Memaparkan catatan dengan label media transparent. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label media transparent. Papar semua catatan

Sabtu, 1 Mac 2014

Malaysia Tanpa Islam

Siri I:  Malaysia Tanpa Islam....

Malaysia ditubuhkan dengan dua perjanjian Persekutuan iaitu, Persekutuan Tanah Melayu yang menggabungkan negeri-negeri Melayu bersekutu, negeri Melayu tidak bersekutu dan negeri Selat; di satu perjanjian lainnya, Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura yang akhirnya Singapura dikeluarkan pada 1965.  Atas dua perjanjian bersekutu ini, maka lengkaplah negeri-negeri di Malaysia menjadi 13 termasuk Negeri Baharu di mana akhirnya pada 1974, Wilayah Persekutuan diwujudkan di Kuala Lumpur diikuti oleh Labuan dan Putrajaya menjadikannya 14 buah negeri yang bersekutu. 

Antara asas perjanjian-perjanjian Persekutuan ini khususnya di Tanah Melayu, ialah Raja-Raja atau Sultan-Sultan Melayu ini hendaklah dikekalkan bertakhta dan menaungi negeri serta rakyat baginda sendiri mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri kecuali Negeri Selat yang tidak diwakili oleh Raja melainkan hanya Gabenor Inggeris.  Selain itu, agama Islam adalah dimasukkan sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kedudukan dan keistimewaan Melayu sebagai rakyat Raja dikekalkan. 

Manakala sebagai satu timbal balas kepada kehendak Raja-Raja Melayu ini, baginda hendaklah membenarkan kaum-kaum bukan Melayu yang dibawa masuk oleh Inggeris sebelum ini diterima sebagai ‘rakyat’ dengan menganugerahkan mereka ini dari kaum Cina dan India ‘suatu hak kerakyataan’ yang setara sebagai ‘rakyat Raja’ dan mereka bebas mengekalkan identiti bahasa, budaya dan agama mereka di bawah Persekutuan Tanah Melayu ini. 

Keistimewaan ‘Rakyat Raja’ yang beragama Islam termaktub dan ditukilkan dengan jelas di dalam Perlembagaan Malaysia yang menjadi dokumen asas sebuah negara baru Tanah Melayu sebelum menjadi negara Malaysia di dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Bagi Persekutuan (di kalangan Raja-Raja Melayu) dalam suatu tempoh tertentu, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu (mulai merdeka 1957) dan bumiputera Malaysia (mulai 1963). Artikel ini secara terperinci memberitahu bagaimana Kerajaan Persekutuan mempertahankan kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia biasa dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial. Suka atau tidak, semua warganegara haruslah mematuhinya walaupun dengan ‘hati yang pedih’. 
 
Penentangan Orang Melayu ke atas Gagasan Malayan Union oleh British
Inilah harga menjadi ‘warganegara kelas kedua’ di Malaysia ini kerana kaum Cina dan India di bawa oleh British ke Tanah Melayu bukanlah atas restu Baginda Raja-Raja Melayu tetapi mengikut desakan British yang menagut hasil mahsyul negeri-negeri Baginda ini.  Tambahan pula, selepas Jepun mengangkat ‘Bendera Putih’ dek kekalahan dalam Perang Dunia Kedua, British telah bercadang menubuhkan “Malayan Union” sebagai satu Persekutuan Sekular dengan mencontohi India sebagai modelnya, tetapi ia ditentang oleh Orang Melayu/Islam ketika itu termasuk salah satu syaratnya ialah membuka kewarganegaraan kepada semua orang tanpa mengira bangsa, agama dan asal keturunan.  Akhirnya, Malayan Union terkubur dek penentangan maha hebat orang Melayu ketika itu dalam mempertahankan Tanah Melayu ini yang sebelumnya telah dijajah ratusan tahun oleh pelbagai kuasa asing. 

Bak kata orang, orang Melayu baru tersedar bangsa mereka ‘dijajah’ oleh orang lain bila Jepun betul-betul memijak kepala mereka dan sedar bahawa British hanya mengambil kekayaan negara ini sahaja tanpa niat memajukan mereka.  Dek ekonomi yang buruk, Melayu ‘yang baru sedar diri’ ini akhirnya bangkit menentang rancangan British itu.  Tunku Abdul Rahman yang menjadi perunding kepada kemerdekaan ketika itu, mewakili Persatuan-persatuan orang Melayu dalam mendapatkan persetujuan dari orang Melayu itu sendiri serta Raja-raja Melayu yang bertakhta ketika itu.  Walaupun di pihak Raja, ada di kalangan mereka yang menentang rancangan memberikan kewarganegaraan terbuka kepada kaum Cina dan India, rakyat juga dipujuk agar menerima syarat British itu jika ingin merdeka.  Tak tahan dengan pujuk rayu Inggeris, Tunku akhirnya bermatian-matian cuba memujuk dan meyakinkan Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu ketika itu.  Pujukannya termasuklah mengaitkan ancaman komunis yang semakin membimbangkan Raja-Raja dan Orang Melayu. 

Akhirnya, “kontrak sosial” ini berjaya diputuskan sebagai timbal balas antara kededuanya – kewarganegaraan segera dengan agama Islam, Bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu dimasukkan dalam Perlembagaan Negara.  Jika syarat itu tidak diterima, maka akan hanya ada Melayu dan Islam sahaja di bumi pertiwi ini.  Maka, di dalam kad pengenalan rakyat Malaysia kini dimasukkan “Agama Islam” sebagai pembuktian bahawa warganegara itu adalah “Subjek Raja” atau “Rakyat Raja”.   Bagi tiada agama atau kosong di ruangan agama di dalam kad pengenalannya, ia adalah kerakyatan segera yang boleh dibezakan kelak jika Persekutuan atas Persekutuan ini “dibatalkan”. 

Hal ini pernah dicabar oleh Ketua Menteri Singapura (Lee Kuan Yew) ketika masih di dalam Malaysia, beliau bahkan sanggup mengambil dan memberikan kewarganegaraan segera kepada pendatang dari China sebagai warga Persekutuan sehingga mengundang kecaman Menteri-Menteri Tanah Melayu ketika itu dan menyebabkan jumlah penduduk Melayu Islam berkurangan secara drastik.  Tindakan pantas Tunku membuang Singapura bersama warganegara baharu itu akhirnya menyelamatkan penduduk Islam di sini apabila hanya kekal sebagai 50% daripada keseluruhan jumlah penduduk Persekutuan Malaysia.  Sabah dan Sarawak telah membantu mengurangkan penduduk bukan Melayu Islam dengan kemasukannya ke dalam Persekutuan Malaysia, dan seluruh penduduk etnik dari Pulau Borneo itu dipanjangkan untuk dijadikan “Bumiputera” dan menikmati kemakmuran Perkara 153. 

Namun, Lee Kuan Yew tidak berhenti di situ, beliau terkesima dan kecewa dengan tindakan Tunku ketika itu, menyerang Kuala Lumpur dengan penuh muslihat dalam memastikan Islam dan Melayu bukanlah “Rakyat Raja Melayu” di Tanah Orang Melayu.

Sambungan Siri II, Singapura merumuskan Melayu bukan Islam, Malaysia bukan Tanah Orang Melayu. 

Siri III, Dari Komunis Bintang Tiga, DAP Memasuki Sistem Politik Malaysia.


Siri IV, Melayu Sendiri Mencabut Islam dari Tanah Orang Melayu.   

Ahad, 16 Februari 2014

Bebaskah Akhbar Malaysia?



Bebaskan Akhbar Malaysia?



Dalam Mingguan Malaysia bertarikh 16 Februari 2014, saya suka menukilkan tulisan “Awang Selamat” selaku penulis pojok di akhbar mingguan tersebut yang bertajuk “Kaji Hakim”.  Tulisan pojok dalam akhbar mingguan ini merupakan editorial utama mingguan yang akan saya rujuk bagi mengetahui duduk letak sesuatu perkara yang akan dirumuskan oleh editor mingguan tersebut dalam semua aspek yang pada pandangannya penting untuk diketengahkan. 



Antara tukikannya “…. Di negara serantau seperti Indonesia, Thailand dan Filipina, pihak perundangan dan orang politik meletakkan tanda aras yang tinggi dalam mengamalkan keterbukaan….”



Walaupun penulis tersebut mencatatkan beberapa nama besar dalam amalan kebebasan media yang saya kira berpatutan, tetapi dalam menakat negara ketiga khususnya jiran tetangga kita seperti Indonesia, Filipina dan Thailand sudah di kira sesuatu suntingan yang dibuat secara khusus. 



Umum mengetahui kononnya Indonesia mengamalkan kebebasan media yang pada pandangan mata kasar bersifat neutral, adil dan berkecuali (tidak memihak).  Tetapi jika diteliti secara mendalam dan berhati-hati, media di Indonesia misalnya amatlah berpihak serta memilih ikon-ikon tertentu untuk dijadikan mangsa kempen dan mangsa kutukannya di dada-dada akhbar mahupun mengheret televisyen untuk turut serta.  Begitu juga di Thailand dan Filipina, mereka yang mempunyai saham-saham yang banyak di media terbabit akan memberikan ruang dan peluang kepada calon politik tertentu dan menyokongnya bagi mendapatkan habuan kemudiannya. 



Jika di Malaysia, Utusan Malaysia dan Berita Harian khususnya Kumpulan Utusan dan Media Prima secara mutlaknya dimiliki oleh UMNO iaitu parti politik yang mentadbir negara secara terang-terangan.  Manakala RTM pula adalah hak milik Kerajaan secara khusus (Mata dan Telinga Rakyat) – khusus untuk melaporkan ehwal Kerajaan sahaja.  The Star pula dimiliki sekian peratusannya oleh Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan sebagainya.  Hal yang sama juga terjadi di Indonesia, Cuma pemegang saham ini tidak menjabat sebagai pentadbir politik di sana sebagai kuasa hukum tertinggi.  Akhbar Kompas misalnya (dalam talian, televisyen dan surat khabar) di Indonesia misalnya memihak kepada Joko Widodo seorang calon Presiden yang masih tidak dinyatakan dengan jelas oleh Parti Demokratik Indonesia (Perjuangan) - (PDIP).  Oleh itu, akhbar ini akan senantiasa menghentam kepimpinan Presiden sedia ada iaitu Susilo Yudhoyono sedangkan tuannya tidak diapa-apakan bahkan akhbarnya melorot lensa kamera ke lokasi walkabout Gabenor Ibu Kota Jakarta (DKI) tersebut saban waktu tanpa segan silu dan membiarkan Presidennya membuat liputan sendirian. 




Manakala televisyen TVOne pula, ia senantiasa menampilkan tokoh-tokoh pemegang sahamnya sendiri dari pelbagai parti yang menaungi milikan sahamnya seperti Hati Nurani Rakyat (Hanura) dan Golongan Karya (Golkar).  RCTI dan MNC pula adalah media yang mempromosikan parti politik khusus untuk masyarakat Tionghua di sana yang berkolaborasi dalam beberapa parti kecil di sana dan dimiliki oleh jutawan pro-politik.  Televisyen ini juga senantiasa memastikan tokoh-tokoh mereka mendapat liputan yang seimbang bagi menyaingi media-media lain yang mempromosikan tokoh masing-masing. 



Sedangkan dalam masa yang sama mereka menghentam sesama sendiri dalam kes-kes rasuah yang terpencar dari pemerintahan.  Terbaharu, Televisyen Indonesia (TVRI) yang dimilik negarakan seperti RTM di Malaysia sangat memandang serius perkara-perkara melibatkan pemilihan umum (pilihanraya Presiden dan Dewan Perwakilan Rakyat) Indonesia tetapi kes rasuah yang melibatkan parti pemerintah semasa (Demokrat) disensasikan sehingga menjadikan Presiden dikambing-hitamkan oleh stesen televisyen masing-masing sehingga menggugat citra warga kepada pemerintah/Kerajaan semasa. 



Apakah ini dikatakan neutral? Ya, benar ia mencerminkan aspirasi pembangkang dan bebas berkomentar.  Apakah melaporkan sesuatu yang benar dan hak itu neutral? Tidak.  Di Indonesia, mereka akan melaporkan dari “sudut pandang” mereka ke atas isu tersebut serta memberikan kredit kepada pihaknya sendiri.  Jika rasuah memang wajar diserang, mereka juga menyerang tokoh-tokoh kerajaan sehingga rakyat hilang keyakinan kepada kepimpinan tersebut dan menaikkan tokoh mereka sendiri secara terang-terangan dan menolak aspirasi bangsa.  Berlainan citra pula di Malaysia, walaupun UMNO memiliki sebahagian saham dalam media di sini tetapi pelaporannya masih bersifat rasional, nasional dan mementingkan hala tuju negara bangsa.  Bagi hal terkait politik, memang tiada akhbar yang menyokong selain dari Kerajaan, tetapi dewasa kini, kita dapat melihat dengan jelas akhbar The Star yang dimiliki oleh MCA tetap mengkritik MCA sendiri serta mengangkat calon-calon pembangkang dalam pelaporan mereka.  Begitu juga Berita Harian dan Utusan Malaysia yang melaporkan dengan jelas kelemahan pentadbiran Tuan Abdullah Ahmad Badawi lewat Pilihanraya umum ke 12 tempoh hari.  Sehinggakan Tun Dr. Mahathir juga dilarang mengakses media pada tahun 2004- 2006 atas alasan yang sama, sedangkan beliau adalah mantan Perdana Menteri. 



Walaupun kelibat media di Malaysia kelihatan amat mesra dengan tokoh Kerajaan dan kepimpinan, terdapat juga satu dua berita yang mengkritik pentadbiran secara berhemah dan beradap, manakala bagi ehwal pembangkang jika berkaitan negara bangsa ia tetap akan dimasukkan dalam laporan mereka walaupun tidak seindah keinginan pembangkang.  Utusan Malaysia tanpa segan silu tetap melaporkan Muktamar Pas khususnya berkaitan perpaduan orang Islam walaupun ia ditentang sendiri oleh orang PAS yang tidak sehaluan dengan gaya penulisan Utusan Malaysia itu sendiri.  Utusan Malaysia juga tetap menukilkan tokoh-tokoh pembangkang yang berkata sesuatu dengan jelas dan pada haknya selain disorot oleh lensa media lainnya.  Walau ia dikatakan dimanipulasi, tetapi ia tetap berita yang segenap negara ingin tahu khususnya pembentukan citra negara bangsa.  Berbeza pula di Indonesia, mereka melaporkan tetapi akhirnya tetap menyalahkan pihak yang lain sehingga negara menjadi keliru dan kelihatan media mereka itu bebas dan adil. 



Padahal di Malaysia, pembangkang juga boleh menulis dan mencerminkan aspirasi politik mereka di dalam akhbar parti masing-masing dan dibenarkan diterbitkan seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket.  Di media-media elektronik khususnya di lelaman sesawang, media pembangkang tetap menguasai carta walaupun dikatakan ia disekat bagi memburukkan imej negara.  Pernahkah Harakah atau Suara Keadilan memberikan satu ruangan yang memuji hasil pencapaian negara? Pernahkah akhbar partisan milik pembangkang membuat satu kolum khusus untuk parti kerajaan tanpa menghentamnya? Begitu juga di akhbar perdana cuma bezanya citra, akhbar perdana lebih melaporkan hak suara terbanyak (majoriti) walaupun majoriti semakin kecil dan tidak memihak kepada parti pemerintah.  Ada juga penulis yang membodek majikannya siang malam, tetapi ehwal negara bangsa mereka tidak pernah gagal melaporkannya. 



Di Thailand dan Filipina, taikun-taikun media juga meletakkan tokoh-tokoh mereka sendiri dari pelbagai parti politik untuk mereka ketengahkan.  Akhbar ini sama seperti di Indonesia, kelihatan neutral tetapi tetap dipengaruhi oleh pemegang saham serta kecenderungan mereka memihak.  Membaca di antara garisan dapat membezakan mereka.  Dan sudah tentu ia amat berbeza dengan Malaysia dan Singapura kerana akhbar di negara ini adalah mengikut kehendak majority suara rakyat di Dewan Rakyat. 



Mungkinkah jika UMNO tumbang dan menjualkan sahamnya, media ini akan mengikut tuannya yang baharu? Atau ia akan menjadi media yang sama seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand?