Memaparkan catatan dengan label FINAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label FINAS. Papar semua catatan

Jumaat, 27 Mac 2015

Melaka Maju Jaya....


Melaka mempunyai legasi warisan terulung di Asia Tenggara khususnya wilayah ini pernah menjadi pelabuhan éntrépot yg terbaik di rantau ini. Selain itu, beberapa legasi seperti warisan budaya, makanan, kaum/keturunan baru iaitu Baba & Nyonya, Chetty serta kaum Portugis kuno juga telah menjadi sebahagian warisan negeri ini bersama-sama kemegahan keagungan Istana Melaka dan warisan penjajah yg menawannya kemudian.



Melaka juga pernah menyambut bingkisan kemerdekaan terawal secara langsung dari British melalui Tunku Abdul Rahman yg tiba di Batu Berendam pada 20 Februari 1956 yg memberi mesej Kemerdekaan Malaya. Melaka yang pernah di jajah Portugis (1511), Belanda (1641) dan British (1824) serta dijadikan wilayah jajahan British (melalui Negeri Selat 1946) sebelum diisytiharkan Merdeka pada 1957 bersama Malaya.

Pelbagai warisan ini kemudiannya menjalar dan mengakar dalam bangsa Melayu moden kini yang turut disumbangkan oleh perabadan Melayu Melaka semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka dan penjajahan asing ini. Sejak merdeka, Melaka tidak pandang kebelakang apabila terus maju mencapai kekuasaan wilayahnya sebagaimana sebelum dijajah dahulu walaupun dilihat agak lambat berbanding masa yg dibangunkan Paramesrawa dahulu.

Melaka telah ditadbir sebanyak 6 orang Tuan Yang Terutama (TYT) bersama 10 orang Ketua Menteri dalam tempoh 57 tahun berbanding 8 orang Sultan dalam masa 111 tahun dahulu. Melaka membangun dengan begitu pesat ketika zaman kegemilangan Sultan Megat Iskandar Shah (Sultan Kedua). Namun, Melaka moden pula makmur dan berubah landskap politiknya di bawah TYT yg ke-6 dan Ketua Menteri yang ke-9.

Melaka telah berubah dari sebuah negeri/wilayah keempat terkecil dan jumlah penduduk kedua terkecil di Malaysia menjadi raksasa ekonomi dalam sektor pelancongan dan pembangunan. Ayer Keroh dahulunya rimbun dengan hutan dan pokok-pokok, kini telah berubah menjadi hutan batu di bawah kuasa kededua tokoh ini. "Perkampungan Dalam Bandar" serta lokasi pelancongan yang strategik ini telah mengubah sektor pendapatan penduduk dan Kerajaan Negeri. Melaka kini mampu berbangga dengan pencapaian ekonomi dan sosialnya. Selain penuh dengan warna warni sejarah dan pembangunan, Melaka juga terkenal dengan negeri yang bersih.

Dalam zaman moden ini juga, Melaka tidak tertinggal dalam teknologi hijaunya apabila memperkenalkan ladang kuasa suria yang pertamanya di Malaysia serta menyediakan pengangkutan awam dengan bahan yg sesuai dgn teknologi ramah lingkungan tersebut. Slogan "Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia" dan "Melakaku Sayang: Bandar Teknologi Hijau" adalah kata-kata yg menyokong Melaka untuk terus maju dan tidak berpaling lagi. Melaka terus maju dan akan terus menjana kewangan dan pendapatan negerinya seperti kejayaannya dahulu. Walaupun kecil dan tiada hasil bumi, Melaka yg membuka sektor perkhidmatan (pelancongan) kini telah menggantikan pelabuhan (juga perkhidmatan) dahulu. Sehingga ia mendapat status UNESCO sangking lamanya warisan yg disimpannya.

Diharapkan Melaka tidaklah memberhentikan usaha membangunkan dan menjayakan kehendak rakyatnya yang inginkan kemajuan. Jika boleh, negeri yang paling tersusun, negeri dalam bandar yang moden dan serba serbi maju seperti bandar-bandar di Eropah termasuk mengekalkan kebersihan dan teknologi hijaunya.

Oleh itu, legasi Ketua Menteri ke-9 ini dapatlah diteruskan dan ditambah baik dicelah-celah kesilapan (jika ada). Melaka perlu terus Maju dan Berjaya tanpa perlu Fasa atau Tahap-tahap pembangunan tertentu. Walaupun cuma slogan, tetapi dengan pemilihan fasa dan bertahap, rakyat akan melihat sampai bilakah fasa tersebut akan selesai dan muktamad? Apakah akan adanya fasa ke-294? Sebenarnya Melaka perlukan slogan yang terus menerus menunjukkan aspirasi yang moden, kreatif dan inovasi terbaik oleh pewarisnya tanpa fasa.

Di dalam media sosial khususnya YouTube atau maklumat "soft-content", Melaka masih perlukan sebegitu besar sumbangan pemerintah untuk memajukan gagasan ini. Melaka boleh "dijual" dengan memasarkan maklumat yang tepat, banyak dan niche (ceruk maklumat) yang lengkap agar sektor perkhidmatan (pelancongan) ini dapat dijual dengan sebaik-baiknya diseluruh dunia. Infrastruktur dan pembangunan modal insan Melaka juga perlu dipertingkatkan dengan memperbanyakkan lokasi "Tourist-peneurship" atau pedagang pelancongan (seperti gerai jajaan makanan, penginapan dan lojing, dan produk kesihatan sampingan i.e. spa serta lain2 lagi).


Oleh itu, Melaka hendaklah terus maju dan dipacu dengan begitu mesra oleh Ketua Menterinya kini dan mendirikan infra yang bagus dan disokong maklumat dan kelajuan internet yang terbaik serta modal insan yang bersedia menjadi pedagang pelancongan yang baharu di Melaka. Semoga Melaka Maju Jaya......... (tanpa fasa)

Jumaat, 12 Disember 2014

Penguin Madagascar (Sipnosis lateral)

Sipnosis dari Penguin Madagascar (lateral view comment)

1. 95% orang akan mengikut jalan yg sama mcm org lain dan jadi mcm yg lain aja la (commoners)

2. 5% akan memilih haluan yg ganjil (berliku/adventure), jika taktikal dan sokongan rakan yang kuat, pasti akan berjaya juga (lebih berjaya dari 95% commoners tadi)

3. Jangan guna laluan/haluan yg sama dengan yg lain (mengikut) tapi cubalah cari jalan kehidupan sendiri.

4. Jika bos (Majikan) bagi arahan dan kita dapat kesempatan yg menyeronokkan, sila patuh pada arahan kerana mereka (organisasi) sedang berusaha menyelamatkan kita juga
5. Kadang2 persembahan dan teori sgt menakjumkan, tapi taktikal dan daya fikir yang spontan lebih berkesan dalam mendepani cabaran.

6. Jika ada yg cuba mengecil2kan kebolehan kamu, belum tentu dia berkebolehan kerana dia bukan diri kamu.

7. Cubalah cara orang lain (mendalami diri orang itu) dan nyatakan ideanya, kadang2 cara kita mungkin baik tapi dengan serapkan idea org ia akan jadi lebih baik (inovasi)

8. Dendam jika telah "dilunaskan" ianya tidak ada apa2 yg bermanfaat bahkan akan mengarut2 ke benda yg lain pula

9. Sentiasa berbincang dan mendengar arahan dari orang yang anda hormati, walaupun ada kesilapan, ia ingin membantu kamu jua

10. Jangan tengok filem pastu gelak2, balik rumah tidur tanpa fikir mesej yg ada dalam filem barat. Semua ada makna yg diserapkan, bukan macam filem Melayu asyik2 cerita hantu, cinta 24/7, anak orang kaya mengorat orang miskin serta tahyul mahyul ngalahkan telenovela Indon.

Sabtu, 26 Julai 2014

Seniman Malaysia Papa Kedana?

Seniman di Malaysia Papa Kedana

Berkesempatan berada di belakang seorang Menteri memberikan satu peluang untuk mencuri-curi mendengar masalah yang diajukan kepada Yang Berhormat tersebut.  Memang tidak sopan mendengar butir bicara orang dan bergosip tentangnya tetapi apakan daya, sebagai bukti satu keprihatinan maka berikanlah sesuatu idea yang difikirkan patut.  Saya suka berkongsi dengan tulisan walaupun panjang lebar, meleret-leret dan berkronologi panjang – peduli apa, teruskanlah (kalau nak baca). 
Nyonya Mansur 

Rupa-rupanya, artis di Malaysia ini semuanya jenis papa kedana dan tidak menjamin masa depan, keluh saya sendirian.  Patutlah Nyonya Mansur marah anaknya nak berkahwin dengan ahli muzik – Kassim Selamat!  Mak mana nak lihat anaknya miskin dan merempat, ya tak?  Maka betullah pendirian mak ayah saya yang tidak benarkan kami terlibat dengan muzik atau apa jua bidang seangkatan dengannya dulu.  Bila saya kata ada latihan pementasan drama sekolah, cepat-cepat mak saya buat muka dan kata tidak ada faedah, rupanya inilah maksudnya.  Bila mak dah tarik muka, pandai-pandailah jaga diri sebab kalau dia tak suka dan tak izin janganlah mengeluh kalau tak nak kena pulang paku buah keras.  Mak doa tue makbul tau!

Arakianlah sang artis tersebut rupa-rupanya minta projek atau ‘job’ daripada Pak Menteri tersebut.  Bagusnya Pak Menteri Malaysia nie tak pernah nak tolak permintaan orang.  Tapi demi menjaga integriti dan amanah rakyat, Pak Menteri akan memanjangkan permintaan segenap orang yang berjumpa dengannya kepada pentadbir Kementerian berkaitan sama ada boleh atau tidak dan apakah solusi (penyelesaiannya).  Tercampaklah ‘kertas kerja’ yang entah apa-apa permintaan artis tersebut.  Bukan sedikit, beribu-ribu lemon jugalah maksud kertas kerja tersebut.  Patutlah Pak Menteri tak berani, silap-silap ‘ke dalam’ Pak Menteri kita nak menjawab permintaan individu tersebut.  Begitulah caranya ‘orang kita’ nak hidup, harapkan projek Kerajaan dengan benda yang bukan-bukan.  Tak sedikit jumlah yang dia hendak, boleh menjerut leher jugalah, tak kiralah artis atau orang ‘usaha atas awan’. 

Terkesan dengan kertas kerja itu, saya diminta untuk menyemak sama ada idea kertas itu sesuai atau tidak dan adakah berbaloi jika kerajaan berbelanja bagi maksud kertas itu.  Bukan merendahkan, tetapi benda itu tidak pantas (layak) dibuat oleh mereka yang menggelar diri mereka ‘selebriti’.  Bak kata orang Melayu, buat jatuh air muka sahaja.  Tapi demi sesuap nasi, mereka sanggup – lantaklah dengan air muka, cacing dalam perut pun perlu diisi semestinya.  Walaupun idea itu hanya layak dibuat oleh para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi artis Malaysia sanggup juga turut membantu demi sesuap nasi. 
 
Olga Syaputra
Dibanding dengan artis Indonesia – Shahrini adalah artis yang ada kelas – ada jet peribadi, pengerusi persatuan kereta-kereta ‘sport’ Indonesia.  Olga Syaputra pengacara ‘lempuk’ ala-ala Abang Wan kononnya turut tak kalah – mampu beli Alphard dengan tunai lagi, belum kira banglo keluarganya dibelikan dengan tunai juga.  Olga juga dapat buat rawatan kesihatan di Singapura juga secara tunai tanpa campur tangan pemerintah atau ‘jual projek’ dengan pemerintah Indonesia.  Rafi Ahmad juga sama, mampu beli rumah banglo tunai dengan ratusan juta ringgit (milyaran rupiah) hanya 2 tahun sahaja berusaha mengumpulnya.  Betullah jadi artis di Indonesia lebih dihargakan dari di Malaysia yang maju dan makmur ini.
 
Mr. Os dan Salleh Yaakub
P. Ramlee yang setaraf pengarah Steven Speilberg Melayu juga pernah merempat dan papa kedana dalam tahun-tahun terakhirnya berkarya.  Jangan terkejut kalau artis-artis di Malaysia tinggal di kawasan perumahan rakyat termiskin (PPRT) ataupun di rumah-rumah murah di lokasi yang agak sedikit kumuh.  Ada juga artis bertaraf bintang 3 atau 4, tapi tetap perlu kerja sampai putus urat saraf.  Nasib tak baik, dilupakan orang bahkan terpinggir dari arus kehidupan dan kembali menjadi ‘penggemis harapan’ untuk sesuap nasi.  Lihat sahaja Mr. Os yang pernah menjadi artis bertaraf 4 bintang di zaman kegemilangannya, terpaksa menarik teksi demi meneruskan hidup.  Beliau bukan tak pernah jadi hero filem Malaya bahkan sangat terkenal sebagai ahli komedi.  Mungkin nasib juga bak kata sesetengah rakan, lihat Abang Salleh Yaakub yang sezaman dengan Mr. Os, masih diterima peminat walaupun ‘dah kertu’, bahkan isterinya sahaja – Ya Allah, makmur!  Tetapi Abang Salleh juga pernah terpinggir beberapa tahun sebelum kembali disambar stesen radio Sinar FM.  Lihat Ucop (Pelakon Komedi dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah), lepas pecah panggung dalam lakonannya di dalam filem tersebut, pernah ditawarkan menjadi juruhebah radio selama beberapa ketika.  Kini, hilang juga ke laut. 

Ziana Zain
Dibanding-bandingkan, betullah kata orang “jadi artis Malaysia nie tak ke mana”.  Ziana Zain yang bersuara lantang dan menyanyi dengan hebat juga terpaksa berlakon dan menjadi duta prosuk demi meneruskan kerjayanya di awal tahun 90an.  Neelofa terpaksa menjual tudung kepala, Siti Nurhaliza yang bertaraf 5 bintang pun terpaksa menjual kosmetik walaupun semua tahu kekayaannya berapa dicampur pula pendapatan sang suaminya yang kaya raya.  Walau pun samping-sampingan, tetap ada kerja lain selain menjadi artis.  Itu yang bertaraf 5 bintang, yang suam-suam kuku bagai mana pula?  Fizo Omar terpaksa menjual burger bakar dan ramai lagi artis lain yang bak kata Tan Sri SM Salim – Tak Seindah Wajah! Sedih betul.  Apa yang salahnya dalam industri seni Malaysia ini?  Betul ke kata mak ayah saya dan Nyonya Mansur, ahli muzik ini tak kemana?  Patut ke Tun Dr. Mahathir seru agar banyakkan upaya sains dan teknologi dari membazir masa dalam bidang seni dan budaya.  (Tun Dr. Mahathir pernah mengubah kuota kemasukan ke Universiti awam Malaysia dengan 60% di dalam bidang Sains dan Teknologi dan bakinya 40% di dalam bidang Kemasyarakatan dan Sastera)  Betulkah?

Sebagai pelajar jurusan komunikasi massa, saya melihat ada benarnya juga jika ia dikira untuk kelakonan masa depan individu.  Tetapi dalam masyarakat, ia tidak wajar sebab adat resam, budaya dan sastera harus dipelihara sesuatu bangsa dalam tamadunnya.  Lihat tamadun dunia, sastera dan seni budaya mereka disimpan barulah menjadi bangsa yang besar dan dicontoh-contohkan orang.  Tetapi apakah masalah seni dan budaya di Malaysia?  Pelik bukan?

Stesen televisyen (Penyiaran) di Malaysia ada 3 kelompok; Pertama milik Kerajaan (RTM), kedua dari Media Prima dan ketiga ASTRO.  Mereka bukan kecil, mereka adalah gergasi media di Malaysia.  Sama ada media elektronik, cetak mahupun paparan luar – bak kata orang semua jenis pengiklanan dan komersil adalah tali barut mereka jugalah.  Untung sesebuah syarikat bukan kecil anak, bahkan berbilion ringgit jugalah (Kecuali RTM kerana ia milik Kerajaan dan bukan bermatlamat keuntungan).  Jadi, adakah wajar pemilik-pemilik stesen ini mengaut jutaan hingga bilion ringgit sedangkan artis-artis Malaysia bak melukut di tepi gantang?  Siapa salah, dasar awam? masyarakat ataupun konglomerat media ini?  Kalau Rupert Murdogh boleh menjadi billionaire media, mengapa jutawan media di Malaysia tak boleh?  Jika Mariah Carey atau Justin Bieber boleh menjadi kaya raya kenapa Ning Baizura atau Tomok Indrawan tidak? 
P.Ramlee

Zaman kegemilangan filem Melayu (tetapi pemiliknya ialah India dan jutawan media dari Hongkong – Shaw Brothers), artis-artis mendapat peluang yang sangat hebat, rumah-rumah media dan syarikat produksi dapat membikin ratusan filem bahkan lagu-lagu piring hitamnya boleh memecah rekod yang hebat.  Anugerah jangan cakap, filem P. Ramlee sahaja sehingga ke Jepun bahkan dapat membolot beberapa anugerah kategori utama.  Tetapi kini, filem Melayu layak ke bakul sampah sahaja kata Siti Jarum (Penulis Pojok).  Kalau tak ada adegan orang kaya naik Mercedes, adegan makan-makan di restoran mewah, aksi-aksi lucah, hantu tahyul atau lawak bodoh maka itu bukan filem Melayu – filem Hantu agaknya.  Bukankah P. Ramlee pernah beri dialog – Bahasa Melambangkan Bangsa (Filem Seniman Bujang Lapok), tetapi filem Melayu kini memang layak ‘dibuang’, tetapi tidak patutlah kita kata begitu sebab akhirnya P.Ramlee pun pernah dibuang ke laut (walaupun karnya hebat).  Ada yang kata P. Ramlee memang wajar ke sana sebab pernah jadi pengkritik hebat Malaya dan mengutuk parti pemerintah Malaysia dahulunya.  Akhirnya beliau tidak diberikan jawatan walaupun sebagai Pengarah Muzik di RTM, bahkan membikin filem warna pertama juga dia dinafikan – sama ada kerana politik atau kerana kewangan, itu kena siasat dengan jelas.

Persoalannya, betulkah artis Malaysia ini papa kedana?  Saya pernah tukilkan bahawa prasarana industri di Malaysia sungguh hebat (rujuk:  http://puterademokrasi.blogspot.com/2014/02/dunia-hiburan-tanah-air.html)  bahkan komitmen Kerajaan (terutama di bawah kepimpinan Najib Razak) sehingga menyediakan geran yang berpuluh juta ringgit juga tidak berupaya memajukan industri bahkan kepada artis dan penggiat seni.  Saya semakin keliru, di manakah silap pemerintah kita?  Adakah kita kena sediakan rumah produksi seperti mana zaman filem hitam putih di Jalan Ampas Singapura dahulu.  Apakah penggiat seni kita kekurangan (muflis) idea dan kepintaran bakat sehingga filem dan lagu-lagunya tidak layak masuk panggung?  Atau kekurangan ongkos biaya (penaja) dari para usahawan kita untuk menaja persembahan pentas atau iklan-iklan?  Memang benar banyak produk dalam negara kini dimiliki oleh pemilik asing, sudah tentu mereka akan menaja filem atau pementasan berkenaan negara asal mereka sahaja.  Cuba lihat iklan di Malaysia, banyak yang dialih bahasakan ke bahasa Melayu tetapi kandungannya dari negara luar.  Mohamad Rahmad, bekas Menteri Penerangan di zaman Tun Dr. Mahathir pernah keluarkan pekeliling melarang muka Pan Asia di dalam iklan di Malaysia dan hendaklah dibuat/produksi dalam negara bagi menjamin industri kreatif kita, tetapi ia juga kelihatan gagal. 


Maka, apa lagi yang perlu kita usahakan?  Atau kita bungkus sahaja seni budaya kita ke dalam karung guni dan buang ke laut?  Di mana Sasterawan Negara, Profesor Negara dan juga Pemikir-Pemikir Malaysia untuk melihat duduk letak industri ini?  Jika Indonesia yang berkapasiti 300 juta penduduk dengan 27 stesen televisyen boleh, apakah Malaysia yang 30 juta penduduk dan pemilik 3 stesen televisyen  perlu menyerah kalah?  Seniman di Indonesia terus mencetak rupiah dan memberikan idea kreatif dalam industri mereka (termasuk dari penaja kilang belacan), apakah Malaysia tidak boleh?  

Rabu, 19 Februari 2014

Dunia Hiburan Tanah Air



Dunia Hiburan Tanah Air.

Malaysia telah memajukan prasarana pembangunan industri hiburan di negara ini namun sehingga kini impaknya masih kurang memberi kesan.  Pelaburan berjuta-juta ringgit telah disediakan oleh Kerajaan dalam memastikan sektor ini menjana pendapatan negara khususnya industri kandungan dan perfileman. 

Tidak dinafikan kejayaan beberapa filem genre seram telah menguasai citra dan memberikan keuntungan berganda pada penerbit, tetapi kualitinya masih boleh dipertikaikan terutama pembangunan idea, teknologi rakaman serta minda warga penonton dan peminat industri filem tanah air.  Kejayaan filem Sembilu II misalnya telah menyumbangkan RM6juta kepada penerbitnya selain kejayaan terbaharu filem Ngangkung dengan kutipan sebanyak RM6.12juta. 

Bagaimanapun, filem-filem lain misalnya Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Adnan Sempit turut mencatatkan jumlah terbaik dalam industri senematografi di Malaysia.  Tetapi kandungan filem-filem tersebut masih berkisar tentang gejala atau masalah sosial masyarakat, kepercayaan tahyul, hiburan ringan dan menggunakan teknik sinematografi yang sederhana dan adunan audio-visual tradisional yang belum diperbaharui dengan sebaik dan secanggih indutri perfileman moden di dunia. 

Filem Sembilu II misalnya mengetengahkan isu percintaan tiga segi manakala filem Ngangkung memaparkan kisah komedi seram bagi kaki judi.  Kedua-dua filem ini walaupun mempunyai kutipan yang agak bagus, tetapi ia masih belum mencapai tahap pemikiran pembangunan kandungan yang berkreativiti tinggi serta pemikiran penonton yang matang.  Selain itu, teknologi dalam pembikinan juga masih berada di paras minimum.  Jika KRU Production pernah membangunkan projek Merong Mahawangsa dengan teknologi CGI (Imej Janaan Komputer) yang dianggap canggih, filem tersebut juga gagal mengaut keuntungan tinggi selain jalan cerita yang tidak sesuai dengan tema dan jumlah kos yang dibelanjakannya.  Filem Merong Mahawangsa yang menelan belanja sekitar RM6 juta hanya mampu mencatat kutipan RM3.3 juta sahaja selepas dua minggu ditayangkan.  (Malaysia juga telah bersetuju untuk membangunkan Film Village tetapi dibatalkan atas sebab kelakonan ekonomi sekitar 1998)

Dari sisi lain dunia hiburan tanah air, Istana Budaya telah dibangunkan dengan kos sebanyak RM210 juta pada tahun 1995 dan siap tiga tahun selepas itu bagi menyediakan prasarana pementasan ala Broadway yang terkenal di Manhattan, New York. 
Bagaimanapun, pementasan ala Broadway ini tidak menjadi kenyataan apabila hanya beberapa pementasan bangsawan sahaja yang berjaya dipentaskan yang membuat keuntungan yang membanggakan.  Antara yang berjaya adalah Bangsawan Puteri Gunung Ledang dan Konsert Solo Siti Nurhaliza dicatatkan di sini.  Bagi teater dan konsert lain misalnya, masih banyak ruang dan peluang perlu diberikan selain menampilkan bakat-bakat dan penonton teater bangsawan yang mendalami jiwa dunia hiburan bertaraf borjois atau aristokrat moden di Malaysia.

Malaysia juga mempunyai Dewan Philharmonic Orchestra (MPO) yang terkenal terletak di dalam bangunan berkembar tertinggi di dunia (KLCC).  Pelbagai konsert hiburan dan orkestra telah diadakan di sini termasuk Konsert Tan Sri SM Salim yang menjadi satu “benchmark” yang membanggakan industri muzik tanah air khususnya irama Melayu Asli.  Walau bagaimapun, konsert-konsert tempatan jarang dapat diadakan di sini kerana taraf orkes yang disediakan dalam persembahkan amat tinggi berbanding kebolehan bakat tempatan dan jumlah penonton berkualiti yang masih rendah. 

Keluh kesah industri hiburan di Malaysia tidak berkisar kepada pembangun kandungan, lontaran idea dan kreativiti semata-mata.  Ia turut memanggil penggiat seni lakonan, nyanyian, persembahan pentas dan petugas-petugas teknikal termasuk komposer, pengarah dan sutradara yang berbakat selain khalayak penonton yang mempunyai jati diri serta mempunyai jiwa besar dalam memartabatkan industri hiburan negara. 

Berbanding dengan negara jiran seperti Indonesia, mereka dapat membangunkan bakat dan potensi dalam hiburan mereka disebabkan tingkah laku masyarakat yang melarikan diri (escapism) dari dunia nyata mereka dari segi ekonomi.  Oleh itu, pembangun-pembangun karya mereka dilihat maju setapak kehadapan kerana masyarakatnya yang memerlukan hiburan bagi tujuan escapism tersebut tetapi mereka tidak disogokkan dengan hiburan yang membuta tuli.  Filem-filem Indonesia walaupun tidak lebih baik dari Malaysia (termasuk idea dan kutipan) tetapi mempunyai petugas rakaman yang baik serta suntingan sutradara yang mantap.  Di sisi pengolahan dan kreativiti lagu pula, mereka sangat menonjol kehadapan dalam menghasilkan karya yang lebih cakna serta mempunyai nilai komersil yang tinggi.  Tidak hairanlah, selepas berakhirnya zaman rock kapak di Malaysia pada tahun 90-an, Indonesia telah membanjirkan lagu-lagu pop rock dan balada mereka ke sini dan menjadi siulan remaja Malaysia dewasa kini. 

Apalah guna mempunyai prasarana yang baik serta Kerajaan yang telah menyediakan modal yang besar bagi industri ini jika peralatan, idea dan kreativiti penggiat seni kita masih lagi lemah dan tidak mahu berdaya saing serta berparadigma tinggi.  Peminat atau khalayak juga harus memainkan peranannya dengan menanamkan jati diri serta berjiwa besar dalam melihat sesuatu karya yang akhirnya memacu pertumbuhan idea kreatif yang lebih baik.  Janganlah hanya memonton jika filem-filem yang hanya memaparkan masalah sosial masyarakat, filem tahyul dan khurafat serta hiburan hedonism dalam karya barulah mereka akan ke panggung.  Mengubah ke semua sistem ini bukanlah hanya semudah mengubah perabot di rumah, semua pihak harus memainkan peranan masaing-masing dalam membentuk karya yang bertaraf dunia serta mengaplikasikan teknik sinematografi dan kreativiti yang tinggi dalam menjayakan dasar kandungan negara ini. 

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyemai nilai komersil yang tinggi di kalangan masyarakat agar pada akhirnya semua akan memperolhi keuntungan masing-masing.

*Data-data yang dinyatakan adalah dari FINAS (Penguasa Perfilemen Nasional)