Selasa, 24 Mac 2015

Kekuatan Orang Melayu...




Masyarakat Melayu/Islam di Malaysia kini seperti melukut di tepi gantang atau hidup segan, mati tak mahu. Kelakonan masyarakat Melayu/Islam di dalam dunia ekonomi, politik dan sosial termasuk dalam bidang teknologi dan pendidikan masih 'merumput' berbanding bangsa lain yang mulai terbang ke langit. Bahkan, bangsa Indonesia juga walaupun miskin telah menakat dalam beberapa bidang termasuk pendidikan, teknologi bahkan kelakonan dalam kebudayaan.

Masyarakat Melayu/Islam pra-kemerdekaan hanyalah bersandarkan kepada kehidupan secara sendiri-sendiri iaitu hanya menguruskan periuk nasi mereka sendiri tanpa memikirkan wawasan dan hala tuju dirinya dan anak cucunya kandung/darah dagingnya sendiri. Ini terbukti apabila mereka bersikap acuh tidak acuh dengan menjabat jawatan di Istana Raja atau pejabat penjajah. Bagi mereka, asalkan kerja tanam ubi kayu atau bersawah padi mahupun ke laut sudah cukup memberikan rezeki kepada keluarga mereka.
 
Ekonomi sara diri dan tidak dikembangkan ini terus sebegitu walaupun pendatang asing seperti Cina telah mula menjadi pembekal barangan dan perkhidmatan sekunder kepada penjajah dan Istana. Melayu masih lagi di dalam kampung tanpa memikirkan jati diri bangsanya. Cerita kehebatan dan kekuatan Melayu seperti ketokohan Laksamana Hang Tuah, Kerajaan Melayu Melaka yang gagah dan kaya, serta kemahiran Melayu mengukir keris dan membuat rumah limas menjadi kenang-kenangan dan disebut sebut sebagai warisan antik tanpa niat mengembangkan legasinya.

Akhirnya, bila Jepun mendarat di Kota Bharu, Kelantan barulah Melayu/Islam ini sedar bahaya selama mereka dijajah ini, mereka lena diulit dan tidak barang sedikit campur tangan dalam urusan Kerajaan Melayu mahupun apa yang dibuat oleh penjajah termasuk pendatang asing ini. Bila ramai Cina yang dibunuh oleh Jepun, mereka hanya berkata bahawa masyarakat itu terlalu kaya dan menjadi broker kepada British. Hal Ehwal dunia hanya segelintir sahaja yang mengambil perhatian. Bila British datang kembali selepas tamat perang dunia kedua, barulah Melayu ini semakin tertekan bila British ingin membalas jasa tauke-tauke Cina dan India dengan memberikan kerakyatan secara terbuka.

Melayu baru perasan jika niat British ini tidak dihalang, mereka dan Raja-raja mereka akan menjadi alat dan subjek British dan lebih malang setara dengan kaum pendatang Cina dan India yang dibawa masuk British. Bahkan, di masa itu kaum pendatang ini telah melebihi dari jumlah penduduk tempatan. Jika tidak kerana kemelesetan ekonomi dunia pada 1938 dan Perang Dunia Kedua, Melayu sudah lama terkubur jika diadakan pilihanraya secara demokrasi. Lantas dengan tanah-tanah akan menjadi hak British dan pendatang, mereka menyusun langkah untuk bersatu.

Melayu tidak punya apa-apa ketika itu waima keris setiap seorang mahupun senapang. Melayu hanya ada satu "PERPADUAN" yang berjaya mengheret British menggugurkan Malayan Union dan Kerakyatan Jus Soli itu. Jika berharap pada kepandaian, kekuatan perang dan strategis, Melayu sudah lama dicampakkan ke laut satu persatu oleh pendatang dan penjajah ini. Tetapi bila Melayu/Islam itu telah bersatu tanpa mengira darah kacukan India atau Arab, kecil atau besar, daerah atau negeri mana - mereka berjaya menumbangkan British dengan kekuatan mereka sehingga kuasa besar dunia itu "MALU" dgn penolakan itu.
 
Hanya itulah kekuatan Melayu/Islam ketika itu dan saki baki kekuatan dan ketakutan itu menyebabkan Tanah ini berjaya mendapat rahmat MERDEKA. Kini, seperti biasa sebelumnya - Melayu/Islam tetap begitu. Ada tanah, mereka akan jualkan untuk untung segera, ada lesen mereka akan pajakkan kepada sesiapa sahaja yang berikan ringgit, ada anak dan isteri diletakkan di dapur atau dihantar ke mana-mana untuk mencetak duit tanpa memikirkan hala tuju keturunan dan darah daging mereka sendiri. Asalkan mereka boleh hidup dan selesa - itu sahaja sudah cukup buat mereka. Waima hari ini pendatang asing dari Nepal, Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan mana-mana negara pun mereka tak endahkan lagi.

Jadi, inilah masyarakat Melayu/Islam yang lupakan kekuatan perpaduan mereka itu yg menghalau British dari tanah ini. Jangan risau jika Melayu/Islam ini akan terjajah sekali lagi kerana membincangkan mengenai hak dan Undang-Undang Islam mereka sendiri pun mereka masih menjadi 'pak turut' dan sanggup diperbudak-budakkan, apatah lagi isu-isu ekonomi, kebudayaan, kemasyarakatan mahupun teknologi yang jauh panggang dari api.


Wahai Melayu/Islam, marilah kita berseru - BERSATULAH. Janganlah kalian menjadi Datuk dan Nenek kalian yang pana dan benak dalam menjadikan negara ini Syurga kehidupan. Hentikan sifat tamak kuasa dan harta demi kelangsungan bangsa kalian yang semakin menyonsong kebelakang ini. Berserulah bangsa Melayu/Islam..... BERSATULAH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.