Seniman
di Malaysia Papa Kedana
Berkesempatan berada di belakang
seorang Menteri memberikan satu peluang untuk mencuri-curi mendengar masalah
yang diajukan kepada Yang Berhormat tersebut.
Memang tidak sopan mendengar butir bicara orang dan bergosip tentangnya
tetapi apakan daya, sebagai bukti satu keprihatinan maka berikanlah sesuatu idea
yang difikirkan patut. Saya suka
berkongsi dengan tulisan walaupun panjang lebar, meleret-leret dan berkronologi
panjang – peduli apa, teruskanlah (kalau nak baca).
![]() |
Nyonya Mansur |
Rupa-rupanya, artis di Malaysia ini
semuanya jenis papa kedana dan tidak menjamin masa depan, keluh saya
sendirian. Patutlah Nyonya Mansur marah
anaknya nak berkahwin dengan ahli muzik – Kassim Selamat! Mak mana nak lihat anaknya miskin dan
merempat, ya tak? Maka betullah
pendirian mak ayah saya yang tidak benarkan kami terlibat dengan muzik atau apa
jua bidang seangkatan dengannya dulu.
Bila saya kata ada latihan pementasan drama sekolah, cepat-cepat mak
saya buat muka dan kata tidak ada faedah, rupanya inilah maksudnya. Bila mak dah tarik muka, pandai-pandailah
jaga diri sebab kalau dia tak suka dan tak izin janganlah mengeluh kalau tak
nak kena pulang paku buah keras. Mak doa
tue makbul tau!
Arakianlah sang artis tersebut
rupa-rupanya minta projek atau ‘job’ daripada Pak Menteri tersebut. Bagusnya Pak Menteri Malaysia nie tak pernah
nak tolak permintaan orang. Tapi demi
menjaga integriti dan amanah rakyat, Pak Menteri akan memanjangkan permintaan
segenap orang yang berjumpa dengannya kepada pentadbir Kementerian berkaitan
sama ada boleh atau tidak dan apakah solusi (penyelesaiannya). Tercampaklah ‘kertas kerja’ yang entah
apa-apa permintaan artis tersebut. Bukan
sedikit, beribu-ribu lemon jugalah maksud kertas kerja tersebut. Patutlah Pak Menteri tak berani, silap-silap ‘ke
dalam’ Pak Menteri kita nak menjawab permintaan individu tersebut. Begitulah caranya ‘orang kita’ nak hidup,
harapkan projek Kerajaan dengan benda yang bukan-bukan. Tak sedikit jumlah yang dia hendak, boleh
menjerut leher jugalah, tak kiralah artis atau orang ‘usaha atas awan’.
Terkesan dengan kertas kerja itu, saya
diminta untuk menyemak sama ada idea kertas itu sesuai atau tidak dan adakah
berbaloi jika kerajaan berbelanja bagi maksud kertas itu. Bukan merendahkan, tetapi benda itu tidak
pantas (layak) dibuat oleh mereka yang menggelar diri mereka ‘selebriti’. Bak kata orang Melayu, buat jatuh air muka sahaja. Tapi demi sesuap nasi, mereka sanggup – lantaklah
dengan air muka, cacing dalam perut pun perlu diisi semestinya. Walaupun idea itu hanya layak dibuat oleh
para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi artis Malaysia sanggup juga
turut membantu demi sesuap nasi.
Dibanding dengan artis Indonesia – Shahrini
adalah artis yang ada kelas – ada jet peribadi, pengerusi persatuan
kereta-kereta ‘sport’ Indonesia. Olga
Syaputra pengacara ‘lempuk’ ala-ala Abang Wan kononnya turut tak kalah – mampu beli
Alphard dengan tunai lagi, belum kira banglo keluarganya dibelikan dengan tunai
juga. Olga juga dapat buat rawatan
kesihatan di Singapura juga secara tunai tanpa campur tangan pemerintah atau ‘jual
projek’ dengan pemerintah Indonesia.
Rafi Ahmad juga sama, mampu beli rumah banglo tunai dengan ratusan juta
ringgit (milyaran rupiah) hanya 2 tahun sahaja berusaha mengumpulnya. Betullah jadi artis di Indonesia lebih
dihargakan dari di Malaysia yang maju dan makmur ini.
P. Ramlee yang setaraf pengarah Steven
Speilberg Melayu juga pernah merempat dan papa kedana dalam tahun-tahun
terakhirnya berkarya. Jangan terkejut
kalau artis-artis di Malaysia tinggal di kawasan perumahan rakyat termiskin
(PPRT) ataupun di rumah-rumah murah di lokasi yang agak sedikit kumuh. Ada juga artis bertaraf bintang 3 atau 4,
tapi tetap perlu kerja sampai putus urat saraf.
Nasib tak baik, dilupakan orang bahkan terpinggir dari arus kehidupan
dan kembali menjadi ‘penggemis harapan’ untuk sesuap nasi. Lihat sahaja Mr. Os yang pernah menjadi artis
bertaraf 4 bintang di zaman kegemilangannya, terpaksa menarik teksi demi
meneruskan hidup. Beliau bukan tak
pernah jadi hero filem Malaya bahkan sangat terkenal sebagai ahli komedi. Mungkin nasib juga bak kata sesetengah rakan,
lihat Abang Salleh Yaakub yang sezaman dengan Mr. Os, masih diterima peminat
walaupun ‘dah kertu’, bahkan isterinya sahaja – Ya Allah, makmur! Tetapi Abang Salleh juga pernah terpinggir
beberapa tahun sebelum kembali disambar stesen radio Sinar FM. Lihat Ucop (Pelakon Komedi dalam filem Hantu
Kak Limah Balik Rumah), lepas pecah panggung dalam lakonannya di dalam filem
tersebut, pernah ditawarkan menjadi juruhebah radio selama beberapa
ketika. Kini, hilang juga ke laut.
![]() |
Ziana Zain |
Dibanding-bandingkan, betullah kata
orang “jadi artis Malaysia nie tak ke mana”.
Ziana Zain yang bersuara lantang dan menyanyi dengan hebat juga terpaksa
berlakon dan menjadi duta prosuk demi meneruskan kerjayanya di awal tahun
90an. Neelofa terpaksa menjual tudung
kepala, Siti Nurhaliza yang bertaraf 5 bintang pun terpaksa menjual kosmetik
walaupun semua tahu kekayaannya berapa dicampur pula pendapatan sang suaminya
yang kaya raya. Walau pun
samping-sampingan, tetap ada kerja lain selain menjadi artis. Itu yang bertaraf 5 bintang, yang suam-suam
kuku bagai mana pula? Fizo Omar terpaksa
menjual burger bakar dan ramai lagi artis lain yang bak kata Tan Sri SM Salim –
Tak Seindah Wajah! Sedih betul. Apa yang
salahnya dalam industri seni Malaysia ini?
Betul ke kata mak ayah saya dan Nyonya Mansur, ahli muzik ini tak
kemana? Patut ke Tun Dr. Mahathir seru
agar banyakkan upaya sains dan teknologi dari membazir masa dalam bidang seni
dan budaya. (Tun Dr. Mahathir pernah
mengubah kuota kemasukan ke Universiti awam Malaysia dengan 60% di dalam bidang
Sains dan Teknologi dan bakinya 40% di dalam bidang Kemasyarakatan dan
Sastera) Betulkah?
Sebagai pelajar jurusan komunikasi
massa, saya melihat ada benarnya juga jika ia dikira untuk kelakonan masa depan
individu. Tetapi dalam masyarakat, ia
tidak wajar sebab adat resam, budaya dan sastera harus dipelihara sesuatu
bangsa dalam tamadunnya. Lihat tamadun
dunia, sastera dan seni budaya mereka disimpan barulah menjadi bangsa yang
besar dan dicontoh-contohkan orang.
Tetapi apakah masalah seni dan budaya di Malaysia? Pelik bukan?
Stesen televisyen (Penyiaran) di
Malaysia ada 3 kelompok; Pertama milik Kerajaan (RTM), kedua dari Media Prima
dan ketiga ASTRO. Mereka bukan kecil,
mereka adalah gergasi media di Malaysia.
Sama ada media elektronik, cetak mahupun paparan luar – bak kata orang
semua jenis pengiklanan dan komersil adalah tali barut mereka jugalah. Untung sesebuah syarikat bukan kecil anak,
bahkan berbilion ringgit jugalah (Kecuali RTM kerana ia milik Kerajaan dan
bukan bermatlamat keuntungan). Jadi,
adakah wajar pemilik-pemilik stesen ini mengaut jutaan hingga bilion ringgit
sedangkan artis-artis Malaysia bak melukut di tepi gantang? Siapa salah, dasar awam? masyarakat ataupun
konglomerat media ini? Kalau Rupert
Murdogh boleh menjadi billionaire media, mengapa jutawan media di Malaysia tak
boleh? Jika Mariah Carey atau Justin
Bieber boleh menjadi kaya raya kenapa Ning Baizura atau Tomok Indrawan
tidak?
![]() |
P.Ramlee |
Zaman kegemilangan filem Melayu
(tetapi pemiliknya ialah India dan jutawan media dari Hongkong – Shaw Brothers),
artis-artis mendapat peluang yang sangat hebat, rumah-rumah media dan syarikat produksi
dapat membikin ratusan filem bahkan lagu-lagu piring hitamnya boleh memecah
rekod yang hebat. Anugerah jangan cakap,
filem P. Ramlee sahaja sehingga ke Jepun bahkan dapat membolot beberapa
anugerah kategori utama. Tetapi kini,
filem Melayu layak ke bakul sampah sahaja kata Siti Jarum (Penulis Pojok). Kalau tak ada adegan orang kaya naik Mercedes,
adegan makan-makan di restoran mewah, aksi-aksi lucah, hantu tahyul atau lawak
bodoh maka itu bukan filem Melayu – filem Hantu agaknya. Bukankah P. Ramlee pernah beri dialog –
Bahasa Melambangkan Bangsa (Filem Seniman Bujang Lapok), tetapi filem Melayu
kini memang layak ‘dibuang’, tetapi tidak patutlah kita kata begitu sebab
akhirnya P.Ramlee pun pernah dibuang ke laut (walaupun karnya hebat). Ada yang kata P. Ramlee memang wajar ke sana
sebab pernah jadi pengkritik hebat Malaya dan mengutuk parti pemerintah
Malaysia dahulunya. Akhirnya beliau
tidak diberikan jawatan walaupun sebagai Pengarah Muzik di RTM, bahkan membikin
filem warna pertama juga dia dinafikan – sama ada kerana politik atau kerana
kewangan, itu kena siasat dengan jelas.
Persoalannya, betulkah artis Malaysia
ini papa kedana? Saya pernah tukilkan bahawa
prasarana industri di Malaysia sungguh hebat (rujuk: http://puterademokrasi.blogspot.com/2014/02/dunia-hiburan-tanah-air.html) bahkan komitmen Kerajaan (terutama di bawah
kepimpinan Najib Razak) sehingga menyediakan geran yang berpuluh juta ringgit
juga tidak berupaya memajukan industri bahkan kepada artis dan penggiat
seni. Saya semakin keliru, di manakah
silap pemerintah kita? Adakah kita kena
sediakan rumah produksi seperti mana zaman filem hitam putih di Jalan Ampas
Singapura dahulu. Apakah penggiat seni
kita kekurangan (muflis) idea dan kepintaran bakat sehingga filem dan
lagu-lagunya tidak layak masuk panggung?
Atau kekurangan ongkos biaya (penaja) dari para usahawan kita untuk
menaja persembahan pentas atau iklan-iklan?
Memang benar banyak produk dalam negara kini dimiliki oleh pemilik asing,
sudah tentu mereka akan menaja filem atau pementasan berkenaan negara asal
mereka sahaja. Cuba lihat iklan di Malaysia,
banyak yang dialih bahasakan ke bahasa Melayu tetapi kandungannya dari negara
luar. Mohamad Rahmad, bekas Menteri
Penerangan di zaman Tun Dr. Mahathir pernah keluarkan pekeliling melarang muka
Pan Asia di dalam iklan di Malaysia dan hendaklah dibuat/produksi dalam negara
bagi menjamin industri kreatif kita, tetapi ia juga kelihatan gagal.
Maka, apa lagi yang perlu kita
usahakan? Atau kita bungkus sahaja seni
budaya kita ke dalam karung guni dan buang ke laut? Di mana Sasterawan Negara, Profesor Negara
dan juga Pemikir-Pemikir Malaysia untuk melihat duduk letak industri ini? Jika Indonesia yang berkapasiti 300 juta
penduduk dengan 27 stesen televisyen boleh, apakah Malaysia yang 30 juta
penduduk dan pemilik 3 stesen televisyen perlu menyerah kalah? Seniman di Indonesia terus mencetak rupiah
dan memberikan idea kreatif dalam industri mereka (termasuk dari penaja kilang
belacan), apakah Malaysia tidak boleh?