Ahad, 26 Januari 2014

Kelajuan Internet di Malaysia seaksi Kura-kura dan Arnab



Menguji Data dan Kelajuan Internet di Malaysia


Minggu lepas saya berpeluang mendengar keluh kesah masyarakat bahawa harga pakej data internet di Malaysia masih lagi tinggi.  Hal yang serupa juga diajukan bahawa pakej telekomunikasi ini amat munasabah berbanding pembekal perkhidmatan yang lain.  Itu kata orang.  Namun, awal bulan lepas semasa pemasangan Fibre Internet di rumah, saya dimaklumkan oleh pegawai infra bahawa kemudahan telekomunikasi di Malaysia kelihatan tertinggal arus.  Justeru, saya mengimbau pengalaman mengendalikan beberapa Pusat Media di negara ini yang rata-rata menyatakan talian telekomunikasi Malaysia adalah sejak zaman 70-an tanpa sebarang penambahbaikan yang signifikan di seluruh negara kecuali bandar besar dan ibu kota. 

Beberapa ketika lalu, perusahaan telekomunikasi British melakukan kajian menggunakan internet dengan kelajuan paling maksimum iaitu 1.4 Tbps. Akan tetapi, pengujian tersebut masih berupa eksperimen dan masih belum dapat dinikmati oleh pengguna dalam waktu terdekat di negara maju tersebut.

Berbeza pula halnya dengan rancangan penerapan jaringan 5G di Korea Selatan. Sebagaimana dilaporkan oleh Phone Arena, akhbar di negara Ginseng itu bahawa mereka sedang menyiapkan pemasangan infrastruktur jaringan berkabel 5G yang kelajuannya 1,000 kali lebih laju berbanding teknologi 4G terkini.

Angka tersebut dalam ukuran matematiknya  adalah sekitar 10 Gigabit per saat/ Gbps (1Gbps bersamaan 1,000 Megabit per saat/ Mpbs). Dengan kelajuan sederas itu, sebuah filem atas talian berkapasiti ukuran 800MB dikatakan boleh dimuat turun (download) dalam waktu kurang dari 1 saat. Sebagai perbandingan, jaringan 4G pula memerlukan waktu 40 saat untuk dimuat turun bagi fail yang sama. (Untuk maklumat, generasi jaringan internet di Malaysia masih pada skala 3G dan 3.5G sahaja)


Kementerian Ilmu Pengetahuan dan Teknologi Korea Selatan menyiapkan dana sebesar USD1.5 billion untuk membikin jaringan internet yang dikatakan terlaju dan termaju di dunia ini. Oleh itu, jaringan 5G ini akan mula berada dalam persekitaran warga Korea Selatan seawal pada 2017 dan bagi sepenuhnya liputan untuk keperluan komersial pada tahun 2020 iaitu tahun Malaysia menjadi negara maju katanya.

"Kami membantu pertumbuhan nasional melalui layanan 2G di dekad 90-an, 3G di tahun 2000-an, dan 4G sekitar tahun 2010. Kini adalah masanya melangkah lebih jauh lagi dengan 5G," tulis Kementerian Ilmu Pengetahuan dan Teknologi Korea Selatan dalam sebuah kenyataan akhbar.

Para gergasi elektronik dan operator telefon bimbit di negara itu, seperti Samsung, LG, SK Telecom, dan Korea Telecom, diharapkan akan turut melabur dalam program jaringan 5G tersebut bagi pembangunan komersial.

Korea Selatan sendiri memang terkenal sebagai salah satu negara dengan jaringan internet yang terbaik di dunia selain Jepun dan negara maju barat yang lain. Negara itu  terus menerus berada di carta teratas dalam urusan kecepatan internet terlajunya.  Berbeza halnya di Malaysia, kadar caj yang mahal masih dikenakan kepada pengguna bahkan jaringan generasi internetnya juga masih tertinggal kapal. 

Diharapkan Menteri Telekomunikasi di Malaysia dapat memainkan peranan penting dalam perkara ini.  Kita harus menjadi maju tanpa mengorbankan apa-apa harga benda yang seikatan dengannya. 

Jenis Telefon Pintar yang "Kuat Makan Data"



Jenis Telefon Pintar yang “Kuat Makan Data” 


Dengan jaringan internet tanpa kabel yang semakin mendapat perhatian, permintaan data jaringan telefon juga mengalami peningkatan. Tingkat penggunaan data melalui telefon ini seperti yang ditukilkan oleh sebuah kajian dari JDSU Research, ternyata boleh dibuat perbandingan antara penggunaan telefon pintar masing-masing – sama ada telefon pintar anda “kuat memakan data atau tidak”.   

Penelitian JDSU Research melibatkan satu juta pelanggan data yang menggunakan lebih dari 1,500 model telefon bimbit pintar (termasuk model-model terkini keluaran Apple, Samsung, Sony, dan lain-lain) di wilayah Eropah yang dikategorikan sebagai pasaran maju dan dinamik.

Para pengguna telefon pintar ini yang dilengkapi data tersebut dipantau selama 24 jam. Kajian serupa juga dilakukan di negara-negara membangun yang lain pada masa yang sama. 

Hasilnya, ditemukan bahawa model iPhone 5S dari Apple merupakan telefon pintar yang penggunanya paling "boros" data, baik di negara maju mahupun di negara membangun lain. Tingkat penggunaan data pengguna iPhone 5 paling besar dibandingkan model-model lain, seperti Galaxy S4 keluaran Samsung dan Sensation dari HTC.

Dibandingkan iPhone 3G yang dijadikan asas pengukur perbandingan dalam penelitian tersebut, tingkat penggunaan data bagi model iPhone 5S lebih tinggi tujuh kali ganda di negara maju dan 20 kali ganda di negara membangun seperti Malaysia. Tingginya tingkat penggunaan data ini antaranya ialah “akses yang bersambung dengan 4G”. 

Dalam kajian JDSU Research tersebut, "semakin pantas kecepatan akses yang disediakan oleh operator telekomunikasi, semakin banyak pula data yang digunakan oleh pengguna dan permintaannya juga bertambah secara tidak langsung," ujar Michael Flanagan dari JDSU, dan ditulis oleh Cnet.

Secara umumnya, peranti-peranti keluaran Apple menguasai urutan teratas telefon pintar yang paling boros data (dalam bahasa mudah, “kuat makan data”). Ini merupakan tahun keempat berturut-turut syarikat Apple muncul di kedudukan pertama dalam senarai “telefon pintar paling kuat makan data”. Sebelumnya telefon iPhone 5, yang menduduki carta pertama tersebut.

"Setiap keluaran terbaru, generasi iPhone menghasilkan peningkatan penggunaan  data antara 20-40 peratus," ujar Flanagan. "Menariknya, tingkat penggunaan data pengguna iPhone 5C berada di antara iPhone 4S dan iPhone 5."

Hasil kajian tersebut diperolehi bagi memuat turun maklumat (download).  Manakala kategori memuat naik (upload), telefon pintar Galaxy S4 dari Samsung tampil di tempat pertama dengan kadar penggunaan lima kali lebih besar dibandingkan pengguna iPhone 3G di negara maju dan 11 kali lebih besar dibandingkan iPhone 3G di negara membangun.

Penggunaan data yang besar semasa memuat naik melalui telefon pintar Galaxy S4 keluaran Samsung ini adalah kerana resolusi kamera Galaxy S4 yang lebih tinggi (13 megapixel) dibandingkan kebanyakan model iPhone (8 megapixel) sehingga memerlukan data yang lebih besar ketika memuat naik ke internet.

Oleh itu, bagi pengguna telefon pintar iPhone keluaran Apple, anda memerlukan data yang lebih besar dan banyak bagi aktiviti internet seharian anda berbanding jenama lainnya.  Berikut adalah hasil kajian tersebut secara keseluruhannya.  

Rabu, 22 Januari 2014

Lumba Kereta atau Lumba Mati di Jalan?



Menjadi rakyat Malaysia memang payah! Kaki komplen, mengadu dan mengutuk semua ada.  Kalau di bilang suka mengkritik sedang diri tiada apa-apa, mereka akan marah.  Kononnya menghina bangsa mereka.  Tetapi mereka sering lupa bahawa jari lurus telunjuk, jari kelengkeng berkait.  Maksudnya, satu ditunjukkan kesalahan orang berpuluh-puluh kesalahan pada diri sendiri. 


Manja dan megah sangat dengan diri, akhirnya bangsa Melayu terus mundur.  Bila kita ingin majukan mereka, mereka sanggup tikam belakang dan nak maju sendiri kononnya.  Akhirnya mereka menang tapi kampungnya tergadai.  Contohnya – Singapura.

Dulu Singapura yang dibuka oleh Sang Nila Utama berbangsa Nusantara Melayu tetapi kini entah makhluk mana pula menguasai pulau keramat hujung benua Asia itu.  Orang Melayunya di mana?  Ada di sana tetapi mendiamkan diri bak kerbau berkubang.

Tetapi jangan di Singapura, di Malaysia pun sama.  Di sana rakyat mereka patuh dengan undang-undang untuk berjaya.  Di Malaysia pula mereka berlumba-lumba lawan undang-undang.  Diriwayatkan seorang tokoh negara kononnya cuba memusnahkan sistem undang-undang negara.  Kononnya kerajaan zalim dan kejam ingin mengambil untung.  Tetapi dia lupa, bahawa semasa dia menjadi tokoh negara dulu, dialah antara yang memulakannya. 
 
Tak payah cerita panjang.  Dulu banyak orang mati sebab kempen keselamatan jalan raya katanya gagal.  Bodohnya menteri itu dan menteri ini bertingkat-tingkat sebab gagalnya membendung usaha kemalangan.  Hari ini, bila kita menjadi bijak dengan mengenalkan sistem penguatkuasaan automatik AES untuk membendung kemalangan maut – dikata mengambil untung pula.

Bukanlah bodoh!  Adakah dia ingin melihat ramainya orang mati di jalan?  Sedangkan merekalah memulakan kempen bahawa kerajaan telah gagal membendung kematian di jalan raya sehingga rugi RM9billion ringgit setahun akibat kemalangan?  Kini, bila kerajaan berusaha membendungnya, di paksa kerajaan untuk membatalkannya?  Dah kenapa??
Rakyat Malaysia yang mati dijalanraya bukannya mati katak, mati percuma.  Seorang dari 100,000 penduduk Malaysia akan mati akibat kemalangan bukan sebab usia tetapi memandu.  Sama ada dia memandu cuai atau menjadi mangsa pemandu lain yang cuai.  Musibahnya, dia mati dan meninggalkan beban kepada negara.  Kenapa negara?

Kita lupa bahawa si mati bukan sahaja dilindungi undang-undang insurans, kenderaan, balu serta anak-pinak dan tanggungan.  Bahawa kerajaan untuk menjaga kebajikan anak-anak yatim terpaksa mengeluarkan kos tinggi menyara anak-anak yatim atau balu-balu yang ada.  Bagi yang cacat akibat kemalangan juga dibantu, itu belum kira bil rawatan hospital, kos mahkamah untuk insurans dan tugas polis yang dikerah di jalan semasa kemalangan.  Itu semua pakai air liur ke?

Berbalik dengan Sang Singapura pula kenapa ia berkaitan?  Di negara sebelah bawah itu sistem ini telah lama diamalkan dengan teknologi yang sama juga dengan Malaysia.  Sikap rakyatnya yang hanya takut pada polis dan tidak pada diri sendiri dan Tuhan telah membantunya mengubah nasib ibu tunggal dan anak-anak yatim serta kos negara. 

Mereka turut memasang sistem AES ini lengkap dengan ukuran kelajuannya sekali memaklumkan pengguna berapakah kadar kelajuan mereka melalui mesin pengimbas tersebut.  Mereka turut merakamkan gambar sekiranya masih enggan mengaku siapakah yang telah memandu pada hari kejadian.

Bezanya mereka dah tak melawan, tetapi orang Melayu yang banyak mati dijalan berebut-rebut melawan nak salahkan kerajaan yang nak jaga nyawa dia.  Pelik tak?

Isu Kangkung di Negara Luar



Isu kangkung yang dimainkan oleh pihak oposisi di Malaysia tidak terhenti setakat beberapa ketika bahkan hal tersebut dikutip oleh beberapa media asing.  Antara media asing yang memainkan isu tersebut serta pengaruh media sosial di Malaysia ialah BBC (British Broadcasting Channel)  dan juga akhbar Kompas.com di Indonesia. 


Namun, tanggapan luar kepada keprihatinan PM Malaysia ini dipuji oleh beberapa komentar negara luar kerana kesanggupan PM melihat sendiri sehingga ke akar pokok masyarakat serta keprihatinan PM dengan isi hati rakyat walaupun cuma sebatas "kangkung" selain keterbukaan PM Najib dengan para pengkritiknya yang menjadikan intisari ucapannya sebagai lelucon.

Mereka melihat PM Najib bersungguh-sungguh menangani masalah rakyat dan membandingkan prestasi Pemimpin negara masing-masing terutama di Indonesia yang kini dirundung banjir saban tahun. Ketika Negara asing bergelut mengatasi masalah mereka sebagai hal yang sendiri, Presiden Indonesia pula sedang menguruskan hal partinya, Parti Demokrat Bali.  Walaupun dilanda musibah, Susilo tekad menghadiri mesyuarat tersebut disebabkan partinya terjerumus teruk ke kancah rasuah apatah lagi saat Pemilihan Umum sedang rancak diadakan.  Pemergiannya demi politik dengan membiarkan warga Daerah Karo di Medan menjalar akibat letusan gunung berapi Sinabung serta warga Jakarta yang mengguyur dalam kebasahan banjir. 


Begitulah, di negara sendiri mencemuh pemimpin sendiri, tetapi orang lain lebih menghargai apa yg telah ada di sini. Walaupun tidak berniat memalukan dan menyinggung, tetapi viral ini memberikan satu pukulan politik hal seremeh "kangkung" juga diberi perhatian apatah isu besar yang lain menurut tukikan di lelaman sesawang Kompas.com terkait hal yang sama.

Teringat dialog filem ini…. “lihat orang sebelah tue, hari-hari makan tulang... Nasib kau kahwin dengan aku har-hari makan hati.....(Cuba teka Filem apa?)