Selasa, 4 Mac 2014

Mahathirisme: Anak Muda 80an Legasi Mahathir

Mahathir:  Bapa Pemodenan Malaysia

Perdana Menteri Malaysia keempat dinamakan sebagai Bapa Pemodenan Malaysia apabila berjaya menukar sebuah negara dunia ketiga kepada negara membangun paling pesat di Asia Tenggara selepas Singapura dan keenam pesat di Asia selepas Jepun, Korea, Singapura, Hongkong dan Taiwan.  Mahathir Mohamad memerintah Malaysia selama 22 tahun mulai 21 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2013 dan menyerahkan kepimpinan tertinggi kepada Abdullah Ahmad Badawi selepasnya adalah pemimpin paling lama memerintah Malaysia. 

Zaman kegemilangan politik Mahathir hanya mula kelihatan selepas berlakunya rusuhan kaum yang terbesar di Tanah Melayu pada Mei 1969.  Jauh dari itu, Mahathir seorang doktor perubatan biasa adalah merupakan Ahli Parlimen Kota Setar Selatan, iaitu ahli Parlimen Malaysia yang biasa sejak 1964 tetapi tewas di kerusi yang sama kepada calon Parti Islam Malaysia (PAS), Yusof Rawa.  Kekalahan Mahathir menimbulkan satu ‘cetusan’ di kalangan awam bahawa kepimpinan tertinggi Malaysia di masa itu sebagai ‘gagal’ dan ‘terlalu berlembut’ khususnya terhadap jati diri dan prestasi ekonomi orang Melayu Islam sama seperti keadaannya hari ini. 

Kekalahan Mahathir dengan undian tipis di Kota Setar Selatan, Kedah mengundang rasa ‘marah’ beliau kepada kepimpinan negara ketika itu yang gagal menangani kemarahan orang Melayu khususnya tentang untung nasib ekonomi orang Melayu Islam yang baru merdeka.  Orang Melayu adalah kaum terbesar di Malaysia tetapi akibat ekonomi pecah dan perintah British, orang Melayu sangat jauh tertinggal dalam meneruskan hidup di bumi yang baru perolehi kemerdekaan ini serta masa depan yang tidak menentu selain terpaksa bersaing dengan kaum Cina yang jauh lebih maju, berpendidikan dan berjaya dalam perniagaan akibat mewarisi kepentingan British sejak sebelum merdeka lagi.  Dek kegagalan itu, Mahathir telah menulis sepucuk surat yang mengkritik kepimpinan negara ketika itu menyebabkan kemarahan Tunku Abdul Rahman (ketika itu Perdana Menteri) sehingga mengambil tindakan memecat beliau daripada parti terbesar orang Melayu – UMNO. 

Beliau akhirnya tersingkir dalam arus perjuangan politik negara telah bertindak menulis sebuah buku kontroversi mengenai masa depan orang Melayu yang suram ketika itu dengan analisis serta pengamatan yang mendalam bertajuk “The Malay Dilemma” dan diharamkan pengedarannya di Malaysia sejurus ia dicetak di Singapura.  Buku tersebut terpaksa dicetak dan diedarkan di Singapura kerana mengandungi kenyataan kontroversi yang mengkritik kepimpinan negara ketika itu selain menerangkan dengan jelas duduk letak orang Melayu yang miskin dan melarat di tanah air sendiri sehingga dianggap boleh menyemarakkan kembali api permusuhan kaum di Tanah Melayu yang baru sahaja seketika pulih dari rusuhan antara kaum. 

Penyeludupan buku tersebut ke Tanah Melayu menyebabkan ia dibaca dengan penuh minat dan hati-hati serta tidak dikupas secara leluasa kerana status buku itu yang diharamkan telah menarik perhatian Tun Abdul Razak yang menggantikan kepimpinan negara mulai tahun 1970 mewarisi kepimpinan dari Tunku yang dipaksa bersara atas tanggungjawabnya ke atas kejadian rusuhan tersebut.  Kupasan buku Mahathir itu mencetuskan satu aliran minda yang selari dengan matlamat Tun Razak ketika itu yang inginkan orang Melayu menjadi tuan di tanah airnya sendiri.  Orang Melayu ketika itu menyara diri rata-rata dengan bekerja kampung sebagai buruh kasar, kuli membina bangunan, petani, nelayan selain bekerja makan gaji berjawatan rendah seperti peon (budak penghantar surat), kerani bahkan polis berpangkat rendah yang sudah tentu tidak ada dalam susur galur ekonomi negara – hamba di bumi sendiri. 

Ketika Tun Razak membangunkan estet-estet peladangan milik Melayu melalui FELDA dan MARA, beliau memanjangkan penglibatan Mahathir dalam menyumbang idea membangunkan ekonomi orang Melayu yang berasa terancam di negara sendiri kerana tidak mampu bersaing dengan korporat dan peniaga Cina yang tidak terkesan dengan ekonomi dan perniagaan yang diwarisi sejak sebelum merdeka.  Mahathir menerima cadangan perkongsian idea dengan Tun Razak untuk membangunkan ekonomi Melayu apabila menyertai UMNO semula pada 1973 sebelum dilantik menjadi Senator dan ditugaskan di Perusahaan Nanas Negara yang sebelum itu mencatatkan kerugian dek sikap orang Melayu yang tidak sungguh-sungguh serta cuai dalam melaksanakan tugas dan perkhidmatan yang diberikan.  Beliau tidak segan untuk berkongsi pandangannya dengan Tun Razak sehingga ditunjukkan oleh Tun Razak sendiri kepada pewaris kepimpinan negara seterusnya iaitu Tun Hussein Onn sebagai calon Perdana Menteri seterusnya. 

Setelah menjawat beberapa jawatan di dalam Kabinet Tun Razak dan Tun Hussein Onn dan menjadi Timbalan Perdana Menteri, Mahathir ditunjukkan oleh Tun Hussien sebagai penggantinya yang sah pada Julai 1981 dan mengangkat sumpah jawatannya sejurus itu dan memacu kabinetnya sendiri.  Tak berbuang masa dengan kuasa yang diberikan, Mahathir memerlukan barisan Kabinetnya sendiri dan ingin melihat sokongan awam terhadap pengambilalihan kuasa itu secara teratur dengan mata kepalanya sendiri sehingga memperolehi keputusan menang besar dengan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen pada Pilihanraya Umum pada tahun 1982 dengan menguasai 132 kerusi berbanding 154 kerusi dengan undi popular 60.5 peratus. 

Melangkah kehadapan dengan barisan Kabinetnya sendiri, Mahathir menukarkan landskap bumi Malaysia dari sebuah negara perkampungan, hutan belantara serta masyarakat yang kolot menjadi sebuah negara bangsa yang didambakan kemakmurannya oleh dunia sehingga kini.  Antara beberapa tindakan beliau sehingga menjadi ikutan, cemuhan dan penghinaan ialah mendirikan sekolah-sekolah di lokasi padat penduduk, memperbanyakkan universiti awam, menambah biasiswa sedia ada serta mewujudkan tabung pendidikan pinjaman kepada keluarga yang tidak mampu menghantar anak mereka ke universiti kerana kemiskinan dan kedaifan orang Melayu ketika itu.  Beliau turut membina lebuhraya yang luas merentangi Semenanjung tanah air dari Perlis sehingga ke Johor Bahru selain beberapa projek mega yang menghamburkan kritikan dan pujian. 

Dari Jambatan yang merentangi Selat Melaka menyambungkan Pulau Pinang dengan tanah besar, Rel Pengangkutan Ringan (LRT), Menara Berkembar Petronas (menjadi ikon dunia beberapa tahun dan kekal menjadi menara berkembar tertinggi dunia), Lapangan Terbang baharu di Sepang, Litar Lumba Formula 1, Stadium Bukit Jalil sehingga kepada kota pentadbiran baharu yang moden dan dinamik – Putrajaya yang amat luas dan besar.  Di zaman 70an, Malaysia dan Indonesia adalah setanding bahkan terkebelakang dalam akademik dan ekonomi, tetapi Mahathir telah mengubahnya 360 darjah sehingga Malaysia menjadi lebih maju dari Indonesia yang terlebih dahulu merdeka dari Malaysia.  (Sehingga kini Indonesia masih kekal menggunakan van sebagai pengangkutan awam, Malaysia pula dari memiliki Bas Mini Wilayah (BMW) pendek, kepada bas panjang Intrakota dan kini, LRT dan MRT selain penerbangan tambang murah yang paling berjaya di Asia)

Beliau turut membangunkan beberapa dasar dan polisi yang mengubah tabiat orang Melayu yang dikatakan malas serta berdaya saing rendah dengan mengadakan beberapa peraturan tetap dan meninggalkannya sehingga kini seperti amalan mengetip kad perakam waktu bagi tujuan merakamkan kedatangan awal dan tepat waktu ke pejabat, menyeragamkan masa Malaysia Barat dan Timur ke setengah jam lebih lewat bagi Borneo dan setengah jam awal bagi Semenanjung sehingga terpaksa diikuti oleh Singapura dalam meneruskan tradisi perniagaan, menutup Bursa Saham CLOB di Singapura sehingga merugikan pemegang saham di Singapura selain memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur yang mengubah pemikiran rakyat terhadap pembangunan dan teknologi moden selain mengeluarkan kereta nasional negara – Proton dan Perodua. 

Beliau turut menjana pendapatan rakyat yang dahulunya berkebun, bertani dan menjadi nelayan kepada pekerja kilang, buruh kemahiran tinggi, graduan lepasan universiti yang melakukan kerja-kerja profesional di sektor penting awam dan swasta serta penglibatan Melayu Islam di dalam pasaran dan perniagaan antarabangsa seperti pengambilalihan Guthrie dalam “Serangan Subuh”, memainkan fungsi perniagaan dalam sektor awam seperti Dasar Penswastaan Negara (Telekom Malaysia, Perkapalan, Jabatan Elektrik dan lain-lain), menukar dasar dalam pengambilan kakitangan awam agar dapat memasuki gred perjawatan yang lebih baik serta mempunyai kelulusan yang setaraf bahkan lebih baik serta pembangunan minda yang berfikiran melepasi tahun semasa dan bebrapa tahun ke hadapan dengan mewujudkan Dasar Wawasan 2020 – iaitu dasar yang mengajak rakyat memajukan diri dan negara agar menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 

Dahulu jika anak Melayu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya layak menyambung kerja ibu bapa di ladang atau menjadi nelayan di laut luas, Mahathir telah menukar amalan itu dengan setiap ibu bapa akan berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke Universiti atau Kolej Pengajian Tinggi bagi mendapatkan setidak-tidaknya Diploma atau Ijazah Sarjana Muda bahkan memperolehi doktor falsafah.  Ini adalah berkat pinjaman pendidikan, penambahan universiti serta pembinaan sekolah rendah dan menengah dengan banyak di zaman beliau selain beberapa dasar pendidikan rendah dan tinggi yang diseragamkan sejak tahun 1974 apabila beliau menjadi Menteri Pelajaran di dalam Kabinet Tun Razak. 

Tindakan-tindakan beliau yang menukar landskap tanah khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang selain Sepang dan Putrajaya mengundang kritikan bukan sedikit bahkan sehingga kepada protes massa di jalanraya dan beberapa tindakan nekad cubaan merampas Kerajaan dari pejuang puak haluan kiri dan juga dari kalangan ahli parti UMNO sendiri selain pihak pembangkang yang tidak pernah bersetuju dengan Mahathir yang digelar mereka sebagai Pelampau Melayu (Malay Ultra) kerana perjuangannya yang menyokong dasar meningkatkan taraf ekonomi Melayu Bumiputera ketika itu.  Beliau bahkan senantiasa mengkritik dan menyumbatkan musuh-musuh politiknya dengan fakta dan pembangunan rancak sebagai bukti komited beliau terhadap perkataan dan kata-kata beliau untuk memajukan ‘orang Melayu kolot’ itu yang senantiasa berfikiran sempit sehingga kini. 

Tindakan berani beliau bukan sahaja dilihat dengan rapat oleh kawan dah musuh, bahkan beliau tanpa diminta-minta sentiasa mengkritik dan mengheret Malaysia ke kancah permainan dasar luar negara yang serius sehingga Malaysia diboikot dan dikecam oleh negara asing.  Sebagai pelabur utama di Malaysia, Amerika juga tidak pernah aman dari kritikan dan kutukan Mahathir yang dilihat sangat anti dengan Kapitalis Barat yang selalu berpura-pura tetapi membuat keuntungan peribadi mereka.  United Kingdom, Israel, Singapura dan Australia sering berada dalam ‘zon merah’ di zaman pemerintahan Mahathir kerana beliau seringkali mengkritik dan mengheret negara-negara ini dalam kancah ‘perang mulut’  beliau dengan negara membangun yang lain sehingga beliau dikatakan “juara bagi dunia ketiga” dalam mendapatkan keadilan sosial di pentas antarabangsa. 

Antara tindakan beliau yang paling tidak digemari negara asing ialah Dasar Beli Barangan British sebagai Pilihan Terakhir, mengkritik Australia sebagai “lanun” dari England, Singapura sebagai polis tidak bergaji Amerika dan kegagalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menjadi badan bebas dunia terutama dalam pencerobohan Amerika di Iraq dan Vietnam, campur tangan Amerika dalam ehwal Palestin dan sokongan terbuka Amerika dan Blok Barat ke atas Israel, Perang di Balkan iaitu Bosnia dan beberapa pertikaian antarabangsa yang lain.  Bagi perang di Bosnia, Malaysia adalah negara asing pertama yang tiba di sana dalam misi pengaman selain beberapa misi pengaman di negara bergolak dunia seperti di Somalia, Lubnan dan Congo. 

Malaysia menjadi “Harimau Asia” bersama Thailand dan Indonesia di rantau sebelah sini sebelum kegawatan ekonomi melanda negara pada tahun 1998 sehingga melumpuhkan beberapa rancangan beliau.  Di zaman pemerintahan beliau, Malaysia adalah benar-benar “bumi emas” walaupun beberapa tindakan beliau kelihatan tidak selari dengan pendapat penduduk ketika itu khususnya dalam menangani penjenayah dan pengganas Memali dan Sauk.  Namun beliau tidak ambil pusing dengan kritikan dan tohmahan khususnya dalam mengalirkan dana awam dan mencairkan aset negara dan mengurangi kuasa Raja di Malaysia.  Beliau tanpa banyak bicara meneruskan kepimpinan beliau yang tegas, dan prihatin dalam pembangunan ekonomi Melayu Islam selain memacu beberapa perniagaan luar biasa di dalam perbankan, saham dan komoditi. 

Semasa kegawatan ekonomi Malaysia pada 1986, beliau bersama-sama Tun Daim Zainudin telah menggubal beberapa perkara pokok dalam dasar ekonomi Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden dan kekal sehingga kini.  Ketika menjadi Menteri Kewangan Malaysia pada 1992 hingga 1998, Anwar Ibrahim tidak menukar struktur dasar kewangan dan ekonomi Malaysia sehingga akhirnya beliau ‘gagal’ dalam mengatasi masalah kegawatan ekonomi negara yang semakin memuncak di rantau ini pada 1998.  Akhirnya, Anwar terpaksa akur dengan mengambil pendekatan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang tidak sesuai dalam usaha membaiki kegawatan ekonomi tetapi  keadaan menjadi lebih melarat dan buruk lagi.  Mahathir terpaksa memanggil kembali Tun Daim Zainudin bagi membetulkan keadaan, akibatnya Anwar Ibrahim terpaksa disingkirkan dari Kabinetnya dan UMNO walaupun terdapat beberapa pertimbangan lain yang membawa kepada pemecatan bakal penggantinya ketika itu.  Hal ini memicu kemarahan awam sehingga pada Pilihanraya Umum tahun 1999, Mahathir kehilangan beberapa kerusi Parlimen dan kalah di Negeri Terengganu kepada PAS. 

Mahathir ketika itu tidak gelisah dengan kekalahannya, tetapi ekonomi Melayu Islam yang dipicu sejak awal pemerintahannya melorot dengan begitu banyak sebesar 40 peratus.  Kegusaran beliau amat bertepatan kerana jika ekonomi Melayu Islam kembali memburuk, akhirnya orang Melayu Islam kembali menjadi hamba di tanah airnya sendiri sedangkan orang Cina terus menikmati kekayaan tanpa belah bahagi yang serius.  Penduduk warga Cina yang kaya sejak merdeka tidak kisah dengan pergolakan politik ketika itu tetapi risau dengan ekonomi dan periuk nasi mereka telah bertindak menyelamatkan Mahathir dan negara ketika krisis 1998 tersebut.  Kerana takut harta benda mereka dirampas dan mereka diusir seperti ‘anjing kurap’ (harta dirampas dan mereka dihalau keluar) sebagaimana penduduk Tionghua di Indonesia, kaum Cina telah bertindak menyokong dasar ekonomi Mahathir.  Sedang Melayu Miskin ketika itu tidak sedar telah miskin 40 peratus sibuk berdemonstrasi di kaki lima dan jalan raya tanpa risau ekuiti pegangan mereka merosot, kaum Cina meneruskan sokongan dan momentum menjana kekayaan tanpa melihat kaum Melayu yang membodohkan diri di jalan raya ketika itu. 

Selepas Tun Abdullah yang menggantikan Mahathir pada 2003 yang telah menggubal serta membatalkan beberapa dasar dan polisi awam di zaman Mahathir bersara, kaum Melayu terus kekal dengan pegangan ekuiti sama dan setara seperti tahun 1997 iaitu kekurangan 40 peratus dari milikan yang pernah ditingkatkan di zaman Mahathir.  Najib Tun Razak kini  mewarisi kepimpinan negara dari Tun Abdullah juga kelihatan ‘gagal’ dalam meningkatkan ekuiti Bumiputera, Melayu Islam khususnya dalam bidang-bidang kritikal dan kewangan.  Selain Najib yang mempunyai polisi awam yang lemah dan Dasar Luar Negara yang ‘lembik’, beliau turut meneruskan pertumbuhan ekonomi statik secara berterusan dari zaman Mahathir tanpa inisiatif mengubal dasar ekonomi negara secara lebih agresif dan drastik.    

Walaupun mewarisi dasar ekonomi yang ketinggalan zaman, Najib tanpa segan telah meniru model ekonomi Singapura dalam pemberikan bocoran subsidi melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberikan tunai kepada rakyat berpendapatan rendah dengan kadar tertentu.  Jika Singapura membocorkan keuntungan dari Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST)nya, Malaysia menggunakan kewangan tunai dalaman negara dalam membocorkan dasar monetori negara sehingga memicu inflasi dan kenaikan tanggungan subsidi selain hutang negara yang semakin menjurang. 

Apakah Malaysia memerlukan personaliti daripada luar kalangan pentadbir atau Kabinet Najib kini? (Seperti ketika Tun Razak yang memerlukan idealisme pimpinan luar – Mahathir) Apakah Malaysia memerlukan barisan  cendekiawan dan pakar ekonomi untuk memahami sosiologi kemiskinan dan kesengsaraan rakyat yang ikhlas dan memprihatinkan? Dewasa kini, rakyat Malaysia semakin terbeban dengan ekonomi sara diri dan pendapatan gajian yang terhad setiap bulanan untuk menanggung kos sara diri yang semakin melangit.  Pemimpin yang tegas, bijaksana dan prihartin terhadap masa depan anak bangsanya perlulah melihat perkara ini dengan mendalam dan begitu teliti agar perangkap polisi ekonomi di zaman Mahathir ini dapat dirombak dengan berani dan mengembalikan kegemilangan ekonomi negara dan menaikkan ekuiti Melayu tersebut.  Jika Mahathir tidak memperkenalkan dasar ekonomi ini dahulu, orang Melayu Islam akan terus menerus kekal sebagai bangsa yang menjadi hamba di negara merdeka mereka sendiri selain terus menjadi bodoh dan miskin. 

Kesilapan terbesar Mahathir adalah melantik Tun Abdullah sebagai penggantinya yang menggubal polisi negara sehingga dasar ekonomi dan politik Malaysia semakin memburuk seterusnya mewariskannya kepada Najib yang dilahirkan dari kalangan elitis Melayu tanpa mengetahui jerit perih kehidupan warga Melayu Islam marhaen.  Namun begitu, Melayu yang cerdik IT menggunakan internet dan komputer selain boleh berbahasa Inggeris berkat dasar pendidikan di zaman Mahathir telah menggunakannya untuk terus memburukkan Malaysia dan kepimpinan negara tanpa henti.  Mereka juga mengkritik tanpa menyumbang sarankan idea yang bernas serta mendatangkan buah fikiran yang tuntas untuk menukar kembali dasar ekonomi dan politik negara secara bersepadu dan bermanfaat. 

Ada juga di kalangan Melayu Islam yang memperolehi pendidikan legasi Mahathir terus menerus menghentam Mahathir tanpa berfikir sumbangan ‘pakcik tua’ itu kepada negara ini dan ibu bapanya dahulu serta memikirkan cara untuk menambah baik kelakonan ekonominya sendiri daripada terus menerus menyalahkan kerajaan tanpa henti.  Seperti yang dimaklumkan, memang Allah SWT yang memberikan kemakmuran kepada Malaysia, tetapi tanpa hikmah kepimpinan yang bijaksana, Malaysia ini masih kekal sebagai negara pertanian yang sebaris dengan Indonesia, Myanmar, Vietnam dan lain-lain negara jiran tetangganya.  Mahathirlah yang telah mengubah landskap politik, ekonomi dan sosial orang Melayu dan Malaysia agar mampu berfikiran pragmatik seperti masyarakat di negara maju lain, cumanya Mahathir terus dikecam kerana Melayu Kampung ini tidak sedar bagaimana mereka sendiri harus mengubah kelakonan dan kendiri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. 


Anak-anak muda kini (yang lahir selepas tahun 1980) adalah individu yang dinaungi legasi Mahathirisme walaupun mereka tidak suka dan tidak sedar perkara ini.  Jika mereka inginkan satu perbandingan secara harfiah, mereka hanyalah seperti pendatang Indonesia di sini hari ini, iaitu warganegara kelas kedua yang daif, tidak berpelajaran, tidak boleh berdiri dengan megah dengan bangsa lain serta malu menjadi warganegara di bumi merdekanya sendiri.  Anak-anak Mahathirisme yang menerima kesan ekonomi dan pendidikan dizamannya kini telah tahu dan pintar menggunakan peralatan komputer dan jaringan internet secara bebas tanpa sekatan serta komunikasi terbuka tanpa sempadan dengan harga mampu milik.  Tanpa pendidikan dan jurang ekonomi yang melebar, anak muda Malaysia yang tidak sedar diri ini hanyalah ‘sampah’ di dalam negaranya sendiri tanpa perlu mereka sedar dan letakkanlah diri anda sebaris dengan pekerja dari Indonesia dan Nepal kerana ibu bapa anda tidak mampu menghantar anda ke universiti atau sekolah menengah kerana kemiskinan dan kedaifan nenek moyangmu dahulu.  Bahawa anak-anak Mahathirisme ini adalah bekas dari ‘hamba negara miskin’ dan bukannya dari kalangan elitis peninggalan British semasa merdeka dahulu.  Sedarkah anda?  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.