Isnin, 2 Disember 2013

Mereka Yang Tertewas:UMNO atau NAJIB Yang Gagal?



Mereka Yang Tertewas:UMNO atau NAJIB Yang Gagal?

Zaman itu, mulia kerana emasnya.  Zaman itu, rakyat ‘tertindas’ dan dizalimi dengan kekuasaan dan kemakmuran yang sebenar.  Tetapi zaman itu, warganya hidup dalam penuh hikmah dan kesentosaan umpama ayam bertelur di kepuk padi, kerbau berkubang di jelapang lalang.  Kini, zaman itu tetap sirna setelah hujan turun dan membasahi bumi Malaysia.  Zaman itu tetap berlalu setelah berarak memori jingga dan terus melungsur seolah-olah liku-liku air sungai mengalir ke hilir menuju lautan.  Melungsuri perjalanan pilihanraya umum Malaysia telah yang berlalu.

Mereka itu telah tewas.  Mereka itu telah kalah waima mereka menangisi dengan air mata darah sekalipun, rakyat terbanyak telah membuat pilihan.  Pada 5 Mei 2013 yang buta datang meraba, yang pekak datang tertanya-tanya, yang tua datang bertongkat dan yang muda datang bergaya telah membuat satu keputusan muktamad.  Pilihanraya Umum ke-13 telah berlalu.  Barisan Nasional (BN) parti Kerajaan sejak merdeka telah menubuhkan Kerajaannya yang ketiga belas dengan kerusi elektoral sebanyak 133 kerusi (59.91%) manakala kem pihak penentang dengan jumlah terkumpul 89 kerusi. 

Kem-kem Kerajaan yang ditunjangi oleh parti berteraskan Kesaudaraan Melayu/Islam dengan kedudukan selesa 88 kerusi, diikuti Bumiputera Sarawak dan Sabah, komposisi kaum India dan lain-lain bangsa serta terlorotnya ikatan masyarakat Cina dalam Parti BN.  Namun begitu, undi-undi kaum Cina itu telah dilonggokkan kepada parti utama pembangkang di Dewan Rakyat yang diketuai oleh Parti DAP yang berteraskan parti aliran massa dominasi kaum Cina dengan 38 kerusi (17.2%), Parti pelbagai bangsa yang ditunjangi Melayu berfahaman liberal dengan 30 kerusi (13.51%) dan bakinya 21 kerusi (9.46%) diperolehi oleh Parti PAS yang memuatkan masyarakat Melayu yang ultra konservatif dan ortodok. 

Natijahnya PRU yang berlalu ini menurut pandangan Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia adalah ‘Tsunami Cina’ (Najib: 2013) yang telah bertekad untuk tidak bersama Kerajaan dan bertindak mengikut slogan parti pembangkang “Jom Ubah!” yang diketuai oleh DAP.  Oleh itu, peranan dan gerak perang saraf yang dimainkan oleh DAP amat berjaya sehinggakan lebih dari 80% masyarakat Cina tidak bersama dan tidak memberikan tiket undinya kepada calon-calon BN sama ada di bandar mahupun luar bandar.  Manakala di kalangan undi para penyokong Kerajaan BN juga semakin merosot dengan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) turut menyusut secara relatifnya.

Mengimbau kepada kempen-kempen yang dijalankan oleh parti pembangkang dengan manifesto ‘yang tak masuk dek akalnya’, Anuar Ibrahim yang mengetuai kem pembangkang telah berjaya mengucar-kacirkan gerak kerja dan perang saraf di pihak Kerajaan bahkan telah berjaya mengekalkan posisi yang strategis di negeri-negeri maju seperti Selangor dan Pulau Pinang.  Selain itu, Kelantan berjaya dikekalkan di bawah kuasa parti PAS bahkan negeri Terengganu juga nyaris tumbang dengan perbezaan satu kerusi sahaja.  Manakala di Negeri  Sembilan, pembangkang berjaya menidakkan kedudukan 2/3 majoriti Dewannya seperti di Perak.  Manakala di Johor yang dikatakan kubu kuat UMNO telah berjaya ditembusi oleh DAP.  Begitu juga di Melaka bilamana PAS buat julung kalinya berjaya memasuki Dewan yang berhormat itu diikuti oleh “Pembunuh Gergasi” dari parti PKR menumbangkan calon BN yang merupakan bekas Ketua Menteri Melaka. 

Walaupun parti pembangkang gagal mempertahankan Kedah dan Perak yang dimenangi pada PRU 2008, tetapi hakikatnya pembangkang telah berjaya membuat onar di negeri-negeri lain termasuk di Sabah dan Sarawak.  Maklumat yang relatifnya menunjukkan kemenangan yang minimum juga tidak mencapai satu indikator yang sesuai di Malaysia kini yang mana pada sebelum ini tidak dapat tidak, mempertahankan Kerajaan dengan majoriti 2/3 di Parlimen dan hanya gagal di Kelantan (PRU 1990 sehingga 2013) dan Terengganu (PRU1999).  Bakinya, kelumpuhan sistem pentadbiran yang lemah oleh Kerajaan Tun Abdullah apabila gagal mencapai 2/3 majoriti Parlimen buat julung kalinya dalam sejarah Kerajaan Moden Malaysia apabila hanya mendapat 140 kerusi di Parlimen serta gagal menawan Kelantan bahkan tewas di Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. 

Disebalik semua onar yang melengkapkan manifesto Pembangkang yang dikatakan tidak realistik, kem Kerajaan telah berjaya membuat salinan ke atas menifesto tersebut bahkan memperbaikinya dan menambah asam garam di dalamnya untuk memenangi “hati dan jiwa rakyat”.  Penurunan harga kereta, pengurangan kadar bayaran PTPTN menerusi pendidikan percuma, penurunan kes rasuah dan indeks jenayah sehinggalah kepada rumah mampu milik dan bekalan air percuma yang diteruskan tetap tidak juga mendayakan kem Kerajaan memperbaiki kekhilafan pentadbiran Tun Abdullah.  Bahkan ia semakin merosakkan pasu sedia ada.  Jika Tun Abdullah gagal membawa kemenangan 2/3 di Parlimen dan tewas di beberapa Negeri, Najib Tun Razak juga diunjurkan sama dengan sedikit penambahbaikan tadi iaitu semakin merosot dari 140 kerusi di Parlimen (133 kerusi 2013), gagal memperolehi Selangor dan Pulau Pinang selaku negeri terkaya hasil mahsyulnya serta gagal merampas Kelantan dan kehilangan 2/3 di Dewan-Dewan Undangan Negeri di beberapa buah negeri. 

Dengan slogan yang dicanang “Calon Boleh Menang” beberapa tokoh dan dianggap gergasi UMNO turut tewas dalam gelanggang PRU 13 kali ini.  Ketua Menteri Melaka dan Menteri Besar Johor yang memiliki kekuatan akar umbi turut tumbang diikuti Menteri-Menteri Kabinet Najib serta penasihatnya turut kecundang.  Calon Boleh Menang ini juga tewas di beberapa lokasi panas seperti di Shah Alam, Pasir Mas dan Kuantan.  Selain dari calon yang tidak sesuai dan telah menjadi liabiliti kepada parti UMNO dan BN khasnya, Najib masih lagi memilih calon yang tidak mempunyai kemahiran politik langsung seperti yang berlaku di Parlimen Pandan.  Kerusi-kerusi ini yang seharusnya boleh dimenangi telah tewas bahkan ada yang tewas mengejut kepada calon pembangkang yang tidak mempunyai apa-apa posisi yang ‘hebat’ pada pandangan mata insan politik lainnya.  Kes ini terbukti apabila Rafizi Ramli, Nashrudin Tantawi, Shamsul Iskandar Akin boleh memenangi kawasan yang seharusnya dimenangi oleh calon BN.  Mereka bukan sahaja tidak menyerang kem pembangkang bahkan tidak mengetahui biji butir untuk mempertahankan pihak Kerajaan di lokasi spot masing-masing. 

Ditambah dengan watak-watak “warlord” UMNO, kem Kerajaan tidak mampu langsung untuk menghidupkan kem Kerajaan dengan idea yang lebih segar dan baru.  Kebanyakan warlord ini hanya mendukung idea sedia ada bahkan merosakkan sesetangah pandangan dan dasar yang telah diputuskan pada masa dahulu seperti isu sensitif sekolah jenis kebangsaan, dasar biasiswa dan dasar afirmatif lain khususnya melibatkan hak istimewa orang Melayu/Islam dan Bumiputera.  Mereka bahkan menyedapkan rasa kepada pihak kem pembangkang apabila menjadi sorotan lensa kamera seperti kes Ling Liong Sik, Khir Toyo, Hishamudin Tun Hussien, Sharizat Jalil dan lain-lain tokoh yang telah berjaya membunuh UMNO dalam senyap.  Tetapi mereka ini masih lagi menjadi “pengacau” yang berjaya menjadi dalang merosakkan pandangan umum kepada kepada Kerajaan.  Akhirnya watak-watak ini jugalah yang membunuh calon UMNO dengan mudah. 

Umat Islam di negara ini amat suka dan tebal dengan sensitiviti keagamaannya.  Walaupun mempunyai fahaman yang terbuka, modernis serta berpendidikan semi-barat tetapi sikap tebal mencari salah orang tetap menjadi penakatan dalam kehidupan mereka yang suka menyibuk dan mengambil berat hal orang lain.  Rosmah Mansor isteri kepada Perdana Menteri turut menjadi mangsa serangan mereka.  Tidak memakai tudung serta kelihatan amat dominan dalam dunia politik UMNO menjadikan Rosmah Mansor mangsa yang tidak ditunggu-tunggu pembangkang untuk diserang.  Tidak sahaja isu tudung kepalanya, ditambah dengan isu Altantuya yang tidak dimatikan secara tuntas oleh UMNO, bahkan ia turut diburukkan dengan isu pembelian cincin sejumlah harga RM24 juta dan sekolah Permata Seni berjumlah RM111 juta walaupun ia tidak benar sekalipun, pandangan umum gagal dimatikan.  Isu ini ditambahkan dengan karekter Perdana Menteri yang sebenarnya berlemah lembut serta menyantuni setiap warga dengan sebaiknya dimanipulasikan kononnya sebagai lemah dan suka mendengar pihak ketiga mengingkari ikrar dalam mempertahankan dasar afirmatif sedia ada seperti mematikan ISA, Tawaran Biasiswa dan bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan. 

Walaupun UMNO kelihatan menang dengan menambah 9 kerusi berbanding PRU 2008 kepada 88 kerusi Parlimen, pelbagai isu yang diutarakan oleh pembangkang masih tidak dapat melenyapkan “spiral of silent” yang dimainkan kem pembangkang.  Dengan sikap berhemah dan lambat bertindak terutama ke atas isu Pencerobohan Lahad Datu dan Projek Kad Pengenalan di Sabah, kem Kerajaan dan UMNO masih tidak terdaya melawan segala isu dengan sebaik-baiknya.  Bahkan tentera-tentera pembangkang terus menekan Kerajaan dengan pelbagai isu seperti kenaikan harga barangan umum, kenaikan harga minyak, penyalahgunaan dana untuk PRU, sistem pengundian yang tidak telus, penyertaan warga Bangladesh ke dalam sistem undi bahkan sehingga kepada isu “Tsunami Cina” tidak petah dipatahkan oleh kem Kerajaan sehingga kini dengan tuntas.  Isu-isu inilah yang akan digunakan secara total oleh pembangkang untuk terus memacu sentimen kemarahan rakyat kepada Kerajaan sehingga membawa kepada Pilihanraya Kecil di semua Kawasan DUN dan Parlimen kelak. 

Oleh itu, apakah yang ingin dikatakan kepada umum?  Adakah kejayaan PRU 13 boleh terus dibanggakan tanpa perlu kerja yang tersusun dan serangan balas yang lebih agresif serta tindak kerja yang lebih jitu?  Sebenarnya kem Kerajaan memerlukan satu suntikan virus yang mampu membunuh gejala selesanya agar terus berkuasa dengan bermaruah.  Kepimpinan yang longlai turut memainkan peranan dalam mengendalikan kem Kerajaan agar terus dipandang gah dan bertenaga selain idea-idea pembangunan yang lebih komprehensif dan menyeluruh.  Jika tidak, Kerajaan tidak lain dan tidak bukan hanyalah meneruskan legasi lemah dan bakal ditamatkan penggalnya dalam masa kurang lima tahun lagi.  Pandangan positif ini dibuat bukanlah untuk mengkritik secara membuta tuli tetapi satu sumbang saran yang perlu untuk membunuh virus yang merosakkan Kerajaan yang ada kini.  Siri Kedua Mereka Yang Tertewas akan membincangkan isu politik yang gagal dimatikan oleh kerajaan sehingga akhirnya rakyat tidak hormat kepada kepemerintahan Negara Bangsa ini.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.