Melayu
Ala Kadar
Dalam
rangka Malaysia ingin menjadi maju, perhatikan sekeliling kita. Adakah
bangsa Melayu/Islam ini inginkan kemajuan dan kemakmuran yang didambakan
seperti negara maju lain (dalam konteks Ketamadunan Bangsa acuan Islam)?
Perhatikan bangunan yang ada, tetapi diconteng ala vandalisme. Anak tidak
sah taraf bertambah dan ada yang dibuang di dalam longkang umpama sampah.
Ada bangunan yang di bina boleh runtuh, ada masjid tetapi disalah gunakan
fungsinya dari menyebarkan syiar Islam kepada syiar isu tertentu (politik dan
maki hamun). Ada juga yang berjaya lahir dan batin tetapi mempunyai
masalah pada hati dengan dengki dan khianat, tidak senang dengan kejayaan orang
lain.
Bangsa
Melayu/Islam ini sebenarnya tidak dapat membawa dirinya dengan kemajuan teknologi
terkini! Inilah satu analisis ringkas jika diperhatikan secara berterusan
bahawa bangsa Melayu/Islam di Malaysia ini masih tidak dapat membawa pemikiran
mereka ke kelas dunia yang mencapai keutuhan Islam dan kebangsaan. Mereka
berpecah dan inginkan sesuatu dengan cara mudah, murah dan tidak berpandangan
jauh. Mereka masih lagi inginkan harapan dan bantuan yang tidak putus
serta tidak mahu bersusah payah dalam kehidupannya. Maka sebab itulah
Melaka menjadi mundur dan akhirnya dijajah 500 tahun lampau. Kerana
mereka inginkan kesenangan mudah!
Dalam
menakat menjadi sebuah negara bangsa yang maju dan makmur, prinsip mudah dan
cepat ini adalah satu refleksi dari sikap mereka yang ‘ala kadar’. Mereka
tidak mahu bersusah payah dan bersungguh-sungguh dalam semua lapangan
termasuklah lapangan akademik dan kehidupan seharian. Mereka inginkan
makan, tidur dengan selesa tanpa perlu berpenat lelah dan bermandi peluh untuk
sesuap nasi. Lantaran dari idea itu, mereka menjadi malas dan kurang bersungguh-sungguh
dalam menjadi warga dan masyarakat yang baik. Seperti firman Allah
SWT yang membawa hampir kepada maksud surah Ar-Rad: Ayat 11 bahawa
“…sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu
sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka…”
Mereka
masih selesa sebenarnya dengan pola kehidupan desa yang mereka turuni sejak
zaman bahari lagi. Oleh itu, sikap untuk menjadi sebuah bangsa agung dan
besar tidak pernah ditonjolkan dalam suasana moden kini. Mereka tidak
pernah terlibat secara langsung dalam pola kehidupan yang lebih bertamadun
itu. Kelihatan hanya kerajaan sahaja yang membangunkan industri, bangunan
dan segala macam prasarana fizikal dan intelek tetapi ia tidak diambil pusing
oleh kebanyakan masyarakat. Kita lihat secara relatifnya, orang Melayu
masih ditahap itu dan terus mendesak untuk meminta itu dan ini sehingga
akhirnya ia menimbulkan satu keresahan dan perasaan menyampah kaum lain dengan
umat Islam itu. Lantaran dari sikap menyampah itu, mereka akhirnya
sebulat tekad ingin mencampakkan kuasa ‘orang Melayu’ ini sejauh mungkin dan
ingin turut serta dalam pola pentadbiran yang lebih agresif dan berani untuk
mengubah kaum itu.
Lihat
di Singapura, Melayu/Islam di sana terpaksa berdikari dan menakat dalam segala
sudut kehidupan. Dari hal akademik, pekerjaan bahkan sehingga ke rebutan
dalam hal-hal sosial dan kebajikan. Yayasan Mendaki ditubuhkan sesama
sendiri (umat Islam) agar mereka juga mampu bersaing dalam lapangan akademik
dan berjuang dengan padang yang sama dengan masyarakat bukan Islam di
sana. Kebanyakan dari mereka ‘terselamat’ dan terus berjuang dengan
penakatan yang berbeza dan rencam. Ini kerana mereka tidak dimanjakan
dengan ‘gula-gula politik’ itu dan ini.
Jelang
pilihan raya, maka kelihatan orang Melayu/Islam yang malas ini akan tetap
menyalahkan Kerajaan itu dan ini sedangkan pada hakikatnya mereka sendirilah
yang tidak mahu mengubah kemalasan dan sikap ala kadar yang tertanam pada diri
mereka. Melihat kemajuan yang ada pada Melayu/Islam lain mereka akan cuba
untuk membunuh karakter itu dan terus menerus menghentam Kerajaan kononnya
tidak prihatin akan duduk letak hal itu dan ini. Bahkan sehingga mengugut
kerajaan untuk memboikotnya. Mereka gilakan kuasa dan harta tetapi mereka
inginkan dengan cara yang mudah dan senang. Berilah ratusan lesen dan
permit, mereka akan meng’ali baba’kan lesen dan permit itu kerana inginkan
untung yang singkat di atas angin. Sedangkan untuk berusaha sehingga
berjaya mereka malas. Lain dari itu, mereka turut akan meminta itu dan
ini untuk kemudahan anak cucu mereka tetapi sedarlah bahawa Melayu/Islam ala
kadar ini hanya mahu mengenyangkan tembolok mereka sendiri sehingga penuh
berketurunan dan bersenang-lenang dengannya.
Persetankan
anak cucu kerana hidup hanya sekali. Tidak dapat tidak, Melayu/Islam
terus meminta itu dan ini untuk tembolok yang lain pula sedangkan bagi yang
berani dan berusaha sedikit dan mendapat kejayaan mereka katakan itu adalah
kroni dan mendapat habuan yang besar kerana tipu muslihat sang
pemerintah. Bahkan nafsu itu tidak berhenti, mereka sanggup menjadi sang
Kitol dan terus berkomplot dengan mereka yang bukan dari bangsa dan agama
mereka sendiri untuk membunuh Melayu/Islam yang berjaya tadi.
Sedarkah
kita bahawa memang lumrah Melayu/Islam itu begitu atau kita hanya meneruskan
diri untuk menjadi stereotaip begitu? Sedang sepanjang 22 tahun Dr.
Mahathir Mohamad yang menjadi ‘Doktor Ekonomi Melayu/Islam’ juga mengaku kalah
dengan budaya dan sikap buruk orang Melayu/Islam itu sendiri apatah lagi
kita yang marhaen ini? Kajian dan dapatan menunjukkan stereotaip itu
terus dilakukan dan Dilema Melayu itu akan terus mekar dan menakat dalam minda
orang Melayu/Islam yang malas dan ala kadar itu. Bila menjadi
Melayu/Islam yang cekal dan yakin berani, ia akan terbunuh dengan nafsu buruk
Melayu yang lain. Akhirnya, Melayu/Islam itu terus melukut di tepi
gantang. Sedarlah orang Melayu/Islam, zamanmu sudah hampir memutuskan
bangsa dan agamamu yang bertaut sejak dari zaman Iskandar Zulkarnaen nan
lalu. Sang Sapurba tidak akan kembali turun dan menjadikan bangsamu
kembali sebagai satu bangsa besar seperti Sang Nila Utama dan Demang Lebar
Daun. Al-kisah sebuah bangsa yang ala kadar otaknya nan sekilo hidup
dimuka bumi tuhan ini. Allahu’Alam!
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman
rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan
(larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam
sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang
ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu
beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah
jualah tempat kembali.
(A-li'Imraan 3:28)
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil
orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang
beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia
(mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak
menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang
kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan
diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.
(A-li'Imraan
3:28)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.