Ahad, 6 Julai 2014

Racun Barat Oleh Ulama Islam Malaysian Sendiri

Keracunan Barat

Malaysia merupakan sebuah Negara “Persekutuan atas Persekutuan” dan sebuah Negara bangsa sekular yang diwujudkan atas nama sebuah kemerdekaan palsu yang diberikan akibat tagihan sebuah parti politik tunggal orang Melayu – UMNO.  Maksud Persekutuan atas Persekutuan ialah:  Malaysia mengikat perjanjiannya antara Borneo iaitu Sabah dan Sarawak (sebelum itu termasuk Singapura) bersama sebuah lagi Persekutuan Tanah Melayu dari Semenanjung Malaysia.  Persekutuan Pertama Malaysia ialah Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri dari Negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan 2 buah Negeri-Negeri Selat iaitu Melaka dan Pulau Pinang. 


Manakala bagi negara bangsa, Malaysia menekankan beberapa ciri sekular yang sama semasa Merdekanya beberapa bahagian dunia Islam yang mengikut acuan Great Britain dan disusun kembali oleh Amerika (Sebuah Persekutuan Negara-Negara yang menjajah Dunia Baru).  Sejak keruntuhan Dar-al-Islam, sebuah Negara Tunggal umat Islam (Muslim) yang dikuasi oleh Turki Uthmaniyah, Great Britain, Perancis, Rusia, dan Jerman giat membahagikan hasil perang mereka dengan mewujudkan beberapa buah negara baru yang juga sekular.  Sekular dalam konteks ini bahawa negara-negara baru ini diberikan sempadan yang khusus, adalah satu suku atau kaum yang sama warna kulit/bangsa atau etnik, mengamalkan bahasa yang sama dan tunggal, sistem tulisan dan sastera yang tunggal serta mengamalkan ajaran atau anutan agama yang tertentu sahaja serta sistem pentadbiran yang memandang ke Barat sahaja.

Sedangkan semasa kepemerintahan Dar-al-Islam, agama tunggal Islam yang dianuti oleh segenap penduduk di wilayah Islam itu hanyalah beragama Islam tetapi mereka juga mempunyai pengikut agama dan ajaran lain (kafir zimmi), kebudayaan yang pelbagai, bahasa pertuturan yang banyak tetapi Bahasa Arab adalah Bahasa Rasmi, mempunyai kepelbagaian etnik atau suku bangsa serta bebas mengamalkan adat resam yang seiring dengan Islam yang Sejahtera itu.  Maka, kepelbagaian (diversiti) ini melahirkan satu ummah yang sihat, kuat serta mempunyai 1,001 macam politik, ekonomi, budaya, sastera dan cara hidup yang sentosa tanpa gangguan.  Manakala sang pemerintah hanyalah mengawal sistem ini dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada warganegaranya. 

Sejak kejatuhan Turki Uthmaniyah akibat kebusukan sistem pemerintahan yang korup, pelbagai ideologi Barat telah memasuki negara umat Islam ini yang merupakan jantung dunia.  Jantung ini telah dicemarkan dengan ideologi-ideologi asing yang kononnya demi kelangsungan Islam itu sendiri akibat kebodohan pemerintah dan si Ulama yang tersangat taksub dengan agama sehingga menafsirkan Islam secara sempit dan mengikut kehendak ukhrawi semata-mata.  Sedangkan Islam telah dimajukan 1,000 tahun lampau dengan penuh nilai kemasyarakatan yang lebih sempurna.  Arab adalah bangsa yang membesar dalam kekasaran dan selok-belok umat negara kota yang metropolitan.  Bukan seperti Kristian di Eropah yang mengamalkan sistem pertanian, Islam di Arab dibangunkan dan dikembangkan dalam sebuah negara kota yang mempunyai sistem lapisan masyarakat yang kompleks dan pelbagai (varian). 


Namun begitu, bila jantung dunia (Turki) ini telah tercemar dengan fahaman-fahaman karut marut dari Barat yang kononnya maju pada masa itu, Ulama-ulama pula meninggalkan cara hidup moden dan kota (kehidupan para Nabi dan Sahabat serta Khalifah-Khalifah lain sebelum itu), menjadi ulama yang menasihat ke arah kehidupan kampung yang sangat zuhud seolah-olah Allah menyuruh memilih kehidupan akhirat semata-mata.  Akibatnya, Islam semakin merosot dan puncanya adalah ulama dan ahli sufi dan zuhud melampau ini.  Akhirnya, Islam telah ditembak jantungnya, dan pemerintah yang bodoh telah meniru elemen Barat sehingga mendapat satu istilah baharu (ciptaan Ulama sesat) – Sekular. 

Sedar atau tidak, selepas Turki mengisytirhakan negara mereka mempunyai sempadan-sempadan tertentu dan membebaskan wilayah-wilayah Dar-al-Islam yang lain kepada Great Britain, Perancis dan Rusia, mereka menjadikan hanya bahasa Turki sahaja boleh dituturkan di wilayah itu serta mempunyai bangsa Turk serta adat resam kebudayaan Turk sahaja dibenarkan.  Manakala Islam hanyalah agama peribadi dan dianuti bagi tujuan ritual semata-mata untuk diri sendiri dan bukannya disebarkan – olah Bapa Sekular Modern – Mustafa Kamal. 

Sedangkan Islam sedari zaman Rasullullah SAW adalah sebuah agama yang dikembangkan daripada sebuah Kota Mekah – sebuah kota perjalanan suci, perdagangan dan bandar ibadat yang dilawati oleh segenap penjuru dunia untuk beribadat dari bangunan Hitam yang dibangunkan Ibrahim K.A dan anaknya Ismail A.S. sebelum berpindah pusat pentadbirannya di kota Madinah.  Bangsa Yahudi, Ajam, Nasrani serta suku-suku kaum yang lain juga telah berdiam dan berdagang di kota-kota ini semasa perkembangan Islam dan mereka telah bergabung dan bersebati dengan baik antara satu sama lain yang membentuk negara baru yang bersifat ukhuwah dan berstrata sosial yang adil dan saksama – tidak kira pemerintah, hamba atau ulama. 


Setelah Syria, Iraq, Iran dan Afghanistan dilukiskan dalam peta dunia, masing-masing mencontohi negara Turki untuk membentuk hala tuju negara bangsa masing-masing sama seperti negara “gila” tersebut yang meninggal Islam sebagai cara hidup (walaupun ada beberapa darinya yang kembali).  Di era 1900-an, negara-negara baharu ini mengikut telunjuk apa yang dipanggil “Westoxicifation” atau “Racun Barat” dalam memicu negara yang baru mendapat hasil emas hitam.  Ulama-ulama yang kononnya ingin melihat kesatuan ummah kembali menjadi Dar-al-Islam kembali terus menerus mengasingkan diri dan mengkritik pemerintah masing-masing mengikut duduk faham mereka serta apa yang diinginkan.  Di Semenanjung Arab, keluarga Al-Saud dan Al-Wahab mempromosikan diri sebagai pengikut Islam Perdana (Islam seperti ajaran awal Rasulullah SAW), di Iran, ulama-ulama yang ditekan oleh Shah Reza Pahlavi memberontak menjadikan Syiah yang mempercayai Imam Ghaib sebagai Ketua Revolusi dan mereka terus menerus menafsirkan Islam mengikut kehendak dan apa yang mereka fikirkan.  Di Afghanistan, Iraq dan Syria turut tidak ketinggalan, perang masing tidak muktamad sejak perang dunia pertama sehingga kini sampailah dikaitkan dengan Perang 11 September 2001 yang menggila itu.

Tanah Melayu

Berbalik ke Malaysia, negara ini tidak pernah mengiktiraf diri sebagai sebuah wilayah Dar-al-Islam bahkan terpisah secara harfiah dengan wilayah-wilayah agung Islam itu di masa kegemilangannya.  Walaupun dipempan oleh beberapa negara bangsa seperti Siam, Kemboja dan Myanmar, garisan akhir antara wilayah ini sudah terlalu dekat dengan Dar-al-Islam iaitu India atau Kesultanan Moghul pada masa itu.  Kerajaan Kecil lain seperti Demak dan Acheh turut dekat dengan Melaka sehinggakan wilayah-wilayah yang dekat dengan India (Indonesia kini) juga menjadi Islam dan mengamalkan pentadbiran yang hampir sama dengan Dar-al-Islam ini.  Namun, seperti di wilayah lain, Great Britain, Portugis dan Belanda terus menerus membodohkan umat Islam dengan “Racun Barat” sehinggakan pemerintah wilayah-wilayah kecil (dari Keruntuhan Tamadun Melayu Melaka) mengikut kehendak Barat yang lebih moden dan mempunyai kewangan/emas yang banyak dan teknologi yang hebat.  Ulama-ulama juga masih seperti di wilayah lain, menafsirkan Islam hanya mengikut kehendak “akhirat” semata-mata dan pemerintah yang tamak lagi sombong ini terus menerus meninggalkan ulama yang memuji akhirat melebih-lebih ini.


Maka, terjajahlah Tanah Melayu oleh agenda “Racun Barat” ini.  Ulama dan para orang berilmu juga tidak boleh dikecualikan dalam kebobrokan ini kerana mereka “gagal” memberikan nasihat yang saksama kepada pemerintah wilayah kecil yang rakus dan disuntik dengan “Racun Barat”.  Akhirnya, beberapa tokoh nasionalis yang terpengaruh dengan kehebatan Turki cuba mencontohi perjuangan itu untuk mewujudkan wilayah yang merdeka dari “Racun Barat” dan bergerak mengikut acuan Turki – sekular.  Rundingan demi rundingan telah berjaya menyimpulkan satu kemerdekaan (walaupun negara ini tidak dijajah secara langsung, kecuali Melaka dan Pulau Pinang).  Gabungan-gabungan kerajaan-kerajaan kecil di beberapa wilayah telah membentuk satu Persekutuan Tanah Melayu dan mencapai apa yang dipanggil “merdeka” dari pemerasan Barat.  Terpesona dengan agenda “Racun Barat” negara ini juga menjadikan agama Islam dan bahasa Melayu sebagai bahasa tunggal tetapi bahasa dan agama lain bebas diamalkan tetapi tidak boleh dikembangkan.  Hanya bangsa Melayu adalah bangsa dominan tetapi menerapkan bangsa lain boleh mendiami bumi ini secara saksama – pendek kata sama seperti di wilayah Islam yang baru diberikan kuasa oleh Barat tadi.    Persekutuan negeri-negeri ini sekali lagi menjemput Sabah, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Persekutuan atas Persekutuan dan syarat sama telah dikekalkan.  Cuma yang menjadi persoalan pokok, apakah peranan para ulama dalam keadaan Malaysia?

Seperti biasa, bahalol-bahalol agama ini masih kekal dan tawaduk dengan diri mereka kononnya Islam untuk perjuangan sesudah mati sahaja.  Mereka telah lumpuh dan manjadi apa yang dipanggil ulama politik moden sebagai “Ulama Bisu” yang mendiamkan diri.  Namun, akibat pergeseran kuasa dalam menyertai pemerintahan (sama seperti di Iran), bahalol-bahalol agamawan kononnya Islam ini membentuk sebuah parti dalam menyaingi kuasa pemerintah yang dihitung sebagai sekular – Parti Islam Se Tanah Melayu / Parti Islam se-Malaysia kini. 

Sedihnya, dari dahulu sehingga kini, ulama-ulama bahalol ini masih kekal begitu – menentang apa yang dipanggil pemerintah palsu dan sekular, memisahkan agama Islam sebagai cara hidup.  Caranya ialah mengurangkan undi parti pemerintah yang dikatakan sekular dengan pelbagai cara termasuk memfitnah, menggunakan segala macam hukum Al-Quran, Taurat dan Zabur serta hadis dalam mengurangkan kuasa politik dalam pemerintahan.  Sehinggakan di zaman “Racun Barat” semakin melumpuhkan Islam – mereka tak segan-segan menggunakan racun yang sama menyuntik umat Islam Melayu yang terus lumpuh kaku ini.  Racun Barat iaitu sekularisme, liberalisme, pluralisme dan idealisme terus menerus digunakan oleh apa yang dipanggil “ulama” untuk melumpuhkan umat Islam sendiri.

Bayangkan – mereka yang ketandusan sebuah kuasa sanggup menyuntik virus-virus ini terus kepada penganut kalimah Tauhid ini?  Inilah yang dikatakan Ulama Racun Barat yang semakin sesat.  Nik Abdul Aziz salah seorang kelompok ulama tersebut tanpa segan-segan menyatakan bahawa sanggup bersekongkol dengan “Syaitan” dalam menumbangkan pemerintah yang kononnya zalim.  Berbeza dengan Iran dan Arab, ulama-ulama ini memecut pemerintah dalam menafsirkan semula “Racun Barat” serta mengajak umat Islam di sana membangunkan ilmu dan teknologi moden secara Islami untuk menjadi khalifah yang lebih baik sama ada untuk keluarga atau masyarakat.  Terbalik di Malaysia yang awalnya sudah sekular, Ulama bahalol ini terus menerus menggasak rakyat agar memberikan kuasa kepada mereka – ingin menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lebih baik, tetapi menyuntik “Racun Barat” ini lebih pekat ke dalam jantung umat Islam Malaysia yang telah lumpuh akibat dengannya. 


Jika di Turki yang dihina-hina itu kerana sekularisme, kini telah menyuntikkan elemen Islam sehingga menjadi bertambah tawaduk dan lebih murni Islamnya, ulama di Malaysia bertindak sebaliknya.  Mereka menduduki kerusi pentadbiran dengan senang hati, membiarkan “Racun Barat” ini terus merebak – dan sering menyalahkan pemerintah bila racun ini di sebut-sebut.  Apa tugas ulama Malaysia? Mereka membenarkan Allah (Allah yang Tunggal dan Tidak Diperanakkan) menjadi tuhan yang sama dengan umat Kristian, membela tanpa menyiasat secara harfiah dakwaan liwat ketua mereka (liwat adalah ancaman Allah yang utama selepas syirik, bunuh dan zina), mengecam pembangunan yang memberikan warganegara pendapatan dan pengetahuan, mengheret warga yang ingin mendapat ilmu (acuan Sekular) kepada tidak langsung berilmu (sama ada dunia atau akhirat), mengabaikan institusi-institusi Islam tetapi mengimarahkan masjid dengan kempen politik semata-mata serta banyak lagi program karut-marut mereka dalam mendapatkan kuasa dan mengulingkan pemerintah.  Racun-Racun ini terus disuntik kepada rakyat Malaysia bukannya menyembuhkannya. 

Seharusnya ulama-ulama ini mendekatkan diri mereka dengan tafsiran Islam yang sebenar – Islam adalah agama negara kota yang maju dan makmur.  Bangunkan sistem sosial dan ekonomi dengan perancangan yang teliti dan cekap.  Kelantan sebuah wilayah dikuasi ulama bahalol ini juga terus-menerus gagal dalam menjadikan umatnya sebagai “berjaya di dunia dan di akhirat” dengan taraf ekonomi hampir setaraf dengan kota-kota di Afghanistan dan Palestin.  Mereka lebih rela menjerit dan memekik menuntut royalti minyak tanpa memikirkan alternatif lain mambangunkan wilayah itu agar lebih Islami.  Sejujurnya, mereka membangunkan waqaf-waqaf iaitu pertubuhan Islam (mengecualikan cukai) dan membina rumah mampu milik, membina komuniti perniagaan yang lebih baik, menyediakan prasarana untuk memudahkan proses mengimport dan mengeksport barangan, menaja pertubuhan-pertubuhan (seakan-akan kartel) dalam perniagaan seperti di Turki di mana ulama menyediakan modal melalui tabung waqaf dan zakat masjid.  Mereka juga harus membangunkan institusi Ilmu iaitu universiti dan sekolah-sekolah yang mengkaji Islam itu bukan sahaja sebagai agama (teologi) tetapi sebagai cara hidup yang terkini (kerana Islam itu adalah agama bandar) serta apa-apa pembangunan insani yang lebih terarah dan fokus.

Islam memandang pembangunan sebagai sesuatu bangunan dan perdagangan yang kukuh dan menyatukan umah.  Kesalahan Kerajaan Persekutuan hendaklah ditunjukkan dengan menjadikan negeri itu sebagai model yang lebih baik dan bukannya hanya “duduk mengaji siang dan malam serta berdoa tanpa berusaha”.  Itu tidak akan menjadikan Islam lebih baik tetapi suatu bangsa yang berharapkan bantuan semata-mata.  Masjid-masjid yang telah didirikan, kumpulkan bantuan dan sumbangan kecil-kecil ini dan berniagalah dengan wang itu sesama komuniti masjid serta belilah hartanah tempatan dan jadikan lokais perdagangan atau perumahan untuk mereka yang memerlukannya. Dengan membangunkan umat secara harfiah “sakinah warahmah” tanpa mempedulikan agenda politik, ulama seharusnya mengurangkan toksin-toksin atau racun-racun barat yang telah disuntik oleh pemerintah yang pro-Barat dahulunya.  Setelah 57 tahun, ulama-ulama ini tetap gagal menyembuhkan racun ini bahkan beberapa kalangan dari mereka menjadi penyangak kepada masyarakat dan terus dibela-belakan. Ada yang berjuang untuk puak jihadis yang tidak perlu tetapi dalam menjadi umat perdana, mereka sebenarnya semakin jauh dan racun barat oleh Pemerintah tetap disuntik generasi demi generasi.  Bahkan ulama bahalol kini juga bertindak atas kapasiti yang sama – menyuntik racun barat ke dalam masyarakat Islam di Malaysia sejak merdeka sama seperti pemerintah – tidak berbeza.



Umat Islam Malaysia, janganlah kamu bergantung kepada ulama yang mengambil kesempatan ini, tetapi hendaklah kita tanamkan iktiqad mencari pejuang-pejuang suci yang ikhlas membangunkan umat, jadilah bangsa berilmu yang mencontohi sufi-sufi Turki yang menyusun umat Islam di sana membentuk satu kesatuan dan menjadi Islam yang diredai Allah dengan memajukan kita sesama umat – hindarkan sifat hasad dengki, cemburu dan tamak kita jauh dari bumi dan akar ini.  Allahu Alam.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.