Isnin, 2 Disember 2013

Ahmad Shabery Cheek: Menteri K-Pop!



Ahmad Shabery Cheek:  Menteri K-Pop!

“Siakap senohong gelama ikan duri,
            Bercakap bohong lama-lama mencuri”

“Siakap senohong gelama ikan duri,
            Bercakap bohong lama-lama jadi Menteri”


Di atas merupakan pantun dua kerat yang menjadi panduan dan bidalan orang tua-tua mengingatkan anak-anak bahawa jika kerap bercakap bohong, lama kelamaan akan menjadi seorang pencuri kelak.  Oleh itu, membohongi atas apa juga perkara adalah asas kepada menjadi pencuri.


Berbalik kepada pantun dua kerat yang baru, bercakap bohong lama-kelamaan boleh dilantik menjadi menteri di Malaysia bukanlah satu mustahil.  Jika pada tahun 1970-an pembohongan bahawa terdapat satu kejadian “mati kebuluran” di Sik, Kedah di cari dan digali sejarah membuktikan sebaliknya.  Bahkan petualang yang membuat onar dan rusuhan tersebut telah menjabat jawatan yang agar lumayan tingginya dalam Menteri Kabinet Malaysia.  Kini, lagu lama dikenang kembali.  Cuma kali ini ia dituduh kepada pihak Kerajaan oleh pembangkang Malaysia yang diketuai oleh Anwar Ibrahim. 

Menteri yang tertangkap kerana berbohong kepada orang ramai tidak perlulah disebut satu persatu, Cuma ia menjadi satu paradigm baru bahawa menjadi pembangkang di Malaysia juga tidak mengapa.  Apalah guna mendokong dan menyokong kerajaan yang tidak memihak kepada rakyat serta tidak popular.  Bagi kem Pembangkang, menjadi popular dengan isu-isu sensitive serta diolah untuk dijayakan memang satu peluang yang besar.  Jika dahulu di zaman 70-an, menjadi pembangkang seperti satu dosa besar bahkan dipulaukan.  Kini pandangan itu berubah, menjadi pembangkang pun tidak mengapa asalkan kental jiwa rakyat itu disuarakan dengan seluas-luasnya.

Menjadi pembangkang di Malaysia memberikan satu platform besar sama ada untuk bercakap benar mahupun menipu demi kelangsungan kerjaya politik.  Platform kononnya untuk suarakan hak rakyat digunakan dengan meluas kononnya selaku Freedom of Speech padahal pada masa yang sama mereka menafikannya.  Kita lihat pihak pembangkang secara konsisten dan bermati-matian memusuhi Utusan Malaysia tetapi pada masa yang sama cuba membela sikap Malaysiakini yang kelihatan lebih cenderung melaporkan yang kurang tepat dari sudut keberitaannya.  Sudah tentu Malaysiakini yang dibiayai pelabur dari sebelah sana bertindak begitu dan Utusan Malaysia yang dibiayai oleh pelabur sebelah sini membiayai dokongan dan sokongan kepada Kerajaan.  Maka, keadilan dalam juara berhujah telah dapat dilihat dengan jelas; pilihan terakhir tetaplah ditangan dan minda rakyat.  Cuma, sepandai manakah media dan pemimpin Berjaya berbohong. 

Dalam satu kes Audit Kementerian Belia dan Sukan pada 2013, Menteri Belia dan Sukan ketika itu telah berhabis RM1.6juta ringgit wang awam bagi menganjurkan konsert K-Pop iaitu konsert penyanyi Korea yang popular dengan lagu sekerat Inggeris dan bakinya Korea sempena Himpunan Jutaan Belia Putrajaya pada Mei 2013.  Menurut menterinya ketika itu, Ahmad Shabeery Cheek penaja akan membiayai konsert tersebut tanpa melibatkan dana awam.  Walau bagaimanapun, setelah masa berlalu pergi rakyat Malaysia dikejutkan dengan laporan audit bahawa wang pembayar cukai akan digunakan untuk membayar konsert tersebut RM1.6juta yang tidak dapat dikutip oleh penaja kerana enggan membiayainya atas sebab-sebab yang tidak diketahui.  Apakah satu kewajaran untuk wang awam dibelanjakan untuk konsert Korea tersebut?  Sudah habiskan penyanyi Malaysia yang tersohor dan ingin dimartabatkan?  Sudah hilangkah jati diri penyanyi Malaysia yang berbakat untuk dijadikan suri teladan (ikon) kepada belia Malaysia yang terpengaruh dengan K-Pop itu?

Apakah pihak Korea pernah menjemput artis-artis Malaysia membuat persembahan di sana sama ada pertukaran budaya mahupun secara komersil?  Adakah ia melambangkan bahawa seni dan budaya Malaysia ini memang ‘kampong’ dan tidak maju sejak dahulu lagi dan berbeza dengan Korea yang menjadi trend modern?  Apakah dengan mengundang Psy yang terkenal dengan lagu tarian kudanya melambangkan satu nilai budaya modern yang seimbang kepada warga Malaysia?  Berbelanja untuk konsert Psy di Pulau Pinang dengan tajaan RM2 juta dalam satu persembahan lain, bukanlah ingin membezakan citra bahawa persembahan artis luar Negara tidak digalakkan di Malaysia, Cuma mengapa tajaan besar ini demi politik dibenarkan sedangkan artis tempatan di tanah air sendiri ibarat melukut di tepi gantang, meminta ehsan penganjur? 

Maka, tidak salah menjadi Kerajaan mahupun pembangkang asalkan misi dan visi mempertahankan rakyat diutamakan terlebih dahulu berbanding memenangi hati dan minda rakyat dengan menaburkan wang jutaan ringkat pada mereka yang salah dan tidak memberikan apa-apa pulangan ekonomi mahupun faedah ramah budaya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.