Memaparkan catatan dengan label Twitter. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Twitter. Papar semua catatan

Rabu, 6 Ogos 2014

Kebebasan Bersuara Mutlak Tidak Wujud

Dewasa kini, beberapa perkara mengenai komunikasi telah menyelongkar segenap kamar jiwa masyarakat di Malaysia sama ada orang awam, pemimpin politik dan pemimpin masyarakat termasuk ahli pembuat dasar, pentadbir dasar sehingga penjual sayur di pasar turut membincangkan hal ini. 

Kempen ini bermula apabila Tun Dr. Mahathir mendapati laman web dan blog beliau yang mengandungi kalimat-kalimat menentang penjarahan Yahudi ke atas Tebing Gaza (pada Julai 2014) sehingga kepada tindak tanduk memboikot barangan dan produk Yahudi merejalela di lelaman sosial termasuk di Facebook, Twitter dan blog-blog percuma lainnya.  Anehnya, beberapa pengendali blog turut tidak terlepas dalam usaha menyuluh minda masyarakat agar menentang penjarahan Israel ini yang turut diberikan amaran oleh pengendali lelaman sosial berkaitan.

Umum mengetahui, Malaysia adalah negara pengguna dalam aspek teknologi termasuk kandungan.  Maka mereka menggunakan platform yang dibangunkan oleh barat ini untuk meluahkan kekecewaan mereka.  Oleh itu, tidak mustahil ramai yang berjuang menentang kekejaman zionis ini menzahirkan amarah mereka yang paling ketat kepada rejim kejam ini termasuk kepada sekutu kuatnya merangkap Polis Dunia – Amerika Syarikat.  Walaupun membangunkan kandungan seperti Facebook. Platform ini pula digunakan warga Malaysia dan dunia untuk menentang mereka.  Berang dengan tohmahan dan kata-kata nista yang menyakitkan telinga serta duduk tingkah penduduk Malaysia yang memainkan sentimen anti-Zionis ini, maka amaran serta tindakan menutup leleman web penyuluh ini telah diambil. 

Bagaikan tersentak dari mimpi yang panjang – Tun Dr. Mahathir yang juga arkitek pembangunan Koridor raya Multimedia (MSC) pada 1998 yang menerima tanpa bahas “kebebasan dan keabsahan bersuara” khususnya di Media Internet atau dikenali media sosial kini terkelu pucat.  Bukankah beliau telah diyakinkan bahawa dunia tidak akan mengawal walau seincipun kandungan di dalam laman web, maka beliau tanpa ragu-ragu melunakkan cengkaman undang-undang dalam Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu semasa memperkenalkan internet tanpa tapisan di Malaysia. 

Siapa yang tidak kenal negarawan ulung Mahathir yang memerintah Malaysia dengan keluhuran undang-undang dan pencegahan sehingga dia sering dianggap pelampau oleh Barat?  Undang-undang Anti Pemberontakan Mahasiswa, undang-undang media cetak, undang-undang hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri turut digunakan bahkan dibangunkan dalam usaha memastikan keluhuran dan perpaduan umum terjamin tanpa hasutan dan kebebasan mutlak.  Tetapi dalam hal internet, Mahathir mengambil sikap yang amat berbeza sekali.

Rasional Mahathir dalam hal ini rupanya telah ditunjukkan Barat bahawa “kata-kata” mereka hanyalah sekadar angina sepoi-sepoi yang bertiup.  Mana mungkin kebebasan mutlak itu diperolehi walaupun negara itu sendiri yang meminda “First Amemandment” iaitu suatu undang-undang kebebasan bersuara yang mutlak tanpa apa-apa kepentingan dan sekatan.  Kini, Mahathir telah sedar bahawa Barat tidak pernah jujur kepada sesiapa walaupun cuma sekali.  Beberapa artikel saya sebelum ini sering menilaikan bahawa “tiada kebebasan mutlak di dunia fana ini”  bahkan sehingga turunnya Nabi dan Rasul, ia masih di kawal selia oleh Malaikat dan Tuhan sendiri.  Bahawa manusia itu suka menipu, mengada-adakan cerita, membuat dan mereka cerita selain memutar belitkan kenyataan melainkan Al-Quran yang telah dijamin oleh Allah SWT. 

Kebebasan bersuara ini memang tidak mutlak, Amerika Syarikat terasa terpukul dengan infografik serta gambar-gambar yang berkapsyen yang mengutuk keterlibatan mereka dalam “perang penghapusan etnik di Gaza” itu.  Seolah-oleh juara umat Yahudi di alaf moden, Barack Obama yang ditunjukkan pro-Islam dan adil bersetentang 360 darjah berbeza daripada sepatutnya.  Dek penyuluh-penyuluh minda umat Islam di Malaysia dan dunia yang bersatu mengenai kekejaman zionis ini semakin memarak dek kezaliman tanpa henti, mereka menyekat blog dan memberi amaran kepada manusiawi-manuasiwi ini yang cuba mencerahkan minda umat manusia agar prihatin tentang nasib Gaza ini. 

Begitulah hebatnya Amerika Syarikat yang ingin menjadi polis dunia walaupun keadilan hanya diletakkan dalam poket baju atasnya.  Kezaliman Yahudi Kejam ini disimpan dengan cermat dan terus menerus menyalahkan Arab Palestin yang kononnya memulakan serangan.  Sehingga artikel ini ditulis (Ogos 6, 2014) seramai lebih kurang 1,800 orang warga awam dan kanak-kanak Palestin terbunuh serta memusnahkan struktur bangunan masjid dan sekolah di Palestin senilai RM16billion.  Manakala di pihak yang kononnya diserang hanya melihatkan 70 orang mati serta kos kerosakan yang minimum bagi infrastruktur.  Apakah ini satu nilai keadilan?  Penceroboh disusukan, yang diserang dimaki hamun? 

Polemik Yahudi pro-Zionis ini membukakan mata Tun Dr. Mahathir mengenai internet dan tahap kebebasan bersuara khususnya oleh Amerika.  Dalam hal ini, Tun telah tersalah tindak dan bercadang dan menggesa agar tapisan ini dikenakan kepada talian kita supaya anasir dan gejala kerosakan minda warga Malaysia dan Islam khususnya tidak diheret ke dunia kuning (hedonism) sana.  Apakan daya, Mahathir telah tersilap langkah dan warganya telah makan “bangkai-bangkai” Barat ini sejak internet di perkenalkan pada 1998.  Kerajaan Tun Abdullah dan Najib menjadi mangsa kebebasan internet dan tidak-dapat-tidak, rakyat dalam negeri saling bertingkah sama sendiri sehingga kini.  Paling menyakitkan hati ialah apabila ada dakwaan kononnya kaum Cina bebas memperkotak katikkan agama Islam, umat Islam pula yang akan didakwa atas tuduhan hasutan atau penindasan agama atau sensitiviti.  Akhirnya, rakyat dalam negeri akan berparang sesama sendiri kerana “kebebasan buatan” ini.

Saya tidak bercadang mengulas kelakonan masyarakat yang semakin menggila khususnya dalam soal keadilan berpilih, tetapi menjurus kepada tapisan kandungan yang sering memperlihatkan ‘kelembapan” Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang kelihatan gagal menjadi pemantau dan pengawal selia kepada pengguna internet ini.  Dikatakan jika bukan Islam, tindakan amat lambat tetapi jika Islam pula sebaliknya.  Walaupun hipotesis itu satu anggapan/pendapat umum yang cuba dimarakkan, tetapi kelihatan bahawa kawalan akan gagal jika tanpa pencegahan yang bermanfaat/berhemah daripada awal.  Mencegah lebih baik daripada mengubati. 

SKMM harus memainkan peranannya dengan lebih signifikan lagi dalam menyusun kandungan yang baik serta menyekat (jika perlu) kandungan-kandungan yang ‘bermasalah’.  Kadang kala ia cuba dibuatkan/dicetuskan oleh pihak luar untuk memusnahkan keamanan kita.  Jika Tun Dr. Mahathir telah tersilap langkah dan cegat menyedarinya, mengapa kita harus berlengah memperbaiki niat dan maksud beliau?  Jawapan Datuk Shahril Tarmizi (SKMM) kononnya sehingga menyekat Facebook atau Twitter seperti di China adalah maklum balas yang amat ketat dan terlalu ekstrem komentarnya.  Memadailah dengan mengawal selia talian dan kandungan dengan cerdik pandai Information Technologies Operator (IT) agar keadaan dalam negara kita kembali sentosa. 

Percayakah kalian bahawa sebebas-bebasnya negara Singapura itu, mereka mengawal selia setiap inci kata-kata rakyatnya walau apa jua keadaannya tanpa mereka sedar.  Inikan pula kita yang kelihatan jauh dari “kemajuan negara Singa” itu?


Apakah yang kalian dapat dengan kebebasan Mutlak?  Barat hanya bercakap, tetapi tidak pernah bercadang melaksanakannya melainkan memaksa orang mengikuti kehendak mereka sendiri.  Dari dahulu hingga kini…… Barat tidak pernah cuba belajar.  Tunggulah bila sistem itu sendiri gagal di sana! Mereka pasti mengubahnya 360 darjah tanpa modal.  Sedang kalian telah berbunuhan sesama sendiri.  

Rabu, 19 Februari 2014

Ditolak Kerja – Akhirnya Jadi Bos Besar di tempat Itu



Lamaran Kerja Ditolak Facebook - Akhirnya Menjadi Bos Besar  

"Facebook telah menolak saya. Ini adalah peluang besar untuk berhubungan dengan beberapa orang yang luar biasa. Menanti untuk cabaran berikutnya dalam hidup," tulis Acton pada 4 Ogos 2009 sebagai kunci semangat kerjayanya.


Salah seorang pembangun WhatsApp, Brian Acton, pernah ditolak dalam temu duga  pekerjaan oleh Facebook pada 2009 silam.  Empat tahun setelah Facebook menolak lamaran kerjanya, Acton kini menjual perusahaannya kepada Facebook dengan harga yang sangat hebat, USD 19 billion (sekitar RM52billion).

Nilai ini termasuk USD 3 juta dalam bentuk saham yang diberikan kepada Acton dan kakitangan WhatsApp dalam jangka masa empat tahun mendatang.

Kisah Acton menjadi inspirasi tentang penolakan kerja, kerja keras, dan keusahawanan. Semasa ditolak oleh Facebook, beliau sempat menukilkan rasa kecewa dengan berkicau di media sosial Twitter (lihat gambar Tweet pembangun WhatsApp, Brian Acton, setelah temu duga kerjanya ditolak Facebook pada 2009). Namun, dengan semangat juang yang tinggi, ia berkata akan memulakan "cabaran berikutnya dalam hidup".

Acton, yang merupakan graduan komputer di Stanford University, sebelum itu pernah bekerja di Apple dan Adobe. Sejak 1996, ia bekerja untuk Yahoo! hingga Oktober 2007. Organisasi terakhirnya di Yahoo! sebagai Naib Presiden Kejuruteraan. 



Pada tahun ia ditolak oleh Facebook, Acton mulai membangun aplikasi WhatsApp bersama Jan Koum di Mountain View, California. Koum juga merupakan bekas kakitangan Yahoo!. Pada tahun itu juga, TheNextWeb melaporkan bahawa Acton juga telah ditolak oleh Twitter.

Dua pengendali laman sosial terbesar di dunia iaitu Facebook dan Twitter telah menolak tuah dengan menolak angsa emas iaitu Acton yang punya bakat luar biasa dalam bidang pemprograman (programming).

Nama WhatsApp begitu cepat popular sehingga menjadi aplikasi pesanan ringkas yang paling banyak digunakan, murah dan mudah, dengan 430 juta pengguna aktif pada Januari 2014.

Jumlah data yang diproses juga meningkat menjadi lebih dari 50 juta pesanan setiap hari, berbanding sekitar 27 juta setiap hari pada Jun 2013. Angka itu disebut-sebut sudah melebihi jumlah SMS yang beredar di seluruh dunia sehingga WhatsApp dianggap sebagai salah satu penyebab menurunnya pertumbuhan SMS di dunia.

Meskipun berasaskan penggunanya yang semakin meluas, WhatsApp tetap mempertahankan konsep perniagaan bertaraf rintis (startup). WhatsApp hanya memiliki sekitar 50 kakitangan. Sebanyak 25 orang merupakan pekerja teknikal, sementara 20 orang lainnya adalah khidmat kepada pengguna khususnya kepelbagaian bahasa.

Acton dan Koum juga mempunyai prinsip kuat untuk tidak menampilkan iklan dalam perkhidmatan mereka. Dalam mengembangkan perniagaannya, WhatsApp juga punya falsafah anti-iklan, bahkan memiliki manifesto menentang sebarang iklan komersil.

WhatsApp sendiri hanya menerima bayaran sekitar USD0.99 sen selama setahun untuk setiap pengguna bagi menyokong dan mengembangkan aplikasinya.

WhatsApp telah menerima pelaburnya daripada perusahaan pemodal Sequoia Capital sebanyak USD8 juta pada awal 2011. Dan sejak dari itu, WhatsApp tidak membuka peluang pelaburan baru kerana mereka mampu menghasilkan wang dari aplikasinya, mampu membiayai operasi perniagaannya sehingga akhirnya Facebook "jatuh cinta" dan membelinya.

Begitulah, dari kegagalan mendapatkan pekerjaan di syarikat yang diminatinya, Acton beralih menjadi pesaing hebat dalam industri Cuma berbeza bidang hiliran.  Akhirnya, berkat keusahawanan dan persaingan sihat, produk beliau menjadi tagihan daripada mereka yang pernah menolaknya dahulu.  Teringat dengan kata-kata “berusaha dahulu, dan kejayaan akan datang mengiringinya”.  Bukan dengan ingin menjadi berjaya dan baru berusaha.