Memaparkan catatan dengan label media. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label media. Papar semua catatan

Ahad, 23 November 2014

Media Indonesia Membunuh Citra

Media Indonesia Membunuh Citra


Minggu lepas (18 November 2014), Pemerintah Indonesia melalui Dekri Khas Presiden mengumumkan pengurangan subsidi Bahan Bakar Minyak (BBM) bersubsidi sekitar RM2.33 seliter bagi RON 88 manakala RM2.10 bagi diesel.  Pengurangan subsidi memberikan impak kenaikan harga dari Rp6,500 kepada Rp8,500 seliter.  Ini memberikan tekanan kepada rakyat miskin di sana sehingga wujudkan gerakan massa di jalan raya bagi memprotes keputusan tersebut.




Presiden Joko Widodo dalam reaksinya mengenai kenaikan memaklumkan “tidak memandang populariti” demi tanggungjawabnya mengurangkan kantung subsidi bagi diagihkan ke sektor pendidikan, pembangunan dan kesihatan masyarakat yang memerlukan.  Sepanjang minggu tersebut, media-media di sana memainkan isu kenaikan harga BBM ini memberikan manfaat kepada rakyat khususnya dalam mengurangi beban yang dipikul pemerintah yang semakin membesar.Media di sana menarik perhatian bahawa tindakan ini perlu dalam menjamin kelangsungan kewangan negara yang boleh dihematkan bagi tujuan lain

Bagi rakyat awam, sejurus kenaikan harga BBM semua keperluan harian mereka juga “naik” secara mendadak dengan jumlah yang sama.  Tambang pengangkutan umum (dikenali Angkot – van komersil) turut meningkat Rp2,000.00 sehala kepada Rp7,000.00 secara mutlak mulai tarikh kenaikan harga BBM.  Tambang kereta api juga naik sekitar 150% ke semua destinasi.  Bagi penduduk, kenaikan ini adalah satu beban tambahan sehingga harga makanan dan rempah ratus turut meningkat setara dengan kenaikan BBM tersebut secara tidak langsung.  Media di sana turut membuat perbandingan harga minyak termasuk subsidi dan kadar upah di negara-negara ASEAN.

Tidak ketinggalan di Kuala Lumpur pada Jumaat pula (21 November 2014) Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan bahawa subsidi minyak RON95 dan diesel akan diapungkan memandangkan kejayaan dalam sistem pasaran terbuka (secara apungan terpantau) RON97.  Dengan itu, harga minyak di Malaysia akan meningkat dan menurun mengikut harga pasaran terbuka (di masa kini harga satu barrel minyak USD80.00 ke USD85.00).  Maka, bagi Kuala Lumpur, harganya akan turun sekitar RM0.03 sen pada 1 Disember 2014 (masih di peringkat kajian). 
 
Media di Indonesia dengan pantas menyambar peluang ini untuk mendinginkan suhu tekanan di Indonesia dengan mengutip bahawa Kerajaan Malaysia turut “meniru” gaya Indonesia dalam menaikkan harga minyak bagi menurunkan subsidi kerajaan. "Gaya Meniru Malaysia" juga kononnya atas kebijaksaan Indonesia menambah pendapatan boleh guna pemerintah bagi mengurangkan defisit negara menunjukkan Indonesia lebih bijak dalam menguruskan kewangannya.  Sedang Indonesia (RON88 berharga RM2.33, Malaysia RON95 berharga RM2.30) akan mengurangkan subsidinya, menjadikan Najib Razak sebagai “kambing hitam” dalam menuetralkan masalah di sana - mutlak.  Kelihatannya Perdana Menteri memang tidak kreatif kononnya.

Minggu yang sama juga pihak media di sana melaporkan kononnya sebanyak 200 orang nelayan Malaysia yang menyemberang dan menangkap ikan di perbatasan berjaya ditahan dalam sempadan Indonesia.  Sehingga ada kutipan kata-kata dari Presiden Indonesia bahawa “Tenggelamkan kapal (penceroboh asing), suka mereka berfikir, tetapi selamatkan nyawa anak kapalnya” sebagai satu provokasi mengapi-apikan rakyat agar terus “marah” kepada Malaysia kononnya sebagai penceroboh negara dan memungut hasil jirannya. Supaya rakyat di sana "lari" dari isu BBM dan kembali bersatu "bahawa mereka diserang" oleh nelayan Malaysia kononnya.  

Tindakan ini mengundang marah di kalangan warga Malaysia dengan kenyataan yang “kurang sopan” seperti ditukilkan oleh Pemerintah di sana.  Sedangkan mengikut laporan Ketua Polis Negara sehingga ke jam ini (24 November 2014) masih tiada laporan penangkapan tersebut.  Dan Kedutaan Malaysia di Indonesia turut masih belum dipanggil dalam menjelaskan duduk letak hal berkenaan.
 
Di sini kita dapat melihat media di Indonesia akan cuba dengan begitu terancang dan saksama menjadikan Malaysia sebagai “kambing hitamnya” dan terus “membodoh-bodohkan” rakyatnya secara terbuka bagi melarikan diri dari realiti sebenar. 

Pertama, kononnya harga petrol di Malaysia juga mahal sedangkan RON yang berbeza (RON88 lebih rendah kualitinya) digunakan di sana serta kenaikannya adalah diluar pengetahuan Malaysia.  

Kedua, kononnya Malaysia 'meniru' kenaikan harga BBM di Indonesia.  Sebenarnya Kerajaan Malaysia ditekan oleh rakyat Malaysia sendiri bahawa harga minyak satu tong (barrel) di pasaran dunia telah turun, dan kerajaan harus dengan saksama menurunkan harga mengikut harga pasaran dalam memakmurkan rakyatnya tanpa sebagai elemen “meniru” Indonesia. 

Ketiga, dalam melarikan diri dari masalah perhimpunan jalanan (protes kenaikan BBM), mereka turut menjadikan “sebuah cerita penglipur lara” bahawa Malaysia sentiasa membodohi dan mencabul (mengambil kesempatan) ke atas Indonesia sedangkan ia tidak begitu.  Dengan usaha itu, diharapkan perhatian warga yang marah boleh dilarikan kepada rakyat “Malaysia” yang dijadikan “kambing hitam” berikutnya. 

Itulah harga sebuah laporan media yang suka menjadikan orang lain sebagai mangsa untuk mereka melarikan diri dari realiti sebenar yang menyakitkan.  Walaupun media Malaysia juga mempunyai setidak-tidaknya sedikit rasa terguris, tetapi demi sebuah kelangsungan “Persatuan Bangsa”, media Malaysia jarang sekali memberikan “sampah” dan menjadikan jiran-jiran atau negara luar sana sebagai “kambing hitamnya” dalam melarikan diri dari realiti politik atau situasi di negara ini yang kadang kala juga mengerikan. 


Matanglah wahai media dan warga Indonesia, bahawa maklumat dari negara kalian itu selalu tidak telus dan membodohkan kalian dalam kesedaran dan kebijaksaan kalian sendiri (bak kata Melayu, "hidup-hidup ditipu").  Sedangkan media Malaysia yang dianggap “mengampu dan bias” ini tidak pernah berbuat begitu dalam memberikan maklumat yang saksama dan bernas kepada rakyat negara ini yang lebih bijak membuat “spekulasi dan teori mereka sendiri” – secara peribadi.  

Sabtu, 26 Julai 2014

Seniman Malaysia Papa Kedana?

Seniman di Malaysia Papa Kedana

Berkesempatan berada di belakang seorang Menteri memberikan satu peluang untuk mencuri-curi mendengar masalah yang diajukan kepada Yang Berhormat tersebut.  Memang tidak sopan mendengar butir bicara orang dan bergosip tentangnya tetapi apakan daya, sebagai bukti satu keprihatinan maka berikanlah sesuatu idea yang difikirkan patut.  Saya suka berkongsi dengan tulisan walaupun panjang lebar, meleret-leret dan berkronologi panjang – peduli apa, teruskanlah (kalau nak baca). 
Nyonya Mansur 

Rupa-rupanya, artis di Malaysia ini semuanya jenis papa kedana dan tidak menjamin masa depan, keluh saya sendirian.  Patutlah Nyonya Mansur marah anaknya nak berkahwin dengan ahli muzik – Kassim Selamat!  Mak mana nak lihat anaknya miskin dan merempat, ya tak?  Maka betullah pendirian mak ayah saya yang tidak benarkan kami terlibat dengan muzik atau apa jua bidang seangkatan dengannya dulu.  Bila saya kata ada latihan pementasan drama sekolah, cepat-cepat mak saya buat muka dan kata tidak ada faedah, rupanya inilah maksudnya.  Bila mak dah tarik muka, pandai-pandailah jaga diri sebab kalau dia tak suka dan tak izin janganlah mengeluh kalau tak nak kena pulang paku buah keras.  Mak doa tue makbul tau!

Arakianlah sang artis tersebut rupa-rupanya minta projek atau ‘job’ daripada Pak Menteri tersebut.  Bagusnya Pak Menteri Malaysia nie tak pernah nak tolak permintaan orang.  Tapi demi menjaga integriti dan amanah rakyat, Pak Menteri akan memanjangkan permintaan segenap orang yang berjumpa dengannya kepada pentadbir Kementerian berkaitan sama ada boleh atau tidak dan apakah solusi (penyelesaiannya).  Tercampaklah ‘kertas kerja’ yang entah apa-apa permintaan artis tersebut.  Bukan sedikit, beribu-ribu lemon jugalah maksud kertas kerja tersebut.  Patutlah Pak Menteri tak berani, silap-silap ‘ke dalam’ Pak Menteri kita nak menjawab permintaan individu tersebut.  Begitulah caranya ‘orang kita’ nak hidup, harapkan projek Kerajaan dengan benda yang bukan-bukan.  Tak sedikit jumlah yang dia hendak, boleh menjerut leher jugalah, tak kiralah artis atau orang ‘usaha atas awan’. 

Terkesan dengan kertas kerja itu, saya diminta untuk menyemak sama ada idea kertas itu sesuai atau tidak dan adakah berbaloi jika kerajaan berbelanja bagi maksud kertas itu.  Bukan merendahkan, tetapi benda itu tidak pantas (layak) dibuat oleh mereka yang menggelar diri mereka ‘selebriti’.  Bak kata orang Melayu, buat jatuh air muka sahaja.  Tapi demi sesuap nasi, mereka sanggup – lantaklah dengan air muka, cacing dalam perut pun perlu diisi semestinya.  Walaupun idea itu hanya layak dibuat oleh para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi artis Malaysia sanggup juga turut membantu demi sesuap nasi. 
 
Olga Syaputra
Dibanding dengan artis Indonesia – Shahrini adalah artis yang ada kelas – ada jet peribadi, pengerusi persatuan kereta-kereta ‘sport’ Indonesia.  Olga Syaputra pengacara ‘lempuk’ ala-ala Abang Wan kononnya turut tak kalah – mampu beli Alphard dengan tunai lagi, belum kira banglo keluarganya dibelikan dengan tunai juga.  Olga juga dapat buat rawatan kesihatan di Singapura juga secara tunai tanpa campur tangan pemerintah atau ‘jual projek’ dengan pemerintah Indonesia.  Rafi Ahmad juga sama, mampu beli rumah banglo tunai dengan ratusan juta ringgit (milyaran rupiah) hanya 2 tahun sahaja berusaha mengumpulnya.  Betullah jadi artis di Indonesia lebih dihargakan dari di Malaysia yang maju dan makmur ini.
 
Mr. Os dan Salleh Yaakub
P. Ramlee yang setaraf pengarah Steven Speilberg Melayu juga pernah merempat dan papa kedana dalam tahun-tahun terakhirnya berkarya.  Jangan terkejut kalau artis-artis di Malaysia tinggal di kawasan perumahan rakyat termiskin (PPRT) ataupun di rumah-rumah murah di lokasi yang agak sedikit kumuh.  Ada juga artis bertaraf bintang 3 atau 4, tapi tetap perlu kerja sampai putus urat saraf.  Nasib tak baik, dilupakan orang bahkan terpinggir dari arus kehidupan dan kembali menjadi ‘penggemis harapan’ untuk sesuap nasi.  Lihat sahaja Mr. Os yang pernah menjadi artis bertaraf 4 bintang di zaman kegemilangannya, terpaksa menarik teksi demi meneruskan hidup.  Beliau bukan tak pernah jadi hero filem Malaya bahkan sangat terkenal sebagai ahli komedi.  Mungkin nasib juga bak kata sesetengah rakan, lihat Abang Salleh Yaakub yang sezaman dengan Mr. Os, masih diterima peminat walaupun ‘dah kertu’, bahkan isterinya sahaja – Ya Allah, makmur!  Tetapi Abang Salleh juga pernah terpinggir beberapa tahun sebelum kembali disambar stesen radio Sinar FM.  Lihat Ucop (Pelakon Komedi dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah), lepas pecah panggung dalam lakonannya di dalam filem tersebut, pernah ditawarkan menjadi juruhebah radio selama beberapa ketika.  Kini, hilang juga ke laut. 

Ziana Zain
Dibanding-bandingkan, betullah kata orang “jadi artis Malaysia nie tak ke mana”.  Ziana Zain yang bersuara lantang dan menyanyi dengan hebat juga terpaksa berlakon dan menjadi duta prosuk demi meneruskan kerjayanya di awal tahun 90an.  Neelofa terpaksa menjual tudung kepala, Siti Nurhaliza yang bertaraf 5 bintang pun terpaksa menjual kosmetik walaupun semua tahu kekayaannya berapa dicampur pula pendapatan sang suaminya yang kaya raya.  Walau pun samping-sampingan, tetap ada kerja lain selain menjadi artis.  Itu yang bertaraf 5 bintang, yang suam-suam kuku bagai mana pula?  Fizo Omar terpaksa menjual burger bakar dan ramai lagi artis lain yang bak kata Tan Sri SM Salim – Tak Seindah Wajah! Sedih betul.  Apa yang salahnya dalam industri seni Malaysia ini?  Betul ke kata mak ayah saya dan Nyonya Mansur, ahli muzik ini tak kemana?  Patut ke Tun Dr. Mahathir seru agar banyakkan upaya sains dan teknologi dari membazir masa dalam bidang seni dan budaya.  (Tun Dr. Mahathir pernah mengubah kuota kemasukan ke Universiti awam Malaysia dengan 60% di dalam bidang Sains dan Teknologi dan bakinya 40% di dalam bidang Kemasyarakatan dan Sastera)  Betulkah?

Sebagai pelajar jurusan komunikasi massa, saya melihat ada benarnya juga jika ia dikira untuk kelakonan masa depan individu.  Tetapi dalam masyarakat, ia tidak wajar sebab adat resam, budaya dan sastera harus dipelihara sesuatu bangsa dalam tamadunnya.  Lihat tamadun dunia, sastera dan seni budaya mereka disimpan barulah menjadi bangsa yang besar dan dicontoh-contohkan orang.  Tetapi apakah masalah seni dan budaya di Malaysia?  Pelik bukan?

Stesen televisyen (Penyiaran) di Malaysia ada 3 kelompok; Pertama milik Kerajaan (RTM), kedua dari Media Prima dan ketiga ASTRO.  Mereka bukan kecil, mereka adalah gergasi media di Malaysia.  Sama ada media elektronik, cetak mahupun paparan luar – bak kata orang semua jenis pengiklanan dan komersil adalah tali barut mereka jugalah.  Untung sesebuah syarikat bukan kecil anak, bahkan berbilion ringgit jugalah (Kecuali RTM kerana ia milik Kerajaan dan bukan bermatlamat keuntungan).  Jadi, adakah wajar pemilik-pemilik stesen ini mengaut jutaan hingga bilion ringgit sedangkan artis-artis Malaysia bak melukut di tepi gantang?  Siapa salah, dasar awam? masyarakat ataupun konglomerat media ini?  Kalau Rupert Murdogh boleh menjadi billionaire media, mengapa jutawan media di Malaysia tak boleh?  Jika Mariah Carey atau Justin Bieber boleh menjadi kaya raya kenapa Ning Baizura atau Tomok Indrawan tidak? 
P.Ramlee

Zaman kegemilangan filem Melayu (tetapi pemiliknya ialah India dan jutawan media dari Hongkong – Shaw Brothers), artis-artis mendapat peluang yang sangat hebat, rumah-rumah media dan syarikat produksi dapat membikin ratusan filem bahkan lagu-lagu piring hitamnya boleh memecah rekod yang hebat.  Anugerah jangan cakap, filem P. Ramlee sahaja sehingga ke Jepun bahkan dapat membolot beberapa anugerah kategori utama.  Tetapi kini, filem Melayu layak ke bakul sampah sahaja kata Siti Jarum (Penulis Pojok).  Kalau tak ada adegan orang kaya naik Mercedes, adegan makan-makan di restoran mewah, aksi-aksi lucah, hantu tahyul atau lawak bodoh maka itu bukan filem Melayu – filem Hantu agaknya.  Bukankah P. Ramlee pernah beri dialog – Bahasa Melambangkan Bangsa (Filem Seniman Bujang Lapok), tetapi filem Melayu kini memang layak ‘dibuang’, tetapi tidak patutlah kita kata begitu sebab akhirnya P.Ramlee pun pernah dibuang ke laut (walaupun karnya hebat).  Ada yang kata P. Ramlee memang wajar ke sana sebab pernah jadi pengkritik hebat Malaya dan mengutuk parti pemerintah Malaysia dahulunya.  Akhirnya beliau tidak diberikan jawatan walaupun sebagai Pengarah Muzik di RTM, bahkan membikin filem warna pertama juga dia dinafikan – sama ada kerana politik atau kerana kewangan, itu kena siasat dengan jelas.

Persoalannya, betulkah artis Malaysia ini papa kedana?  Saya pernah tukilkan bahawa prasarana industri di Malaysia sungguh hebat (rujuk:  http://puterademokrasi.blogspot.com/2014/02/dunia-hiburan-tanah-air.html)  bahkan komitmen Kerajaan (terutama di bawah kepimpinan Najib Razak) sehingga menyediakan geran yang berpuluh juta ringgit juga tidak berupaya memajukan industri bahkan kepada artis dan penggiat seni.  Saya semakin keliru, di manakah silap pemerintah kita?  Adakah kita kena sediakan rumah produksi seperti mana zaman filem hitam putih di Jalan Ampas Singapura dahulu.  Apakah penggiat seni kita kekurangan (muflis) idea dan kepintaran bakat sehingga filem dan lagu-lagunya tidak layak masuk panggung?  Atau kekurangan ongkos biaya (penaja) dari para usahawan kita untuk menaja persembahan pentas atau iklan-iklan?  Memang benar banyak produk dalam negara kini dimiliki oleh pemilik asing, sudah tentu mereka akan menaja filem atau pementasan berkenaan negara asal mereka sahaja.  Cuba lihat iklan di Malaysia, banyak yang dialih bahasakan ke bahasa Melayu tetapi kandungannya dari negara luar.  Mohamad Rahmad, bekas Menteri Penerangan di zaman Tun Dr. Mahathir pernah keluarkan pekeliling melarang muka Pan Asia di dalam iklan di Malaysia dan hendaklah dibuat/produksi dalam negara bagi menjamin industri kreatif kita, tetapi ia juga kelihatan gagal. 


Maka, apa lagi yang perlu kita usahakan?  Atau kita bungkus sahaja seni budaya kita ke dalam karung guni dan buang ke laut?  Di mana Sasterawan Negara, Profesor Negara dan juga Pemikir-Pemikir Malaysia untuk melihat duduk letak industri ini?  Jika Indonesia yang berkapasiti 300 juta penduduk dengan 27 stesen televisyen boleh, apakah Malaysia yang 30 juta penduduk dan pemilik 3 stesen televisyen  perlu menyerah kalah?  Seniman di Indonesia terus mencetak rupiah dan memberikan idea kreatif dalam industri mereka (termasuk dari penaja kilang belacan), apakah Malaysia tidak boleh?  

Rabu, 23 April 2014

Melayu Islam Jangan Jadi Yahudi

Akhirnya orang Islam di Malaysia menjadi jumud, seperti mana jumudnya pemikiran kaum Yahudi.  Berbeza dengan maksud Qada’ dan Qadar, Yahudi berfikiran begitu kerana mereka telah diingatkan oleh para Rasul sebagai Raja mereka secara langsung ketika itu cuma mereka tidak percaya perkara-perkara ghaib dan mukjizat Allah.  Akhirnya, mereka terpaksa akur dan dihalau keluar dari Jerusalem oleh Raja Nebuchadnezzar dari Babylon pada tahun 586 (sebelum masihi). 

Penyesalan kaum Yahudi tidak terhenti setakat itu, semua keagungan dan keindahan istana dan pemerintahannya (Negara Tuhan Yang Satu) telah dimusnahkan oleh kaum pagan (penyembah berhala) itu dan menubuhkan Hukum Hammurabbi bagi menggantikan undang-undang Tuhan sesuai dengan kehendak Taurat ketika itu.  Mereka menyesali nasib kaum mereka, setelah dibawa oleh Musa merentasi Lautan Mati ke Tanah Yang Dijanjikan, mereka dapat membangunkan Jerusalem dengan berkat pertolongan Raja Saul (Thalut) yang menewaskan musuh mereka di sana (Goliath – Jalut).  Sesudah mereka membangunkan negara dan rumah ibadah yang besar (seakan Kaabah kini – King Solomon Temple / Istana Nabi Sulaiman) itu dan dipimpin oleh pelbagai Raja dan Nabi, mereka terpaksa melarikan diri dari Raja Yunani yang kejam kepada mereka (kerana kekufuran dan tidak patuhnya mereka  kepada Allah).  Hukuman pengusiran itu mereka lalui dengan penuh penghinaan dan sepanjang masa mereka berada di negara asing, sama ada menjadi hamba, kuli, barang dagangan mahupun dibunuh sesuka hati. 

Akhirnya, mereka berpendapat jika inginkan kehidupan yang kekal dan sempurna mereka haruslah mentaati suruhan raja dan Nabi serta mengikut perintah Tuhan yang Maha Esa seperti diajarkan oleh nabi-nabi.  Dengan penuh kesungguhan, sekali lagi Allah memberi mereka peluang kembali ke Jerusalem dengan dipimpin oleh Raja Zecharia (Nabi Zakaria A.S.).  Tetapi kedegilan dan keangkuhan mereka tetap membuat kemungkaran sehingga akhirnya mereka terusir secara kekal selepas penyaliban Jesus (Nabi Isa diangkat ke langit) dan negara mereka kembali diruntuhkan oleh kaum pagan yang lainnya termasuk oleh Maharaja Rom. 

Sudah terhantuk baru tengadah, begitulah nasib kaum Yahudi tersebut.  Mereka tidak dapat kembali semula ke Jerusalem dan membentuk negara mereka seperti sebelumnya iaitu sebuah “Taman-Taman Para Nabi dan Malaikat” di bumi anbiya’ di mana ia adalah pinggir dan taman bayang-bayang Arasy di atas Kaabah.  Kesedihan mereka menyebabkan mereka ingin benar kembali menjadi Yahudi yang taat lagi sejati dan kembali ke “Tanah Yang Dijanjikan”.  Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. 


Bagi umat Islam di Malaysia, mungkin mereka tidak sedar dan ingin benar menjadi seperti nasib kaum Yahudi.  Walaupun mereka tidak mempunyai walau satu Nabi atau Raja Yang Hebat mencipta sejarah dunia pada masa lampau.  Setidak-tidaknya Islam yang diwarisi ratusan tahun lalu melalui Raja Melaka (Parameswara) ini gunakanlah dengan sebaik-baiknya.  Jalankanlah perintah agama tauhid ini dengan sebaik-baiknya.  Janganlah kita menjadi bangsa yang sombong, bongkak dan memperkecilkan keimanan orang lain kepada Allah.  Di sisi Allah SWT, semua manusia itu sama melainkan yang paling bertaqwa dan beramal soleh.  Oleh itu, janganlah jumudkan minda kita dengan wewenangnya menjatuhkan hukum kepada rakan yang seakidah dengan kita.  Janganlah mendoakan kehancuran kita sesama Islam, mengagungkan bangsa kaum pagan (penyembah berhala termasuk ketuhanan Triniti) yang lain.  Di sisi Islam, agama ahli Kitab Suci itu telah tiada dan telah dimansuhkan oleh Allah menerusi Al-Quran/Al-Furqan. 

Yang pasti, kita sedang menunggu Al-Mahdi atau Penyelamat Dari Timur (Messiah bagi penganut Kristian dan Yahudi).  Yakinlah, sebelum Anti-Islam (Dajjal – Anti-Christ bagi Kristian) tiba, berbuatlah baik dengan amal-amal soleh serta jalanilah sistem pemerintahan sedia ada dengan sebaik-baiknya.  Semua ujian yang melanda kini (kehilangan pesawat MAS, kekurangan air semasa musim hujan, kemarau, jerebu serta-apa-apa bencana) janganlah kita saling menyalahkan melainkan itulah ketentuan Allah SWT dalam menguji keimanan dan kebersatuan kita.  Kita bersyukur kerana bumi Malaysia ini tidak berada dalam lingkaran gempa bumi dan gunung berapi yang aktif.  Tetapi ujian-ujian kecil ini jika kita tidak bersatu, nescaya Allah cabut kembali nikmatNya kepada kita.

Bersatulah kita dalam menjalani kehidupan yang penuh bermanfaat dan bertaqwa kepada Allah sebelum Allah cabut dan kembalikan kita seperti bangsa yang merempat ditangan bangsa-bangsa pagan (sebagaimana orang Yahudi dipaksakan menyembah berhala di zaman Maharaja Rom) kerana kesombongan dan keangkuhan dan akhirnya kehilangan kuasa ditanah air kita sendiri.

Ustaz-ustaz, alim ulama’ dan fuqaha’ dari mana-mana parti, cerdik pandai dan cendekiawan Islam dalam negara ini janganlah banyak tingkah (komplen) melainkan kita sama-sama bangunkan negara Islam yang menepati kehendak Allah dan syariatNya.  Kita tahu juga nanti bahawa Malaysia ini akan hancur ditangan Dajjal (anti-Islam) sebelum kita sempat lari ke Kota Yang Suci (Mekah dan Madinah) dan menjadi hamba dan rakyat Al-Mahdi dan Nabi Isa a.s.  Maka, sebelum Dajjal datang memusnahkan Malaysia, cepat atau lambat, kita harus sama-sama membangunkan negara ini mengikut syiarNya.  Janganlah jadi seperti Yahudi yang kehilangan tanah dan kuasa serta agama disebabkan kesombongan dan keangkuhan kepada manusia, Allah dan RasulNya. 


Allahu ‘Alam.  

Sabtu, 1 Mac 2014

Lee: Melayu Bukan Pemilik Malaysia dan Tanah Melayu

Siri II, Singapura merumuskan Melayu bukan Islam, Malaysia bukan Tanah Orang Melayu. 

Keputusan mengeluarkan Singapura dari Persekutuan Malaysia dibuat secara perseorangan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Persekutuan Malaysia  ketika beliau di London pada tahun 1965. Ketika itu, Tunku Abdul Rahman dikatakan sedang bercuti sakit dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital di London selama 53 hari. 


Lee Kuan Yew yang merupakan Ketua Menteri Singapura dan ketua parti PAP pimpinannya enggan bertolak ansur dengan Perdana Menteri Malaysia tentang kedudukan istimewa orang Melayu sebagai “Subjek Raja” merujuk kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Lee Kuan Yew mendakwa orang Melayu ketika itu hanya berjumlah 39 % sementara bukan Melayu 51 % (data 1963) dan dengan itu ia melayakkan Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri Malaysia. Tindakan Lee Kuan Yew yang memberi ‘kewarganegaraan segera’ kepada sejumlah pendatang China ketika itu, telah menyebabkan populasi penduduk Persekutuan Malaysia menjadi tidak seimbang apabila penduduk asal Melayu/Islam disusutkan dengan warganegara baharu ini. 


Lee Kuan Yew juga mempersoalkan orang Melayu yang beragama Islam sebagai penduduk jati asal Malaysia.  Sedangkan pada pendapatnya yang “gila kuasa” ketika itu merumuskan bahawa orang Melayu (termasuk Sultannya) sebenarnya adalah juga pendatang dari Indonesia (yang telah merdeka dari Belanda pada 1945) sebagaimana orang Cina dan India.

Beliau turut memberikan contoh bahawa Syed Jaafar Albar, ahli politik UMNO Johor ketika itu mempunyai darah campuran keturunan Arab sebagai bukti bahawa Melayu itu pendatang dan bercampur gaul dengan bangsa lain.  Lee Kuan Yew turut menyalahkan Tunku dalam kegagalan konsep "Malaysian Malay". Tunku dikatakan telah terpengaruh dengan semangat ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh beberapa kumpulan pelampau Melayu yang terdiri daripada 'ultra Malay' yang berfahaman sama seperti 'Young Turk' iaitu Persatuan Sekular yang mempertahankan Negara Bangsa Sekular Turki Baru Yang Merdeka dan Nasionalist.

Sebaliknya, Lee Kuan Yew sendiri mewujudkan Gagasan Baharu yang lebih kurang radikalnya dengann nasionalis Turki iaitu konsep "Malaysian Malaysia" dan mendapat sambutan banyak parti di Semenanjung Malaysia, Sabah danSarawak, kecuali Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang sedar akan ‘keistimewaan’ dan anugerah pemberian taraf kewarganegaraan oleh Raja Melayu kepada orang Cina. Gagasan Lee Kuan Yew meliputi Singapura, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak di mana di negeri-negeri ini tiada Raja Melayu dan Agama Islam tidak dimasukkan secara khusus dalam pentadbiran Undang-Undang Tubuh Negeri.

Sebelum Tahun 1963, Parti Tindakan Rakyat (PETIR/PAP) hanya bertanding di Singapura sahaja dan Perikatan (UMNO-MCA-MIC) bertanding di Semenanjung Malaysia sahaja. Tapi pada 1963, Tan Siew Sin mendesak Perikatan bertanding di Singapura, namun UMNO kalah teruk di sana. Tan Siew Sin merupakan Presiden MCA ketika itu merangkap sebagai Menteri Kewangan Malaysia ketika itu terkesima dengan kekalahan UMNO di sana. Dan pada 1964, Lee Kuan Yew mengarahkan PAP turut bertanding dalam pilihan raya kebangsaan (PRU) di Semenanjung Malaysia bagi menentang MCA dek kerana MCA pernah mendesak UMNO agar bertanding di Singapura.

Selain itu, UMNO turut mahu Perlembagaan Singapura digubal bagi menjamin masa depan orang Melayu di negeri itu, tetapi Lee Kuan Yew sebagai Ketua Menteri Singapura yang ada autoriti dalam pentadbiran enggan berbuat demikian. Sebaliknya Lee Kuan Yew hanya berjanji secara lisan untuk memperbaiki kehidupan orang Melayu melalui peluang pekerjaan, pendidikan dan skim perumahan rakyat ketika itu. 

Dalam projek perumahan rakyat, perkampungan orang Melayu di Singapura telah dihapuskan secara bertahap. Akibatnya, beberapa pergaduhan telah berlaku di lokasi yang terlibat. Pada Julai 1964, kira-kira 114 persatuan orang Melayu bertemu dengan Othman Wok iaitu Menteri Hal Ehwal Sosial Singapura bagi membincangkan kepincangan orang Melayu Singapura ketika itu yang kelihatan semakin memburuk di bawah kekuasaan Lee Kuan Yew. (Othman Wok adalah bekas Wartawan Utusan Melayu yang menyertai politik mewakili parti PAP bukannya UMNO ketika itu). 
Rusuhan Kaum di Singapura pada 1964 sebelum merebak ke Kuala Lumpur pada 1969.  

Tatkala itu, seramai 12,000 orang Melayu telah mengadakan perarakan di jalan raya-jalan raya Singapura membantah penghapusan perkampungan dan pengambilalihan tanah mereka. Akhirnya tercetuslah rusuhan kaum antara Melayu dengan Cina di Singapura. Dalam peristiwa itu, dilaporkan lebih 22 orang terbunuh, 200 cedera dan 1130 ditangkap. Pada bulan Ogos 1964 pula, sekali lagi pergaduhan telah berlaku antara orang Melayu dan Cina dengan 8 orang telah terbunuh dan 60 orang yang lain cedera.

Kejadian ini meyakinkan Tunku bahawa dengan mengekalkan Singapura dalam Malaysia bakal mengundang rusuhan kaum yang lebih dashyat lagi kerana Lee Kuan Yew amat menentang orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi dan keistimewaan Orang Melayu dan Raja-rajanya.  Tidakan segera harus diambil bagi memulihkan kuasa Persekutuan dan mengekalkan Perkara 153 – Hak Istimewa Orang Melayu Islam termasuk agama dan bahasa rasminya.  Lee juga semakin kemaruk kuasa apabila membandingkan populasi Cina dan Melayu Islam di Tanah Melayu semakin menjurang di mana Melayu Islam bukan lagi majoriti di negara yang baru Merdeka itu.  Akhirnya, Singapura disingkirkan dengan warganegara segera dan baharu itu dalam memastikan bahawa Islam terus bertahan di bumi Orang Melayu ini dan Rajanya terus bertakhta dengan sentosa.


Walaupun ramai juga Melayu terkilan dengan tindakan unilateral Tunku ketika itu kerana menyerahkan sebuah wilayah Orang Melayu kepada pendatang Cina, tetapi Tunku mengambil jalan “membuang mudarat sedikit dari pada mengorbankan dan melibatkan mudarat yang lebih besar”.  Itulah harga sebuah Persetukuan Malaysia di mana orang Melayu telah membuang sebuah wilayahnya kerana ingin mengekalkan Orang Melayu dan Islam serta Rajanya di puncak tertinggi kuasa di Asia Tenggara ini.  Harga yang mahal ini tetap tidak memuaskan hati Lee Kuan Yew yang semakin kemaruk kuasa menjadi Perdana Menteri terhebat di Asia.  Dia tidak berhenti di situ, bahkan meninggalkan legasi partinya – Parti Tindakan Demokrasi (DAP) dalam Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Malaysia. 


Malaysia Tanpa Islam

Siri I:  Malaysia Tanpa Islam....

Malaysia ditubuhkan dengan dua perjanjian Persekutuan iaitu, Persekutuan Tanah Melayu yang menggabungkan negeri-negeri Melayu bersekutu, negeri Melayu tidak bersekutu dan negeri Selat; di satu perjanjian lainnya, Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura yang akhirnya Singapura dikeluarkan pada 1965.  Atas dua perjanjian bersekutu ini, maka lengkaplah negeri-negeri di Malaysia menjadi 13 termasuk Negeri Baharu di mana akhirnya pada 1974, Wilayah Persekutuan diwujudkan di Kuala Lumpur diikuti oleh Labuan dan Putrajaya menjadikannya 14 buah negeri yang bersekutu. 

Antara asas perjanjian-perjanjian Persekutuan ini khususnya di Tanah Melayu, ialah Raja-Raja atau Sultan-Sultan Melayu ini hendaklah dikekalkan bertakhta dan menaungi negeri serta rakyat baginda sendiri mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri kecuali Negeri Selat yang tidak diwakili oleh Raja melainkan hanya Gabenor Inggeris.  Selain itu, agama Islam adalah dimasukkan sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kedudukan dan keistimewaan Melayu sebagai rakyat Raja dikekalkan. 

Manakala sebagai satu timbal balas kepada kehendak Raja-Raja Melayu ini, baginda hendaklah membenarkan kaum-kaum bukan Melayu yang dibawa masuk oleh Inggeris sebelum ini diterima sebagai ‘rakyat’ dengan menganugerahkan mereka ini dari kaum Cina dan India ‘suatu hak kerakyataan’ yang setara sebagai ‘rakyat Raja’ dan mereka bebas mengekalkan identiti bahasa, budaya dan agama mereka di bawah Persekutuan Tanah Melayu ini. 

Keistimewaan ‘Rakyat Raja’ yang beragama Islam termaktub dan ditukilkan dengan jelas di dalam Perlembagaan Malaysia yang menjadi dokumen asas sebuah negara baru Tanah Melayu sebelum menjadi negara Malaysia di dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Bagi Persekutuan (di kalangan Raja-Raja Melayu) dalam suatu tempoh tertentu, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu (mulai merdeka 1957) dan bumiputera Malaysia (mulai 1963). Artikel ini secara terperinci memberitahu bagaimana Kerajaan Persekutuan mempertahankan kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia biasa dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial. Suka atau tidak, semua warganegara haruslah mematuhinya walaupun dengan ‘hati yang pedih’. 
 
Penentangan Orang Melayu ke atas Gagasan Malayan Union oleh British
Inilah harga menjadi ‘warganegara kelas kedua’ di Malaysia ini kerana kaum Cina dan India di bawa oleh British ke Tanah Melayu bukanlah atas restu Baginda Raja-Raja Melayu tetapi mengikut desakan British yang menagut hasil mahsyul negeri-negeri Baginda ini.  Tambahan pula, selepas Jepun mengangkat ‘Bendera Putih’ dek kekalahan dalam Perang Dunia Kedua, British telah bercadang menubuhkan “Malayan Union” sebagai satu Persekutuan Sekular dengan mencontohi India sebagai modelnya, tetapi ia ditentang oleh Orang Melayu/Islam ketika itu termasuk salah satu syaratnya ialah membuka kewarganegaraan kepada semua orang tanpa mengira bangsa, agama dan asal keturunan.  Akhirnya, Malayan Union terkubur dek penentangan maha hebat orang Melayu ketika itu dalam mempertahankan Tanah Melayu ini yang sebelumnya telah dijajah ratusan tahun oleh pelbagai kuasa asing. 

Bak kata orang, orang Melayu baru tersedar bangsa mereka ‘dijajah’ oleh orang lain bila Jepun betul-betul memijak kepala mereka dan sedar bahawa British hanya mengambil kekayaan negara ini sahaja tanpa niat memajukan mereka.  Dek ekonomi yang buruk, Melayu ‘yang baru sedar diri’ ini akhirnya bangkit menentang rancangan British itu.  Tunku Abdul Rahman yang menjadi perunding kepada kemerdekaan ketika itu, mewakili Persatuan-persatuan orang Melayu dalam mendapatkan persetujuan dari orang Melayu itu sendiri serta Raja-raja Melayu yang bertakhta ketika itu.  Walaupun di pihak Raja, ada di kalangan mereka yang menentang rancangan memberikan kewarganegaraan terbuka kepada kaum Cina dan India, rakyat juga dipujuk agar menerima syarat British itu jika ingin merdeka.  Tak tahan dengan pujuk rayu Inggeris, Tunku akhirnya bermatian-matian cuba memujuk dan meyakinkan Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu ketika itu.  Pujukannya termasuklah mengaitkan ancaman komunis yang semakin membimbangkan Raja-Raja dan Orang Melayu. 

Akhirnya, “kontrak sosial” ini berjaya diputuskan sebagai timbal balas antara kededuanya – kewarganegaraan segera dengan agama Islam, Bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu dimasukkan dalam Perlembagaan Negara.  Jika syarat itu tidak diterima, maka akan hanya ada Melayu dan Islam sahaja di bumi pertiwi ini.  Maka, di dalam kad pengenalan rakyat Malaysia kini dimasukkan “Agama Islam” sebagai pembuktian bahawa warganegara itu adalah “Subjek Raja” atau “Rakyat Raja”.   Bagi tiada agama atau kosong di ruangan agama di dalam kad pengenalannya, ia adalah kerakyatan segera yang boleh dibezakan kelak jika Persekutuan atas Persekutuan ini “dibatalkan”. 

Hal ini pernah dicabar oleh Ketua Menteri Singapura (Lee Kuan Yew) ketika masih di dalam Malaysia, beliau bahkan sanggup mengambil dan memberikan kewarganegaraan segera kepada pendatang dari China sebagai warga Persekutuan sehingga mengundang kecaman Menteri-Menteri Tanah Melayu ketika itu dan menyebabkan jumlah penduduk Melayu Islam berkurangan secara drastik.  Tindakan pantas Tunku membuang Singapura bersama warganegara baharu itu akhirnya menyelamatkan penduduk Islam di sini apabila hanya kekal sebagai 50% daripada keseluruhan jumlah penduduk Persekutuan Malaysia.  Sabah dan Sarawak telah membantu mengurangkan penduduk bukan Melayu Islam dengan kemasukannya ke dalam Persekutuan Malaysia, dan seluruh penduduk etnik dari Pulau Borneo itu dipanjangkan untuk dijadikan “Bumiputera” dan menikmati kemakmuran Perkara 153. 

Namun, Lee Kuan Yew tidak berhenti di situ, beliau terkesima dan kecewa dengan tindakan Tunku ketika itu, menyerang Kuala Lumpur dengan penuh muslihat dalam memastikan Islam dan Melayu bukanlah “Rakyat Raja Melayu” di Tanah Orang Melayu.

Sambungan Siri II, Singapura merumuskan Melayu bukan Islam, Malaysia bukan Tanah Orang Melayu. 

Siri III, Dari Komunis Bintang Tiga, DAP Memasuki Sistem Politik Malaysia.


Siri IV, Melayu Sendiri Mencabut Islam dari Tanah Orang Melayu.   

Ahad, 16 Februari 2014

Bebaskah Akhbar Malaysia?



Bebaskan Akhbar Malaysia?



Dalam Mingguan Malaysia bertarikh 16 Februari 2014, saya suka menukilkan tulisan “Awang Selamat” selaku penulis pojok di akhbar mingguan tersebut yang bertajuk “Kaji Hakim”.  Tulisan pojok dalam akhbar mingguan ini merupakan editorial utama mingguan yang akan saya rujuk bagi mengetahui duduk letak sesuatu perkara yang akan dirumuskan oleh editor mingguan tersebut dalam semua aspek yang pada pandangannya penting untuk diketengahkan. 



Antara tukikannya “…. Di negara serantau seperti Indonesia, Thailand dan Filipina, pihak perundangan dan orang politik meletakkan tanda aras yang tinggi dalam mengamalkan keterbukaan….”



Walaupun penulis tersebut mencatatkan beberapa nama besar dalam amalan kebebasan media yang saya kira berpatutan, tetapi dalam menakat negara ketiga khususnya jiran tetangga kita seperti Indonesia, Filipina dan Thailand sudah di kira sesuatu suntingan yang dibuat secara khusus. 



Umum mengetahui kononnya Indonesia mengamalkan kebebasan media yang pada pandangan mata kasar bersifat neutral, adil dan berkecuali (tidak memihak).  Tetapi jika diteliti secara mendalam dan berhati-hati, media di Indonesia misalnya amatlah berpihak serta memilih ikon-ikon tertentu untuk dijadikan mangsa kempen dan mangsa kutukannya di dada-dada akhbar mahupun mengheret televisyen untuk turut serta.  Begitu juga di Thailand dan Filipina, mereka yang mempunyai saham-saham yang banyak di media terbabit akan memberikan ruang dan peluang kepada calon politik tertentu dan menyokongnya bagi mendapatkan habuan kemudiannya. 



Jika di Malaysia, Utusan Malaysia dan Berita Harian khususnya Kumpulan Utusan dan Media Prima secara mutlaknya dimiliki oleh UMNO iaitu parti politik yang mentadbir negara secara terang-terangan.  Manakala RTM pula adalah hak milik Kerajaan secara khusus (Mata dan Telinga Rakyat) – khusus untuk melaporkan ehwal Kerajaan sahaja.  The Star pula dimiliki sekian peratusannya oleh Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan sebagainya.  Hal yang sama juga terjadi di Indonesia, Cuma pemegang saham ini tidak menjabat sebagai pentadbir politik di sana sebagai kuasa hukum tertinggi.  Akhbar Kompas misalnya (dalam talian, televisyen dan surat khabar) di Indonesia misalnya memihak kepada Joko Widodo seorang calon Presiden yang masih tidak dinyatakan dengan jelas oleh Parti Demokratik Indonesia (Perjuangan) - (PDIP).  Oleh itu, akhbar ini akan senantiasa menghentam kepimpinan Presiden sedia ada iaitu Susilo Yudhoyono sedangkan tuannya tidak diapa-apakan bahkan akhbarnya melorot lensa kamera ke lokasi walkabout Gabenor Ibu Kota Jakarta (DKI) tersebut saban waktu tanpa segan silu dan membiarkan Presidennya membuat liputan sendirian. 




Manakala televisyen TVOne pula, ia senantiasa menampilkan tokoh-tokoh pemegang sahamnya sendiri dari pelbagai parti yang menaungi milikan sahamnya seperti Hati Nurani Rakyat (Hanura) dan Golongan Karya (Golkar).  RCTI dan MNC pula adalah media yang mempromosikan parti politik khusus untuk masyarakat Tionghua di sana yang berkolaborasi dalam beberapa parti kecil di sana dan dimiliki oleh jutawan pro-politik.  Televisyen ini juga senantiasa memastikan tokoh-tokoh mereka mendapat liputan yang seimbang bagi menyaingi media-media lain yang mempromosikan tokoh masing-masing. 



Sedangkan dalam masa yang sama mereka menghentam sesama sendiri dalam kes-kes rasuah yang terpencar dari pemerintahan.  Terbaharu, Televisyen Indonesia (TVRI) yang dimilik negarakan seperti RTM di Malaysia sangat memandang serius perkara-perkara melibatkan pemilihan umum (pilihanraya Presiden dan Dewan Perwakilan Rakyat) Indonesia tetapi kes rasuah yang melibatkan parti pemerintah semasa (Demokrat) disensasikan sehingga menjadikan Presiden dikambing-hitamkan oleh stesen televisyen masing-masing sehingga menggugat citra warga kepada pemerintah/Kerajaan semasa. 



Apakah ini dikatakan neutral? Ya, benar ia mencerminkan aspirasi pembangkang dan bebas berkomentar.  Apakah melaporkan sesuatu yang benar dan hak itu neutral? Tidak.  Di Indonesia, mereka akan melaporkan dari “sudut pandang” mereka ke atas isu tersebut serta memberikan kredit kepada pihaknya sendiri.  Jika rasuah memang wajar diserang, mereka juga menyerang tokoh-tokoh kerajaan sehingga rakyat hilang keyakinan kepada kepimpinan tersebut dan menaikkan tokoh mereka sendiri secara terang-terangan dan menolak aspirasi bangsa.  Berlainan citra pula di Malaysia, walaupun UMNO memiliki sebahagian saham dalam media di sini tetapi pelaporannya masih bersifat rasional, nasional dan mementingkan hala tuju negara bangsa.  Bagi hal terkait politik, memang tiada akhbar yang menyokong selain dari Kerajaan, tetapi dewasa kini, kita dapat melihat dengan jelas akhbar The Star yang dimiliki oleh MCA tetap mengkritik MCA sendiri serta mengangkat calon-calon pembangkang dalam pelaporan mereka.  Begitu juga Berita Harian dan Utusan Malaysia yang melaporkan dengan jelas kelemahan pentadbiran Tuan Abdullah Ahmad Badawi lewat Pilihanraya umum ke 12 tempoh hari.  Sehinggakan Tun Dr. Mahathir juga dilarang mengakses media pada tahun 2004- 2006 atas alasan yang sama, sedangkan beliau adalah mantan Perdana Menteri. 



Walaupun kelibat media di Malaysia kelihatan amat mesra dengan tokoh Kerajaan dan kepimpinan, terdapat juga satu dua berita yang mengkritik pentadbiran secara berhemah dan beradap, manakala bagi ehwal pembangkang jika berkaitan negara bangsa ia tetap akan dimasukkan dalam laporan mereka walaupun tidak seindah keinginan pembangkang.  Utusan Malaysia tanpa segan silu tetap melaporkan Muktamar Pas khususnya berkaitan perpaduan orang Islam walaupun ia ditentang sendiri oleh orang PAS yang tidak sehaluan dengan gaya penulisan Utusan Malaysia itu sendiri.  Utusan Malaysia juga tetap menukilkan tokoh-tokoh pembangkang yang berkata sesuatu dengan jelas dan pada haknya selain disorot oleh lensa media lainnya.  Walau ia dikatakan dimanipulasi, tetapi ia tetap berita yang segenap negara ingin tahu khususnya pembentukan citra negara bangsa.  Berbeza pula di Indonesia, mereka melaporkan tetapi akhirnya tetap menyalahkan pihak yang lain sehingga negara menjadi keliru dan kelihatan media mereka itu bebas dan adil. 



Padahal di Malaysia, pembangkang juga boleh menulis dan mencerminkan aspirasi politik mereka di dalam akhbar parti masing-masing dan dibenarkan diterbitkan seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket.  Di media-media elektronik khususnya di lelaman sesawang, media pembangkang tetap menguasai carta walaupun dikatakan ia disekat bagi memburukkan imej negara.  Pernahkah Harakah atau Suara Keadilan memberikan satu ruangan yang memuji hasil pencapaian negara? Pernahkah akhbar partisan milik pembangkang membuat satu kolum khusus untuk parti kerajaan tanpa menghentamnya? Begitu juga di akhbar perdana cuma bezanya citra, akhbar perdana lebih melaporkan hak suara terbanyak (majoriti) walaupun majoriti semakin kecil dan tidak memihak kepada parti pemerintah.  Ada juga penulis yang membodek majikannya siang malam, tetapi ehwal negara bangsa mereka tidak pernah gagal melaporkannya. 



Di Thailand dan Filipina, taikun-taikun media juga meletakkan tokoh-tokoh mereka sendiri dari pelbagai parti politik untuk mereka ketengahkan.  Akhbar ini sama seperti di Indonesia, kelihatan neutral tetapi tetap dipengaruhi oleh pemegang saham serta kecenderungan mereka memihak.  Membaca di antara garisan dapat membezakan mereka.  Dan sudah tentu ia amat berbeza dengan Malaysia dan Singapura kerana akhbar di negara ini adalah mengikut kehendak majority suara rakyat di Dewan Rakyat. 



Mungkinkah jika UMNO tumbang dan menjualkan sahamnya, media ini akan mengikut tuannya yang baharu? Atau ia akan menjadi media yang sama seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand?