Selasa, 24 Disember 2013

Kenaikan Harga Barangan Semasa: Pandangan Peribadi......

Kenaikan Harga Barangan Semasa:  Pandangan Peribadi......


“Pengurangan subsidi ini hanyalah satu jentikan manja.....”
Ucapan Presiden UMNO semasa Penutup
Perhimpunan Agung UMNO ke-67 Tahun 2013 di PWTC, Kuala Lumpur. 



Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden UMNO (tonggak Parti Kerajaan Malaysia – BN) telah menggariskan beberapa langkah ekonomi yang bakal menyesakkan rakyat Malaysia dengan beberapa penstrukturan ekonomi dan subsidi negara semasa menutup tirai Mesyuarat/Perhimpunan Agung UMNO ke-67 di Kuala Lumpur baru-baru ini.  Antara Usul yang mendapat perhatian ramai sejak ia dibangkitkan dek keresahan orang ramai, ialah Kenaikan Tarif Elektrik, pengurangan subsidi gula, serta lain-lain kenaikan yang dibincangkan secara meluas dalam lelaman sosial maya (facebook) antaranya kenaikan tol, cukai pintu serta cukai-cukai lain yang membebankan rakyat terbanyak. 

Desakan dari kenaikan itu, negara yang baru selesai mengalami bencana banjir putaran pertama pada awal Disember telah dijanjikan dengan bantuan sebesar RM500.00 yang dikirakan tidak mencukupi bagi mereka yang terjejas selain bebanan kenaikan-kenaikan lainnya.  Pun begitu, bagi mangsa banjir bayaran ansuran kredit perbankan utama mereka ditangguhkan sehingga enam (6) bulan bagi membantu meredakan masalah mereka.  Bagi yang lain dan tidak terkesan kerana banjir, kenaikan itu harus dihadapi dengan keluh kesah yang panjang. 

Masyarakat Malaysia mengetahui bahawa bukan semua Melayu/Bumiputera itu telah menjadi jutawan dan menjadi golongan kelas menengah atas.  Menjadi kelas pertengahan dek ledakan ekonomi dan pendidikan tinggi pada zaman Tun Dr. Mahathir melayakkan ramai Melayu dapat menjadi bumiputera kelas pertengahan yang senantiasa tidak stabil (kecuali akademik) sahaja.  Oleh itu, kenaikan ini melibatkan periuk nasi dan wang poket mereka.  Hidup makan gaji serta tidak mengharapkan usaha-usaha ekonomi lainnya, Melayu terkesan dengan rancangan Kerajaan ini. 

Hipotesis kedua ialah Kerajaan amat prihatin dengan sokongan masyarakat Cina yang berpaling tadah dalam mengundi parti pemerintah (BN) sebelum ini pada PRU ke-13, Mei lalu.  Kira-kira 10% sahaja masyarakat Cina yang mengundi parti dokongan Cina dalam BN manakala bakinya setia dan sealiran dengan parti pembangkang Cina iaitu DAP.  Atas dasar itu, Perdana Menteri sedar bahawa Melayu/Bumiputera dan India inilah yang telah menyelamatkan kerusi empuknya di Putrajaya.  Jika tidak kerana Melayu/Bumiputera Sabah dan Sarawak serta sokongan masyarakat India, Kerajaan pimpinannya telah berubah sama sekali. 

Ironinya, setiap kemenangan BN dalam PRU menjanjikan kenaikan harga barangan yang tinggi serta melampau-lampau.  Bertambah kesal dikalangan rakyat yang menyokongnya ialah tidak ada pengecualian sekalipun.  Pun begitu, secara natijahnya Kerajaan telah menggadaikan kadar gaji minimum RM900.00 sebulan kepada sektor industri secara muktamad termasuk kenaikan gaji penjawat awam dengan satu kenaikan (1KGT).  Oleh itu, kadar boleh bayar dan penggajian buruh dipasaran terbuka memberikan kesan kepada para majikan di Malaysia.  Silap perhitungan, buruh makan gaji ini (rata-rata Melayu/Bumiputera dan India) boleh diberhentikan kerja oleh majikan kerana kenaikannya yang membebankan mereka secara khusus dalam pembayaran upah.  Dalam usaha memutar kembali wang yang ‘dipaksakan’, negara harus mempunyai kedudukan pusingan kewangan yang baik.  Inflasi atau kenaikan harga perlu berlaku dalam kitaran ekonomi sebagai usaha menambahkan aliran wang dalam negara.  Oleh itu, kenaikan gaji minimum ini boleh dipatuhi selain mengelakkan pekerja tempatan sedia ada dipecat atau dikurangkan jumlahnya.  Kadar penganguran dapat dikekalkan pada paras 3% KDNK negara. 

Kebergantungan majikan mengambil pekerja asing turut menjadi menjadi beban sosial Kerajaan.  Ini kerana aliran tunai negara mengalir berbillion ringgit setahun kerana majikan lebih suka menggajikan pekerja asing dengan kos buruh yang sangat murah.  Oleh sebab itu, dengan kenaikan ini serta bayaran levi sedia ada, ia mampu mengekang gejala ini bertambah parah serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.  Sekali lagi majikan terpaksa menggajikan pekerja Melayu/Bumiputera dan mengurangkan kadar kebergantungan pekerja asing dan menyekat aliran wang keluar negara dengan banyaknya serta mengurangkan kadar masalah sosial dengan pekerja asing ini.  Kenaikan-kenaikan ini bukan sahaja mengimbangan putaran kewangan dalam negara bahkan ia menyemarakkan pembelian dan perbelanjaan dalam negara apabila ramai pekerja tempatan menerima gaji minimum ini.  Kadar ringgit yang banyak dipasaran hanya akan boleh disekat dengan inflasi iaitu kenaikan harga (wang) mengejar barang yang sedikit, meningkatkan pendapatan syarikat.  Akhirnya, pendapatan tambahan dari inflasi itu mampu membayar gaji yang distandardkan.   

Memburukkan lagi inflasi ialah apabila Kerajaan bakal memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu rebat sebanyak RM500.00 dengan RM250.00 langsung kepada mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000.00.  Dengan lebihan wang dipasaran berbillion ringgit pada Januari dan Mac nanti, barangan sedia ada tidak mampu menampung permintaan yang tinggi tersebut.  Oleh itu, inflasi mampu menyekat lebihan ini dengan kadarnya meningkat pada 2%.  Oleh itu, kewangan negara juga dalam aliran monetori yang kukuh serta tidak berlaku lebihan wang di pasaran. 

Memang benar Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih memperolehi laba yang besar walaupun tiada peningkatan harga dibuat.  Ini kerana TNB sebagai monopoli tenaga di Malaysia tidak menaikkan kadar bayaran RM70.00 ke bawah di mana rata-rata penggunanya adalah kelas menengah ke bawah.  Bagi penduduk miskin di bawah penggunaan RM20.00 sebulan, subsidi ini masih diteruskan dan tiada apa-apa perubahan pada dasar bantuan tersebut.  Bagi mereka yang menggunakan bekalan elektrik yang besar seperti penggunaan pendingin hawa, mandian air panas, pemancar satelit tanpa henti melebihi RM70.00 adalah wajar membayar pada kadar harga semasa. 

Mustahil penduduk kelas menengah ke bawah mampu membiayai keperluan elektrik yang melampau termasuk penduduk miskin yang mempunyai peralatan elektrik domestik yang terhad.  Bagi pengguna harga semasa di bawah RM70.00 sebulan, kadar ini adalah munasabah dengan bekalan elektrik dalam rumah, peti sejuk, televisyen atau radio, kipas angin dan pendingin hawa berkuasa rendah serta mesin basuh dan pengisar yang digunakan dengan berhemah.  Bagi mereka yang membazir atau menggunakan dengan kadar ‘luar-biasa’ penduduk pendapatan sederhana, mereka wajar membayarnya dengan gaya hidup mereka sendiri.  Rata-rata masyarakat bukan Melayu/Bumiputera tidak membelanjakan elektrik dalam kuantiti yang besar bagi peralatan domestik yang terhad, maka mereka tidak terjejas secara langsung.  Manakala mereka yang relatifnya mewah dan kelas menengah ke atas, wajar membayarnya dengan tingkat harga sebenar termasuk industri-industri kecil dan sederhana. 

Pengurangan subsidi ini mampu menjimatkan wang negara hasil dari Petronas.  Dan lebihan ini boleh digunakan untuk membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah selain menggunakannya bagi tujuan pembangunan negara secara mampan.  Penjimatan wang ini juga memberikan lebihan kepada pendapatan negara serta mampu memperbaiki tahap kewangan negara dengan kadar pertumbuhan yang positif (termasuk keuntungan bercukai Kerajaan, dividend an bonus kepada para pekerja TNB).  Sehingga kini (Nov. 2013), tahap kredit Negara adalah “positif” (International rating AAA @ A3) dari sebelum pelaksanaan beberapa pelan pemansuhan subsidi (“stabil” dan International Rating: A-).  Kadar rating atau penarafan antarabangsa ini menjebak Malaysia kepada penyusunan ekonominya setara dengan ekonomi asing lain. 

Jika Malaysia masih mengekalkan kadar sedia ada (tanpa apa-apa kenaikan), kadar pertumbuhan negara serta kadar hutang negara diberikan siling yang rendah dimana kadar faedah yang harus Malaysia bayar adalah tinggi dan melambatkan pertumbuhan negara.  Jika kadar ini ditingkatkan, maka Malaysia berupaya membayar hutangnya dengan cepat serta kadar faedah yang lebih rendah.  Walaupun kadar penarafan ini kelihatan “tidak adil” dan “bias” kepada ekonomi tempatan, Malaysia tiada pilihan melainkan terpaksa akur dengan penarafan “ala Yahudi” ini bagi meletakkan ekonominya setara dengan komuniti perniagaan dunia luar. 

Oleh itu, “Jentikan” dalam maksud Presiden UMNO itu adalah harapan agar kita tidak membazirkan subsidi yang diberikan kepada mereka yang layak sahaja.  Mereka yang mampu dan berada-ada hendaklah membayar pada harga yang mereka mampu untuk membayarnya.  Oleh itu, tempoh Malaysia untuk keluar dari defisit serta menjadi negara maju semakin mudah apabila penarafan ini ditingkatkan.  Beberapa faktor yang meningkatkan kadar penarafan ini ialah BN kembali menjadi Kerajaan, reformasi subsidi Kerajaan terhadap minyak, aliran kewangan negara yang stabil, hutang negara yang mengecil serta penarafan Khazanah Nasional pada AAA yang dijamin Kerajaan  serta prospek industri Minyak dan Gas (Gas & Oil) oleh Kerajaan Malaysia serta pelbagai lagi alasan penarafan tersebut. 

Dengan penarafan itu, Malaysia boleh mencapai kadar pertumbuhan yang diharapkan untuk menjadi negara maju pada Tahun 2020.  Manakala bagi penduduk kurang pendapatan dan sederhana akan terus dibantu (biasanya Bumiputera dan Melayu serta India), bagi mereka yang berada dalam kelas ekonomi yang selesa, mereka harus belajar untuk bersyukur dan menggunakan subsidi dengan wajar serta memastikan sokongannya kepada pemerintah agar ia terus terjamin secara tidak langsung.  Bagi pengguna subsidi ini, hanya mereka yang layak sahaja akan mendapatnya manakala bagi berkemampuan misalnya, hendaklah membayar pada harga yang setara dengan perkhidmatan yang diberikan.  Sekali lagi diingatkan, Malaysia mengamalkan dasar ekonomi laisser-faire iaitu penduduk dikelaskan dengan tingkat pendapatan dan cara ekonomi kapitalis.  Yang kaya mendapat nikmat kekayaan mereka tetapi harus membayar cukai, manakala golongan sederhana menikmati secara relatifnya baik dan penduduk miskin diberikan sedikit tanggungan oleh Kerajaan.  Sistem ekonomi ini mengekalkan strata sosial yang terbaik dalam ekonomi.  Jika semua orang ingin menikmati hidup secara mewah, hendaklah mengukur kemewahannya juga dari segi pendapatan dan cukai bukannya merasai apa sahaja yang dirasai oleh majikan (usahawan) yang elit dan berusaha bersungguh-sungguh menjadi kaya.  Janganlah yang kecil ingin memakai baju si gajah dan menjadi elegan tetapi gaji serta cukai tidak setimpal dengan kerja dilakukannya.  Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud hamper kepada:-

Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): "Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? " (Allah berfirman): "Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?"








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.