Sejak reformasi Indonesia pada 1998 yang
menggulingkan Presiden Soeharto, Indonesia terus ketandusan pemimpin yang boleh
menjamin kedaulatan dan kesinabungan sebuah Negara bangsa yang padat. Jika Bapak Soeharto menjabat pejabat Presiden
dengan insiden ‘pemberontakan komunis’ di Lobang Buaya, menggantikan Sukarno
yang dilihat semakin mengguyur lemah – ia adalah satu perjuangan yang jelas
berbayar.
Di Malaysia, setelah gagal meredakan kemarahan
orang Melayu dan kebiadapan kaum Cina selepas Pilihanraya pada 10 Mei 1969,
Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri ketika itu ditunjukkan pintu keluar oleh
beberapa penjabat jawatan dalam UMNO dan Kerajaan ketika itu. Dek keganasan kaum yang membunuh puluhan jiwa
di sebelah Melayu dan Cina, Tunku mengambil jalan tengah dengan membenarkan
Timbalannya, Tun Razak menjabat jawatan nombor satu negara melalui Majlis
Gerakan Nasional (MAGERAN).
Di Turki, sebuah negara sekular konservatif barat
juga mengalami perubahan setelah berjaya menumpaskan parti pemerintah Suleyman
Damirel dan Ahmad Necdet Sezer dari
Parti Truth Path dan Parti Bebas. Parti
AK yang melakukan reformasi sekular kepada lebih Islamik dan moderat
memperlihatkan dirinya sebagai parti pro-Amerika dan pro-Barat untuk mengambil
hati pengundi yang ramai di kalangannya adalah sekular dan pro-Barat. Cubaan Recep Tayyib Erdorgan berjaya membawa
AK Party ke Parlimen dan terus membentuk Kerajaan sejak 2002 sehingga
kini. Jika sebelum ini parti-parti
berteraskan Islam akan selalu kalah dan jika mempunyai kuasa pun akan
dibatalkan oleh Presiden dan mahkamah, tetapi AK Party ini menunjukkan satu
iltizam politik yang berbeza. Sama
seperti Indonesia, Malaysia dan Turki – Politik Tepu!
Indonesia
Sejak Presiden Soeharto digulingkan pada 1998 dan
digantikan dengan beberapa susuk Presiden mengepalai negara yang mempunyai
penduduk Islam terbesar di dunia itu, ia tetap tidak sebaik dan semaju di zaman
pemerintahan Soeharto yang “licik dan kejam” itu. Presiden Habibie telah berjaya mengeluarkan Timor
Leste menjadi negara bebas merdeka ke-11 di Asia Tenggara sejurus menjabat
jawatan dari hasil penggulingan Soeharto.
Presiden Megawati anak kepada pengasas Indonesia juga telah berjaya menjabat
jawatan Presiden telah memberikan ruang dan peluang yang cukup besar kepada
warganegara bukan Indonesia (WNI) seperti kaum Tionghua dalam pelbagai
kesempatan politik, ekonomi dan kebudayaan di negara tersebut. Buruk dari segalanya, Presiden yang mempunyai
masalah penglihatan iaitu Gus Dur atau Abdul Rahman Wahid telah berjaya membebaskan
Indonesia menjadi sebuah negara sekular dan liberal baru di Asia Tenggara
apabila membenarkan Kalimah 'Allah' digunakan oleh pihak Gereja dan usaha
pemurtadan umat Islam Indonesia semakin menjadi-jadi kini.
Pengganti seterusnya ialah Presiden Susilo Bambang
Yudhoyono (SBY) menjabat sejak 2004 sehingga kini tidak lekang dengan
kontroversi rasuahnya. Setelah
menubuhkan sebuah badan anti rasuah dengan lantikan ahli keluarganya, satu persatu
kader partinya ditahan kerana terlibat dengan pelbagai jenayah rasuah yang
terus meluap-luap. Rupiah Indonesia yang
semakin melemah dan jurang ekonomi antara warga terus menjurangi kehidupan sosial
warganya menjadi masalah kepada Indonesia pasca reformasi tersebut.
Akhirnya dalam kesempatan pemilihan Presiden 2014,
Indonesia tidak mempunyai sosok tubuh yang layak menjabat jawatan tertinggi negara
pulau tersebut. Maka percaturan baru
telah dibuat oleh jutawan media di sana.
Dengan modal pengaruh dari media dan pembaca yang besar serta condong
kepada idealisme Megawati yang pro WNI dan kaum Tionghua, akhbar Harian Kompas
yang memiliki saham akhbar dan televisyen Trans TV ini menaja satu calon bukan
pilihan untuk menjadi sosok pengganti Presiden negara tersebut. Menguji kemampuan kader parti PDI-Perjuangan
pimpinan Megawati anak kepada Presiden Sukarno, Joko Widodo telah dicalonkan
dalam pemilihan Gabenor Jakarta Pusat (Daerah Khusus Ibukota) bergandingan
dengan Tionghua pertama menjabat jawatan tertinggi di negara yang sensitif perkaumannya
itu – Basuki atau dikenali Ah Hok (dieja “Ahok” di Indonesia).
Setelah menang jawatan tersebut, tugas seterusnya
konglomerat media di Indonesia itu ialah menjadikan Joko Widodo yang dikenali Jokowi
sebagai satu calon yang positif serta pemegang aspirasi seluruh Indonesia
sebagai satu-satunya calon Presiden yang terhampir mendapat sokongan umum
melalui permainan pendapat umum. Calon
ini diketengahkan dan pelbagai teori komunikasi dikenalkan ke atas Jokowi ini agar
akhirnya parti yang pro kaum Cina ini dapat membela nasib mereka di hari muka
setelah “dikerjakan” semasa pemerintahan Soeharto dan era Reformasi 1998
dahulu.
Agenda kaum Tionghua amat jelas bahawa mereka tidak
lagi mahu menjadi warganegara penumpang atau warganegara kelas kedua, mereka
inginkan “kuasa” yang boleh mengubah Indonesia mengikut kehendak dan kemahuan
mereka setelah berjaya meliberalkan beberapa elemen Islam di sana di bawah
kuasa Gus Dur dan Megawati sebelum ini.
Jika di zaman Order Baru (era Soeharto) perayaan Tahun Baru Cina tidak
disambut dan tiada cuti, kali ini pasca reformasi yang telah membunuh ribuan
Tionghua di sana telah menjadikan Tahun Baru Cina sebagai cuti umum negara dan
kaum bukan peribumi boleh menjabat jawatan tertinggi di jabatan awam di negara tersebut.
Maka, mewujudkan sosok tubuh keahlian politik baru
menjadi kepakaran media di Indonesia telah berjaya melarikan pendapat rakyatnya
tentang beberapa perkara pokok yang membentengi minda penduduk negara itu
sebelum ini. Permainan ini kelihatan hampir
ke penghujung, jika pemilihan Presiden Indonesia 2014 memihak kepada Jokowi
seorang kader PDI-Perjuangan pempinan Megawati sebagai Presiden Indonesia ke-7.
Turki
Parti Islam tidak bena menjabat jawatan yang tinggi
sejak tertubuhnya negara Turki hasil pemecahan empayar Turki Uthmaniah pada
1922-1923. Mustafa Kemal Attarturk yang
dikatakan pengasas Turki Moden dan sekular memperkenalkan pelbagai inisiatif
pro-Barat dan Yahudi setelah menjabat jawatan Presiden hasil pemusnahan kuasa
Islam terbesar dunia itu sejak dari awal lagi dan mewariskan legasinya zaman
berzaman. Jika ada parti berasaskan
Islam bertanding di Turki hanya terdapat dua kemungkinan, sama ada parti tersebut akan
dibatalkan ataupun calon terbabit akan disabitkan dengan pelbagai kesalahan
pilihanraya sehingga akhirnya puak sekular terus mendominasi kerusi Parlimen di negara
sub-Asia dan Eropah itu.
Pada tahun 2002, AK Party nyaris-nyaris tidak dibenarkan
bertanding dalam pilihanraya umum kerana pemimpin utama parti tersebut, Receb Tayyib Erdorgan pernah disabitkan dengan kesalahan membaca sajak yang pro-Islam
di negara tersebut. Tetapi atas
kebijaksanaan politik, parti tersebut terus bertanding dan memenangi buat kali
pertama sejak 11 tahun dengan kemenangan dua pertiga kerusi parlimen di negara pro-sekular
tersebut. Abdullah Gul, selaku kader
parti telah memimpin Kerajaan tersebut sehingga satu referendum umum diciptakan untuk
memastikan Erdorgan menjadi Presiden sah Turki yang sebenar.
Mengambil kesempatan atas penjajahan Amerika ke
Iraq pada 2003, Erdorgan menukar kulit AK Party yang Islamik kepada pro-Barat
dan Pro-Amerika dan mengusulkan pindaan perlembagaan yang membolehkannya
bertanding dalam pilihanraya setelah disekat oleh dasar negara sebelumnya yang sekular. Tindakannya mengundang padah apabila beberapa
pemimpin parti tersebut melompat kepada parti pembangkang (CHP) dan
menentangnya. Tetapi kebijakannya
mengambil kesempatan atas pemberontakan tersebut dan kemelut Iraq berjaya mendapatkan
sokongan Parlimen untuk memansuhkan larangan penggantungan politiknya. Setelah menang dalam satu pilihanraya kecil
di Siirt pada 2003, akhirnya Erdorgan menjadi Presiden Turki yang pro-Islam pertama dan
pada masa yang sama pro-Barat dan progresif.
Sehingga kini, Presiden Turki ini akan terus
mentadbir Turki dan hanya sekali pernah bertukar jabatan dengan Abdullah Gul
apabila Gul menjadi Presiden dan beliau menjadi Perdana Menteri kerana
permintaan Perlembagaan yang menyekat Presiden dari dipegang selama dua penggal
berturut-turut, beliau kelihatan terus pragmatik dalam mengatur perjuangan
politik di negara berpenduduk 73.7 juta jiwa tersebut.
Cerita ini juga hampir sama dengan pertempuran
Vladamir Putin di Rusia dan Thaksin Shinawatra di Thailand melalui proksi
adiknya Yingluck Shinawatra. Cuma di
Indonesia dan Turki yang rata-rata jiwa warganya adalah Islam lebih dekat untuk kita memetik mereka menjadi aspirasi politik tepu di Malaysia.
Malaysia
Setelah menjabat jawatan Perdana Menteri Malaysia
kedua, Tun Razak mengaturkan pelbagai pelan pemulihan kuasa di atas kehendak
dan kemahuan orang Melayu yang dilukai oleh Tunku kerana 'prasangka baiknya' terhadap
bukan bumiputera ketika itu. Akhirnya,
Peristiwa 13 Mei membunuh semua impian Tunku untuk melihat negara baru yang
stabil. Tun Razak membina MARA sebuah
institusi yang memihak kepada ekonomi Melayu, FELDA, FELCRA, PETRONAS dan
banyak lagi institusi milik Melayu bagi mengimbangi kuasa ekonomi bukan
bumiputera yang telah lebih awal mengaut kekayaan Tanah Melayu atas bantuan
British. Beliau (Tun Razak) berjaya mengembalikan
keyakinan awam kepada Kerajaan setelah masalah besar tersebut melanda dengan kekuatan politiknya.
Mahathir mewarisi semangat Tun Razak setelah beliau
tiba-tiba meninggal dunia akibat sakit leukimia di London untuk terus mengubah
landskap politik negara ini. Dari sebuah
negara pertanian kelas ketiga dan mundur, Malaysia bangkit menjadi Harimau Asia
setanding Korea ketika itu dan terus meniru model Jepun untuk meningkatkan
taraf ekonomi rakyatnya menjadi sebuah negara perindustrian. Pendidikan Tinggi, biasiswa, infrastruktur
serta regim kewangan negara telah berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang
makmur dan maju dalam pelbagai bidang termasuk sukan. Ditambah dengan dasar politik Mahathir yang lancang
dan menentang aspirasi pro-Barat, Mahathir berjaya berdiri di pentas dunia
dengan gah dan disokong oleh negara dunia ketiga terutama di blok Afrika.
Pelbagai kemudahan asas telah dibangunkan oleh
Mahathir semasa 23 tahun pemerintahannya yang dikatakan zalim dan kejam itu kononnya. Tetapi dek kejam dan zalimnya beliau ketika
itu, banyak warga Islam dan Melayu berjaya menyambung pelajaran ke peringkat
teringgi di luar negara dan di universiti tempatan sehingga kini. Pelbagai bangunan dan prasarana negara telah
dibina dan akhirnya projek membazir ini menjadi tidak cukup besar untuk
menampung keperluan rakyat yang semakin bertambah permintaannya. Sebagai contoh, KLIA dan sistem rel LRT
selaku pengangkutan awam di ibu kota terpaksa di tambah dan diperluaskan. Pembaziran yang dikritik pembangkang itu kini
telah menjadi satu keperluan masyarakat serta pelancong. Penduduk Malaysia yang hanya mempunyai 28
juta jiwa kini menerima pelancong hampir sama banyak dengan jumlah penduduknya
dan memberikan tukaran asing yang terbaik dalam negara Asia ini selepas
Singapura.
Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pemerintahan negara
setelah Mahathirisme menunjukkan tanda-tanda yang beliau perlukan rehat panjang dek
penat membangunkan negara ini selaju litar Formula Satu. Tetapi masalah bermula apabila satu persatu
projek Mahathir tidak diteruskan oleh Abdullah dan terus memburukkan keadaan apabila musuh
utama Mahathir – Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara. Abdullah telah membatalkan pembinaan jambatan
bengkok yang mampu menggoncangkan Pelabuhan Singapura. Tetapi ia tidak menjadi realiti dan kembali
mengecutkan ekonomi di Negeri Selatan tanah air tersebut. Anehnya, projek tersebut telah
membayar jutaan ringgit sebagai pampasan kepada pihak pemaju.
Bukan itu sahaja, perkara yang amat digeruni Mahathir menjadi realiti apabila
rusuhan demi rusuhan serta hasutan kebencian politik terus berlaku oleh Anwar Ibrahim. Ditambah dengan ketidakupayaan Abdullah
meneruskan momentum Mahathir, beliau dikritik kerana gagal memajukan ekonomi
yang telah membaik selepas Mahathir bersara.
Akhirnya, Abdullah terperosok di pintu kuasa apabila gagal mengulangi
kemenangan bergayanya pada 2004 sejurus mengambil alih Putrajaya.
Abdullah telah ditewaskan di lima buah negeri yang
kaya hasil mahsyulnya (Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan gagal merampas
kembali Kelantan) serta gagal memperolehi dua pertiga kerusi Parlimen di mana ia
tidak pernah berlaku sejak Merdeka lagi (kecuali PRU 1969). Kritikan Mahathir di atas kegagalan politik,
ekonomi dan pentadbiran awam Abdullah menambahkan lagi jurang pemisah antara
rakyat dengan Kerajaan. Akhirnya,
Abdullah terpaksa melepaskan jawatan nombor satu Malaysia kepada pewarisnya
juga ditunjukkan secara tidak langsung oleh Mahathir – Najib Tun Razak pada 3
April 2009.
Mewarisi kerajaan yang lemah di Parlimen serta
dasar negara yang tidak signifikan, Najib menaburkan pelbagai iltizam politik
dalam memancing undi rakyat dan sekali lagi musuh utama Barisan Nasional –
Anwar Ibrahim mengetuai kempen pembangkang Pilihanraya di Malaysia. Seperti tekaan ramai dan Mahathir sendiri,
Najib juga gagal dalam kempen PRU nya pada Mei 2013 apabila kerusi Parlimen
turut melorot jatuh walaupun berjaya menawan kembali Perak dan Kedah. Undi parti BN di negeri-negeri turut melorot
dengan teruk seperti di Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka. Najib terus mentadbir Malaysia dengan
kelemahan sistem yang ketara serta polisi awamnya yang kabur. Inisiatif politiknya dalam Gagasan 1Malaysia
telah memakan diri apabila beliau menghentam pengundi Cina yang tidak memilih
BN sebagai krisis “Tsunami Cina”. MCA dan
Gerakan dua buah parti komponen Barisan Nasional yang diwakili kaum Cina
kecundang dan menyebabkan undi Najib melorot tidak bercadang memegang jawatan
dalam Kerajaan akibat tanggungjawab atas kekalahan yang buruk dalam sejarah
pilihanraya Malaysia. Bahkan sehingga
kini, kaum Cina tidak berasa khuatir dengan ketiadaan wakilnya dalam Kerajaan
Malaysia pasca PRU 2013.
Sebenarnya, Najib telah tewas apabila rakyat terus
menghentam dan mengkritiknya. Jawapan
dan penjelasan kader politiknya tidak tuntas bahkan terus mencambahkan idea
penentangan dalaman dan disokong oleh pihak oposisi yang akan terus menghentam
Najib dan BN secara terus-terusan. Mengambil beberapa contoh, kenaikan harga
yang tidak terkawal, dasar polisi awamnya yang tidak jelas, perbelanjaan awam
olehnya dan isterinya yang diperkatakan serta barisan Kabinetnya “bergoncang”
menyebabkan kritikan tidak pernah padam dari saat ke saat berikutnya bahkan
bertambah kencang.
Menyalahkan Kerajaan semata-mata bukannya satu alternatif terbaik tunggal, tetapi menjawab persepsi yang terus-terusan memburukkan
Kerajaan juga bukan satu pilihan.
Persepsi ini sudah tidak boleh dibaiki lagi melainkan mengikut teori
komunikasi selanjutnya iaitu menggantikan sesuatu propaganda dengan propagada yang lain. Memperbaiki labu yang telah dirosakkan
tidaklah semudah dengan pelbagai program dan inisiatifnya, tetapi labu baru
hendaklah dicari dan menggantikan labu yang telah rosak itu dengan nilai dan saiz
yang sama.
Apakah media Malaysia sekuat iltizam media di
Indonesia dan iltizam pemimpin politik Malaysia sekuat AK Party di Turki? Sebenarnya, bukan Kerajaan harus ditukar pada
PRU14, tetapi labu lah yang harus digantikan dan media hendaklah menjawab isu
ini dengan perkenalan labu baru yang lebih segar dan baik kepada khalayak. Memang itulah resam, yang lama sudah tidak
berguna kerana gading akan haus juga dihujung usianya. Sayangkan kerusi atau sayangkan parti? Media di Malaysia bolehkah menjadikan dirinya
sebagai The Forth Estate of Democracy
seperti di Indonesia?
Anda tahu jawapannya....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.