Bebaskan Akhbar
Malaysia?
Dalam Mingguan
Malaysia bertarikh 16 Februari 2014, saya suka menukilkan tulisan “Awang
Selamat” selaku penulis pojok di akhbar mingguan tersebut yang bertajuk “Kaji
Hakim”. Tulisan pojok dalam akhbar
mingguan ini merupakan editorial utama mingguan yang akan saya rujuk bagi
mengetahui duduk letak sesuatu perkara yang akan dirumuskan oleh editor
mingguan tersebut dalam semua aspek yang pada pandangannya penting untuk
diketengahkan.
Antara tukikannya “….
Di negara serantau seperti Indonesia, Thailand dan Filipina, pihak perundangan
dan orang politik meletakkan tanda aras yang tinggi dalam mengamalkan
keterbukaan….”
Walaupun penulis
tersebut mencatatkan beberapa nama besar dalam amalan kebebasan media yang saya
kira berpatutan, tetapi dalam menakat negara ketiga khususnya jiran tetangga
kita seperti Indonesia, Filipina dan Thailand sudah di kira sesuatu suntingan
yang dibuat secara khusus.
Umum mengetahui
kononnya Indonesia mengamalkan kebebasan media yang pada pandangan mata kasar
bersifat neutral, adil dan berkecuali (tidak memihak). Tetapi jika diteliti secara mendalam dan
berhati-hati, media di Indonesia misalnya amatlah berpihak serta memilih
ikon-ikon tertentu untuk dijadikan mangsa kempen dan mangsa kutukannya di dada-dada
akhbar mahupun mengheret televisyen untuk turut serta. Begitu juga di Thailand dan Filipina, mereka
yang mempunyai saham-saham yang banyak di media terbabit akan memberikan ruang
dan peluang kepada calon politik tertentu dan menyokongnya bagi mendapatkan
habuan kemudiannya.
Jika di Malaysia,
Utusan Malaysia dan Berita Harian khususnya Kumpulan Utusan dan Media Prima
secara mutlaknya dimiliki oleh UMNO iaitu parti politik yang mentadbir negara
secara terang-terangan. Manakala RTM
pula adalah hak milik Kerajaan secara khusus (Mata dan Telinga Rakyat) – khusus
untuk melaporkan ehwal Kerajaan sahaja.
The Star pula dimiliki sekian peratusannya oleh Persatuan Cina Malaysia
(MCA) dan sebagainya. Hal yang sama juga
terjadi di Indonesia, Cuma pemegang saham ini tidak menjabat sebagai pentadbir
politik di sana sebagai kuasa hukum tertinggi.
Akhbar Kompas misalnya (dalam talian, televisyen dan surat khabar) di
Indonesia misalnya memihak kepada Joko Widodo seorang calon Presiden yang masih
tidak dinyatakan dengan jelas oleh Parti Demokratik Indonesia (Perjuangan) -
(PDIP). Oleh itu, akhbar ini akan
senantiasa menghentam kepimpinan Presiden sedia ada iaitu Susilo Yudhoyono sedangkan
tuannya tidak diapa-apakan bahkan akhbarnya melorot lensa kamera ke lokasi walkabout Gabenor Ibu Kota Jakarta (DKI)
tersebut saban waktu tanpa segan silu dan membiarkan Presidennya membuat
liputan sendirian.
Manakala televisyen
TVOne pula, ia senantiasa menampilkan tokoh-tokoh pemegang sahamnya sendiri
dari pelbagai parti yang menaungi milikan sahamnya seperti Hati Nurani Rakyat
(Hanura) dan Golongan Karya (Golkar). RCTI
dan MNC pula adalah media yang mempromosikan parti politik khusus untuk
masyarakat Tionghua di sana yang berkolaborasi dalam beberapa parti kecil di
sana dan dimiliki oleh jutawan pro-politik.
Televisyen ini juga senantiasa memastikan tokoh-tokoh mereka mendapat
liputan yang seimbang bagi menyaingi media-media lain yang mempromosikan tokoh
masing-masing.
Sedangkan dalam masa
yang sama mereka menghentam sesama sendiri dalam kes-kes rasuah yang terpencar
dari pemerintahan. Terbaharu, Televisyen
Indonesia (TVRI) yang dimilik negarakan seperti RTM di Malaysia sangat
memandang serius perkara-perkara melibatkan pemilihan umum (pilihanraya
Presiden dan Dewan Perwakilan Rakyat) Indonesia tetapi kes rasuah yang
melibatkan parti pemerintah semasa (Demokrat) disensasikan sehingga menjadikan
Presiden dikambing-hitamkan oleh stesen televisyen masing-masing sehingga
menggugat citra warga kepada pemerintah/Kerajaan semasa.
Apakah ini dikatakan
neutral? Ya, benar ia mencerminkan aspirasi pembangkang dan bebas
berkomentar. Apakah melaporkan sesuatu
yang benar dan hak itu neutral? Tidak.
Di Indonesia, mereka akan melaporkan dari “sudut pandang” mereka ke atas
isu tersebut serta memberikan kredit kepada pihaknya sendiri. Jika rasuah memang wajar diserang, mereka
juga menyerang tokoh-tokoh kerajaan sehingga rakyat hilang keyakinan kepada
kepimpinan tersebut dan menaikkan tokoh mereka sendiri secara terang-terangan
dan menolak aspirasi bangsa. Berlainan
citra pula di Malaysia, walaupun UMNO memiliki sebahagian saham dalam media di
sini tetapi pelaporannya masih bersifat rasional, nasional dan mementingkan
hala tuju negara bangsa. Bagi hal
terkait politik, memang tiada akhbar yang menyokong selain dari Kerajaan,
tetapi dewasa kini, kita dapat melihat dengan jelas akhbar The Star yang
dimiliki oleh MCA tetap mengkritik MCA sendiri serta mengangkat calon-calon
pembangkang dalam pelaporan mereka.
Begitu juga Berita Harian dan Utusan Malaysia yang melaporkan dengan
jelas kelemahan pentadbiran Tuan Abdullah Ahmad Badawi lewat Pilihanraya umum
ke 12 tempoh hari. Sehinggakan Tun Dr.
Mahathir juga dilarang mengakses media pada tahun 2004- 2006 atas alasan yang
sama, sedangkan beliau adalah mantan Perdana Menteri.
Walaupun kelibat
media di Malaysia kelihatan amat mesra dengan tokoh Kerajaan dan kepimpinan,
terdapat juga satu dua berita yang mengkritik pentadbiran secara berhemah dan
beradap, manakala bagi ehwal pembangkang jika berkaitan negara bangsa ia tetap
akan dimasukkan dalam laporan mereka walaupun tidak seindah keinginan
pembangkang. Utusan Malaysia tanpa segan
silu tetap melaporkan Muktamar Pas khususnya berkaitan perpaduan orang Islam
walaupun ia ditentang sendiri oleh orang PAS yang tidak sehaluan dengan gaya
penulisan Utusan Malaysia itu sendiri.
Utusan Malaysia juga tetap menukilkan tokoh-tokoh pembangkang yang
berkata sesuatu dengan jelas dan pada haknya selain disorot oleh lensa media
lainnya. Walau ia dikatakan
dimanipulasi, tetapi ia tetap berita yang segenap negara ingin tahu khususnya
pembentukan citra negara bangsa. Berbeza
pula di Indonesia, mereka melaporkan tetapi akhirnya tetap menyalahkan pihak
yang lain sehingga negara menjadi keliru dan kelihatan media mereka itu bebas
dan adil.
Padahal di Malaysia,
pembangkang juga boleh menulis dan mencerminkan aspirasi politik mereka di
dalam akhbar parti masing-masing dan dibenarkan diterbitkan seperti Harakah,
Suara Keadilan dan Roket. Di media-media
elektronik khususnya di lelaman sesawang, media pembangkang tetap menguasai
carta walaupun dikatakan ia disekat bagi memburukkan imej negara. Pernahkah Harakah atau Suara Keadilan
memberikan satu ruangan yang memuji hasil pencapaian negara? Pernahkah akhbar
partisan milik pembangkang membuat satu kolum khusus untuk parti kerajaan tanpa
menghentamnya? Begitu juga di akhbar perdana cuma bezanya citra, akhbar perdana
lebih melaporkan hak suara terbanyak (majoriti) walaupun majoriti semakin kecil
dan tidak memihak kepada parti pemerintah.
Ada juga penulis yang membodek majikannya siang malam, tetapi ehwal negara
bangsa mereka tidak pernah gagal melaporkannya.
Di Thailand dan
Filipina, taikun-taikun media juga meletakkan tokoh-tokoh mereka sendiri dari
pelbagai parti politik untuk mereka ketengahkan. Akhbar ini sama seperti di Indonesia,
kelihatan neutral tetapi tetap dipengaruhi oleh pemegang saham serta
kecenderungan mereka memihak. Membaca di
antara garisan dapat membezakan mereka.
Dan sudah tentu ia amat berbeza dengan Malaysia dan Singapura kerana
akhbar di negara ini adalah mengikut kehendak majority suara rakyat di Dewan
Rakyat.
Mungkinkah jika UMNO
tumbang dan menjualkan sahamnya, media ini akan mengikut tuannya yang baharu?
Atau ia akan menjadi media yang sama seperti di Indonesia, Filipina dan
Thailand?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.