Ahad, 29 Mac 2015

Sistem Dual-Parti (Kerajaan dan Pembangkang)



"...PR melaungkan tindakan anti (menentang) kepada cukai baharu yg diperkenalkan oleh kerajaan iaitu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).  Tetapi, apakah pilihan lain pihak pembangkang menggantikan cukai itu dengan cara yang lebih baik? Apakah dasar atau polisi kewangan mereka jika GST itu perlu dimansuhkan?...."



Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan Raja Berperlembagaan.  Dalam sistem ini, Ahli Parlimen Malaysia dipilih oleh rakyat dengan cara memilih secara langsung anggota tersebut.  Sama ada calon untuk Ahli Parlimen itu dari parti mahupun individu yang ingin bertanding dan mewakili kawasan itu di Dewan Rakyat.  Manakala Dewan Negara atau setara Dewan Senat dipilih oleh Yang Di Pertuan Agong mengikut jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di wilayah, pertubuhan, wakil persatuan masyarakat, agama dan lain-lain kelayakan professional yang boleh menasihati dasar awam Negara selepas Dewan Rakyat.



Puncak bagi kededua dewan ini ialah Yang Di Pertuan Agong yang mewakili cabang Perundangan (legislative) dalam sistem demokrasi.  Pemilihan wakil rakyat ini mensasarkan keupayaan seseorang (sama ada mewakili parti atau individu) yang mampu memberi khidmat kepada ahli kawasan yang diwakilinya mahupun melaksanakan dan mengetengahkan gagasan penduduk kawasan tersebut terhadap isu dan dasar Negara.  Misalnya, jika sesebuah kawasan baru ingin diteroka oleh pihak pemerintah (eksekutif), menjadi tanggung jawab ahli parlimen di kawasan itu mewakili penduduknya sama ada menerima pampasan yang setimpal ataupun enggan mengikut dasar yang dicadangkan serta memberikan maklum balas yang lebih setara kepada kededua pihak iaitu rakyat dan pemerintah akan hal yang ditolak atau diterima.  Dengan peranan kecil itu, seharusnya rakyat mendapat manfaat dari tugas ahli parlimen yang mewakili suara mereka di bawah. 

Di Malaysia, sistem dual parti atau hanya terdapat dua pihak sahaja yang bertanding dalam sesuatu pilihanraya hanya bermula pada tahun 1990 iaitu perintisan kepada sistem dua parti sejak merdeka.  Barisan Nasional (BN) mewakili parti pemerintah sedari Merdeka dan Angkatan Perpaduan Umah (APU) yang di dalamnya terdapat beberapa parti lain yang bergabung menentang parti Kerajaan ketika itu spt Semangat 46, PAS, DAP dan Parti Sosialis. 
 
BN adalah komponan parti-parti pelbagai kaum dan ideologi yang disatukan untuk menawarkan khidmat dan polisi dalam mana-mana pilihanraya.  Parti Islam Malaysia (PAS), Parti Sosialis mahupun Parti Tindakan Demokrasi (DAP) adalah antara parti-parti awal yang wujud bersama Perikatan (Asal kepada BN) yang sentiasa menentang BN/Perikatan dalam pilihanraya.  Tetapi pertandingan melawan BN ini hanyalah sebagai parti-parti kecil sahaja (ideologi yg sgt niche) dan tidak bergabung menjadi satu koalisi yang hebat seperti gagasan BN. 

Tidak salah jika pihak pembangkang ingin bergabung dan membentuk Barisan Alternatif (1999) mahupun Pakatan Rakyat (2008) yang meniru kaedah BN yang menggabungkan satu ideologi dalam satu simbol pilihanraya.  Cuma, dalam kededua keadaan ini, baik BA atau PR, masing-masing hanya meletakkan calon dan tidak bertanding di lokasi yang telah diwakili suara pembangkang bagi mengecilkan peluang kemenangan BN sahaja. Dari segi polisi, logo parti, kebersatuan dalam komponen dan ideologi nasional - mereka masih tercari cari falsafah yang jelas. 

DAP sejak ditubuhkan memegang konsep Malaysian Malaysia yang liberal dan sama rata, manakala PAS pula lebih kepada Islamik dalam matlamat memerintahnya.  Parti Keadilan (1999) atau Parti Keadilan Rakyat (2008) pula yang ditubuhkan atas serpihan ahli UMNO (sebuah komponen BN berteras Melayu/Islam) yang menyingkirkan seorang pemimpinnya dan berazam melawan parti itu (BN) dari luar.  Oleh itu, ideologi antara parti dalam pakatan tersebut dilihat tidak bersungguh-sungguh dan bersatu padu seperti mana ikatan dalam BN. 

Walaupun sistem dua parti yang cuba diwujudkan oleh pembangkang (dahulu parti-parti kecil akan bertanding secara sendirian melawan BN) dengan menandingi BN dilihat memberangsangkan pada tahun 1999, hanya pada tahun 2008 sahaja impaknya menjadi semakin baik apabila mereka berjaya mengurangkan majoriti 2/3 BN di dalam Dewan Rakyat.  Kejayaan awal ini hanyalah momentum rasa tidak puas hati rakyat kepada parti pemerintah ketika itu selain beberapa kesepakatan parti pembangkang yang dilihat meyakinkan pengundi untuk mewakili mereka.

BN mahupun Pakatan Rakyat (PR - tidak didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan politik sehingga kini) telah menunjukkan sistem dua parti sebenarnya boleh diwujudkan dan menjadi alternatif terbaik kepada rakyat selain wakil bebas.  PR juga harus memainkan peranan yang lebih progresif dalam menjadikan impian ini satu realiti sebagaimana di negara-negara maju lain didunia iaitu hanya mempunyai 2 parti utama sahaja dalam pilihanraya. 

PR yang berjaya mengurangi pencapaian BN untuk mengekalkan kemenangan 2/3 serta didakwa sebagai sebuah gabungan parti yang paling popular (2013) berbanding BN harus lebih bersungguh-sungguh jika mahu melawan BN tidak cuma sekadar retorik mahupun jalinan kerjasama antara parti dan NGO yang rapuh ataupun berharap belas rakyat semata-mata. 

Sehingga kini, PR tidak menunjukkan struktur organiasasi idaman mereka seperti Kabinet Bayangan yang boleh mengimbangi Kabinet Sebenar Kerajaan kini.  Pihak pembangkang juga tidak menyediakan polisi-polisi dan dasar-dasar awam yang akan mereka laksanakan jika diberikan peluang menjadi pemerintah.  Apakah mereka hanya akan menjabat jawatan Perdana Menteri dan Menteri-menteri barulah memikirkan langkah pembaikan yang mereka rasakan perlu?  Atau dikatakan 'membetulkan sistem dari dalam' bila hanya setelah berkuasa? 

Dalam kelompok masyarakat, jika kita menegur orang lain - ia boleh dikatakan sebagai angkuh dan cubaan tunjuk pandai.  Kedua, mereka akan digelar cuba memandai-mandai walaupun tegurannya ada asas tertentu.  Dan ketiga, jangan tegur jika nampak silapnya, ini akan memberikan kemenangan atau point kepada pihak tertentu menangguk di air keruh (mengambil kesempatan).  Apakah ketiga-tiga perkara ini menjadikan PR tidak mahu kelihatan bersungguh-sungguh menjadi parti alternatif?

Selain harus membentuk Kabinet Bayangan, PR juga harus mempunyai pakar-pakar strategik, pakar penggubal dasar dan isu serta penganalisa yang sesuai bagi menyediakan pelan alternatif kepada semua perkara yang dibangkitkan oleh Kerajaan untuk rakyat khasnya.  Sebagai contoh, PR melaungkan tindakan anti (menentang) kepada cukai baharu yg diperkenalkan oleh kerajaan iaitu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).  Tetapi, apakah pilihan lain pihak pembangkang menggantikan cukai itu dengan cara yang lebih baik? Apakah dasar atau polisi kewangan mereka jika GST itu perlu dimansuhkan?  Setakat ini, mereka masih membantahnya secara membuta tuli tanpa memberikan penyelesaian terbaik.  Jika ada pun gantian cukai yang dinyatakan sebelum ini (Cukai Progresif), ia telah dibantah oleh cendekiawan yang berpihak kepada Kerajaan sebagai pilihan yang tidak praktikal (dan tiada hujah timbal balas). 

Pembangkang di Malaysia tidak harus membangkang apa sahaja usaha-usaha Kerajaan lakukan untuk rakyat.  Jika mereka beranggapan mereka popular di kalangan rakyat, mereka harus lebih strategik dan menyusun langkah ke hadapan dengan perkasa sebagai pilihan kedua rakyat Malaysia.  Datangkan pakar strategik yang benar dan polisi yang bakal menggugat Kerajaan BN, bukan hanya berbohong, memfitnah, mencela dan menidakkan usaha Kerajaan yang kelihatan lebih bersungguh-sungguh membantu rakyat.  Mereka (PR) harus mengurangkan politiking dan melihat ke hadapan (sekitar 3 tahun ke hadapan), apakah impian rakyat yang ingin dipenuhi bagi menggantikan BN jika mahu berkuasa. 

Sehingga ke jam ini, parti-parti pembangkang yang menentang pelbagai usaha dan agenda Kerajaan BN dilihat terus berretorik atau "kata berdegar-degar" tanpa memberikan rakyat pilihan terbaik yang mereka tawarkan.  Jika mereka (PR) berkata BN akan tumbang pada PRU-14, apakah kerana rakyat memilih mereka kerana polisi yang sangat kukuh atau sebagai pengaut kuasa kerana kemarahan rakyat yang seketika?  Jika mereka mengambil kesempatan kerana emosi rakyat yang marah, sebenarnya mereka bukanlah alternatif yang terbaik buat rakyat Malaysia.  Mereka (PR) tidak ubah seperti 'itik yang membereskan lumut-lumut selepas hujan'. 

Pembangkang yang baik ialah menggunakan rasional dan merangka polisi yang strategik untuk memenangi hati dan minda rakyat, bukannya emosi.  Emosi boleh berubah dalam beberapa ketika tetapi perancangan yang kukuh boleh dipertahankan sehingga bergenerasi.  Jadi, rakyat Malaysia harus menunggu beberapa dekad lagi untuk mendapatkan sistem dual-parti dalam pilihanraya bagi menepati aspirasi mereka dalam bernegara yang demokratik. 


Pembangkang yang ada kini masih ditahap mentah dan hanya pandai berteriak tanpa hala tuju.  Saya menantikan pembangkang yang matang dan menjadi alternative terbaik kepada rakyat.  Oleh itu, biarlah BN meneruskan agendanya kerana mereka mempunyai pelan pembangunan negara dan objektif untuk negara yang rasional dan progresif - bukannya emosi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.