Isnin, 3 Mac 2014

Imigresen Tangkap PATI, Dewan Bandaraya Sorok!!!



Imigresen Tangkap PATI, Dewan Bandaraya Sorok!!!
Operasi Bersepadu Menteri KDN bersama Imigeresen baru-baru ini

4 Mac, Kuala Lumpur – Keputusan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi menguatkuasakan peraturan imigresen negara dan menangkap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sama ada tinggal melebihi tempoh, berniaga ataupun apa-apa tujuan yang tidak memberikan pulangan ekonomik kepada negara rupa-rupanya menjadi sia-sia. 

Sedang pihak berkuatkuasa seperti imigresen, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertugas siang dan malam bagi menangkap PATI yang memusnahkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan ancaman jenayah, pihak berkuatkuasa Dewan Bandaraya (PBT) pula menyimpan bahkan memberikan lesen perniagaan kepada golongan imigran gelap ini.  Tindakan ini seolah-olah mencabar kekuasaan dan ketegasan Menteri yang bersungguh-sungguh menjaga kedaulatan dan ketenteraman awam dari masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ini. 

PATI ini kelihatan begitu selesa dan berasa ‘tidak terancam’ langsung dengan siri tangkapan dan pengusiran yang kadang-kala turut dihadiri oleh Menteri dan Timbalannya ke lapangan bagi menyelesaikan isu berbangkit ini.  Kelihatan mereka tetap berniaga, bekerja dan bebas bergerak walaupun tanpa dokumen yang sah.  Bila diajukan pertanyaan, mereka berasakan tidak kisah serta tahu tindakan pengusiran sedang dijalankan oleh pihak berkuasa, namun mereka ‘kurang gentar’ bahkan memaklumkan sudah ada ‘pelindung’ yang boleh membantu mereka khususnya di premis-premis perniagaan jika terdapat ‘gangguan’ di kalangan penguatkuasa yang mempunyai hubungan rapat dengan orang kenamaan. 

Premis-premis perniagaan di sekitar Chow Kit dan Jalan Silang, Kuala Lumpur masih lagi beroperasi dengan PATI-PATI ini masih menjalankan perniagaan khususnya pakaian dan kedai-kedai arked selain premis makanan.   Di Kawasan Perumahan Mentari Petaling Jaya, Selangor juga kelihatan PATI-PATI ini meneruskan aktiviti harian mereka tanpa sebarang campur tangan bahkan kelihatan beberapa anggota polis dan penguatkuasa sedang asyik menikmati makan tengah hari di gerai-gerai milik PATI ini di atas rezab tanah TNB dan tanah Kerajaan berhadapan dengan kawasan perumahan padat tersebut.  Ada dikalangan PATI juga kelihatan bebas memandu kereta di lokasi ini seolah-olah mereka mendapat “lesen besar” dan “kebal” dari sebarang tindakan pihak berkuasa. 

Sedang Menteri sendiri bersengkang mata mencari dan menangkap PATI ini untuk kesejahteraan rakyat yang ‘berang’ dengan kebanjiran PATI ini, aparat penguatkuasa pula menjadi dalang dan tali barut menyelamatkan PATI ini dari sebarang tindakan undang-undang.  Apakah polis dan penguatkuasa MBPJ yang mendapat gaji dari rakyat ini berhak menikmati makan tengah hari secara ‘percuma’ di kedai-kedai tanpa lesen dan milik PATI ini sedang rakyat yang membayar gaji mereka semakin tidak betah menanggung kenaikan kos sara hidup dan sulit dalam mendapatkan pekerjaan yang juga dikuasai oleh PATI ini?  Adalah lebih wajar agar polis dan penguatkuasa yang menjadi ‘gunting dalam lipatan’ seperti ini ditamatkan perkhidmatannya dan digantikan dengan mereka yang benar-benar menginginkan pekerjaan selain menghargai pekerjaan awam dan berkhidmat dengan sebaik-baiknya untuk rakyat yang membayar gaji mereka.


Tugas utama Menteri Dalam Negeri sebelum melancarkan operasi ialah memecat pegawai yang menjadi “duri dalam daging” ini terlebih dahulu dan barulah bertindak menangkap PATI agar maklumat operasi dalaman tidak bocor serta tindakan dapat dilakukan dengan menyeluruh tanpa ada ‘lubang-lubang tikus’ untuk mengelakkan PATI ini menyusup keluar dan terus hidup seperti biawak di Malaysia ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.