Filem Bermula dengan
Treler Iklan 30 Saat
Ketika
saya
berkesempatan mendengar amanat dari seorang tokoh serta menonton sebuah
filem layar antarabangsa bersama beliau tempoh hari, saya suka
mendengarkan bahawa beliau amat berharap agar
pada tahun 2018 nanti akan ada anak Malaysia yang akan ke pentas
'Grammy Award'
atau pentas-pentas Anugerah Antarabangsa yang berprestij terutama dalam
bidang
perfileman dan kandungan kreatif.
Impian itu bukan
benda yang mustahil menurut saya. Ramai
anak muda kini terutama Generasi X dan Y amat terjebak dan ketagih dengan media sosial khususnya
Youtube dan Facebook. Apakah ini bakal
menakat kelakonan warga kita menjadi penerbit kandungan kreatif yang terbaik di
Asia Tenggara?
Kita mempunyai universiti
dan kolej terbaik yang mengajarkan kursus perfileman, videografi, komunikasi dan media
massa. Dari sekecil-kecil Kolej
Vokasional sehinggalah UiTM dan yang tersohor Universiti Malaya tidak termasuk
Kolej yang berpresteij seperti Lim Kok Wing dan lain-lain lagi turut menawarkan
kursus ini. Dengan kursus ini, kandungan
dalam Youtube dan Facebook sudah tentu menjadi banyak jika diasuh dan disemai
dengan betul dan baik.
Kebijakan para
negawaran kita masih perlu ditautkan kepada harapan nusa. Apakah dengan bermodal sebuah kamera
handphone mereka mampu membentuk pasukan sinematografi dan pasukan videografi
yang terbaik? Mungkin bakat telah ada,
idea dan kreativiti telah ada, platform juga masih boleh meminjam platform
percuma seperti Youtube tetapi modal?
Benar, Kerajaan menyediakan modal yang besar dalam memajukan industri kreatif
ini tetapi ia berbentuk pinjaman yang harus dan perlu dibayar kembali dengan kadar
faedah. Selain itu, peluang tidak
diberikan untuk mereka yang berbakat ini diketengah dalam merekayasa idea mereka
sehingga ke langit khususnya televisyen di Malaysia sendiri.
Apalah kiranya jika
kita dapat melihat televisyen di Malaysia kini, kebanyakan iklan-iklan komersil
yang berdurasi kurang 1 minit atau 30 saat, banyak yang telah dimonopoli oleh penerbit
kandungan luar negara khususnya dari Korea Selatan dan Indonesia. Apakah sudah habis daya kreatif anak muda Malaysia
untuk menerbitkan kandungan komersil bagi produk antarabangsa? Atau kita yang tidak betah melihat anak muda
kita sendiri berkarya atas layar putih?
Atau pemimpin kita terlalu leka berpolitik sehingga lupa menguatkuasakan
satu dasar yang memastikan setiap produk komersil yang ingin mengiklankan
jenama atau barangan mereka di sini hendaklah membangunkan kandungannya di dalam negara
ini?
Hendak seribu daya,
tak hendak seribu dalih. Bagi saya
secara peribadi, jika tidak memberikan modal pun tidak mengapa asalkan platform
untuk mereka berkarya dan membuat duit diselaraskan oleh pemerintah kita
sendiri yang mendokong dan membantu usahawan tempatan selain memperkayakan
ekonomi produk asing di sini. Gunakanlah
sedikit kuasa dan kebijakan politik agar setiap produk yang ingin diiklankan di
televisyen Malaysia hendaklah menggunakan kandungan tempatan termasuk
produksinya, idea kreatifnya sehinggakan kepada bakat para pelakon utamanya. Bantulah industri ini dengan
wajaran sedikit peraturan khusus agar televisyen Malaysia tidak dipenuhi dengan
kandungan asing yang berlambak-lambak.
Idea sang pemimpin
itu tidak salah, bahkan ia satu cita-cita yang mulia untuk melihat keberadaan negara
yang dampak membangun dengan baiknya dalam segenap bidang yang ada khususnya
komunikasi dan kandungan. Tetapi jika
beberapa lubang yang longgar itu dapat ditampung dengan undang-undang tertentu
bukankah lebih cantik dan anak muda kita dapat berkarya sebebasnya dan mengukur
kepakaran dan kreativiti masing-masing ke atas sesuatu produk sebelum di
terjemahkan ke layar perak.
Allahyarham Yasmin
Ahmad juga bermula dengan menerbitkan iklan-iklan komersil
milik Petronas sebelum mencambahkan idea beliau ke layar perak. Drama atau Filem Cereka pertama beliau yang
pertama bertajuk “Rabun” bukanlah apa-apa jika dibandingkan dengan filem-filem lain
khususnya penerbitan Melayu, tetapi dengan ruang dan peluang yang beliau
perolehi, pelbagai lagi filemnya berjaya dirakam dan diterjemahkan ke layar
sehingga mengaut beberapa anugerah antarabangsa.
Antara pesan beliau kepada bekas pelajar yang pernah berjumpa dengan
beliau ialah “hargailah setiap detik
kehidupan kita, dan jika berpeluang rakamlah ia dan pertontonkan kepada
khalayak detik yang kita rakam di memori sebagai satu babak filem atau karya…”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.