Memaparkan catatan dengan label Facebook. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Facebook. Papar semua catatan

Rabu, 6 Ogos 2014

Kebebasan Bersuara Mutlak Tidak Wujud

Dewasa kini, beberapa perkara mengenai komunikasi telah menyelongkar segenap kamar jiwa masyarakat di Malaysia sama ada orang awam, pemimpin politik dan pemimpin masyarakat termasuk ahli pembuat dasar, pentadbir dasar sehingga penjual sayur di pasar turut membincangkan hal ini. 

Kempen ini bermula apabila Tun Dr. Mahathir mendapati laman web dan blog beliau yang mengandungi kalimat-kalimat menentang penjarahan Yahudi ke atas Tebing Gaza (pada Julai 2014) sehingga kepada tindak tanduk memboikot barangan dan produk Yahudi merejalela di lelaman sosial termasuk di Facebook, Twitter dan blog-blog percuma lainnya.  Anehnya, beberapa pengendali blog turut tidak terlepas dalam usaha menyuluh minda masyarakat agar menentang penjarahan Israel ini yang turut diberikan amaran oleh pengendali lelaman sosial berkaitan.

Umum mengetahui, Malaysia adalah negara pengguna dalam aspek teknologi termasuk kandungan.  Maka mereka menggunakan platform yang dibangunkan oleh barat ini untuk meluahkan kekecewaan mereka.  Oleh itu, tidak mustahil ramai yang berjuang menentang kekejaman zionis ini menzahirkan amarah mereka yang paling ketat kepada rejim kejam ini termasuk kepada sekutu kuatnya merangkap Polis Dunia – Amerika Syarikat.  Walaupun membangunkan kandungan seperti Facebook. Platform ini pula digunakan warga Malaysia dan dunia untuk menentang mereka.  Berang dengan tohmahan dan kata-kata nista yang menyakitkan telinga serta duduk tingkah penduduk Malaysia yang memainkan sentimen anti-Zionis ini, maka amaran serta tindakan menutup leleman web penyuluh ini telah diambil. 

Bagaikan tersentak dari mimpi yang panjang – Tun Dr. Mahathir yang juga arkitek pembangunan Koridor raya Multimedia (MSC) pada 1998 yang menerima tanpa bahas “kebebasan dan keabsahan bersuara” khususnya di Media Internet atau dikenali media sosial kini terkelu pucat.  Bukankah beliau telah diyakinkan bahawa dunia tidak akan mengawal walau seincipun kandungan di dalam laman web, maka beliau tanpa ragu-ragu melunakkan cengkaman undang-undang dalam Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu semasa memperkenalkan internet tanpa tapisan di Malaysia. 

Siapa yang tidak kenal negarawan ulung Mahathir yang memerintah Malaysia dengan keluhuran undang-undang dan pencegahan sehingga dia sering dianggap pelampau oleh Barat?  Undang-undang Anti Pemberontakan Mahasiswa, undang-undang media cetak, undang-undang hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri turut digunakan bahkan dibangunkan dalam usaha memastikan keluhuran dan perpaduan umum terjamin tanpa hasutan dan kebebasan mutlak.  Tetapi dalam hal internet, Mahathir mengambil sikap yang amat berbeza sekali.

Rasional Mahathir dalam hal ini rupanya telah ditunjukkan Barat bahawa “kata-kata” mereka hanyalah sekadar angina sepoi-sepoi yang bertiup.  Mana mungkin kebebasan mutlak itu diperolehi walaupun negara itu sendiri yang meminda “First Amemandment” iaitu suatu undang-undang kebebasan bersuara yang mutlak tanpa apa-apa kepentingan dan sekatan.  Kini, Mahathir telah sedar bahawa Barat tidak pernah jujur kepada sesiapa walaupun cuma sekali.  Beberapa artikel saya sebelum ini sering menilaikan bahawa “tiada kebebasan mutlak di dunia fana ini”  bahkan sehingga turunnya Nabi dan Rasul, ia masih di kawal selia oleh Malaikat dan Tuhan sendiri.  Bahawa manusia itu suka menipu, mengada-adakan cerita, membuat dan mereka cerita selain memutar belitkan kenyataan melainkan Al-Quran yang telah dijamin oleh Allah SWT. 

Kebebasan bersuara ini memang tidak mutlak, Amerika Syarikat terasa terpukul dengan infografik serta gambar-gambar yang berkapsyen yang mengutuk keterlibatan mereka dalam “perang penghapusan etnik di Gaza” itu.  Seolah-oleh juara umat Yahudi di alaf moden, Barack Obama yang ditunjukkan pro-Islam dan adil bersetentang 360 darjah berbeza daripada sepatutnya.  Dek penyuluh-penyuluh minda umat Islam di Malaysia dan dunia yang bersatu mengenai kekejaman zionis ini semakin memarak dek kezaliman tanpa henti, mereka menyekat blog dan memberi amaran kepada manusiawi-manuasiwi ini yang cuba mencerahkan minda umat manusia agar prihatin tentang nasib Gaza ini. 

Begitulah hebatnya Amerika Syarikat yang ingin menjadi polis dunia walaupun keadilan hanya diletakkan dalam poket baju atasnya.  Kezaliman Yahudi Kejam ini disimpan dengan cermat dan terus menerus menyalahkan Arab Palestin yang kononnya memulakan serangan.  Sehingga artikel ini ditulis (Ogos 6, 2014) seramai lebih kurang 1,800 orang warga awam dan kanak-kanak Palestin terbunuh serta memusnahkan struktur bangunan masjid dan sekolah di Palestin senilai RM16billion.  Manakala di pihak yang kononnya diserang hanya melihatkan 70 orang mati serta kos kerosakan yang minimum bagi infrastruktur.  Apakah ini satu nilai keadilan?  Penceroboh disusukan, yang diserang dimaki hamun? 

Polemik Yahudi pro-Zionis ini membukakan mata Tun Dr. Mahathir mengenai internet dan tahap kebebasan bersuara khususnya oleh Amerika.  Dalam hal ini, Tun telah tersalah tindak dan bercadang dan menggesa agar tapisan ini dikenakan kepada talian kita supaya anasir dan gejala kerosakan minda warga Malaysia dan Islam khususnya tidak diheret ke dunia kuning (hedonism) sana.  Apakan daya, Mahathir telah tersilap langkah dan warganya telah makan “bangkai-bangkai” Barat ini sejak internet di perkenalkan pada 1998.  Kerajaan Tun Abdullah dan Najib menjadi mangsa kebebasan internet dan tidak-dapat-tidak, rakyat dalam negeri saling bertingkah sama sendiri sehingga kini.  Paling menyakitkan hati ialah apabila ada dakwaan kononnya kaum Cina bebas memperkotak katikkan agama Islam, umat Islam pula yang akan didakwa atas tuduhan hasutan atau penindasan agama atau sensitiviti.  Akhirnya, rakyat dalam negeri akan berparang sesama sendiri kerana “kebebasan buatan” ini.

Saya tidak bercadang mengulas kelakonan masyarakat yang semakin menggila khususnya dalam soal keadilan berpilih, tetapi menjurus kepada tapisan kandungan yang sering memperlihatkan ‘kelembapan” Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang kelihatan gagal menjadi pemantau dan pengawal selia kepada pengguna internet ini.  Dikatakan jika bukan Islam, tindakan amat lambat tetapi jika Islam pula sebaliknya.  Walaupun hipotesis itu satu anggapan/pendapat umum yang cuba dimarakkan, tetapi kelihatan bahawa kawalan akan gagal jika tanpa pencegahan yang bermanfaat/berhemah daripada awal.  Mencegah lebih baik daripada mengubati. 

SKMM harus memainkan peranannya dengan lebih signifikan lagi dalam menyusun kandungan yang baik serta menyekat (jika perlu) kandungan-kandungan yang ‘bermasalah’.  Kadang kala ia cuba dibuatkan/dicetuskan oleh pihak luar untuk memusnahkan keamanan kita.  Jika Tun Dr. Mahathir telah tersilap langkah dan cegat menyedarinya, mengapa kita harus berlengah memperbaiki niat dan maksud beliau?  Jawapan Datuk Shahril Tarmizi (SKMM) kononnya sehingga menyekat Facebook atau Twitter seperti di China adalah maklum balas yang amat ketat dan terlalu ekstrem komentarnya.  Memadailah dengan mengawal selia talian dan kandungan dengan cerdik pandai Information Technologies Operator (IT) agar keadaan dalam negara kita kembali sentosa. 

Percayakah kalian bahawa sebebas-bebasnya negara Singapura itu, mereka mengawal selia setiap inci kata-kata rakyatnya walau apa jua keadaannya tanpa mereka sedar.  Inikan pula kita yang kelihatan jauh dari “kemajuan negara Singa” itu?


Apakah yang kalian dapat dengan kebebasan Mutlak?  Barat hanya bercakap, tetapi tidak pernah bercadang melaksanakannya melainkan memaksa orang mengikuti kehendak mereka sendiri.  Dari dahulu hingga kini…… Barat tidak pernah cuba belajar.  Tunggulah bila sistem itu sendiri gagal di sana! Mereka pasti mengubahnya 360 darjah tanpa modal.  Sedang kalian telah berbunuhan sesama sendiri.  

Sabtu, 26 Julai 2014

Seniman Malaysia Papa Kedana?

Seniman di Malaysia Papa Kedana

Berkesempatan berada di belakang seorang Menteri memberikan satu peluang untuk mencuri-curi mendengar masalah yang diajukan kepada Yang Berhormat tersebut.  Memang tidak sopan mendengar butir bicara orang dan bergosip tentangnya tetapi apakan daya, sebagai bukti satu keprihatinan maka berikanlah sesuatu idea yang difikirkan patut.  Saya suka berkongsi dengan tulisan walaupun panjang lebar, meleret-leret dan berkronologi panjang – peduli apa, teruskanlah (kalau nak baca). 
Nyonya Mansur 

Rupa-rupanya, artis di Malaysia ini semuanya jenis papa kedana dan tidak menjamin masa depan, keluh saya sendirian.  Patutlah Nyonya Mansur marah anaknya nak berkahwin dengan ahli muzik – Kassim Selamat!  Mak mana nak lihat anaknya miskin dan merempat, ya tak?  Maka betullah pendirian mak ayah saya yang tidak benarkan kami terlibat dengan muzik atau apa jua bidang seangkatan dengannya dulu.  Bila saya kata ada latihan pementasan drama sekolah, cepat-cepat mak saya buat muka dan kata tidak ada faedah, rupanya inilah maksudnya.  Bila mak dah tarik muka, pandai-pandailah jaga diri sebab kalau dia tak suka dan tak izin janganlah mengeluh kalau tak nak kena pulang paku buah keras.  Mak doa tue makbul tau!

Arakianlah sang artis tersebut rupa-rupanya minta projek atau ‘job’ daripada Pak Menteri tersebut.  Bagusnya Pak Menteri Malaysia nie tak pernah nak tolak permintaan orang.  Tapi demi menjaga integriti dan amanah rakyat, Pak Menteri akan memanjangkan permintaan segenap orang yang berjumpa dengannya kepada pentadbir Kementerian berkaitan sama ada boleh atau tidak dan apakah solusi (penyelesaiannya).  Tercampaklah ‘kertas kerja’ yang entah apa-apa permintaan artis tersebut.  Bukan sedikit, beribu-ribu lemon jugalah maksud kertas kerja tersebut.  Patutlah Pak Menteri tak berani, silap-silap ‘ke dalam’ Pak Menteri kita nak menjawab permintaan individu tersebut.  Begitulah caranya ‘orang kita’ nak hidup, harapkan projek Kerajaan dengan benda yang bukan-bukan.  Tak sedikit jumlah yang dia hendak, boleh menjerut leher jugalah, tak kiralah artis atau orang ‘usaha atas awan’. 

Terkesan dengan kertas kerja itu, saya diminta untuk menyemak sama ada idea kertas itu sesuai atau tidak dan adakah berbaloi jika kerajaan berbelanja bagi maksud kertas itu.  Bukan merendahkan, tetapi benda itu tidak pantas (layak) dibuat oleh mereka yang menggelar diri mereka ‘selebriti’.  Bak kata orang Melayu, buat jatuh air muka sahaja.  Tapi demi sesuap nasi, mereka sanggup – lantaklah dengan air muka, cacing dalam perut pun perlu diisi semestinya.  Walaupun idea itu hanya layak dibuat oleh para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi artis Malaysia sanggup juga turut membantu demi sesuap nasi. 
 
Olga Syaputra
Dibanding dengan artis Indonesia – Shahrini adalah artis yang ada kelas – ada jet peribadi, pengerusi persatuan kereta-kereta ‘sport’ Indonesia.  Olga Syaputra pengacara ‘lempuk’ ala-ala Abang Wan kononnya turut tak kalah – mampu beli Alphard dengan tunai lagi, belum kira banglo keluarganya dibelikan dengan tunai juga.  Olga juga dapat buat rawatan kesihatan di Singapura juga secara tunai tanpa campur tangan pemerintah atau ‘jual projek’ dengan pemerintah Indonesia.  Rafi Ahmad juga sama, mampu beli rumah banglo tunai dengan ratusan juta ringgit (milyaran rupiah) hanya 2 tahun sahaja berusaha mengumpulnya.  Betullah jadi artis di Indonesia lebih dihargakan dari di Malaysia yang maju dan makmur ini.
 
Mr. Os dan Salleh Yaakub
P. Ramlee yang setaraf pengarah Steven Speilberg Melayu juga pernah merempat dan papa kedana dalam tahun-tahun terakhirnya berkarya.  Jangan terkejut kalau artis-artis di Malaysia tinggal di kawasan perumahan rakyat termiskin (PPRT) ataupun di rumah-rumah murah di lokasi yang agak sedikit kumuh.  Ada juga artis bertaraf bintang 3 atau 4, tapi tetap perlu kerja sampai putus urat saraf.  Nasib tak baik, dilupakan orang bahkan terpinggir dari arus kehidupan dan kembali menjadi ‘penggemis harapan’ untuk sesuap nasi.  Lihat sahaja Mr. Os yang pernah menjadi artis bertaraf 4 bintang di zaman kegemilangannya, terpaksa menarik teksi demi meneruskan hidup.  Beliau bukan tak pernah jadi hero filem Malaya bahkan sangat terkenal sebagai ahli komedi.  Mungkin nasib juga bak kata sesetengah rakan, lihat Abang Salleh Yaakub yang sezaman dengan Mr. Os, masih diterima peminat walaupun ‘dah kertu’, bahkan isterinya sahaja – Ya Allah, makmur!  Tetapi Abang Salleh juga pernah terpinggir beberapa tahun sebelum kembali disambar stesen radio Sinar FM.  Lihat Ucop (Pelakon Komedi dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah), lepas pecah panggung dalam lakonannya di dalam filem tersebut, pernah ditawarkan menjadi juruhebah radio selama beberapa ketika.  Kini, hilang juga ke laut. 

Ziana Zain
Dibanding-bandingkan, betullah kata orang “jadi artis Malaysia nie tak ke mana”.  Ziana Zain yang bersuara lantang dan menyanyi dengan hebat juga terpaksa berlakon dan menjadi duta prosuk demi meneruskan kerjayanya di awal tahun 90an.  Neelofa terpaksa menjual tudung kepala, Siti Nurhaliza yang bertaraf 5 bintang pun terpaksa menjual kosmetik walaupun semua tahu kekayaannya berapa dicampur pula pendapatan sang suaminya yang kaya raya.  Walau pun samping-sampingan, tetap ada kerja lain selain menjadi artis.  Itu yang bertaraf 5 bintang, yang suam-suam kuku bagai mana pula?  Fizo Omar terpaksa menjual burger bakar dan ramai lagi artis lain yang bak kata Tan Sri SM Salim – Tak Seindah Wajah! Sedih betul.  Apa yang salahnya dalam industri seni Malaysia ini?  Betul ke kata mak ayah saya dan Nyonya Mansur, ahli muzik ini tak kemana?  Patut ke Tun Dr. Mahathir seru agar banyakkan upaya sains dan teknologi dari membazir masa dalam bidang seni dan budaya.  (Tun Dr. Mahathir pernah mengubah kuota kemasukan ke Universiti awam Malaysia dengan 60% di dalam bidang Sains dan Teknologi dan bakinya 40% di dalam bidang Kemasyarakatan dan Sastera)  Betulkah?

Sebagai pelajar jurusan komunikasi massa, saya melihat ada benarnya juga jika ia dikira untuk kelakonan masa depan individu.  Tetapi dalam masyarakat, ia tidak wajar sebab adat resam, budaya dan sastera harus dipelihara sesuatu bangsa dalam tamadunnya.  Lihat tamadun dunia, sastera dan seni budaya mereka disimpan barulah menjadi bangsa yang besar dan dicontoh-contohkan orang.  Tetapi apakah masalah seni dan budaya di Malaysia?  Pelik bukan?

Stesen televisyen (Penyiaran) di Malaysia ada 3 kelompok; Pertama milik Kerajaan (RTM), kedua dari Media Prima dan ketiga ASTRO.  Mereka bukan kecil, mereka adalah gergasi media di Malaysia.  Sama ada media elektronik, cetak mahupun paparan luar – bak kata orang semua jenis pengiklanan dan komersil adalah tali barut mereka jugalah.  Untung sesebuah syarikat bukan kecil anak, bahkan berbilion ringgit jugalah (Kecuali RTM kerana ia milik Kerajaan dan bukan bermatlamat keuntungan).  Jadi, adakah wajar pemilik-pemilik stesen ini mengaut jutaan hingga bilion ringgit sedangkan artis-artis Malaysia bak melukut di tepi gantang?  Siapa salah, dasar awam? masyarakat ataupun konglomerat media ini?  Kalau Rupert Murdogh boleh menjadi billionaire media, mengapa jutawan media di Malaysia tak boleh?  Jika Mariah Carey atau Justin Bieber boleh menjadi kaya raya kenapa Ning Baizura atau Tomok Indrawan tidak? 
P.Ramlee

Zaman kegemilangan filem Melayu (tetapi pemiliknya ialah India dan jutawan media dari Hongkong – Shaw Brothers), artis-artis mendapat peluang yang sangat hebat, rumah-rumah media dan syarikat produksi dapat membikin ratusan filem bahkan lagu-lagu piring hitamnya boleh memecah rekod yang hebat.  Anugerah jangan cakap, filem P. Ramlee sahaja sehingga ke Jepun bahkan dapat membolot beberapa anugerah kategori utama.  Tetapi kini, filem Melayu layak ke bakul sampah sahaja kata Siti Jarum (Penulis Pojok).  Kalau tak ada adegan orang kaya naik Mercedes, adegan makan-makan di restoran mewah, aksi-aksi lucah, hantu tahyul atau lawak bodoh maka itu bukan filem Melayu – filem Hantu agaknya.  Bukankah P. Ramlee pernah beri dialog – Bahasa Melambangkan Bangsa (Filem Seniman Bujang Lapok), tetapi filem Melayu kini memang layak ‘dibuang’, tetapi tidak patutlah kita kata begitu sebab akhirnya P.Ramlee pun pernah dibuang ke laut (walaupun karnya hebat).  Ada yang kata P. Ramlee memang wajar ke sana sebab pernah jadi pengkritik hebat Malaya dan mengutuk parti pemerintah Malaysia dahulunya.  Akhirnya beliau tidak diberikan jawatan walaupun sebagai Pengarah Muzik di RTM, bahkan membikin filem warna pertama juga dia dinafikan – sama ada kerana politik atau kerana kewangan, itu kena siasat dengan jelas.

Persoalannya, betulkah artis Malaysia ini papa kedana?  Saya pernah tukilkan bahawa prasarana industri di Malaysia sungguh hebat (rujuk:  http://puterademokrasi.blogspot.com/2014/02/dunia-hiburan-tanah-air.html)  bahkan komitmen Kerajaan (terutama di bawah kepimpinan Najib Razak) sehingga menyediakan geran yang berpuluh juta ringgit juga tidak berupaya memajukan industri bahkan kepada artis dan penggiat seni.  Saya semakin keliru, di manakah silap pemerintah kita?  Adakah kita kena sediakan rumah produksi seperti mana zaman filem hitam putih di Jalan Ampas Singapura dahulu.  Apakah penggiat seni kita kekurangan (muflis) idea dan kepintaran bakat sehingga filem dan lagu-lagunya tidak layak masuk panggung?  Atau kekurangan ongkos biaya (penaja) dari para usahawan kita untuk menaja persembahan pentas atau iklan-iklan?  Memang benar banyak produk dalam negara kini dimiliki oleh pemilik asing, sudah tentu mereka akan menaja filem atau pementasan berkenaan negara asal mereka sahaja.  Cuba lihat iklan di Malaysia, banyak yang dialih bahasakan ke bahasa Melayu tetapi kandungannya dari negara luar.  Mohamad Rahmad, bekas Menteri Penerangan di zaman Tun Dr. Mahathir pernah keluarkan pekeliling melarang muka Pan Asia di dalam iklan di Malaysia dan hendaklah dibuat/produksi dalam negara bagi menjamin industri kreatif kita, tetapi ia juga kelihatan gagal. 


Maka, apa lagi yang perlu kita usahakan?  Atau kita bungkus sahaja seni budaya kita ke dalam karung guni dan buang ke laut?  Di mana Sasterawan Negara, Profesor Negara dan juga Pemikir-Pemikir Malaysia untuk melihat duduk letak industri ini?  Jika Indonesia yang berkapasiti 300 juta penduduk dengan 27 stesen televisyen boleh, apakah Malaysia yang 30 juta penduduk dan pemilik 3 stesen televisyen  perlu menyerah kalah?  Seniman di Indonesia terus mencetak rupiah dan memberikan idea kreatif dalam industri mereka (termasuk dari penaja kilang belacan), apakah Malaysia tidak boleh?  

Selasa, 13 Mei 2014

Kemana Hala Tuju Komunikasi Malaysia?

Kemana Hala Tuju Komunikasi Malaysia?

Ahmad Shabery Cheek:  Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia 
Sebelum ini saya telah tukilkan mengenai keadaan perhubungan Internet di Malaysia yang usang lagi lembab tetapi biaya perkhidmatan tersebut amat tinggi bagi isi rumah Malaysia.  Internet bukan seperti dahulu iaitu barangan mewah untuk kelas ekonomi tertentu, internet kini menjadi satu kebutuhan asas seseorang mahupun organisasi dan perhubungan seperti telefon di awal tahun 60-an serta telefon bimbit di awal tahun 90-an.  Teknologi yang berkembang pesat turut menarik innovator mengubah keperluan internet dari kegunaan perniagaan besar kepada pengguna kecil bahkan kepada individu walaupun di bangku sekolah.  Bahawa maklumat perlu dihujung jari.

Seperti anganan mantan Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, maklumat adalah asas dalam kehidupan minda sama seperti makanan dan minuman untuk fizikal dan maklumat itu adalah pengubah daripada “buta” kepada “bermakna” dalam erti sebuah kehidupan dan juga negara.  Beliaulah yang mengetengahkan Teknologi Maklumat (ICT) di Malaysia apabila memperkenalkan Dasar ICT Negara pada tahun 1998 dan membangunkan Multimedia Super Corridor (MSC).  Beliau membangunkan infrastruktur dan kemahiran yang diperlukan sesuai dengan kehendak pasaran bahkan lebih maju dan jauh kehadapan setanding dengan kehebatan Singapura pada masa itu.  Kini, setelah belasan tahun dasar beliau terus terkulai tanpa pembelaan yang sewajarnya dari pemerintah parti BN sendiri.

Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Shabeery Cheek dilantik menjadi Menteri Penerangan (2006) dan ditukarkan kepada Tan Sri Rais Yatim beberapa tahun selepas itu.  Selepas Pilihanraya Umum ke-13, Najib Razak kembali membentuk kabinetnya dan melantik Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia menggantikan Tan Sri Rais Yatim sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). 

Di zaman Tan Sri Rais, keperluan internet dinamakan Program Merapatkan Jurang Digital/Telekomunikasi telah menyemarakkan internet di kalangan masyarakat iaitu mengadakan perkampungan bebas internet serta capaian internet di hujung desa dan kampung agar mudah diakses oleh masyarakat khususnya diluar bandar.  Beberapa perkampungan tanpa wayar di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah diwujudkan dari Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak.  Program-program kemasyarakatan berbudaya dan bermaklumat turut diadakan dalam mendidik pengunaan internet khasnya untuk berniaga telah diadakan, diskuasi serta kempen penggunaan berhemah telah diadakan.

Manakala di masa kini, program-program yang telah ada hanyalah dikekalkan tanpa keprihatinan yang mendesak.  Menteri juga kelihatan tidak prihatin dengan laporan bahawa teknologi dan infrastruktur internet di Malaysia telah tertinggal jauh di belakang Singapura bahkan memburukkan keadaan di belakang Vietnam, Bangkok dan Kemboja iaitu sebuah negara-negara ketiga yang baru membangunkan infrastrukturnya.  Menteri juga tidak memprihatinkan bahawa kos sara diri individu yang meningkat dengan keupayaan dan keperluan internet yang asas telah mengabaikan mesej ini bahkan tiada langkah yang signifikan dalam memartabatkan ICT ini dikalangan rakyat.  Sedang syarikat telekomunikasi mengaut keuntungan sehingga billion ringgit dari penjualan pelan data, pembangunan infrastruktur serta penambahbaikannya masih tidak ada pangkal mulanya.

Apakah Yang Berhormat (YB) ini sedar bahawa kadar penggunaan internet ini adalah mahal sedangkan kelajuannya masih boleh dipertikaikan? Apakah dasar ini (jika ada penambahbaikan) ini diuar-uarkan kepada masyarakat? Adakah mengurangkan jurang digital dan maklumat ini masih dijalankan? Jika ada, berikan satu petunjuk bahawa sang Menteri sedang melaksanakan pelbagai program dan inisiatif dalam melaksanakannya.  Rakyat perlu tahu dan masyarakat perlu sedar bukannya semasa hari pengundian sahaja.  Menteri juga harus peka bahawa teknologi zaman Jepun ini perlu digantikan bahawa teknologi telekomunikasi di Malaysia adalah peninggalan tahun 1970-an perlu ditambahbaik secara bertahap, maka mulakanlah dan beritahu kepada umum yang Menteri sedang bekerja demi mengurangkan kos digital yang lembab tetapi mahal.  Bahawa internet adalah perkhidmatan keperluan asas yang wajar dinikmati segenap lapisan masyarakat.  Bahawa generasi muda perlu tahu tanggungjawab berinternet dengan baik dan benar.

Apakah yang sedang dan akan dilakukan oleh Yang Berhormat ini?  Adakah tugas beliau menonton wayang dan berpidato itu dan ini tanpa apa-apa tindakan yang signifikan khususnya dalam bidang portfolionya? 

Lain dari itu, Yang Berhormat amat prihatin tentang pengedaran gambar kematian Karpal Singh yang tidak wajar di lelaman Facebook.  Tetapi apalah guna teguran jika hanya segelintir sahaja yang membacanya (teguran di FB beliau)?  Sewajarnya dalam menangani isu tersebut, lawatlah Universiti berkaitan komunikasi dan perhubungan massa dan nasihatkan para pelajar bahawa menggunakan internet dengan etika adalah perlu dan wajar sebagai warganegara yang prihatin dan bertaraf maju.  Bilakah YB ini melawat Fakulti Komunikasi dan mengadakan pidato dengan pelajar mengenai hala tuju telekomunikasi dan penerangan ini?  Apakah peranannya dalam mempercepatkan siasatan terhadap aduan soldadu media DAP (Red Bean Army) menerusi SKMM?  Apakah tindakannya sehingga jam ini? – TIADA.

Benarlah kata pepatah, yang baik tak selalu hadir, yang merosakkan itu ramai.  Bila Mahathir membangunkan infrastruktur mega ini ramai yang menghentam keluhuran beliau memajukan negara dan bangsanya bahkan pembangkang turut mengkritiknya tetapi terus menggunakan perkhidmatan tersebut sehingga kini.  Tetapi bila ia ditinggalkan, tiada seorang pun memberikan idea dan cadangan yang bernas dalam menambahbaik perkhidmatan yang telah diadakan.  

Jika ada, Perdana Menteri telah memberikan diskaun RM200.00 kepada golongan muda menerusi SKMM untuk menggalakkan penggunaan telefon pintar, tetapi wahasil balik ke asal – TIADA apa-apa manfaat dari itu kerana internet tetap lembab dan kos datanya tetap mahal – Rakyat makin miskin, syarikat telekomunikasi terus mencetak billion duit ringgit.  Pemimpin tetap di atas, rakyat yang mengundi juga bodoh!!!!


Teguran terbuka untuk YB Menteri KKMM.  

Rabu, 19 Februari 2014

Ditolak Kerja – Akhirnya Jadi Bos Besar di tempat Itu



Lamaran Kerja Ditolak Facebook - Akhirnya Menjadi Bos Besar  

"Facebook telah menolak saya. Ini adalah peluang besar untuk berhubungan dengan beberapa orang yang luar biasa. Menanti untuk cabaran berikutnya dalam hidup," tulis Acton pada 4 Ogos 2009 sebagai kunci semangat kerjayanya.


Salah seorang pembangun WhatsApp, Brian Acton, pernah ditolak dalam temu duga  pekerjaan oleh Facebook pada 2009 silam.  Empat tahun setelah Facebook menolak lamaran kerjanya, Acton kini menjual perusahaannya kepada Facebook dengan harga yang sangat hebat, USD 19 billion (sekitar RM52billion).

Nilai ini termasuk USD 3 juta dalam bentuk saham yang diberikan kepada Acton dan kakitangan WhatsApp dalam jangka masa empat tahun mendatang.

Kisah Acton menjadi inspirasi tentang penolakan kerja, kerja keras, dan keusahawanan. Semasa ditolak oleh Facebook, beliau sempat menukilkan rasa kecewa dengan berkicau di media sosial Twitter (lihat gambar Tweet pembangun WhatsApp, Brian Acton, setelah temu duga kerjanya ditolak Facebook pada 2009). Namun, dengan semangat juang yang tinggi, ia berkata akan memulakan "cabaran berikutnya dalam hidup".

Acton, yang merupakan graduan komputer di Stanford University, sebelum itu pernah bekerja di Apple dan Adobe. Sejak 1996, ia bekerja untuk Yahoo! hingga Oktober 2007. Organisasi terakhirnya di Yahoo! sebagai Naib Presiden Kejuruteraan. 



Pada tahun ia ditolak oleh Facebook, Acton mulai membangun aplikasi WhatsApp bersama Jan Koum di Mountain View, California. Koum juga merupakan bekas kakitangan Yahoo!. Pada tahun itu juga, TheNextWeb melaporkan bahawa Acton juga telah ditolak oleh Twitter.

Dua pengendali laman sosial terbesar di dunia iaitu Facebook dan Twitter telah menolak tuah dengan menolak angsa emas iaitu Acton yang punya bakat luar biasa dalam bidang pemprograman (programming).

Nama WhatsApp begitu cepat popular sehingga menjadi aplikasi pesanan ringkas yang paling banyak digunakan, murah dan mudah, dengan 430 juta pengguna aktif pada Januari 2014.

Jumlah data yang diproses juga meningkat menjadi lebih dari 50 juta pesanan setiap hari, berbanding sekitar 27 juta setiap hari pada Jun 2013. Angka itu disebut-sebut sudah melebihi jumlah SMS yang beredar di seluruh dunia sehingga WhatsApp dianggap sebagai salah satu penyebab menurunnya pertumbuhan SMS di dunia.

Meskipun berasaskan penggunanya yang semakin meluas, WhatsApp tetap mempertahankan konsep perniagaan bertaraf rintis (startup). WhatsApp hanya memiliki sekitar 50 kakitangan. Sebanyak 25 orang merupakan pekerja teknikal, sementara 20 orang lainnya adalah khidmat kepada pengguna khususnya kepelbagaian bahasa.

Acton dan Koum juga mempunyai prinsip kuat untuk tidak menampilkan iklan dalam perkhidmatan mereka. Dalam mengembangkan perniagaannya, WhatsApp juga punya falsafah anti-iklan, bahkan memiliki manifesto menentang sebarang iklan komersil.

WhatsApp sendiri hanya menerima bayaran sekitar USD0.99 sen selama setahun untuk setiap pengguna bagi menyokong dan mengembangkan aplikasinya.

WhatsApp telah menerima pelaburnya daripada perusahaan pemodal Sequoia Capital sebanyak USD8 juta pada awal 2011. Dan sejak dari itu, WhatsApp tidak membuka peluang pelaburan baru kerana mereka mampu menghasilkan wang dari aplikasinya, mampu membiayai operasi perniagaannya sehingga akhirnya Facebook "jatuh cinta" dan membelinya.

Begitulah, dari kegagalan mendapatkan pekerjaan di syarikat yang diminatinya, Acton beralih menjadi pesaing hebat dalam industri Cuma berbeza bidang hiliran.  Akhirnya, berkat keusahawanan dan persaingan sihat, produk beliau menjadi tagihan daripada mereka yang pernah menolaknya dahulu.  Teringat dengan kata-kata “berusaha dahulu, dan kejayaan akan datang mengiringinya”.  Bukan dengan ingin menjadi berjaya dan baru berusaha.