Selasa, 3 Disember 2013

HINAKAH AKHBAR MELAYU?



HINAKAH AKHBAR MELAYU?


PENGENALAN
Akhbar Melayu diterbitkan di Tanah Melayu sejak kehadiran penjajah di Tanah Melayu (Azmah: 2001).  Meminjam teknologi barat tersebut, akhbar Melayu turut serta dalam industri percetakan dan persuratkhabaran.  Walaupun akhbar Melayu di awal kemunculannya bukanlah akhbar yang selengkap (Azmah: 2003) akhbar hari ini, tetapi terma asal dalam penerbitannya seperti menyebarkan maklumat kerajaan kepada rakyat (Safar Hashim: 1996), menerbitkan iklan serta ruangan editorialnya telah mengasuh dan membantu masyarakat Melayu untuk mengetahui bahan berita, laporan serta peristiwa semasa yang berlaku pada waktu itu (Azmah: 2003).


Selain berfungsi sebagai alat sebaran maklumat, kesusasteraan Melayu juga dimuatkan dalam akhbar di awal penerbitannya seperti ruangan puisi, surat dan juga komentar-komentar dari ahli-ahli orang Melayu terawal seperti Dr. Burhanuddin Helmi Kamarudin: 2008) yang mengajak orang Melayu menyemai sikap patiotsme dan nasionalisme yang tinggi kepada orang Melayu.  Oleh itu, akhbar bukanlah sebagai satu alat komunikasi penyebaran maklumat kepada masyarakat yang terpelajar sahaja, bahkan ia dijadikan medan untuk menyemaikan nilai-nilai kemasyarakatan yang adil, dinamik serta melahirkan individu yang sayang dan cintakan kesusasteraan seni budayanya (Azmah: 2003).


Sebagai contoh, peranan surat khabar secara amnya seperti yang dilakarkan oleh Mingguan Malaysia: 23 April 1989:

“Utusan bukan tidak bersikap adil tetapi keadlan tidak dapat dilihat oleh sesorang yang melihat sesuatu kepentingan untuk dirinya sahaja.  Kebenaran tidak perlu diceritakan.  Perubahan-perubahan yang berlaku akan memberikan kesedaran kepada manusia untuk melihat jalan yang benar dan jalan yang salah” (Zainudin Maidin: 1994)

Oleh itu, akhbar Melayu telah bersama-sama membangunkan fikiran Melayu supaya menjadi satu bangsa besar dan mengangkat darjat dan maruah mereka di tanah air mereka sendiri selepas terjajah lebih ratusan tahun (ILBS: 1991).  Kekuatan orang Melayu bukanlah terletak pada fizikalnya, tetapi dari minda dan hati yang bersatu membentuk kekuatan bangsa yang disegani.  Malaysia bukanlah sebuah negara plural tetapi terdiri dari pelbagai etnik dan kepelbagaian (Ho: 2004).

TESIS

Bolehkah orang Melayu mendapat apa yang mereka perolehi hari ini tanpa akhbar Melayu yang menyatukan aliran fikiran mereka sebelum merdeka dahulu?  Adakah bangsa lain akan prihatin ke atas bangsa Melayu (Sidek Baba: 2009)yang inginkan kemerdekaan mereka di tanah air mereka sendiri? Sudah tentulah peranan akhbar Melayu ini untuk menyatukan fikiran dan falsafah orang Melayu (Zainudin Maidin: 1994) untuk bertindak dan berbuat seperti tanah ini adalah hak milik mereka sendiri, kerana mereka bukan menumpang di Tanah Melayu ini.

Menerusi tulisan Chew Hock Thye (Utusan Malaysia: 26 September 1987) ‘Adakah Akhbar Cina Mencintai Bahasanya?...’ (Syed Mahadzir: 2010) membawa paradoks bahawa sentimen kebangsaan antara kaum di Malaysia masih menebal di tambah pula dengan kewujudan sekolah vernakular (Ho: 2004) yang disemarakkan oleh British sebelum memerdekakan Tanah Melayu.  Jurang-jurang kaum antara Melayu, Cina dan India dilebarkan dengan fahaman perkauman (Ashraf: 2004) masing-masing yang sempit sehingga membina tembok tebal yang memisahkan orang Melayu dan kaum-kaum asing (Zanudin Maidin: 1994, 2004) ini dalam Tanah Melayu.

Majlis Perundingan Ekonomi Negara pada 27 Januari 1970 mempersoalkan ‘Manakah yang lebih penting antara kaum dan negara’ (Syed Mahadzir: 2010) dalam menyemai makna sebuah kemerdekaan?  Siapakah yang akan sayang dan cintakan bahasa Melayu dan institusi orang Melayu kalau bukan kaumnya sendiri.  Adakah salah pada orang Melayu yang dilahirkan Melayu dan mencintai jiwa nurani Melayu?  Oleh itu, siapakah yang akan memperjuangkan kesemua sistem kenegaraan Malaysia jika bukan sebahagian penduduknya adalah tuan tanah ini adalah Melayu?

Akhbar Melayu diasaskan untuk meneruskan legasi fikiran rakyat selain disajikan maklumat dari akhbar-akhbar aliran Inggeris, Falsafah Kristian dan Komunisme (Azmah: 2003).  Akhbar Melayu memberikan nafas baru dalam makna sebuah warganegara yang merdeka.  Kerajaan telah didesak menurut kehendak-kehendak rakyat terbanyak (Safar Hashim: 1996) dan bukannya hanya berpolitik siang dan malam semata-mata.  Dengan itu, akhbar Melayu sentiasa mengingatkan kerajaan akan tugasnya membangunkan masyarakat (Safar Hashim: 1996) lebih dari sekadar menuntut kemerdekaan.


ISU 1 – AKHBAR MELAYU SEBAGAI “SUARA HATI” BANGSA MELAYU

Hari ini realitinya,  akhbar Melayu sering dilabelkan dengan pelbagai tanggapan negatif seperti rasis (Zainudin Maidin: 1994), membina ketuanan Melayu tanpa memikirkan rakyat yang lain serta berjuang untuk kaum mereka sahaja.  Adakah akhbar kaum lain akan mengambil berat dan prihatin masalah yang dihadapi oleh orang Melayu pada hari ini (Syed Mahadzir: 2010).  Adakah akhbar-akhbar aliran lain boleh ‘memahami isyarat dan suara hati orang Melayu’ (Sidek Baba: 2009) itu sendiri.  Jika mereka sendiri membangunkan dan mementingkan kebangsaan mereka sahaja, adakah kaum Melayu turut akan terbela?

Akhbar Melayu seakan-akan takut dan perlu tunduk kepada tekanan gerakan politik kepartian dari kaum-kaum lain.  Lebih mengecewakan apabila parti politik orang Melayu juga tidak sealiran dan sependapat dengan akhbar Melayu yang telah menyatukan mereka suatu ketika dahulu untuk merdeka - hari ini yang paling lantang menghentam akhbar Melayu dalam memperjuangkan nasib orang-orang Melayu.   Bahkan mereka sanggup menuduh akhbar Melayu yang diwarisi ini dengan tuduhan bahawa ‘Akhbar Melayu arus perdana bodohkan minda Melayu dengan isu seks‘ (Keadilan Daily) 

Sebagai pemikir bagi orang Melayu, akhbar Melayu itu sendiri adalah pemikir dan juga suara hati orang Melayu itu sendiri (Zainudin Maidin: 2004, 1994).  Merekalah yang tahu apa yang mereka hendak dan mereka jugalah yang akan minta apa yang mereka mahu.   Kerajaan sanggup merampas akhbar (Zainudin Maidin: 1994, Safar Hashim 1996) ini dari para pedagangnya semata-mata untuk melihat akhbar Melayu ini ‘sepakat dalam mengusulkan cadangan-cadangan yang memberikan manfaat kepada orang Melayu’ (Zainudin Maidin: 1994, Safar Hashim 1996) lebih-lebih lagi selepas merdeka.  Akhbar Melayulah yang menjadi medan “suara hati” bagi bangsa Melayu untuk terus bersatu agar nasib mereka terus terbela dan didengar oleh kerajaan.

Akhbar Utusan Malaysia paling lantang dikritik kononnya akhbar yang rasis, hanya kerana memberi kesedaran dan pengkhabaran agar peri pentingnya orang Melayu bersatu pada pasca pilihanraya umum ke-12. Kepentingan orang Melayu sering kali diduga dan diusik oleh bangsa lain yang tak pernah puas dengan apa yang mereka ada hari ini. Ramai dikalangan pemimpin politik dari pelbagai parti termasuk parti kerajaan yang tidak senang dengan pendedahan yang dilakukan oleh Utusan Malaysia tentang kebobrokan pemimpin yang hendakkan kuasa semata-mata.


ISU 2 – AKHBAR MELAYU MEMPERTAHAN SERTA MEMBELA HAK RAKYAT MALAYSIA KHASNYA ORANG MELAYU.

Sekiranya Akhbar Melayu tidak berjuang untuk orang Melayu siapakah yang akan berjuang untuknya? Adakah Akhbar Tamil? Akhbar Cina? Akhbar inilah yang beriya-iya memperjuangkan hak cauvanis mereka sahaja dengan mengecam akhbar-akhbar Melayu sedangkan orang Melayu tidak pula membaca dan cuba belajar apa yang ditulis di akhbar-akhbar mereka.

Mengapa harus marah dan memboikot Akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia yang telah berjasa menuntut hak sah kaum Melayu (Zaidunin Maidin: 1994) dan apabila ia berjuang untuk orang-orang Melayu. Bagaimana pula Akhbar Tamil dan Akhbar Cina yang bercakap dan menyuarakan pendapat mereka terang-terangan tanpa ada rasa bersalah meminta kerajaan menunaikan permintaan mereka (Syed Mahadzir: 2010) dan menyalurkan fikiran kaum mereka agar terus mendesak-dan mendesak kerajaan menunaikan kesamarataan (ILBS: 1991).

Sejak sebelum merdeka lagi, Akhbar Melayu inilah yang memartabatkan bangsa Melayu dengan bahasanya (Zainudin Maidin: 1994), kedudukan sahnya, keistimewaannya, Raja-rajanya dan paling penting Agamanya – Islam.  Oleh itu, sebagai tuan yang empunya tanah dan tahu selok belok bangsa dan batang tubuhnya, surat khabar Melayu harus terus mempertahankan hak-hak Melayu di atas tanahnya.  Tindakan ini tidak membawa maksud hak kaum lain dinafi atau cuba diambil cuma untuk memastikan tidak akan ada pencerobohan hak ke atas bangsa Melayu oleh segelintir mereka yang gigih menghakis hak dan keistimewaan Melayu untuk keuntungan peribadi mereka.

Sikap sebegini pasti merosakkan negara kita dan menyalakan api permusuhan antara kaum sedangkan kita telah hidup aman damai tanpa perbalahan hasil dari perpaduan yang kukuh sesama rakyat berbilang bangsa dan agama yang berkongsi tanah, udara dan air yang sama.  Akhbar Melayu telah banyak membantu orang Melayu dalam membangunkan ekonomi, sosial dan juga perpaduan (Zainudin Maidin: 1994) sejak rusahan kaum 13 Mei lalu akan keperluan bekerjasama. Tetapi kebanyakkan oportunis memandang hina akhbar Melayu yang kononnya “ketinggalan” dan “tidak Malaysia”. Walaubagaimanapun kita harus sentiasa ingat bahawa Akhbar Melayu banyak membantu membina minda bangsa Melayu dan sentiasa mengingatkan Melayu supaya bersatu padu dan bertolak ansur sesama kaum.


ISU III – AKHBAR MELAYU MENJAMIN KEUTUHAN PERPADUAN

Sejak merdeka dan peristiwa berdarah 13 Mei, orang Melayu yang senantiasa curiga dengan kaum lain telah mula berlembut hati dengan kaum-kaum lain terutamanya peranan yang dimainkan media yang menggalakkan perpaduan kaum.  Akhbar-akhbar Melayu telah mendidik dan mengajar orang Melayu akan erti perkongsian, tolak ansur serta sikap tidak mementingkan diri sendiri (Zainudin Maidin: 1994).  Akhbar-akhbar Melayu telah bersungguh-sungguh mendesak kerajaan mewujudkan keperluan orang Melayu (Safar Hashim: 1996) agar tuntutan kaum Melayu ini tidak merosakkan kaum lain dan negara ini.

Desakan-desakan akhbar Melayu ini telah memberikan hak orang Melayu di tanah airnya serta mengurangkan jurang-jurang perbezaan dan penghapusan identiti ‘kaum mengikut fungsinya’ (Syed Mahadzir: 2010).  Dengan perhatian yang diberikan kerajaan serta penekanan akhbar agar menuntut mengikut keadaan dan berpada-pada dalam tindakan, orang Melayu patuh dan terus bertolak ansur dalam segala genap segi walaupun bahasa kebangsaan tidak dijadikan bahasa wajid di sekolah persendirian vernakular mereka.  Orang Melayu tidak terguris dengan penolakan sekolah wawasan oleh orang Cina dan India kerana mereka pandai berbudi bahasa.

Oleh itu, dengan didikan akhbar-akhbar Melayu ini yang tidak menaikkan sentimen perkauman maka negara ini terus melakar pembangunan yang pesat tanpa apa-apa pertelingkahan.  Hal-hal yang remeh-temeh mereka abaikan agar kesentosaan kaum terpelihara dan keharmonian demokrasi terus berjalan lancar.  Akhbar Melayulah yang membantu kerajaan mengurangkan kesan kemarahan rakyat terhadap kaum-kaum lain di Malaysia.  Dengan peranan yang sebegitu penting, sudah tentu kaum lain seharusnya berterima kasih dengan akhbar Melayu yang tidak mengapi-apikan permusuhan dan perbezaan antara kaum demi mendapatkan jumlah edaran yang tinggi di pasaran.  Adakah hina bagi sesebuah akhbar yang mempertahankan keutuhan perpaduan kaum di negara ini?  Sudah tentu ia memberi manfaat kepada semua orang untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang makmur.


KESIMPULAN

Akhbar Melayu memainkan peranan yang aktif dan berkesan dalam meyebarluaskan maklumat penting, khususnya yang berkaitan dengan isu politik, ekonomi, sosial selain isu-isu berbangkit terhadap orang Melayu (Azmah: 2001). Dengan cara ini, rakyat dapat diberikan dan disajikan oleh maklumat yang betul, tepat dan jelas tanpa menafikan hak sah kaum lain di Malaysia (ILBS: 1991).  Akhbar Melayu menjadi lidah rasmi bagi menyampaikan mesej utama masyarakat Melayu, iaitu perjuangan terhadap kepentingan orang Melayu, perpaduan dan keharmonian minda orang Melayu (Sidek baba: 2009), isu kebajikan rakyat, tuntutan dan hak orang Melayu di sisi demokrasi dan perjuangan meneruskan legasi kemerdekaan yang harus diperjuangkan oleh semua pihak.


Akhbar-akhbar Melayu ini bukan sahaja berusaha menyedarkan orang Melayu, malah mendidik dan mengajak orang Melayu nasib-nasib mereka yang terpinggir, menyampaikan mesej kepada kerajaan supaya bertindak demi kepentingan bangsa Melayu itu sendiri tanpa mengetepikan hak kaum lain.   Kaum lain tidak seharusnya menuduh orang Melayu dan akhbar Melayu bersikap perkauman dan hina kerana sejarah telah membuktikan nilai budi orang Melayu yang memang secara semulajadinya bersikap tolak ansur, berbudi bahasa dan sentiasa membantu tidak kira siapa saja tanpa mengenal bangsa dan agama.  Keluhuran akhbar Melayu ini tidak wajar dipandang enteng dan sepi apatah lagi di hina kerana jasa-jasanya ke atas orang Melayu dan kaum lain.


Setiap akhbar di Malaysia ini mempunyai ‘cabaran keadilan masyarakat’ (Hng H.Y.:  2003) sebagai agenda mereka yang tersendiri sama ada menjadi pendokong parti politik mereka, membantu ekonomi bangsa mereka (Hng H.Y.:  2003) atau sebaliknya terpulanglah kepada mereka untuk menentukannya kerana Malaysia adalah negara yang demokrasi yang banyak memberi peluang kepada setiap bangsa untuk menyuarakan pendapat mereka.  Maka akhbar Melayu tidak wajar di hina kalaupun ia memang berjuang untuk hak sah kaumnya di bumi Tanah Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.