Memaparkan catatan dengan label corruption. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label corruption. Papar semua catatan

Rabu, 5 November 2014

Rezeki Nan Secupak......

Rezeki Nan Secupak…………..


“Rezeki yang berkat, sedikit mencukupi, banyaknya boleh dikongsi…”

                        “Rezeki yang tidak berkat, sedikitnya tidak puas….”


Kata-kata di atas sering beredar dalam laman maya khususnya Facebook untuk menginatkan kita tentang keberkatan rezeki yang diperolehi.  Dalam tanda menginatkan diri sendiri dan berkongsi, saya tukilkan pertanyaan di benar saya sendiri.  Berapa ramai yang sering mengeluh setiap kali naiknya harga minyak atau barang keperluan harian?

Saya dibesarkan dengan 10 orang adik beradik secara bertingkat-tingkat, tetapi sehingga ke saat ini kami sekeluarga di kala itu tidak pernah mengalami keputusan bekalan makanan bahkan kami sentiasa bermuafakat.  Gaduh adik beradik itu, bukanlah sesuatu yang sangat serius kerana air dicincang tidak akan putus. 


Dalam konteks rezeki ini, ayah saya hanya bekerja kampung dengan ibu hanya sebagai suri rumah yang membesarkan anak-anaknya yang ramai.  Pada kakak-kakak dan abang-abanglah mereka mengagih tugas dalam membesar dan mendidik keluarga besar kami.  Akhirnya, berkat kerja keras ayah dan ibu kami membesar walaupun tak sekaya mana tetapi kami bersyukur kerana rezeki keluarga kami terus bertahan, bahkan mencukupi. 

Ayah di sebelah pagi akan ke laut, menangkap ikan.  Jika tidak dijual untuk membeli beras, akan dimakan ikan itu atau dijadikan ikan kering.  Sebelah tengah hari, ayah akan ke bendang melihat sawah padinya, sama ada meracun atau membaja sehingga kuning dan sesuai disabit.  Malamnya jika ada kelapangan dan dia tidak penat, dia akan kembali ke laut menangkap udang yang dinamakan “melanggai” ataupun jika musimnya mencari geragau untuk dijadikan belacan dan cencaluk dengan “menyungkuh”. 

Ibu pula selain membantu memasak dan memotong baki-baki ikan dijadikan ikan kering, akan tolong menjual di kedai runcit milik keluarga kami yang kampong.  Walaupun kecil tetapi tetap memberi manfaat kepada kami juga.  Kami turut membantu walaupun kadang-kadang “hilang” untuk pergi bermain.  Malam pula, selepas makan malam ibu akan mengajar kami mengaji.  Beban mana si ibu yang boleh berehat?

Hari ini, rata-rata kita bekerja dengan sector perkhidmatan kalaupun ada yang masih bekerja kampong, bekerja kilang atau apa-apa kerja perniagaan atas talian dan macam-macam selain kerja-kerja di syarikat besar atau kerajaan.  Sebanyak 1.5 juta penjawat awam bekerja di sector awam termasuk saya dan 5 orang ahli keluarga saya kini.

Sepanjang hampir lapan tahun saya berkhidmat di sector awam khususnya, rata-rata mereka memakan gaji secara tidak sepatutnya.  Ada yang bekerja dengan mengetik kad perakam waktu dengan betul tetapi hilang dalam bertugas.  Ada juga yang langsung tidak mengetik atau mengetik ikut suka.  Bekerja juga begitu, ada yang hilang sewaktu bekerja.  Ambil masa yang panjang ketika rehat.  Bekerja secara “cincai” atau ala kadar nya sahaja.  Bahkan ada yang bekerja secara “sambal-sambil” iaitu jika mahu kerja, maka kerjalah, jika tidak mahu, maka tinggalkan sahaja.

Itu belum masuk lagi pekerja yang membut tuntutan dan kerja lebih masa.  Kerja-kerja lebih masa walaupun bermain games tetap dibayar sekiranya tidak diketahui.  Ada juga yang sanggup menunggu masa yang lama untuk menyiapkan kerja-kerja am yang diberikan seperti menyemak tuntutan, menghantar surat bahkan berbuat apa sahaja yang tidak selesai selama 9 jam bekerja, akhirnya membuat tuntutan lebih masa. 

Di sini keberkatan duit yang diperolehi diambil dan dibelanjakan.  Manakan cukup wang gaji jika tidak dicampur tuntutan-tuntutan lain waima 5 minit bekerja lebih masa?  Jadi, bayangkan “wang” yang diperolehi dengan kerja-kerja seadanya.  Saya sering mengingatkan diri sahaja bahawa 5 minit masa yang dipinjam oleh pejabat saya, akan saya gantikan dengan 10 minit.  Saya juga selalu “hilangkan” kerja-kerja lebih masa agar dapat mengganti waktu-waktu saya “berehat tanpa pengetahuan boss” atau keluar sebentar bagi menyelesaikan urusan peribadi.  Orang kata, bersikap lebih kurang sahaja kerana saya juga tidak sempurna dan perkara itu harus digantikan dengan saksama.  Gaji yang diperolehi juga harus berkat dan bersih.

Selain menerima gaji dan membayar bil, zakat atau sedekah waima RM5.00 sebulan juga harus diberikan dalam membersihkan wang yang diperolehi.  Kerana di dalam setiap wang kita terdapat rezeki anak yatim, orang miskin dan fakir.  Tetapi ramai beranggapan bahawa gaji mereka adalah hak mereka sehingga lupa tanggungjawabnya kepada manusia yang lain.  Berkatkah dengan wang yang kita kaut setiap hujung bulan itu?

Wang yang ada itu kita belikan susu, makan pakai serta belanja dapur untuk keluarga dengan semaksimum mungkin.  Sehingga sen-sen yang terakhir akan kita gunakan.  Kita terlupa dua hal dalam perkara ini iaitu 1) Keberkatan wang yang diperolehi semasa kita bekerja dan 2) Rezeki yang diinfakkan kepada anak yatim, miskin dan fakir yang disucikan. 

Saban bulan kita menerima dan berbelanja mengikut sesuka hati termasuk bonus atau apa-apa pendapatan lainnya.  Kita gagal menginfakkan wang atau mencari keberkatan dalam rezeki kita sendiri, akhirnya yang banyak tidak cukup yang sedikit harusnya tersangat sempit.
 
Sekadar Gambar Hiasan
Akhirnya, adakah kita beristiqamah dalam bekerja dengan penuh keredaan Allah, Majikan dan rakan-rakan?  Kedua, apakah kita selalu berkongsikan rezeki kita dengan orang lain dalam mencari erti keberkatan itu?  Kadang-kadang Allah menguji kita tetapi kita janganlah mudah melatah dengan menyalahkan orang lain serta membangkit-bangkitkan ketidakcukupan kita dalam berbelanja.  Memang membesarkan anak-anak adalah skar dan sulit tetapi jika ada kesabaran dan rezeki yang berkat, nescaya kita akan memperolehi anak yang sempurna.

Rezeki yang tidak berkat dan lagi syubhat boleh menggalakkan anak-anak kita yang degil, tamak, tidak bijak dan lembam pemikirannya.  Oleh itu, dari rezeki yang betul-betul berkat lagi suci ia memastikan jiwa kanak-kanak itu juga bersih serta melahirnya masyarakat yang bijak dan berbaik akal budinya.  Apa guna kehendak semua anak disempurnakan tetapi dengan wang yang tidak berkat atau tidak jujur?  Akhirnya makan minum anak dengan wang tidak jujur membiakkan “syaitan-syaitan” kecil dijiwanya dan merosakkan budi dan daya keluarga dan masyarakatnya.

Sekadar nasihat dua posen untuk diri saya sendiri agar sentiasa memberikan makanan yang baik-baik terutama kepada ibu dan bapa saya yang saya hulurkan wang santunan setiap bulan agar mereka menerimanya dengan penuh keberkatan, In Sha Allah.


p/s:  Pandangan peribadi untuk diri sendiri sahaja.  Jika anda rasakan ada manfaatnya, maka cubalah berubah menjadi terbaik.  

Isnin, 3 Mac 2014

Imigresen Tangkap PATI, Dewan Bandaraya Sorok!!!



Imigresen Tangkap PATI, Dewan Bandaraya Sorok!!!
Operasi Bersepadu Menteri KDN bersama Imigeresen baru-baru ini

4 Mac, Kuala Lumpur – Keputusan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi menguatkuasakan peraturan imigresen negara dan menangkap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sama ada tinggal melebihi tempoh, berniaga ataupun apa-apa tujuan yang tidak memberikan pulangan ekonomik kepada negara rupa-rupanya menjadi sia-sia. 

Sedang pihak berkuatkuasa seperti imigresen, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertugas siang dan malam bagi menangkap PATI yang memusnahkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan ancaman jenayah, pihak berkuatkuasa Dewan Bandaraya (PBT) pula menyimpan bahkan memberikan lesen perniagaan kepada golongan imigran gelap ini.  Tindakan ini seolah-olah mencabar kekuasaan dan ketegasan Menteri yang bersungguh-sungguh menjaga kedaulatan dan ketenteraman awam dari masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ini. 

PATI ini kelihatan begitu selesa dan berasa ‘tidak terancam’ langsung dengan siri tangkapan dan pengusiran yang kadang-kala turut dihadiri oleh Menteri dan Timbalannya ke lapangan bagi menyelesaikan isu berbangkit ini.  Kelihatan mereka tetap berniaga, bekerja dan bebas bergerak walaupun tanpa dokumen yang sah.  Bila diajukan pertanyaan, mereka berasakan tidak kisah serta tahu tindakan pengusiran sedang dijalankan oleh pihak berkuasa, namun mereka ‘kurang gentar’ bahkan memaklumkan sudah ada ‘pelindung’ yang boleh membantu mereka khususnya di premis-premis perniagaan jika terdapat ‘gangguan’ di kalangan penguatkuasa yang mempunyai hubungan rapat dengan orang kenamaan. 

Premis-premis perniagaan di sekitar Chow Kit dan Jalan Silang, Kuala Lumpur masih lagi beroperasi dengan PATI-PATI ini masih menjalankan perniagaan khususnya pakaian dan kedai-kedai arked selain premis makanan.   Di Kawasan Perumahan Mentari Petaling Jaya, Selangor juga kelihatan PATI-PATI ini meneruskan aktiviti harian mereka tanpa sebarang campur tangan bahkan kelihatan beberapa anggota polis dan penguatkuasa sedang asyik menikmati makan tengah hari di gerai-gerai milik PATI ini di atas rezab tanah TNB dan tanah Kerajaan berhadapan dengan kawasan perumahan padat tersebut.  Ada dikalangan PATI juga kelihatan bebas memandu kereta di lokasi ini seolah-olah mereka mendapat “lesen besar” dan “kebal” dari sebarang tindakan pihak berkuasa. 

Sedang Menteri sendiri bersengkang mata mencari dan menangkap PATI ini untuk kesejahteraan rakyat yang ‘berang’ dengan kebanjiran PATI ini, aparat penguatkuasa pula menjadi dalang dan tali barut menyelamatkan PATI ini dari sebarang tindakan undang-undang.  Apakah polis dan penguatkuasa MBPJ yang mendapat gaji dari rakyat ini berhak menikmati makan tengah hari secara ‘percuma’ di kedai-kedai tanpa lesen dan milik PATI ini sedang rakyat yang membayar gaji mereka semakin tidak betah menanggung kenaikan kos sara hidup dan sulit dalam mendapatkan pekerjaan yang juga dikuasai oleh PATI ini?  Adalah lebih wajar agar polis dan penguatkuasa yang menjadi ‘gunting dalam lipatan’ seperti ini ditamatkan perkhidmatannya dan digantikan dengan mereka yang benar-benar menginginkan pekerjaan selain menghargai pekerjaan awam dan berkhidmat dengan sebaik-baiknya untuk rakyat yang membayar gaji mereka.


Tugas utama Menteri Dalam Negeri sebelum melancarkan operasi ialah memecat pegawai yang menjadi “duri dalam daging” ini terlebih dahulu dan barulah bertindak menangkap PATI agar maklumat operasi dalaman tidak bocor serta tindakan dapat dilakukan dengan menyeluruh tanpa ada ‘lubang-lubang tikus’ untuk mengelakkan PATI ini menyusup keluar dan terus hidup seperti biawak di Malaysia ini. 

Jumaat, 7 Februari 2014

Polis Penyangak Penyamun Rakyat!



Minggu lepas (Februari 2, 2014) saya sempat mengunjungi rakan di sebuah pejabat di dalam daerah Klang Selangor.  Beliau begitu ramah menjemput saya berkali-kali ke lokasi pejabat beliau, katanya ingin menunjukkan sesuatu yang tak becus di matanya serta mata para pejabat yang lain khususnya orang yang mengaku Islam itu agamanya dan bersedia berkhidmat untuk negara. 


Sedang saya minum di pojok sebuah restoran, beliau memulakan kisah-kisah di sebalik tadir di negeri terbabit.  Bermula dari milikan tuan kedai restoran yang kami minum itu terlalu kerap bertukar tangan langsung kepada beberapa kes jenayah lain yang tidak kurang hebatnya.  Semua orang tahu, Klang bukanlah satu kawasan yang aman sentosa dan makmur pada pandangan mata kasar, tetapi Klang ini penuh dengan pelbagai rencam jenayah rentan aktivitinya.  Namun, apakah tiada pemantauan dan penguatkuasaan?

Sepanjang tahun 2012 dan 2013 beberapa pemilik restoran telah bertukar, bukan kerana kurang sambutan ataupun mahalnya sewaan serta wang pengendalian restoran yang tinggi, tetapi “duit kopi” yang tak tertanggung di bayar oleh si penyewa restoran kepada “ketua tempat” tersebut.  Kalau sekadar RM50.00 ke RM100.00 setiap bulan tidak mengapa, ini sehinggakan RM500.00 sebulan sebagai “duit perlindungan”.  Saya terus bertanya, apa polis yang sedang minum di luar sana tidak betah memangkas perkara itu? Apaka guna Kerajaan Malaysia membayar gaji mereka setiap bulan kalau masih ada “wang kopi” ala-ala samseng Korea dan Yakuza di Jepun tutur saya kebetulan kelibat polis sedang minum di restoran yang sama. 

Awak jangan tak tahu, setiap hujung bulan, polis-polis ini dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan ke sini terutama di kedai-kedai tertutup tue.  Jangan awak tak tahu, mereka pun dapat duit kopi setiap bulan dengan membenarkan operasi haram kilang DVD cetak rompak dan rumah urut di seberang jalan sana.  Tergumam saya untuk berkata-kata.  Apakah nilai sebuah integriti dan nilai penjawat awam di Malaysia seperti longgokan sampah di perlimbangan?  Apakah sudah habiskah anak-anak muda kita yang diberi jawatan menjaga keamanan dan penguatkuasaan perbandaran ke tangan para durjana ini?  Sambung tuan restoran tadi, mereka tidak berani apa-apa kerana setiap bulan “kong-kong” ini akan datang menuntut hasilnya.  Tidak dapat tidak, mereka harus beri jika tidak mahu kedai mereka dirosakkan dan diapa-apakan.  Bagi rumah urut yang tak punya lesen, jangan risau kerana “raja besar” melindungi mereka dari segala ancaman perundangan iaitu Polis Raja di Malaysia dan MPK. 


Alangkah bangsatnya mereka yang memakan hasil harm dari sumber yang mencekik darah dan keringat orang.  Apakah pekedai tadi tidak membayar sewa kedai dan perlu membeli bahan mentah? Manakala bagi penjenayah yang mencetak rompak hak dan milik orang mengapa tidak dikenakan tindakan?  Perkara persundalan di rumah urut tersebut kenapa tidak dituntaskan dengan segera?  Apakah wang haram terbabit mendarah dan mendaging ke dalam jiwa penjawat awam tersebut yang rata-rata menurut rakan tadi adalah Melayu dan Islam?

Apa guna Operasi Cantas atau segala macam operasi besar-besaran di negara ini oleh Petinggi Negara kalau dalang-dalang bangsat itu adalah anak buahnya yang membuat onar di bawah sana?  Mereka inilah yang membusukkan dan merosakkan nama kerajaan dan jawatan yang disandangnya di mata orang ramai.  Para pengkhianat ini masuk ke dalam sistem gajian mudah perkhidmatan awam bukannya ingin berbakti kepada masyarakat  atau kesempitan wang kerana gaji wang awam yang kecil, tetapi kerana tamak serta berlagak mewah mengalahkan berjawatan Menteri adanya.  Mereka lupa dengan memberikan wang haram tersebut kepada keluarganya terutama anak bininya menyebabkan wang haram itu berlegar dan membenihkan segala macam kejahatan dan kemudaratan. Mereka yang bangsat dan pengkhianat ini lupa bahawa satu hari nanti mungkin penjenayah ini akan merosakkan keluarganya pula tanpa dia sedari. 

Apa sudah jadi dengan Polis dan pihak MPK di sana?  Masih kenyangkah dengan memakan hasil “wang kopi” orang berbanding membanteras jenayah yang gaji kalian di bayar untuk menegakkan keadilan dan kesejahteraan?  Bukan Kerajaan yang melantik kalian dalam sistem gajian ini tetapi kalianlah yang menjadi anjing memaksa kerajaan menerima kalian sebagai pekerjanya.  Setelah diberikan, kalian menjadi anjing yang menggigit tangn tuannya.  Semoga pihak polis di luar sana sedar bahawa “wang yang haram melahirkan anak yang bodoh, degil serta menyemarakkan api neraka untuknya” sama ada masih hidup atau masih mati.  Makanlah hasil haram itu selagi mampu, kelak babi-babi di hutan akan menggonggong kalian bila kalian tidak berguna lagi di sisi penjenayah terbabit.  Itulah harga sebuah pangkat polis dan ahli MPK.