Sabtu, 1 Mac 2014

Malaysia Tanpa Islam

Siri I:  Malaysia Tanpa Islam....

Malaysia ditubuhkan dengan dua perjanjian Persekutuan iaitu, Persekutuan Tanah Melayu yang menggabungkan negeri-negeri Melayu bersekutu, negeri Melayu tidak bersekutu dan negeri Selat; di satu perjanjian lainnya, Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura yang akhirnya Singapura dikeluarkan pada 1965.  Atas dua perjanjian bersekutu ini, maka lengkaplah negeri-negeri di Malaysia menjadi 13 termasuk Negeri Baharu di mana akhirnya pada 1974, Wilayah Persekutuan diwujudkan di Kuala Lumpur diikuti oleh Labuan dan Putrajaya menjadikannya 14 buah negeri yang bersekutu. 

Antara asas perjanjian-perjanjian Persekutuan ini khususnya di Tanah Melayu, ialah Raja-Raja atau Sultan-Sultan Melayu ini hendaklah dikekalkan bertakhta dan menaungi negeri serta rakyat baginda sendiri mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri kecuali Negeri Selat yang tidak diwakili oleh Raja melainkan hanya Gabenor Inggeris.  Selain itu, agama Islam adalah dimasukkan sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kedudukan dan keistimewaan Melayu sebagai rakyat Raja dikekalkan. 

Manakala sebagai satu timbal balas kepada kehendak Raja-Raja Melayu ini, baginda hendaklah membenarkan kaum-kaum bukan Melayu yang dibawa masuk oleh Inggeris sebelum ini diterima sebagai ‘rakyat’ dengan menganugerahkan mereka ini dari kaum Cina dan India ‘suatu hak kerakyataan’ yang setara sebagai ‘rakyat Raja’ dan mereka bebas mengekalkan identiti bahasa, budaya dan agama mereka di bawah Persekutuan Tanah Melayu ini. 

Keistimewaan ‘Rakyat Raja’ yang beragama Islam termaktub dan ditukilkan dengan jelas di dalam Perlembagaan Malaysia yang menjadi dokumen asas sebuah negara baru Tanah Melayu sebelum menjadi negara Malaysia di dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Bagi Persekutuan (di kalangan Raja-Raja Melayu) dalam suatu tempoh tertentu, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu (mulai merdeka 1957) dan bumiputera Malaysia (mulai 1963). Artikel ini secara terperinci memberitahu bagaimana Kerajaan Persekutuan mempertahankan kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia biasa dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial. Suka atau tidak, semua warganegara haruslah mematuhinya walaupun dengan ‘hati yang pedih’. 
 
Penentangan Orang Melayu ke atas Gagasan Malayan Union oleh British
Inilah harga menjadi ‘warganegara kelas kedua’ di Malaysia ini kerana kaum Cina dan India di bawa oleh British ke Tanah Melayu bukanlah atas restu Baginda Raja-Raja Melayu tetapi mengikut desakan British yang menagut hasil mahsyul negeri-negeri Baginda ini.  Tambahan pula, selepas Jepun mengangkat ‘Bendera Putih’ dek kekalahan dalam Perang Dunia Kedua, British telah bercadang menubuhkan “Malayan Union” sebagai satu Persekutuan Sekular dengan mencontohi India sebagai modelnya, tetapi ia ditentang oleh Orang Melayu/Islam ketika itu termasuk salah satu syaratnya ialah membuka kewarganegaraan kepada semua orang tanpa mengira bangsa, agama dan asal keturunan.  Akhirnya, Malayan Union terkubur dek penentangan maha hebat orang Melayu ketika itu dalam mempertahankan Tanah Melayu ini yang sebelumnya telah dijajah ratusan tahun oleh pelbagai kuasa asing. 

Bak kata orang, orang Melayu baru tersedar bangsa mereka ‘dijajah’ oleh orang lain bila Jepun betul-betul memijak kepala mereka dan sedar bahawa British hanya mengambil kekayaan negara ini sahaja tanpa niat memajukan mereka.  Dek ekonomi yang buruk, Melayu ‘yang baru sedar diri’ ini akhirnya bangkit menentang rancangan British itu.  Tunku Abdul Rahman yang menjadi perunding kepada kemerdekaan ketika itu, mewakili Persatuan-persatuan orang Melayu dalam mendapatkan persetujuan dari orang Melayu itu sendiri serta Raja-raja Melayu yang bertakhta ketika itu.  Walaupun di pihak Raja, ada di kalangan mereka yang menentang rancangan memberikan kewarganegaraan terbuka kepada kaum Cina dan India, rakyat juga dipujuk agar menerima syarat British itu jika ingin merdeka.  Tak tahan dengan pujuk rayu Inggeris, Tunku akhirnya bermatian-matian cuba memujuk dan meyakinkan Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu ketika itu.  Pujukannya termasuklah mengaitkan ancaman komunis yang semakin membimbangkan Raja-Raja dan Orang Melayu. 

Akhirnya, “kontrak sosial” ini berjaya diputuskan sebagai timbal balas antara kededuanya – kewarganegaraan segera dengan agama Islam, Bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu dimasukkan dalam Perlembagaan Negara.  Jika syarat itu tidak diterima, maka akan hanya ada Melayu dan Islam sahaja di bumi pertiwi ini.  Maka, di dalam kad pengenalan rakyat Malaysia kini dimasukkan “Agama Islam” sebagai pembuktian bahawa warganegara itu adalah “Subjek Raja” atau “Rakyat Raja”.   Bagi tiada agama atau kosong di ruangan agama di dalam kad pengenalannya, ia adalah kerakyatan segera yang boleh dibezakan kelak jika Persekutuan atas Persekutuan ini “dibatalkan”. 

Hal ini pernah dicabar oleh Ketua Menteri Singapura (Lee Kuan Yew) ketika masih di dalam Malaysia, beliau bahkan sanggup mengambil dan memberikan kewarganegaraan segera kepada pendatang dari China sebagai warga Persekutuan sehingga mengundang kecaman Menteri-Menteri Tanah Melayu ketika itu dan menyebabkan jumlah penduduk Melayu Islam berkurangan secara drastik.  Tindakan pantas Tunku membuang Singapura bersama warganegara baharu itu akhirnya menyelamatkan penduduk Islam di sini apabila hanya kekal sebagai 50% daripada keseluruhan jumlah penduduk Persekutuan Malaysia.  Sabah dan Sarawak telah membantu mengurangkan penduduk bukan Melayu Islam dengan kemasukannya ke dalam Persekutuan Malaysia, dan seluruh penduduk etnik dari Pulau Borneo itu dipanjangkan untuk dijadikan “Bumiputera” dan menikmati kemakmuran Perkara 153. 

Namun, Lee Kuan Yew tidak berhenti di situ, beliau terkesima dan kecewa dengan tindakan Tunku ketika itu, menyerang Kuala Lumpur dengan penuh muslihat dalam memastikan Islam dan Melayu bukanlah “Rakyat Raja Melayu” di Tanah Orang Melayu.

Sambungan Siri II, Singapura merumuskan Melayu bukan Islam, Malaysia bukan Tanah Orang Melayu. 

Siri III, Dari Komunis Bintang Tiga, DAP Memasuki Sistem Politik Malaysia.


Siri IV, Melayu Sendiri Mencabut Islam dari Tanah Orang Melayu.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.