadi pengkritik hebat Malaya dan mengutuk parti pemerintah Malaysia dahulunya.  Akhirnya beliau tidak diberikan jawatan walaupun sebagai Pengarah Muzik di RTM, bahkan membikin filem warna pertama juga dia dinafikan – sama ada kerana politik atau kerana kewangan, itu kena siasat dengan jelas.

Persoalannya, betulkah artis Malaysia ini papa kedana?  Saya pernah tukilkan bahawa prasarana industri di Malaysia sungguh hebat (rujuk:  http://puterademokrasi.blogspot.com/2014/02/dunia-hiburan-tanah-air.html)  bahkan komitmen Kerajaan (terutama di bawah kepimpinan Najib Razak) sehingga menyediakan geran yang berpuluh juta ringgit juga tidak berupaya memajukan industri bahkan kepada artis dan penggiat seni.  Saya semakin keliru, di manakah silap pemerintah kita?  Adakah kita kena sediakan rumah produksi seperti mana zaman filem hitam putih di Jalan Ampas Singapura dahulu.  Apakah penggiat seni kita kekurangan (muflis) idea dan kepintaran bakat sehingga filem dan lagu-lagunya tidak layak masuk panggung?  Atau kekurangan ongkos biaya (penaja) dari para usahawan kita untuk menaja persembahan pentas atau iklan-iklan?  Memang benar banyak produk dalam negara kini dimiliki oleh pemilik asing, sudah tentu mereka akan menaja filem atau pementasan berkenaan negara asal mereka sahaja.  Cuba lihat iklan di Malaysia, banyak yang dialih bahasakan ke bahasa Melayu tetapi kandungannya dari negara luar.  Mohamad Rahmad, bekas Menteri Penerangan di zaman Tun Dr. Mahathir pernah keluarkan pekeliling melarang muka Pan Asia di dalam iklan di Malaysia dan hendaklah dibuat/produksi dalam negara bagi menjamin industri kreatif kita, tetapi ia juga kelihatan gagal. 


Maka, apa lagi yang perlu kita usahakan?  Atau kita bungkus sahaja seni budaya kita ke dalam karung guni dan buang ke laut?  Di mana Sasterawan Negara, Profesor Negara dan juga Pemikir-Pemikir Malaysia untuk melihat duduk letak industri ini?  Jika Indonesia yang berkapasiti 300 juta penduduk dengan 27 stesen televisyen boleh, apakah Malaysia yang 30 juta penduduk dan pemilik 3 stesen televisyen  perlu menyerah kalah?  Seniman di Indonesia terus mencetak rupiah dan memberikan idea kreatif dalam industri mereka (termasuk dari penaja kilang belacan), apakah Malaysia tidak boleh?  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.