Masyarakat dalam talian (online) terkejut
dan melahirkan kesal dengan insiden rusuhan yang melibatkan lebih 400 orang di
Little India, Singapura kelmarin malam (8 Disember 2013). Kejadian sedemikian, menurut sebilangan
pengelungsur Internet, boleh menjejas imej Singapura sebagai negara aman. Sebilangan besar daripada mereka turut
melahirkan penghargaan kepada polis yang berupaya mengawal keadaan dan mencegah
kejadian itu daripada berlarutan.
Sesungguhnya perbuatan ini memang tidak masuk akal dan tidak dapat
diterima oleh warga Singapura.
Tinjauan Berita Harian ke ruang siber dan media sosial menunjukkan bahawa
masyarakat dalam talian rata-rata yakin pihak berkuasa akan membawa pesalah ke
muka pengadilan dengan secepatnya serta menjatuhkan hukuman setimpal dengan
kesalahan yang dilakukan iaitu memecahkan keamanan Singapura yang terkenal
dengan dasar affirmatifnya yang tegas
dan saksama tanpa mengira status.
Pengelungsur Internet yang mengenalkan dirinya sebagai Markamah Kassim
melahirkan rasa kesal melihat kejadian rusuhan itu berlaku. "Ini tentu sekali bukan cara rakyat
Singapura menjalani kehidupan. Kali terakhir saya dengar tentang rusuhan ialah
pada tahun 1960-an," katanya.
Selama ini Singapura dihuni dan menjalani kehidupan dengan penuh sentosa
dan makmur tanpa ada sebarang kekerasan dan kekacuan awam sebegini.
Mohamed Rabik pula berkata kejadian seperti itu "tidak boleh
diterima" mana-mana individu di Singapura.
Kejadian rusuhan ini memecahkan tradisi bahawa selama ini warga
Singapura telah mendapatkan hidup yang sejahtera yang dipimpin oleh Kerajaan
semasa dan sebelum ini. Oleh itu menurut
beliau ramai mahukan tindakan diambil bagi mencegah berlakunya kejadian serupa
di masa akan datang.
Muhamad Yusoff Bosri berharap masyarakat dapat belajar daripada kejadian
itu. "Kita juga perlukan lebih
banyak anggota polis di Little India pada hujung minggu," katanya. Tidak kurang juga saranan memasang kamera
litar tertutup (CCTV) bagi memantau keadaan di kawasan tersebut. Ada pula, komentar
dari Klasi Gila, yang mahukan
tindakan lebih tegas diambil oleh pemerintah, misalnya mengenakan perintah
berkurung di kawasan Little India pada waktu malam.
Sementara itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerusi laman Facebooknya memberi jaminan pihak
berkuasa akan berusaha sedaya upaya mengenal pasti dan membawa pesalah yang
terlibat ke pengadilan dengan secepat mungkin tanpa sebarang pengecualian. Ribuan pengunjung memberikan komen di laman
tersebut – rata-rata melahirkan sokongan ke atas usaha pihak berkuasa mengawal
rusuhan itu.
Mohd Rizwan akur kemalangan yang menyebabkan kematian itu adalah kejadian
yang penuh emosi bagi teman-teman mangsa yang menyaksikannya. Namun, ia bukan
alasan untuk mencetuskan rusuhan serta menimbulkan huru-hara di negara yang
selama ini mampan dengan kesentosaan dan kesejahteraan warganya. "Harap semua yang terlibat akan ditemui
dan dijatuhi hukuman berat untuk mencegah yang lain daripada melakukan
perbuatan itu," unjarnya.
Biarpun majoriti komen dibuat secara rasional, terdapat juga segelintir
yang meluahkan pandangan kurang sensitif serta mengejek-ejek dengan pelbagai
provokasi tidak sihat. Namun, apa yang
menarik, komen-komen kurang wajar menerima kritikan dan ditolak sebilangan
besar pengguna Internet lain yang lebih rasional dalam memberikan ulasan dan
pandangan peribadinya. Supaya tidak
mengeruhkan lagi keadaan, diharap komen dan ulasan janganlah sehingga
menjejaskan nama baik dan pekerti warga Singapura keseluruhannya.
Dikupas dari Berita Harian Singapura.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.