Kenaikan Harga Barangan Semasa: Pandangan Peribadi......
“Pengurangan subsidi ini hanyalah satu jentikan
manja.....”
Ucapan Presiden
UMNO semasa Penutup
Perhimpunan
Agung UMNO ke-67 Tahun 2013 di PWTC, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden UMNO (tonggak
Parti Kerajaan Malaysia – BN) telah menggariskan beberapa langkah ekonomi yang
bakal menyesakkan rakyat Malaysia dengan beberapa penstrukturan ekonomi dan
subsidi negara semasa menutup tirai Mesyuarat/Perhimpunan Agung UMNO ke-67 di
Kuala Lumpur baru-baru ini. Antara Usul
yang mendapat perhatian ramai sejak ia dibangkitkan dek keresahan orang ramai, ialah
Kenaikan Tarif Elektrik, pengurangan subsidi gula, serta lain-lain kenaikan
yang dibincangkan secara meluas dalam lelaman sosial maya (facebook) antaranya
kenaikan tol, cukai pintu serta cukai-cukai lain yang membebankan rakyat
terbanyak.
Desakan dari kenaikan itu, negara yang baru selesai
mengalami bencana banjir putaran pertama pada awal Disember telah dijanjikan
dengan bantuan sebesar RM500.00 yang dikirakan tidak mencukupi bagi mereka yang
terjejas selain bebanan kenaikan-kenaikan lainnya. Pun begitu, bagi mangsa banjir bayaran
ansuran kredit perbankan utama mereka ditangguhkan sehingga enam (6) bulan bagi
membantu meredakan masalah mereka. Bagi
yang lain dan tidak terkesan kerana banjir, kenaikan itu harus dihadapi dengan
keluh kesah yang panjang.
Masyarakat Malaysia mengetahui bahawa bukan semua
Melayu/Bumiputera itu telah menjadi jutawan dan menjadi golongan kelas menengah
atas. Menjadi kelas pertengahan dek
ledakan ekonomi dan pendidikan tinggi pada zaman Tun Dr. Mahathir melayakkan
ramai Melayu dapat menjadi bumiputera kelas pertengahan yang senantiasa tidak
stabil (kecuali akademik) sahaja. Oleh
itu, kenaikan ini melibatkan periuk nasi dan wang poket mereka. Hidup makan gaji serta tidak mengharapkan
usaha-usaha ekonomi lainnya, Melayu terkesan dengan rancangan Kerajaan
ini.
Hipotesis kedua ialah Kerajaan amat prihatin dengan
sokongan masyarakat Cina yang berpaling tadah dalam mengundi parti pemerintah
(BN) sebelum ini pada PRU ke-13, Mei lalu.
Kira-kira 10% sahaja masyarakat Cina yang mengundi parti dokongan Cina
dalam BN manakala bakinya setia dan sealiran dengan parti pembangkang Cina
iaitu DAP. Atas dasar itu, Perdana
Menteri sedar bahawa Melayu/Bumiputera dan India inilah yang telah
menyelamatkan kerusi empuknya di Putrajaya.
Jika tidak kerana Melayu/Bumiputera Sabah dan Sarawak serta sokongan masyarakat
India, Kerajaan pimpinannya telah berubah sama sekali.
Ironinya, setiap kemenangan BN dalam PRU menjanjikan
kenaikan harga barangan yang tinggi serta melampau-lampau. Bertambah kesal dikalangan rakyat yang
menyokongnya ialah tidak ada pengecualian sekalipun. Pun begitu, secara natijahnya Kerajaan telah
menggadaikan kadar gaji minimum RM900.00 sebulan kepada sektor industri secara
muktamad termasuk kenaikan gaji penjawat awam dengan satu kenaikan (1KGT). Oleh itu, kadar boleh bayar dan penggajian
buruh dipasaran terbuka memberikan kesan kepada para majikan di Malaysia. Silap perhitungan, buruh makan gaji ini
(rata-rata Melayu/Bumiputera dan India) boleh diberhentikan kerja oleh majikan
kerana kenaikannya yang membebankan mereka secara khusus dalam pembayaran upah. Dalam usaha memutar kembali wang yang ‘dipaksakan’,
negara harus mempunyai kedudukan pusingan kewangan yang baik. Inflasi atau kenaikan harga perlu berlaku
dalam kitaran ekonomi sebagai usaha menambahkan aliran wang dalam negara. Oleh itu, kenaikan gaji minimum ini boleh
dipatuhi selain mengelakkan pekerja tempatan sedia ada dipecat atau dikurangkan
jumlahnya. Kadar penganguran dapat
dikekalkan pada paras 3% KDNK negara.
Kebergantungan majikan mengambil pekerja asing turut
menjadi menjadi beban sosial Kerajaan.
Ini kerana aliran tunai negara mengalir berbillion ringgit setahun
kerana majikan lebih suka menggajikan pekerja asing dengan kos buruh yang
sangat murah. Oleh sebab itu, dengan
kenaikan ini serta bayaran levi sedia ada, ia mampu mengekang gejala ini
bertambah parah serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Sekali lagi majikan terpaksa menggajikan
pekerja Melayu/Bumiputera dan mengurangkan kadar kebergantungan pekerja asing
dan menyekat aliran wang keluar negara dengan banyaknya serta mengurangkan
kadar masalah sosial dengan pekerja asing ini.
Kenaikan-kenaikan ini bukan sahaja mengimbangan putaran kewangan dalam negara
bahkan ia menyemarakkan pembelian dan perbelanjaan dalam negara apabila ramai
pekerja tempatan menerima gaji minimum ini.
Kadar ringgit yang banyak dipasaran hanya akan boleh disekat dengan
inflasi iaitu kenaikan harga (wang) mengejar barang yang sedikit, meningkatkan
pendapatan syarikat. Akhirnya,
pendapatan tambahan dari inflasi itu mampu membayar gaji yang
distandardkan.
Memburukkan lagi inflasi ialah apabila Kerajaan bakal
memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu rebat sebanyak RM500.00 dengan
RM250.00 langsung kepada mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000.00. Dengan lebihan wang dipasaran berbillion
ringgit pada Januari dan Mac nanti, barangan sedia ada tidak mampu menampung
permintaan yang tinggi tersebut. Oleh
itu, inflasi mampu menyekat lebihan ini dengan kadarnya meningkat pada 2%. Oleh itu, kewangan negara juga dalam aliran
monetori yang kukuh serta tidak berlaku lebihan wang di pasaran.
Memang benar Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih
memperolehi laba yang besar walaupun tiada peningkatan harga dibuat. Ini kerana TNB sebagai monopoli tenaga di
Malaysia tidak menaikkan kadar bayaran RM70.00 ke bawah di mana rata-rata
penggunanya adalah kelas menengah ke bawah.
Bagi penduduk miskin di bawah penggunaan RM20.00 sebulan, subsidi ini
masih diteruskan dan tiada apa-apa perubahan pada dasar bantuan tersebut. Bagi mereka yang menggunakan bekalan elektrik
yang besar seperti penggunaan pendingin hawa, mandian air panas, pemancar
satelit tanpa henti melebihi RM70.00 adalah wajar membayar pada kadar harga
semasa.
Mustahil penduduk kelas menengah ke bawah mampu
membiayai keperluan elektrik yang melampau termasuk penduduk miskin yang
mempunyai peralatan elektrik domestik yang terhad. Bagi pengguna harga semasa di bawah RM70.00
sebulan, kadar ini adalah munasabah dengan bekalan elektrik dalam rumah, peti
sejuk, televisyen atau radio, kipas angin dan pendingin hawa berkuasa rendah
serta mesin basuh dan pengisar yang digunakan dengan berhemah. Bagi mereka yang membazir atau menggunakan
dengan kadar ‘luar-biasa’ penduduk pendapatan sederhana, mereka wajar
membayarnya dengan gaya hidup mereka sendiri.
Rata-rata masyarakat bukan Melayu/Bumiputera tidak membelanjakan
elektrik dalam kuantiti yang besar bagi peralatan domestik yang terhad, maka
mereka tidak terjejas secara langsung.
Manakala mereka yang relatifnya mewah dan kelas menengah ke atas, wajar
membayarnya dengan tingkat harga sebenar termasuk industri-industri kecil dan
sederhana.
Pengurangan subsidi ini mampu menjimatkan wang negara
hasil dari Petronas. Dan lebihan ini
boleh digunakan untuk membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah
selain menggunakannya bagi tujuan pembangunan negara secara mampan. Penjimatan wang ini juga memberikan lebihan
kepada pendapatan negara serta mampu memperbaiki tahap kewangan negara dengan
kadar pertumbuhan yang positif (termasuk keuntungan bercukai Kerajaan, dividend
an bonus kepada para pekerja TNB).
Sehingga kini (Nov. 2013), tahap kredit Negara adalah “positif”
(International rating AAA @ A3) dari sebelum pelaksanaan beberapa pelan
pemansuhan subsidi (“stabil” dan International Rating: A-). Kadar rating atau penarafan antarabangsa ini
menjebak Malaysia kepada penyusunan ekonominya setara dengan ekonomi asing
lain.
Jika Malaysia masih mengekalkan kadar sedia ada
(tanpa apa-apa kenaikan), kadar pertumbuhan negara serta kadar hutang negara diberikan
siling yang rendah dimana kadar faedah yang harus Malaysia bayar adalah tinggi
dan melambatkan pertumbuhan negara. Jika
kadar ini ditingkatkan, maka Malaysia berupaya membayar hutangnya dengan cepat
serta kadar faedah yang lebih rendah.
Walaupun kadar penarafan ini kelihatan “tidak adil” dan “bias” kepada
ekonomi tempatan, Malaysia tiada pilihan melainkan terpaksa akur dengan
penarafan “ala Yahudi” ini bagi meletakkan ekonominya setara dengan komuniti
perniagaan dunia luar.
Oleh itu, “Jentikan”
dalam maksud Presiden UMNO itu adalah harapan agar kita tidak membazirkan
subsidi yang diberikan kepada mereka yang layak sahaja. Mereka yang mampu dan berada-ada hendaklah
membayar pada harga yang mereka mampu untuk membayarnya. Oleh itu, tempoh Malaysia untuk keluar dari defisit
serta menjadi negara maju semakin mudah apabila penarafan ini ditingkatkan. Beberapa faktor yang meningkatkan kadar
penarafan ini ialah BN kembali menjadi Kerajaan, reformasi subsidi Kerajaan
terhadap minyak, aliran kewangan negara yang stabil, hutang negara yang
mengecil serta penarafan Khazanah Nasional pada AAA yang dijamin Kerajaan serta prospek industri Minyak dan Gas (Gas
& Oil) oleh Kerajaan Malaysia serta pelbagai lagi alasan penarafan
tersebut.
Dengan penarafan itu, Malaysia boleh mencapai kadar
pertumbuhan yang diharapkan untuk menjadi negara maju pada Tahun 2020. Manakala bagi penduduk kurang pendapatan dan
sederhana akan terus dibantu (biasanya Bumiputera dan Melayu serta India), bagi
mereka yang berada dalam kelas ekonomi yang selesa, mereka harus belajar untuk
bersyukur dan menggunakan subsidi dengan wajar serta memastikan sokongannya
kepada pemerintah agar ia terus terjamin secara tidak langsung. Bagi pengguna subsidi ini, hanya mereka yang
layak sahaja akan mendapatnya manakala bagi berkemampuan misalnya, hendaklah
membayar pada harga yang setara dengan perkhidmatan yang diberikan. Sekali lagi diingatkan, Malaysia mengamalkan dasar
ekonomi laisser-faire iaitu penduduk
dikelaskan dengan tingkat pendapatan dan cara ekonomi kapitalis. Yang kaya mendapat nikmat kekayaan mereka
tetapi harus membayar cukai, manakala golongan sederhana menikmati secara
relatifnya baik dan penduduk miskin diberikan sedikit tanggungan oleh
Kerajaan. Sistem ekonomi ini mengekalkan
strata sosial yang terbaik dalam ekonomi.
Jika semua orang ingin menikmati hidup secara mewah, hendaklah mengukur
kemewahannya juga dari segi pendapatan dan cukai bukannya merasai apa sahaja
yang dirasai oleh majikan (usahawan) yang elit dan berusaha bersungguh-sungguh
menjadi kaya. Janganlah yang kecil ingin
memakai baju si gajah dan menjadi elegan tetapi gaji serta cukai tidak setimpal
dengan kerja dilakukannya. Benarlah
firman Allah SWT yang bermaksud hamper kepada:-
Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya)
dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu
berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): "Inikah
orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara
kami? " (Allah berfirman): "Bukankah Allah lebih mengetahui akan
orang-orang yang bersyukur?"