Memaparkan catatan dengan label film. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label film. Papar semua catatan

Rabu, 6 Ogos 2014

Kebebasan Bersuara Mutlak Tidak Wujud

Dewasa kini, beberapa perkara mengenai komunikasi telah menyelongkar segenap kamar jiwa masyarakat di Malaysia sama ada orang awam, pemimpin politik dan pemimpin masyarakat termasuk ahli pembuat dasar, pentadbir dasar sehingga penjual sayur di pasar turut membincangkan hal ini. 

Kempen ini bermula apabila Tun Dr. Mahathir mendapati laman web dan blog beliau yang mengandungi kalimat-kalimat menentang penjarahan Yahudi ke atas Tebing Gaza (pada Julai 2014) sehingga kepada tindak tanduk memboikot barangan dan produk Yahudi merejalela di lelaman sosial termasuk di Facebook, Twitter dan blog-blog percuma lainnya.  Anehnya, beberapa pengendali blog turut tidak terlepas dalam usaha menyuluh minda masyarakat agar menentang penjarahan Israel ini yang turut diberikan amaran oleh pengendali lelaman sosial berkaitan.

Umum mengetahui, Malaysia adalah negara pengguna dalam aspek teknologi termasuk kandungan.  Maka mereka menggunakan platform yang dibangunkan oleh barat ini untuk meluahkan kekecewaan mereka.  Oleh itu, tidak mustahil ramai yang berjuang menentang kekejaman zionis ini menzahirkan amarah mereka yang paling ketat kepada rejim kejam ini termasuk kepada sekutu kuatnya merangkap Polis Dunia – Amerika Syarikat.  Walaupun membangunkan kandungan seperti Facebook. Platform ini pula digunakan warga Malaysia dan dunia untuk menentang mereka.  Berang dengan tohmahan dan kata-kata nista yang menyakitkan telinga serta duduk tingkah penduduk Malaysia yang memainkan sentimen anti-Zionis ini, maka amaran serta tindakan menutup leleman web penyuluh ini telah diambil. 

Bagaikan tersentak dari mimpi yang panjang – Tun Dr. Mahathir yang juga arkitek pembangunan Koridor raya Multimedia (MSC) pada 1998 yang menerima tanpa bahas “kebebasan dan keabsahan bersuara” khususnya di Media Internet atau dikenali media sosial kini terkelu pucat.  Bukankah beliau telah diyakinkan bahawa dunia tidak akan mengawal walau seincipun kandungan di dalam laman web, maka beliau tanpa ragu-ragu melunakkan cengkaman undang-undang dalam Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu semasa memperkenalkan internet tanpa tapisan di Malaysia. 

Siapa yang tidak kenal negarawan ulung Mahathir yang memerintah Malaysia dengan keluhuran undang-undang dan pencegahan sehingga dia sering dianggap pelampau oleh Barat?  Undang-undang Anti Pemberontakan Mahasiswa, undang-undang media cetak, undang-undang hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri turut digunakan bahkan dibangunkan dalam usaha memastikan keluhuran dan perpaduan umum terjamin tanpa hasutan dan kebebasan mutlak.  Tetapi dalam hal internet, Mahathir mengambil sikap yang amat berbeza sekali.

Rasional Mahathir dalam hal ini rupanya telah ditunjukkan Barat bahawa “kata-kata” mereka hanyalah sekadar angina sepoi-sepoi yang bertiup.  Mana mungkin kebebasan mutlak itu diperolehi walaupun negara itu sendiri yang meminda “First Amemandment” iaitu suatu undang-undang kebebasan bersuara yang mutlak tanpa apa-apa kepentingan dan sekatan.  Kini, Mahathir telah sedar bahawa Barat tidak pernah jujur kepada sesiapa walaupun cuma sekali.  Beberapa artikel saya sebelum ini sering menilaikan bahawa “tiada kebebasan mutlak di dunia fana ini”  bahkan sehingga turunnya Nabi dan Rasul, ia masih di kawal selia oleh Malaikat dan Tuhan sendiri.  Bahawa manusia itu suka menipu, mengada-adakan cerita, membuat dan mereka cerita selain memutar belitkan kenyataan melainkan Al-Quran yang telah dijamin oleh Allah SWT. 

Kebebasan bersuara ini memang tidak mutlak, Amerika Syarikat terasa terpukul dengan infografik serta gambar-gambar yang berkapsyen yang mengutuk keterlibatan mereka dalam “perang penghapusan etnik di Gaza” itu.  Seolah-oleh juara umat Yahudi di alaf moden, Barack Obama yang ditunjukkan pro-Islam dan adil bersetentang 360 darjah berbeza daripada sepatutnya.  Dek penyuluh-penyuluh minda umat Islam di Malaysia dan dunia yang bersatu mengenai kekejaman zionis ini semakin memarak dek kezaliman tanpa henti, mereka menyekat blog dan memberi amaran kepada manusiawi-manuasiwi ini yang cuba mencerahkan minda umat manusia agar prihatin tentang nasib Gaza ini. 

Begitulah hebatnya Amerika Syarikat yang ingin menjadi polis dunia walaupun keadilan hanya diletakkan dalam poket baju atasnya.  Kezaliman Yahudi Kejam ini disimpan dengan cermat dan terus menerus menyalahkan Arab Palestin yang kononnya memulakan serangan.  Sehingga artikel ini ditulis (Ogos 6, 2014) seramai lebih kurang 1,800 orang warga awam dan kanak-kanak Palestin terbunuh serta memusnahkan struktur bangunan masjid dan sekolah di Palestin senilai RM16billion.  Manakala di pihak yang kononnya diserang hanya melihatkan 70 orang mati serta kos kerosakan yang minimum bagi infrastruktur.  Apakah ini satu nilai keadilan?  Penceroboh disusukan, yang diserang dimaki hamun? 

Polemik Yahudi pro-Zionis ini membukakan mata Tun Dr. Mahathir mengenai internet dan tahap kebebasan bersuara khususnya oleh Amerika.  Dalam hal ini, Tun telah tersalah tindak dan bercadang dan menggesa agar tapisan ini dikenakan kepada talian kita supaya anasir dan gejala kerosakan minda warga Malaysia dan Islam khususnya tidak diheret ke dunia kuning (hedonism) sana.  Apakan daya, Mahathir telah tersilap langkah dan warganya telah makan “bangkai-bangkai” Barat ini sejak internet di perkenalkan pada 1998.  Kerajaan Tun Abdullah dan Najib menjadi mangsa kebebasan internet dan tidak-dapat-tidak, rakyat dalam negeri saling bertingkah sama sendiri sehingga kini.  Paling menyakitkan hati ialah apabila ada dakwaan kononnya kaum Cina bebas memperkotak katikkan agama Islam, umat Islam pula yang akan didakwa atas tuduhan hasutan atau penindasan agama atau sensitiviti.  Akhirnya, rakyat dalam negeri akan berparang sesama sendiri kerana “kebebasan buatan” ini.

Saya tidak bercadang mengulas kelakonan masyarakat yang semakin menggila khususnya dalam soal keadilan berpilih, tetapi menjurus kepada tapisan kandungan yang sering memperlihatkan ‘kelembapan” Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang kelihatan gagal menjadi pemantau dan pengawal selia kepada pengguna internet ini.  Dikatakan jika bukan Islam, tindakan amat lambat tetapi jika Islam pula sebaliknya.  Walaupun hipotesis itu satu anggapan/pendapat umum yang cuba dimarakkan, tetapi kelihatan bahawa kawalan akan gagal jika tanpa pencegahan yang bermanfaat/berhemah daripada awal.  Mencegah lebih baik daripada mengubati. 

SKMM harus memainkan peranannya dengan lebih signifikan lagi dalam menyusun kandungan yang baik serta menyekat (jika perlu) kandungan-kandungan yang ‘bermasalah’.  Kadang kala ia cuba dibuatkan/dicetuskan oleh pihak luar untuk memusnahkan keamanan kita.  Jika Tun Dr. Mahathir telah tersilap langkah dan cegat menyedarinya, mengapa kita harus berlengah memperbaiki niat dan maksud beliau?  Jawapan Datuk Shahril Tarmizi (SKMM) kononnya sehingga menyekat Facebook atau Twitter seperti di China adalah maklum balas yang amat ketat dan terlalu ekstrem komentarnya.  Memadailah dengan mengawal selia talian dan kandungan dengan cerdik pandai Information Technologies Operator (IT) agar keadaan dalam negara kita kembali sentosa. 

Percayakah kalian bahawa sebebas-bebasnya negara Singapura itu, mereka mengawal selia setiap inci kata-kata rakyatnya walau apa jua keadaannya tanpa mereka sedar.  Inikan pula kita yang kelihatan jauh dari “kemajuan negara Singa” itu?


Apakah yang kalian dapat dengan kebebasan Mutlak?  Barat hanya bercakap, tetapi tidak pernah bercadang melaksanakannya melainkan memaksa orang mengikuti kehendak mereka sendiri.  Dari dahulu hingga kini…… Barat tidak pernah cuba belajar.  Tunggulah bila sistem itu sendiri gagal di sana! Mereka pasti mengubahnya 360 darjah tanpa modal.  Sedang kalian telah berbunuhan sesama sendiri.  

Rabu, 19 Februari 2014

Dunia Hiburan Tanah Air



Dunia Hiburan Tanah Air.

Malaysia telah memajukan prasarana pembangunan industri hiburan di negara ini namun sehingga kini impaknya masih kurang memberi kesan.  Pelaburan berjuta-juta ringgit telah disediakan oleh Kerajaan dalam memastikan sektor ini menjana pendapatan negara khususnya industri kandungan dan perfileman. 

Tidak dinafikan kejayaan beberapa filem genre seram telah menguasai citra dan memberikan keuntungan berganda pada penerbit, tetapi kualitinya masih boleh dipertikaikan terutama pembangunan idea, teknologi rakaman serta minda warga penonton dan peminat industri filem tanah air.  Kejayaan filem Sembilu II misalnya telah menyumbangkan RM6juta kepada penerbitnya selain kejayaan terbaharu filem Ngangkung dengan kutipan sebanyak RM6.12juta. 

Bagaimanapun, filem-filem lain misalnya Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Adnan Sempit turut mencatatkan jumlah terbaik dalam industri senematografi di Malaysia.  Tetapi kandungan filem-filem tersebut masih berkisar tentang gejala atau masalah sosial masyarakat, kepercayaan tahyul, hiburan ringan dan menggunakan teknik sinematografi yang sederhana dan adunan audio-visual tradisional yang belum diperbaharui dengan sebaik dan secanggih indutri perfileman moden di dunia. 

Filem Sembilu II misalnya mengetengahkan isu percintaan tiga segi manakala filem Ngangkung memaparkan kisah komedi seram bagi kaki judi.  Kedua-dua filem ini walaupun mempunyai kutipan yang agak bagus, tetapi ia masih belum mencapai tahap pemikiran pembangunan kandungan yang berkreativiti tinggi serta pemikiran penonton yang matang.  Selain itu, teknologi dalam pembikinan juga masih berada di paras minimum.  Jika KRU Production pernah membangunkan projek Merong Mahawangsa dengan teknologi CGI (Imej Janaan Komputer) yang dianggap canggih, filem tersebut juga gagal mengaut keuntungan tinggi selain jalan cerita yang tidak sesuai dengan tema dan jumlah kos yang dibelanjakannya.  Filem Merong Mahawangsa yang menelan belanja sekitar RM6 juta hanya mampu mencatat kutipan RM3.3 juta sahaja selepas dua minggu ditayangkan.  (Malaysia juga telah bersetuju untuk membangunkan Film Village tetapi dibatalkan atas sebab kelakonan ekonomi sekitar 1998)

Dari sisi lain dunia hiburan tanah air, Istana Budaya telah dibangunkan dengan kos sebanyak RM210 juta pada tahun 1995 dan siap tiga tahun selepas itu bagi menyediakan prasarana pementasan ala Broadway yang terkenal di Manhattan, New York. 
Bagaimanapun, pementasan ala Broadway ini tidak menjadi kenyataan apabila hanya beberapa pementasan bangsawan sahaja yang berjaya dipentaskan yang membuat keuntungan yang membanggakan.  Antara yang berjaya adalah Bangsawan Puteri Gunung Ledang dan Konsert Solo Siti Nurhaliza dicatatkan di sini.  Bagi teater dan konsert lain misalnya, masih banyak ruang dan peluang perlu diberikan selain menampilkan bakat-bakat dan penonton teater bangsawan yang mendalami jiwa dunia hiburan bertaraf borjois atau aristokrat moden di Malaysia.

Malaysia juga mempunyai Dewan Philharmonic Orchestra (MPO) yang terkenal terletak di dalam bangunan berkembar tertinggi di dunia (KLCC).  Pelbagai konsert hiburan dan orkestra telah diadakan di sini termasuk Konsert Tan Sri SM Salim yang menjadi satu “benchmark” yang membanggakan industri muzik tanah air khususnya irama Melayu Asli.  Walau bagaimapun, konsert-konsert tempatan jarang dapat diadakan di sini kerana taraf orkes yang disediakan dalam persembahkan amat tinggi berbanding kebolehan bakat tempatan dan jumlah penonton berkualiti yang masih rendah. 

Keluh kesah industri hiburan di Malaysia tidak berkisar kepada pembangun kandungan, lontaran idea dan kreativiti semata-mata.  Ia turut memanggil penggiat seni lakonan, nyanyian, persembahan pentas dan petugas-petugas teknikal termasuk komposer, pengarah dan sutradara yang berbakat selain khalayak penonton yang mempunyai jati diri serta mempunyai jiwa besar dalam memartabatkan industri hiburan negara. 

Berbanding dengan negara jiran seperti Indonesia, mereka dapat membangunkan bakat dan potensi dalam hiburan mereka disebabkan tingkah laku masyarakat yang melarikan diri (escapism) dari dunia nyata mereka dari segi ekonomi.  Oleh itu, pembangun-pembangun karya mereka dilihat maju setapak kehadapan kerana masyarakatnya yang memerlukan hiburan bagi tujuan escapism tersebut tetapi mereka tidak disogokkan dengan hiburan yang membuta tuli.  Filem-filem Indonesia walaupun tidak lebih baik dari Malaysia (termasuk idea dan kutipan) tetapi mempunyai petugas rakaman yang baik serta suntingan sutradara yang mantap.  Di sisi pengolahan dan kreativiti lagu pula, mereka sangat menonjol kehadapan dalam menghasilkan karya yang lebih cakna serta mempunyai nilai komersil yang tinggi.  Tidak hairanlah, selepas berakhirnya zaman rock kapak di Malaysia pada tahun 90-an, Indonesia telah membanjirkan lagu-lagu pop rock dan balada mereka ke sini dan menjadi siulan remaja Malaysia dewasa kini. 

Apalah guna mempunyai prasarana yang baik serta Kerajaan yang telah menyediakan modal yang besar bagi industri ini jika peralatan, idea dan kreativiti penggiat seni kita masih lagi lemah dan tidak mahu berdaya saing serta berparadigma tinggi.  Peminat atau khalayak juga harus memainkan peranannya dengan menanamkan jati diri serta berjiwa besar dalam melihat sesuatu karya yang akhirnya memacu pertumbuhan idea kreatif yang lebih baik.  Janganlah hanya memonton jika filem-filem yang hanya memaparkan masalah sosial masyarakat, filem tahyul dan khurafat serta hiburan hedonism dalam karya barulah mereka akan ke panggung.  Mengubah ke semua sistem ini bukanlah hanya semudah mengubah perabot di rumah, semua pihak harus memainkan peranan masaing-masing dalam membentuk karya yang bertaraf dunia serta mengaplikasikan teknik sinematografi dan kreativiti yang tinggi dalam menjayakan dasar kandungan negara ini. 

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyemai nilai komersil yang tinggi di kalangan masyarakat agar pada akhirnya semua akan memperolhi keuntungan masing-masing.

*Data-data yang dinyatakan adalah dari FINAS (Penguasa Perfilemen Nasional)  

Ahad, 9 Februari 2014

Filem Bermula dengan Iklan Pendek

Filem Bermula dengan Treler Iklan 30 Saat



Ketika saya berkesempatan mendengar amanat dari seorang tokoh serta menonton sebuah filem layar antarabangsa bersama beliau tempoh hari, saya suka mendengarkan bahawa beliau amat berharap agar pada tahun 2018 nanti akan ada anak Malaysia yang akan ke pentas 'Grammy Award' atau pentas-pentas Anugerah Antarabangsa yang berprestij terutama dalam bidang perfileman dan kandungan kreatif. 




Impian itu bukan benda yang mustahil menurut saya.  Ramai anak muda kini terutama Generasi X dan Y amat terjebak dan ketagih dengan media sosial khususnya Youtube dan Facebook.  Apakah ini bakal menakat kelakonan warga kita menjadi penerbit kandungan kreatif yang terbaik di Asia Tenggara?   
Kita mempunyai universiti dan kolej terbaik yang mengajarkan kursus perfileman, videografi, komunikasi dan media massa.  Dari sekecil-kecil Kolej Vokasional sehinggalah UiTM dan yang tersohor Universiti Malaya tidak termasuk Kolej yang berpresteij seperti Lim Kok Wing dan lain-lain lagi turut menawarkan kursus ini.  Dengan kursus ini, kandungan dalam Youtube dan Facebook sudah tentu menjadi banyak jika diasuh dan disemai dengan betul dan baik.



Kebijakan para negawaran kita masih perlu ditautkan kepada harapan nusa.  Apakah dengan bermodal sebuah kamera handphone mereka mampu membentuk pasukan sinematografi dan pasukan videografi yang terbaik?  Mungkin bakat telah ada, idea dan kreativiti telah ada, platform juga masih boleh meminjam platform percuma seperti Youtube tetapi modal?  Benar, Kerajaan menyediakan modal yang besar dalam memajukan industri kreatif ini tetapi ia berbentuk pinjaman yang harus dan perlu dibayar kembali dengan kadar faedah.  Selain itu, peluang tidak diberikan untuk mereka yang berbakat ini diketengah dalam merekayasa idea mereka sehingga ke langit khususnya televisyen di Malaysia sendiri. 



Apalah kiranya jika kita dapat melihat televisyen di Malaysia kini, kebanyakan iklan-iklan komersil yang berdurasi kurang 1 minit atau 30 saat, banyak yang telah dimonopoli oleh penerbit kandungan luar negara khususnya dari Korea Selatan dan Indonesia.  Apakah sudah habis daya kreatif anak muda Malaysia untuk menerbitkan kandungan komersil bagi produk antarabangsa?  Atau kita yang tidak betah melihat anak muda kita sendiri berkarya atas layar putih?  Atau pemimpin kita terlalu leka berpolitik sehingga lupa menguatkuasakan satu dasar yang memastikan setiap produk komersil yang ingin mengiklankan jenama atau barangan mereka di sini hendaklah membangunkan kandungannya di dalam negara ini?



Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.  Bagi saya secara peribadi, jika tidak memberikan modal pun tidak mengapa asalkan platform untuk mereka berkarya dan membuat duit diselaraskan oleh pemerintah kita sendiri yang mendokong dan membantu usahawan tempatan selain memperkayakan ekonomi produk asing di sini.  Gunakanlah sedikit kuasa dan kebijakan politik agar setiap produk yang ingin diiklankan di televisyen Malaysia hendaklah menggunakan kandungan tempatan termasuk produksinya, idea kreatifnya sehinggakan kepada bakat para pelakon utamanya.  Bantulah industri ini dengan wajaran sedikit peraturan khusus agar televisyen Malaysia tidak dipenuhi dengan kandungan asing yang berlambak-lambak. 



Idea sang pemimpin itu tidak salah, bahkan ia satu cita-cita yang mulia untuk melihat keberadaan negara yang dampak membangun dengan baiknya dalam segenap bidang yang ada khususnya komunikasi dan kandungan.  Tetapi jika beberapa lubang yang longgar itu dapat ditampung dengan undang-undang tertentu bukankah lebih cantik dan anak muda kita dapat berkarya sebebasnya dan mengukur kepakaran dan kreativiti masing-masing ke atas sesuatu produk sebelum di terjemahkan ke layar perak.



Allahyarham Yasmin Ahmad  juga bermula dengan menerbitkan iklan-iklan komersil milik Petronas sebelum mencambahkan idea beliau ke layar perak.  Drama atau Filem Cereka pertama beliau yang pertama bertajuk “Rabun” bukanlah apa-apa jika dibandingkan dengan filem-filem lain khususnya penerbitan Melayu, tetapi dengan ruang dan peluang yang beliau perolehi, pelbagai lagi filemnya berjaya dirakam dan diterjemahkan ke layar sehingga mengaut beberapa anugerah antarabangsa.  Antara pesan beliau kepada bekas pelajar yang pernah berjumpa dengan beliau ialah “hargailah setiap detik kehidupan kita, dan jika berpeluang rakamlah ia dan pertontonkan kepada khalayak detik yang kita rakam di memori sebagai satu babak filem atau karya…”