Memaparkan catatan dengan label penyangak negara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penyangak negara. Papar semua catatan

Sabtu, 1 Mac 2014

Sosialisme Menyusup Politik Malaysia

Siri III:  Komunis Bintang Tiga, DAP Memasuki Sistem Politik Malaysia.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) ialah sebuah parti politik Malaysia yang terbentuk dari pelbagai kaum yang bersifat sekular (agama tidak penting dalam kehidupan) dan sosialisme demokratik (campuran komunisme dan kapitalisme). Ia ditubuhkan pada 18 Mac 1966. Kubu-kubu kuat parti DAP dari segi sokongan rakyat ialah Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.  DAP terkenal dengan konsep "Malaysian Malaysia" (Malaysia untuk semua rakyat Malaysia tanpa pengenalan bangsa dan agama - *DAP adalah sekular).

Parti ini komited kepada perjuangan untuk sebuah Malaysia yang bebas dalam pemikirannya (liberal), berunsur sosialisme demokratik (separa fahaman komunis – sama rata tanpa darjat/pangkat dan separa kapitalis dalam ekonomi), berdasarkan prinsip-prinsip hak asasi manusia (kebebasan mutlak sebagai haiwan yang hidup), kesamarataan, keadilan sosial dan ekonomi menyeluruh, dan berasaskan institusi demokrasi parlimen. Bentuk sosialisme yang menjadi pilihan DAP ini adalah sosialisme sederhana yang bersifat separa-komunis dan separa-kapitalis, dan berdasarkan sikap tidak memihak kepada mana-mana pengaruh kuasa besar dunia sama ada blok Barat (kapitalis) ataupun blok Timur (komunis).

Parti DAP adalah serpihan kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP), parti politik utama di Singapura. Lee Kuan Yew merupakan pengasas PAP tidak bersetuju dengan cubaan Perikatan-UMNO bertanding dalam pilihan raya umum di Singapura dan telah membuka cawangan PAP di Semenanjung Malaysia. Apabila Singapura berpisah dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, pendaftaran parti PAP telah dibatalkan pada 9 September pada tahun yang sama. Tetapi Devan Nair, ahli parlimen Bangsar dari PAP cuba dihidupkannya dengan nama Parti Tindakan Rakyat tetapi pendaftar pertubuhan telah menolak kerana itu akan mengelirukan orang ramai. Oleh itu Devan Nair menggunakan nama baru iaitu 'Parti Tindakan Demokratik' atau DAP. Pada 19 Mac 1966 pendaftaran DAP telah diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan.


Devan Nair berulang kali menegaskan bahawa DAP tidak akan mengamalkan dasar perkauman dan berusaha mencantumkan kembali Singapura ke dalam Malaysia. Pada Oktober 1967, DAP menyertai 55 parti demokratik sosial, sosialis dan buruh yang lain di seluruh dunia sebagai ahli Sosialis Antarabangsa (SI) di Persidangan Antarabangsa SI di Zurich, Switzerland dan mengesahkan secara rasmi bahawa ia adalah “Parti Merah” yang berasaskan sosialis (sama rata yang menyeluruh). 

DAP telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Malaysia tahun 1969. Dr Chen Man Hin dan lain-lain pemimpin setuju bekerjasama dengan parti-parti lain untuk membina pakatan bagi menghadapi Perikatan . DAP telah bekerjasama dengan secara langsung dan tidak langsung dengan parti Gerakan, Parti Progresif Rakyat dan PAS tentang pembahagian kerusi semasa pilihan raya 1969. Prinsip yang dipakai ialah hanya satu calon pembangkang berlawan dengan Perikatan. Dato Mohd Asri selalu Presiden PAS bersedia bekerjasama dengan DAP ini tindakan ini mengejutkan tokoh-tokoh politik.

DAP telah meletakkan 23 calon parlimen dan 48 calon untuk Dewan Undangan Negeri . Hasil kerjasama pembahagian kerusi ini cukup menguntungkan DAP kerana DAP berjaya merebut 13 kerusi Parlimen dan 31 buah kerusi Dewan Undangan Negeri.  DAP memperolehi 11.9 peratus daripada jumlah undi sah yang dibuang dan merupakan pencapaian yang cukup membanggakan. Hasil pakatan DAP dan PAS ini menyebabkab Perikatan gagal mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang dan gagal membentuk kerajaan mutlak di Perak dan Selangor.  (Parti Gerakan (sewaktu itu pembangkang) telahpun mengadakan kerjasama dengan PAS)

Isu perkauman dalam pilihan raya 1969
Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik dari kalangan parti pembangkang, telah membangkitkan “kontrak sosial” khususnya Keistimewaan Orang Melayu dan Islam termasuk Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu sebagai (Bumiputera) dan hak kerakyatan orang bukan Melayu.

Manakala Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO-MCA-MIC telah gagal memperolehi majoriti 2/3 di Parlimen buat julung kalinya walaupun berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan. Hal ini disifatkan oleh parti pembangkang sebagai satu kemenangan yang besar buat mereka. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun berbanding 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.


Pihak pembangkang yang memperoleh pencapaian gemilang dalam pilihanraya telah meraikan kemenangan mereka pada 11 Mei 1969. Namun terdapat segelintir pengikut perarakan (identiti mereka tidak dapat diketahui) telah mengeluarkan slogan-slogan sensitif berkenaan isu perkauman semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan diadakan pada 12 Mei 1969 di mana kaum Cina berarak menerusi kawasan Melayu, melontar penghinaan sehingga mendorong kepada kejadian tersebut. Pihak pembangkang yang sebahagian besar darinya kaum Cina dari DAP dan Gerakan telah mendapatkan permit polis bagi perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun perarakannya melencong dari laluan yang ditetapkan dan melalui kawasan Melayu Kampung Baru, mengejek penduduk di situ. 

Sesetengah penunjuk perasaan membawa penyapu, kemudiannya dikatakan sebagai simbol menyapu keluar orang Melayu dari Kuala Lumpur, sementara yang lain meneriak slogan mengenai tengelamnya kapal Perikatan — lambang parti Perikatan.  Ia berlarutan hingga ke 13 Mei 1969 sebelum Parti Gerakan mengeluarkan kenyataan meminta maaf pada 13 Mei di atas kelakuan penyokong mereka. Menteri besar Selangor, Dato' Harun Idris telah mengumumkan bahawa perarakan balas meraikan kemenangan UMNO akan diadakan pada pukul 7.30 malam, 13 Mei 1969.

Pembangkang meraikan kemenangan
Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan BatuSelangor dan meminta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan di Selangor yang menyaksikan 50 peratus Perikatan dan 50 peratus pembangkang. Perarakan menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur dari Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baharu. Sedangkan di Kampung Baharu, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO, berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris.

Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu ('menyingkir') orang-orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai konotasi yang sangat negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.

Perarakan kematian Cina
Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina Melayu.  Pada hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye selaku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia yang bertanding untuk Gerakan memohon maaf di atas ketelanjuran ahli-ahlinya melakukan kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur namun permohonan maaf tersebut sudah terlambat.

Rumah Menteri Besar Selangor
UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini.  Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dato' Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor ketika itu cuba mententeramkan keadaan. Rupa-rupanya, mereka yang berkumpul telah membawa senjata pedang dan parang panjang dan hanya menunggu arahan daripada Dato' Harun Idris untuk mengamuk. 

Ketika berkumpul, cerita-cerita tentang kebiadapan ahli parti Gerakan tersebar dan meluap-luap. Jam 3.00 petang datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak, hanya dua kilometer dari rumah Menteri Besar Selangor. Terdapat cerita-cerita lain mengenai seorang wanita mengandung dibunuh dan kandungannya dikeluarkan dari perut dengan menggunakan besi penggantung daging babi. Sebelum menghembuskan nafas terakhir wanita tersebut sempat memasukkan semula janin yang terkeluar itu ke dalam perutnya.

4.00 petang dua penunggang motosikal Cina yang melalui Jalan Kampung Baru telah dipancung. Sebuah van membawa rokok dibakar dan pemandunya dibunuh. Pemuda-pemuda Cina yang dikatakan dari Parti Komunias Malaya (PKM) dan kongsi-kongsi gelap telah bertindak balas. Mereka membunuh orang-orang Melayu di sekitar Kuala Lumpur. Rupa-rupanya orang Cina dan pemuda Cina ini lengkap dengan pelbagai senjata besi, tombak dan lembing berparang di hujung seperti dalam filem lama Cina.

Cerita-cerita seperti ini yang tidak diketahui sama ada benar atau tidak telah menyemarakkan lagi api permusuhan di antara Melayu dan Cina. Rusuhan besar terjadi. Perintah darurat dikeluarkan, semua orang tidak dibenarkan keluar dari rumah. Pasukan polis berkawal di sekitar Kuala Lumpur. Tentera dari Rejimen Renjer lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar Kuala Lumpur.

Askar Melayu

Akhirnya Regimen Renjer dikeluarkan dan digantikan dengan Askar Melayu. Beberapa bangunan rumah kedai di sekitar Kampung Baru, Jalan Tuanku Abdul Rahman terus terbakar. Pentadbiran diambil-alih oleh Askar Melayu. Malangnya beberapa askar Askar Melayu turut masuk ke kedai-kedai emas Cina dan mengambil harta benda di sana. Malah ada askar Melayu yang menembak rumah kedai orang Cina kerana mereka telah membaling botol ke arah askar Melayu tersebut.

Ramai orang Cina dibunuh dan dicampakkan ke dalam lombong bijih timah di Sungai Klang berhampiran lorong Tiong Nam, Chow Kit. Kononnya ada rakaman televisyen oleh pemberita dari BBC dan Australia, beberapa pemuda Cina ditangkap, dibariskan di tepi lombong dan dibunuh. Bagaimanapun, sehingga sekarang, tiada bukti yang diedarkan mengenai rakaman ini.




Panggung Odeon

Pemuda-pemuda Cina telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di panggung tersebut langsung tidak tahu membaca tulisan Cina. Kesan daripada itu, pemuda-pemuda cina tersebut telah menyerbu masuk ke dalam panggung dan menyerang dan menyembelih penonton yang ada dan membakar pawagam tersebut. Hampir semua penonton di dalam panggung tersebut mati di dalam keadaan yang sangat mengerikan. 

Pemuda yang bernama Rahim Desa bersama seorang kawannya yang berjawatan kapten ketika itu yang tinggal di Kuala Lumpur yang turut menonton wayang di Odeon terkena tetakan di kepala dan berpura-pura mati. Beliau masih hidup hingga sekarang. Sementara Mohd Radzi mengalami pengalaman yang sama di Pawagam Federal, Jalan Chow kit, Kuala Lumpur ketika menonton filem They Came To Rob Las Vegas arahan Antonio Isasi-Isasmendi.

Ini termasuklah dua orang Askar Melayu yang tinggal di Sungai Ramal, Kajang. Manakala di pasar pula askar Melayu telah menembak orang Cina yang melanggar perintah berkurung dengan kereta perisai mereka. Di lebuh raya Persekutuan pula, penduduk Melayu di Kampung Kerinchi telah membuang pasu di atas lebuh raya tersebut dan mengakibatkan kesesakan lalulintas dan kemalangan. Pemilik kereta berbangsa Cina ditetak dan dibunuh. Seluruh keluarga peniaga Cina yang menjual bunga berdekatan habis dibunuh. Di lapangan terbang Sungai Besi waktu itu merupakan lapangan terbang antarabangsa, askar Melayu telah menembak orang Cina yang baru balik dari luar negeri dengan tanggapan bahawa mereka melanggar perintah berkurung.


Abdul Rafai Alias bersama rakan-rakannya dari Semenyih yang datang ke Kuala Lumpur turut terperangkap dan terkejut dengan rusuhan kaum yang tidak disangka-sangka pada 13 Mei itu. Beliau turut melangkah-langkah mayat mereka yang telah terbunuh di atas jalan.  Khabar angin mengatakan Tentera Sabil dari Sungai Manik hendak datang ke Kampung Baru tetapi tersekat. Begitu juga dengan Tentera Selempang Merah dari Muar dan Batu Pahat tersekat dan disekat oleh polis di Balai Polis Kajang dan Cheras.

Ada 4 kiyai di sekitar Kampung Baru mengedarkan air jampi dan tangkal penebat, iaitu ilmu kebal dengan harga yang agak mahal. Sesiapa yang memakainya menjadi kebal dan boleh terbang. Apa yang pasti, Askar Melayu juga telah menyelamatkan orang Melayu di Kampung Baru ketika itu. Mungkin juga ramai yang pernah mendengar kisah parang terbang yang terbang di Kampung Cheras Baru dan penggal kepala orang Cina.

Namun rusuhan kaum tidak terjadi di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis tiada sebarang pergaduhan. Negeri Johor dan Negeri Sembilan juga tidak terjadi apa-apa kerana telah diberi amaran oleh PKM.  Cuma ada sedikit kekecohan di Melaka. Di Betong ada tembakan dilepaskan oleh PKM dan mereka memberi amaran jika askar Melayu menembak orang Cina, mereka akan memberi senjata api kepada orang Cina.  Begitulah Cina PKM senantiasa membela kaum Cina menjadikan Cina DAP dianggap rakan yang akrab kepada perjuangan komunis ini. 

Persepsi

Di kalangan orang Melayu mempunyai pandangan yang negatif terhadap kaum Cina yang dilihat sebagai ‘tidak mengenang budi dengan taraf kerakyatan yang diberikan’ pada mereka semasa kemerdekaan. Persepsi negatif masyarat Melayu terhadap kaum Cina juga berlaku kerana orang Cina merupakan majoriti menganggotai pasukan Bintang Tiga yang ingin menjadikan negara ini sebagai negara komunis berpaksikan negara komunis China.


Pada tahun 2007, satu buku — May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 yang ditulis oleh bekas ahli Parlimen DAP Kua Kia Soong — telah diterbit oleh Suaram. Berdasarkan dokumen yang baru 'declassified' di pejabat maklumat awam London, buku tersebut menyatakan bahawa rusuhan tersebut bukan disebabkan oleh parti pembangkang sepertimana cerita rasmi yang diberikan, tetapi rusuhan tersebut dimulakan oleh "ascendent state capitalist class" dalam UMNO sebagai 'coup d'etat' untuk menumbangkan Tunku Abdul Rahman.

Bagaimanapun ia hanyalah merupakan suatu pendapat sahaja atau cerita dari sebelah pihak lain yang belum lagi pernah dibuktikan kesahihannya secara mutlak. 
Satu lagi persepsi yang kurang tepat disebarkan ialah penglibatan Lim Kit Siang dalam peristiwa 13 Mei ini. Menurut Penasihat DAP itu, beliau tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13hb Mei 1969. "Saya masa itu bertanding di Bandar Melaka, dan berada di pusat pengiraan undi di Melaka sehingga awal pagi 11hb Mei 1969 kerana menunggu keputusan, hanya kembali kepada keluarga saya di Petaling Jaya pada 11hb Mei (hari Ahad)," kata Lim.

Pada hari Isnin seterusnya, iaitu 12hb Mei 1969, beliau pulang ke Bandar Melaka untuk mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di perarakan terima kasih kepada pengundi pada petang dan menghadiri satu rapat umum terima kasih kepada pengundi pada sebelah malamnya.

Kedua-dua acara itu katanya telah berlangsung secara aman.  "Saya mungkin merupakan satu-satunya wakil rakyat dalam tahun 1969 yang sempat mengadakan perarakan dan rapat umum berterimakasih kepada pengundi selepas pilihan raya kerana saya telah menempah tiket untuk terbang ke Sabah pada awal pagi hari Selasa, 13hb Mei 1969 untuk membantu dalam kempen pilihanraya calon-calon bebas di situ, kerana pada masa itu, hari mengundi Sabah dan Sarawak diadakan seminggu selepas keputusan pilihan raya diumumkan di Semenanjung.  "Semasa saya berucap di rapat umum di Kota Kinabalu pada malam 13 Mei, barulah saya terima berita bahawa huru hara Mei 13 telah berlaku di Kuala Lumpur," kata Lim.

Beliau juga memberitahu, dalam ucapan pertamanya di Parlimen pada 23 Februari 1971 setelah beliau dibebaskan daripada tahanan ISA pertamanya, serta selepas Parlimen dipulihkan, semasa membahas Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan 1971, beliau telah menyeru supaya satu Suruhanjaya Parlimen ditubuhkan.

"Saya meminta suruhanjaya ini yang keahliannya termasuk wakil-wakil bukan Ahli Parlimen yang dihormati dalam bidang mereka masing-masing, untuk antara lain, 'mengenal pasti punca rusuhan Mei 13' dan 'membuat cadangan bagaimana untuk mencegah berulangnya rusuhan kaum Mei 13 di masa depan, dan menghentikan masalah polarisai kaum di Malaysia'," kata Lim



Malaysia Tanpa Islam

Siri I:  Malaysia Tanpa Islam....

Malaysia ditubuhkan dengan dua perjanjian Persekutuan iaitu, Persekutuan Tanah Melayu yang menggabungkan negeri-negeri Melayu bersekutu, negeri Melayu tidak bersekutu dan negeri Selat; di satu perjanjian lainnya, Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura yang akhirnya Singapura dikeluarkan pada 1965.  Atas dua perjanjian bersekutu ini, maka lengkaplah negeri-negeri di Malaysia menjadi 13 termasuk Negeri Baharu di mana akhirnya pada 1974, Wilayah Persekutuan diwujudkan di Kuala Lumpur diikuti oleh Labuan dan Putrajaya menjadikannya 14 buah negeri yang bersekutu. 

Antara asas perjanjian-perjanjian Persekutuan ini khususnya di Tanah Melayu, ialah Raja-Raja atau Sultan-Sultan Melayu ini hendaklah dikekalkan bertakhta dan menaungi negeri serta rakyat baginda sendiri mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri kecuali Negeri Selat yang tidak diwakili oleh Raja melainkan hanya Gabenor Inggeris.  Selain itu, agama Islam adalah dimasukkan sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kedudukan dan keistimewaan Melayu sebagai rakyat Raja dikekalkan. 

Manakala sebagai satu timbal balas kepada kehendak Raja-Raja Melayu ini, baginda hendaklah membenarkan kaum-kaum bukan Melayu yang dibawa masuk oleh Inggeris sebelum ini diterima sebagai ‘rakyat’ dengan menganugerahkan mereka ini dari kaum Cina dan India ‘suatu hak kerakyataan’ yang setara sebagai ‘rakyat Raja’ dan mereka bebas mengekalkan identiti bahasa, budaya dan agama mereka di bawah Persekutuan Tanah Melayu ini. 

Keistimewaan ‘Rakyat Raja’ yang beragama Islam termaktub dan ditukilkan dengan jelas di dalam Perlembagaan Malaysia yang menjadi dokumen asas sebuah negara baru Tanah Melayu sebelum menjadi negara Malaysia di dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Bagi Persekutuan (di kalangan Raja-Raja Melayu) dalam suatu tempoh tertentu, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu (mulai merdeka 1957) dan bumiputera Malaysia (mulai 1963). Artikel ini secara terperinci memberitahu bagaimana Kerajaan Persekutuan mempertahankan kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia biasa dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial. Suka atau tidak, semua warganegara haruslah mematuhinya walaupun dengan ‘hati yang pedih’. 
 
Penentangan Orang Melayu ke atas Gagasan Malayan Union oleh British
Inilah harga menjadi ‘warganegara kelas kedua’ di Malaysia ini kerana kaum Cina dan India di bawa oleh British ke Tanah Melayu bukanlah atas restu Baginda Raja-Raja Melayu tetapi mengikut desakan British yang menagut hasil mahsyul negeri-negeri Baginda ini.  Tambahan pula, selepas Jepun mengangkat ‘Bendera Putih’ dek kekalahan dalam Perang Dunia Kedua, British telah bercadang menubuhkan “Malayan Union” sebagai satu Persekutuan Sekular dengan mencontohi India sebagai modelnya, tetapi ia ditentang oleh Orang Melayu/Islam ketika itu termasuk salah satu syaratnya ialah membuka kewarganegaraan kepada semua orang tanpa mengira bangsa, agama dan asal keturunan.  Akhirnya, Malayan Union terkubur dek penentangan maha hebat orang Melayu ketika itu dalam mempertahankan Tanah Melayu ini yang sebelumnya telah dijajah ratusan tahun oleh pelbagai kuasa asing. 

Bak kata orang, orang Melayu baru tersedar bangsa mereka ‘dijajah’ oleh orang lain bila Jepun betul-betul memijak kepala mereka dan sedar bahawa British hanya mengambil kekayaan negara ini sahaja tanpa niat memajukan mereka.  Dek ekonomi yang buruk, Melayu ‘yang baru sedar diri’ ini akhirnya bangkit menentang rancangan British itu.  Tunku Abdul Rahman yang menjadi perunding kepada kemerdekaan ketika itu, mewakili Persatuan-persatuan orang Melayu dalam mendapatkan persetujuan dari orang Melayu itu sendiri serta Raja-raja Melayu yang bertakhta ketika itu.  Walaupun di pihak Raja, ada di kalangan mereka yang menentang rancangan memberikan kewarganegaraan terbuka kepada kaum Cina dan India, rakyat juga dipujuk agar menerima syarat British itu jika ingin merdeka.  Tak tahan dengan pujuk rayu Inggeris, Tunku akhirnya bermatian-matian cuba memujuk dan meyakinkan Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu ketika itu.  Pujukannya termasuklah mengaitkan ancaman komunis yang semakin membimbangkan Raja-Raja dan Orang Melayu. 

Akhirnya, “kontrak sosial” ini berjaya diputuskan sebagai timbal balas antara kededuanya – kewarganegaraan segera dengan agama Islam, Bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu dimasukkan dalam Perlembagaan Negara.  Jika syarat itu tidak diterima, maka akan hanya ada Melayu dan Islam sahaja di bumi pertiwi ini.  Maka, di dalam kad pengenalan rakyat Malaysia kini dimasukkan “Agama Islam” sebagai pembuktian bahawa warganegara itu adalah “Subjek Raja” atau “Rakyat Raja”.   Bagi tiada agama atau kosong di ruangan agama di dalam kad pengenalannya, ia adalah kerakyatan segera yang boleh dibezakan kelak jika Persekutuan atas Persekutuan ini “dibatalkan”. 

Hal ini pernah dicabar oleh Ketua Menteri Singapura (Lee Kuan Yew) ketika masih di dalam Malaysia, beliau bahkan sanggup mengambil dan memberikan kewarganegaraan segera kepada pendatang dari China sebagai warga Persekutuan sehingga mengundang kecaman Menteri-Menteri Tanah Melayu ketika itu dan menyebabkan jumlah penduduk Melayu Islam berkurangan secara drastik.  Tindakan pantas Tunku membuang Singapura bersama warganegara baharu itu akhirnya menyelamatkan penduduk Islam di sini apabila hanya kekal sebagai 50% daripada keseluruhan jumlah penduduk Persekutuan Malaysia.  Sabah dan Sarawak telah membantu mengurangkan penduduk bukan Melayu Islam dengan kemasukannya ke dalam Persekutuan Malaysia, dan seluruh penduduk etnik dari Pulau Borneo itu dipanjangkan untuk dijadikan “Bumiputera” dan menikmati kemakmuran Perkara 153. 

Namun, Lee Kuan Yew tidak berhenti di situ, beliau terkesima dan kecewa dengan tindakan Tunku ketika itu, menyerang Kuala Lumpur dengan penuh muslihat dalam memastikan Islam dan Melayu bukanlah “Rakyat Raja Melayu” di Tanah Orang Melayu.

Sambungan Siri II, Singapura merumuskan Melayu bukan Islam, Malaysia bukan Tanah Orang Melayu. 

Siri III, Dari Komunis Bintang Tiga, DAP Memasuki Sistem Politik Malaysia.


Siri IV, Melayu Sendiri Mencabut Islam dari Tanah Orang Melayu.   

Jumaat, 7 Februari 2014

Polis Penyangak Penyamun Rakyat!



Minggu lepas (Februari 2, 2014) saya sempat mengunjungi rakan di sebuah pejabat di dalam daerah Klang Selangor.  Beliau begitu ramah menjemput saya berkali-kali ke lokasi pejabat beliau, katanya ingin menunjukkan sesuatu yang tak becus di matanya serta mata para pejabat yang lain khususnya orang yang mengaku Islam itu agamanya dan bersedia berkhidmat untuk negara. 


Sedang saya minum di pojok sebuah restoran, beliau memulakan kisah-kisah di sebalik tadir di negeri terbabit.  Bermula dari milikan tuan kedai restoran yang kami minum itu terlalu kerap bertukar tangan langsung kepada beberapa kes jenayah lain yang tidak kurang hebatnya.  Semua orang tahu, Klang bukanlah satu kawasan yang aman sentosa dan makmur pada pandangan mata kasar, tetapi Klang ini penuh dengan pelbagai rencam jenayah rentan aktivitinya.  Namun, apakah tiada pemantauan dan penguatkuasaan?

Sepanjang tahun 2012 dan 2013 beberapa pemilik restoran telah bertukar, bukan kerana kurang sambutan ataupun mahalnya sewaan serta wang pengendalian restoran yang tinggi, tetapi “duit kopi” yang tak tertanggung di bayar oleh si penyewa restoran kepada “ketua tempat” tersebut.  Kalau sekadar RM50.00 ke RM100.00 setiap bulan tidak mengapa, ini sehinggakan RM500.00 sebulan sebagai “duit perlindungan”.  Saya terus bertanya, apa polis yang sedang minum di luar sana tidak betah memangkas perkara itu? Apaka guna Kerajaan Malaysia membayar gaji mereka setiap bulan kalau masih ada “wang kopi” ala-ala samseng Korea dan Yakuza di Jepun tutur saya kebetulan kelibat polis sedang minum di restoran yang sama. 

Awak jangan tak tahu, setiap hujung bulan, polis-polis ini dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan ke sini terutama di kedai-kedai tertutup tue.  Jangan awak tak tahu, mereka pun dapat duit kopi setiap bulan dengan membenarkan operasi haram kilang DVD cetak rompak dan rumah urut di seberang jalan sana.  Tergumam saya untuk berkata-kata.  Apakah nilai sebuah integriti dan nilai penjawat awam di Malaysia seperti longgokan sampah di perlimbangan?  Apakah sudah habiskah anak-anak muda kita yang diberi jawatan menjaga keamanan dan penguatkuasaan perbandaran ke tangan para durjana ini?  Sambung tuan restoran tadi, mereka tidak berani apa-apa kerana setiap bulan “kong-kong” ini akan datang menuntut hasilnya.  Tidak dapat tidak, mereka harus beri jika tidak mahu kedai mereka dirosakkan dan diapa-apakan.  Bagi rumah urut yang tak punya lesen, jangan risau kerana “raja besar” melindungi mereka dari segala ancaman perundangan iaitu Polis Raja di Malaysia dan MPK. 


Alangkah bangsatnya mereka yang memakan hasil harm dari sumber yang mencekik darah dan keringat orang.  Apakah pekedai tadi tidak membayar sewa kedai dan perlu membeli bahan mentah? Manakala bagi penjenayah yang mencetak rompak hak dan milik orang mengapa tidak dikenakan tindakan?  Perkara persundalan di rumah urut tersebut kenapa tidak dituntaskan dengan segera?  Apakah wang haram terbabit mendarah dan mendaging ke dalam jiwa penjawat awam tersebut yang rata-rata menurut rakan tadi adalah Melayu dan Islam?

Apa guna Operasi Cantas atau segala macam operasi besar-besaran di negara ini oleh Petinggi Negara kalau dalang-dalang bangsat itu adalah anak buahnya yang membuat onar di bawah sana?  Mereka inilah yang membusukkan dan merosakkan nama kerajaan dan jawatan yang disandangnya di mata orang ramai.  Para pengkhianat ini masuk ke dalam sistem gajian mudah perkhidmatan awam bukannya ingin berbakti kepada masyarakat  atau kesempitan wang kerana gaji wang awam yang kecil, tetapi kerana tamak serta berlagak mewah mengalahkan berjawatan Menteri adanya.  Mereka lupa dengan memberikan wang haram tersebut kepada keluarganya terutama anak bininya menyebabkan wang haram itu berlegar dan membenihkan segala macam kejahatan dan kemudaratan. Mereka yang bangsat dan pengkhianat ini lupa bahawa satu hari nanti mungkin penjenayah ini akan merosakkan keluarganya pula tanpa dia sedari. 

Apa sudah jadi dengan Polis dan pihak MPK di sana?  Masih kenyangkah dengan memakan hasil “wang kopi” orang berbanding membanteras jenayah yang gaji kalian di bayar untuk menegakkan keadilan dan kesejahteraan?  Bukan Kerajaan yang melantik kalian dalam sistem gajian ini tetapi kalianlah yang menjadi anjing memaksa kerajaan menerima kalian sebagai pekerjanya.  Setelah diberikan, kalian menjadi anjing yang menggigit tangn tuannya.  Semoga pihak polis di luar sana sedar bahawa “wang yang haram melahirkan anak yang bodoh, degil serta menyemarakkan api neraka untuknya” sama ada masih hidup atau masih mati.  Makanlah hasil haram itu selagi mampu, kelak babi-babi di hutan akan menggonggong kalian bila kalian tidak berguna lagi di sisi penjenayah terbabit.  Itulah harga sebuah pangkat polis dan ahli MPK.