Orang Melayu, Orang
Kerajaan.
Kerajaan atau ‘government’ (ke-RAJA-an) adalah pekerjaan
dan perkhidmatan kepada ‘raja’ yang mewakilkan kuasa pentadbirannya kepada
Perdana Menteri dalam konteks Malaysia moden kini. Raja adalah sistem pemerintahan Malaysia yang
menaungi semua cabang demokrasi di Malaysia sama ada cabang perundangan,
pentadbiran (Jemaah Menteri) dan kehakiman.
Jika di negara yang mengamalkan demokrasi secara republik, sistem ini lebih
dikenali sebagai ‘sistem pemerintahan’ di mana ketua negara tersebut adalah
dipilih oleh rakyatnya secara terus.
Berbanding di Malaysia yang mengamalkan sistem politik beraja, sistem ini
adalah warisan ‘darah biru’ Raja-Raja Melayu yang mentadbir Malaysia secara
bergilir-gilir mengikut cara yang prosedur yang unik serta khusus di sini.
Berbalik kepada sistem
ini, orang Melayu yang menjadi subjek raja ini amat dekat dengan Istana sejak
zaman bahari lagi. Boleh dibaca dalam
ceritera dan ditayangkan dilayar kaca bahawa orang Melayu ini amat dekat untuk
bekerja dan berkhidmat dengan rajanya bahkan dianggap kerja mulia apabila dapat
membantu rajanya memerintah dan menjalankan pentadbiran, walaupun hanya sekadar
penghantar pesanan dan hulubalang yang menjaga keselamatan Istana baginda. Itulah keistimewaan Istana kerana rakyatnya
sudi menghambakan diri berkhidmat di bawah naungan Raja yang berdaulat.
Sistem pentadbiran
Malaysia yang kompleks dan moden ini adalah warisan dari percampuran sistem kerajaan
tradisional dan dimodenkan oleh penjajah seperti pengaruh Belanda, Inggeris dan
Jepun. Banyaknya kaedah pentadbiran
Inggeris ditiru dan dikekalkan dalam kaedah birokrasi dan feudal ini di mana
secara kebetulan sistem beraja ini juga diamalkan di England. Namun, orang Melayu tetap cekal dan tekad
mempersiagakan diri untuk berkhidmat untuk negara di bawah naungan Raja mereka –
sama ada di peringkat Negeri, mahupun Persekutuan Malaysia.
Dewasa kini, sistem pendidikan
dan pengurusan moden telah memainkan peranan yang sungguh signifikan kepada
umat Malaysia. Suka atau tidak, sistem birokrasi
dalam pengambilan kakitangan dan pegawai-pegawai awam telah diubahsuai mengikut
susun tadbir yang lebih kompleks dan mempunyai merit dalam setiap lantikan
serta pengkhususan bidang tugas. Jika
dahulu, orang Melayu boleh menjadi penghantar berita ke kampung-kampung hanya cukup
dengan ‘air liur’ tetapi kini sistem penghantaran maklumat telah disediakan
dengan lebih baik akibat dari ledakan kemajuan dalam teknologi serba
serbi. Pengambilan kakitangan juga
disaring dengan kedudukan akademik dan kebolehan yang terbaik bagi sesuatu
jawatan dan jabatan.
Juga sekali lagi
dijelaskan, orang Melayu tetap menjadi pemohon kerja terbanyak. Mereka sanggup bersaing sesama sendiri kerana
beberapa keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri secara peribadi ataupun
secara perbandingan dengan kerja swasta.
Sedang orang bukan Melayu lebih berminat berusaha menjadi jutawan
(usahawan), tetapi orang Melayu lebih suka makan gaji dan menikmati hidup yang
tenang serta tetap dan tidak mencabar minda asalkan dapat berkhidmat kepada
rakyat dan sedikit kuasa untuk digunakan jika perlu.
Mereka menganggap
suka atau tidak, mereka harus diberikan pekerjaan dengan Kerajaan kerana mereka
adalah subjek raja dan Ketua Pentadbir (Perdana Menteri) harus melayani perkara
itu kononnya beliau harus menyediakan peluang pekerjaan dengan Kerajaan
secukupnya walau apa jua alasan pun.
Mereka tidak mahu berusaha niaga.
Mereka ini sangat tidak bermotivasi tinggi serta berharap akademik yang
mereka ada digunakan asalkan mereka dapat memasuki sistem pergajian secara
tetap dan pukal ini. Maka, Kerajaan
melalui Ketua Pentadbirlah yang harus mengurus dan membereskan mereka yang
tidak beres akalnya ini.
Setelah dilantik
dalam perkhidmatan, mereka berharap agar memperolehi gaji yang tinggi dan
selayaknya, rawatan kesihatan serta manfaat-manfaat lain yang harus dan layak
mereka terima tanpa kos. Walaupun
memperolehi gaji yang agak menarik dan manfaat yang senantiasa lebih bagus
dalam perkhidmatan, namun mutu kerja mereka ini sangatlah ‘ala kadar’ kerana
motivasi kerja mereka yang rendah. Bukan
semuanya begitu, tetapi ramai dikalangan mereka lebih suka balik tepat waktu
walau kerja tidak beres, menunjukkan mimik muka yang tidak mesra, gopoh dan
tidak ikhlas dalam menjalankan amanah rakyat.
Bahkan, merekalah yang memohon pekerjaan tersebut dengan janji-janji
manis untuk berkhidmat dengan sepenuh hati dan jiwa, tetapi setelah beberapa
tahun mulalah ‘lemak’ mereka ini timbul kerana terpengaruh dengan pekerja yang
lebih kanan serta ‘penyakit hati’ yang telah keras - tidak boleh menerima kritikan dan teguran ke arah
kebaikan. Walaupun begitu, mereka yang
bermuka tebal ini tidak segan-segan inginkan gaji yang penuh setiap bulan serta
manfaat yang lebih baik serta menuntut elaun-elaun dengan semahu-mahunya
kononnya masa dan jasa perkhidmatan mereka perlu dibayar.
Cuba kita lihat
contoh terkini kehilangan MH370 menunjukkan satu signal yang sungguh mudah
iaitu pegawai imegresen yang menjaga pintu sempadan negara dengan mudah
memboloskan keselamatan negara kepada pemegang passport curi. Sebelumnya jumlah pendatang asing yang terus
berlambak-lambak di siar kaki negara serta dengan wewenang boleh bekerja di
mana-mana tanpa kawalan bahkan boleh hidup dan membiak dengan mudahnya tanpa
kawalan polis dan anggota penguatkuasa. Terdapat
juga mereka yang ditahan kerana mengamalkan rasuah selain membocorkan
rahsia-rahsia negara kononnya mereka memperolehi ‘first hands information’ agar menjadi terkenal dan hebat
dikalangan mereka. Sikap patetik ini
memanglah satu jati diri orang yang kerja dengan Kerajaan, kononnya mereka ini
susah untuk dipecat kerana mereka penyandang sampai mati jawatan tersebut,
walaupun mereka suka mengelat sewaktu bertugas, bercuti di kala suntuk dan
gawat, tidak berada di kerusi semasa waktu bertugas kononnya atas beberapa
urusan peribadi. Apakah mereka ini
sedar!
Kadang-kala,
guru-guru yang dilantik juga menjadi pengkhianat kepada bangsanya sendiri. Ambil contoh yang mudah dari segi awal
pengambilan sahaja. Lepasan Ijazah
Sarjana Muda yang gagal mendapatkan pekerjaan di dalam bidang yang khusus
dengan akademik mereka, akan segera memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah
(KPLI) kerana merit yang kurang dalam bersaing dalam skim lantikan lain. Mereka mengikuti kursus perguruan dan
akhirnya menjadi guru dalam mata pelajaran tertentu. Sampai di sekolah, mereka akan mengajar dan
menokok tambah jiwa muda anak Malaysia ini dengan elemen-elemen politik fahaman
mereka serta mencambahkan ideologi yang janggal untuk dibincangkan di sekolah
serta membentuk pendapat umum yang serong terhadap negara, termasuk memburukkan
Ketua Parti Kerajaan yang dilantik menjadi Pentadbir (Pemenang kerusi parlimen
terbanyak biasanya dilantik menjadi Ketua Pentadbir merangkap Perdana Menteri
dan penasihat kepada Raja – Yang Di Pertuan Agong) yang menggajikan mereka.
Bagi guru ‘bodoh
sombong’ ini, Kerajaan wajib memberikan gaji kepada mereka kerana itu tugas negara
dan mereka menjalankan amanah kononnya sedangkan ia ditokok tambah. Waima, Kerajaan yang membayar gaji mereka itu
juga memperolehi gaji dari rakyat juga sama seperti mereka. Mereka mungkin lupa bahawa wang cukai tidak
mencukupi tanpa ada badan-badan lain yang mengawal, mengawasi dan bertindak untuk
mengutip dan menguatkuasakan peraturan serta menggandakan wang hasil mahsyul
yang sedikit itu. Mereka ini mungkin
lupa bahawa Kerajaan melalui jabatan-jabatan lain terpaksa bekerja bahu-ke-bahu
dengan syarikat dan perniagaan untuk menjayakan sesuatu perniagaan untuk mengaut
keuntungan dan hasil cukai boleh digandakan dan diagihkan dengan
sebaik-baiknya. Tanpa kebijaksanaan
pentadbiran ini, mana mungkin seluruh jentera Kerajaan ini berfungsi dengan
konsisten dan menjana keuntungan dan kemajuan negara dengan baik. Mereka lupa bahawa setiap hari jika hasil
hutan di tebang, hasil tanah di gali, ia akan habis. Tetapi Kerajaan telah mengolah dan menjadikan
barangan itu lebih baik serta menjual diluar negara agar ia boleh memberikan
nilai tambah kepada hasil negara.
Bolehkah mereka membuatnya sendirian??
Orang Melayu akan
kekal bekerja dengan Kerajaan sebab sikap mereka yang pesimis dan suka
mengambil mudah. Jika salah, mereka
tidak senang mengaku dan tidak punya jiwa besar untuk munasabah diri mereka
untuk berubah. Mereka lupa bahawa mereka
yang memohon kerja itu, bukannya mereka dirayu dan dipujuk oleh Ketua Pentadbir
untuk membantu mereka. Ketua Pentadbir juga
tahu, Melayu itu memang suka bermalas-malas sehingga kaum bukan Melayu benci
dengan birokrat ini. Memang bukan semua pekerja
raja bersikap jelek begini tetapi sebahagiannya telah memburukkan sistem kerja
ke-RAJA-an ini. Sedarlah, gaji yang
diterima itu akan ditanya Allah, sedarlah bahawa jika anak kamu makan daripada hasil
titik peluh yang tidak berkat, ia menjadi benih yang menyemarakkan api
nereka. Sedarlah pendapatan kamu itu
akan diperkirakan. Berkhidmatlah Untuk Negara dan rakyat Raja mu tanpa dakwa
dakwi. Kamu Berjaya bukan sebab
kepandaian dan kebijaksanaan kamu, tetapi Allah memberikan rezeki kepada
Kerajaan untuk mengagihkan dan berkongsi dengan kamu. Allah akan tanya……..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.