
Oleh
Mohd Raman Daud
SEJAK kecil lagi, saya sering diperingat oleh ibu bapa, jiran dan di sekolah bahawa Singapura beruntung kerana mempunyai pasukan pemimpin yang diketuai oleh Encik Lee Kuan Yew.
Tak tahulah saya apakah peringatan itu semacam diayah atau bukan.
Yang jelas, pasukan ini dikatakan antara calang-calang di dunia moden kerana pencapaiannya dalam merubah sebuah negara kecil menjadi pemain penting dalam ekonomi jagat.
Ini bukan perbualan di kedai kopi sahaja. Malah ia terbawa-bawa ketika saya menjadi dewasa apabila bersua seorang banker di dalam kereta api dalam perjalanan dari Jerman ke Switzerland, pada 1984.
'Anda dari mana dan buat apa di sini?' tanyanya sambil mengetepikan akhbar Financial Times yang baru dibacanya.
'Dari Singapura. Hadiri seminar,' jawab saya.
'Oh, negara seorang diktator. Saya tak suka Lee Kuan Yew. Tapi negara awak paling maju di Asia Tenggara. Dan bank saya pun ada cawangan di sana.'
Kami tidak dapat meneruskan perbualan kerana banker itu perlu turun di stesennya.
Tahun itu saya baru bekerja di akhbar ini. Dialog ringkas itu membuatkan saya terkenang sehingga tercurah dalam pojok kali ini.
Sebabnya, kehadiran saya di benua Eropah atau benua orang putih ketika itu menjadi kenyataan yang antara lain membuktikan kejayaan Singapura.
Agaknya, ini yang membuat banker itu agak kritikal terhadap sistem Singapura yang jauh berbeza dengan apa yang disebut demokrasi di Eropah. Agaknya begitu, getus hati saya.
Suka tidak suka, hakikatnya dalam tempoh kurang 40 tahun, kemajuan Singapura dinilai mengatasi sebahagian negara maju Eropah atau sebaris dengan empat negara termaju di Eropah Barat (menurut CIA World Fact Book).
Setiap tahun, tinjauan dunia menunjukkan Singapura merupakan antara tempat terbaik untuk berniaga dan bermastautin kerana selamat, bersih dan cekap.
Misalnya, dari segi pendapatan setiap rakyat sahaja kini, Singapura mengatasi Britain, bekas penjajahnya (iaitu AS$52,200 ($78,697) berbanding AS$36,600). Namun perbandingan sedemikian mungkin juga tidak adil. Sebabnya, Britain mempunyai tradisi ilmu dan peradaban yang jauh lebih matang daripada Singapura. Universiti Cambridge dan Universiti Oxford masih belum terjangkau oleh institusi pengajian tinggi kita.
Baru-baru ini, persoalan Singapura selepas Lee Kuan Yew menjadi mauduk forum yang disampaikan oleh dua intelek Singapura, Encik Ho Kwon Ping (usahawan dan pengerusi Universiti Pengurusan Singapura dan Mediacorp) dan Profesor Kishore Mahbubani (dekan Sekolah Lee Kuan Yew). Umumnya, mereka yakin bahawa warisan Encik Lee Kuan Yew akan berterusan lama selepas pemergian 'bapa pembangunan' Singapura ini atau partinya, Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Bahkan dalam dialog di luar negara, baik di rantau ini mahupun sejauh Eropah, memang terdapat keyakinan bahawa Singapura boleh bertahan lama sebagai warisan Encik Lee dan pasukannya.
Tetapi ada juga tanggapan bahawa Singapura sebenarnya suatu 'tuah'. Menteri Pembimbing (MM) Lee sendiri ada menyatakan ciri modicum of luck atau aspek tuah ini dalam menentukan penakatan Singapura. Ia diperkuat pula dengan kepercayaan majoriti rakyat Singapura, kaum Cina, yang mengaitkan tuah dengan feng shui iaitu Sungai Singapura merupakan tubuh naga yang mulutnya di muara Sungai Singapura. Cuma sekarang muara itu ditutup dengan bendungan Marina.
Namun tidak syak bahawa faktor utama kejayaan Singapura ialah kepimpinannya. MM Lee, 86 tahun, sering menegaskan peri penting pemimpin yang cemerlang dari segi ilmu, akhlak dan dapat menyelami lubuk hati masyarakat. Oleh itu, tugas menteri yang setinggi mana sekalipun ialah mendekati rakyat jelata.
Tentulah dalam dimensi kemajuan Singapura, masyarakat Melayu juga menikmati tuahnya. Baru-baru ini Duta Besar Arab Saudi baru, Dr Jamil Mahmoud Mohamed Merdad, yang diraikan di Jamiyah Singapura, turut menyentuh betapa untungnya kita.
Dalam ucapan tanpa teks, Dr Merdad menyatakan bahawa selama lebih empat tahun menjadi ketua ehwal Muslim di Kementerian Ehwal Luar Saudi (sebelum menjadi duta besar ke sini), beliau tidak pernah mendengar permasalahan ummah di Singapura.
Sebaliknya, beliau hanya mendengar kejayaan demi kejayaan Singapura, termasuk umat Islam yang amat berdikari dan sederhana. Bahkan pencapaian ummah di sini wajar diuar-uarkan untuk dijadikan contoh kepada seluruh ummah, katanya yang amat merendah hati.
Saya tidak sanggup menyatakan pernyataan beliau itu sekadar diplomasi atau basa-basi. Maklumlah diplomat sering berbuat demikian.
Tentulah kita mengharapkan luahan jujur atau telus daripada pengamat luar yang berwenang, tidak kira diplomat atau bukan, yang dapat turut menggambarkan sejauh mana kedudukan kita yang sebenarnya.
Tambahnya, imej Singapura harum di Saudi sehingga kian ramai penerima biasiswa Raja Abdullah belajar di sini. Lebih separuh siswa tadi merupakan wanita - suatu bukti bahawa ibu bapa Saudi yang konservatif yakin dengan suasana aman dan sopan di Singapura.
Hakikatnya, Singapura perlu kian peka dengan pandangan orang luar atau dunia walaupun tegas dengan prinsipnya. Mentelah terdapat lebih sejuta pekerja asing di sini - dari buruh kasar sehingga banker, seperti yang saya temui di tren suku abad lalu. Mentelah untuk menakat pula, Singapura perlu menjadi hab pelbagai khidmat dunia.
Memang ada orang luar atau kalangan warga Singapura sendiri yang tidak suka atau membantah akan cara MM Lee yang membentuk Singapura dengan penuh disiplin sehingga pernah dianggap diktator. Pun PAP pimpinannya terus meraih undi majoriti saban pilihan raya. Musuh politiknya memang banyak - terpapar dalam pelbagai buku dan makalah yang menampilkan kritikan menyengat terhadapnya.
Seyogia, tidak dapat dinafikan ada juga cacat dan kekurangan pada masyarakat Singapura, apatah lagi umat Islam di sini. Namun, mana gading yang tak retak?
Tentu sahaja ada sebahagian cara warisannya sudah lapuk untuk dimanfaatkan generasi akan datang. Bahkan kerana tiada tokoh sebesar dan seluhur beliau dari segi menegakkan prinsip, maka corak kawal dan imbangan siasah Singapura tentulah berbeza kelak.
Generasi muda mungkin mahukan lebih banyak pembangkang bersuara dan menegur agar tidak berlaku penyelewengan. Malah ada yang berpendapat agar institusi presiden yang dipilih diperkuat agar mengimbangi pemerintah jika berlaku sesuatu yang tidak wajar. Alasan yang ditimbulkan ialah apakah jaminan para pemimpin hari muka 'sebersih' MM Lee dan kerana itu, perlu ada langkah waspada.
MM Lee masih panjang usianya dan diharapkan begitulah. Baktinya terlalu besar dalam setiap kantung masyarakat di Singapura.
Antara lain, umat Islam di sini menghargai hakikat bahawa terbinanya masjid baru merupakan antara saranannya bagi pembentukan Dana Pembangunan Masjid yang mendapat sumbangan gaji pekerja Muslim lewat Tabung Simpanan Pekerja (CPF). Penubuhan Yayasan Mendaki juga mendapat restu dan sokongannya - sekadar menyebut beberapa kemajuan masyarakat kita.
Pernah suatu ketika yang lalu, beliau berkata bahawa dasar meritokrasinya akan turut memupuk orang Melayu Singapura yang berbeza dari negara-negara jiran. Memang sesudah 40 tahun, kenyataan ini kian ketara. Pun tentulah hal ini menuntut kajian mendalam.
Hal ini juga mengingatkan saya akan jawapan Almarhum Profesor Syed Hussein Alatas yang mengarang buku yang meragui keikhlasan sumbangan pendiri Singapura moden iaitu Sir Thomas Stamford Raffles (Raffles: Schemer or Reformer). Dan ketika ditanya siapakah yang layak dipanggil tokoh pembaharuan Singapura, Profesor Alatas spontan menjawab: Lee Kuan Yew.
Apabila MM Lee menutup mata untuk selamanya, yakinlah baktinya terus diperingati dan Singapura terus menakat.