Khamis, 5 Disember 2013

Inflasi: Kerajaan Najib, Kerajaan Terakhir BN di Malaysia?

Inflasi:  Kerajaan Najib, Kerajaan Terakhir BN di Malaysia?


Barisan Nasional (BN) telah diberikan ungkapan baru dengan BN sebagai “Barang Naik”.  Pada pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Kerajaan BN telah bertindak menaikkan harga petroleum sebesar RM0.70 per  liter menjadikan harga minyak bersubsidi kerajaan kepada RM2.70 seliter berbanding RM2.00 seliter sebelumnya.  Ini berikutan kadar kenaikan harga minyak dunia yang meningkat di sebabkan inflasi sub-prima di Amerika.

Lantas dari itu, rakyat melontarkan kemarahan yang meluap-luap sehingga menggagalkan Tun Abdullah mendapat undi dua pertiga di parlimen Malaysia dan tewas lima buah negeri di tangan pembangkang pada PRU ke 12, tahun 2008.  Lantaran itu, BN telah mendapat satu jolokan baru sebagai agen Barangan Naik atau inflasi.  Tak luput dari ingatan rakyat, kini Kerajaan Najib pada 2 September 2013 jelang beberapa bulan selepas PRU ke-13 yang mengekalkan 3 buah negeri ke tangan pembangkang dan melorotnya kerusi Parlimen menjauhi dua pertiga telah berulang lagi.  Kali ini harga minyak dinaikkan sebanyak RM0.20 seliter kepada RM2.10 (sebelum RM1.90). 

Tanpa hujan atau ribut serta kenaikan harga minyak dunia (masih kekal RM300.00 setong atau USD100.00), Malaysia secara mengejut mengumumkan kenaikan harga minyak.  Beberapa ketika sebelum itu, harga ayam di pasaran awam juga telah meningkat dari RM6.70 sekilogram menjadi RM8.20 sekilogram.  Jawapan paling mudah dibuat oleh Menteri berkaitan perdagangan dalam negeri adalah melarang rakyat memakan ayam jika harganya meningkat.  Tersentak dengan kenyataan kurang bijak Menteri Kabinet Najib, kali ini beliau sendiri mengumumkan kenaikan harga minyak petrol RON95 tersebut tanpa sebab.  Kononnya adalah satu penakatan yang diperhatikan oleh pakar kewangan asing dalam menaikkan atau menurunkan taraf kewangan Negara.  Maka, tindakan kurang bijak ini dibuat. 

Pada sidang Parlimen membentangkan Belanjawan Negara 2014 pada 25 Oktober 2013, Najib sekali lagi mengumumkan kenaikan harga gula bersubsidi dari RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 sen sekilogram.  Ketakutan rakyat pada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) turut dinyatakan pada waktu yang sama iaitu memperkenalkan GST pada April 2015.  Ketakutan dan fobia rakyat yang masih belum kebah ditambah dengan kenaikan dan dibuat pada masa yang sama kenaikan gula dibuat memnyebabkan rakyat makin rasa tertipu waima pengundinya di kawasan luar Bandar sekali pun.  Apakah Najib betah dengan pancaroba ini kepada rakyat dan pendokongnya?

Pada 17 November 2013, Ahli Parlimen Lembah Pantai Puan Nurul Izah telah membuat satu kenyataan bahawa pihaknya akan menghantar memorandum bantahan kepada pihak berkuasa Kuala Lumpur (Dewan bandaraya Kuala Lumpur) agar mengkaji semula kenaikan harga pajakan cukai pintu di sekitar Kuala Lumpur mulai tahun cukai taksiran 2014.  Apakah ini satu hadiah atau hukuman Kerajaan Najib kepada rakyat Bandar yang tidak mengundinya?

Menjadi semakin mengarut lagi, Kerajaan Najib dijangka akan terus menaikkan beberapa harga asas di pelbagai sektor makanan dan mengurangkan beberapa subsidi dalam menangani masalah hutang Negara yang defisitnya semakin menjarak.  Sebak dengan kenaikan demi kenaikan harga dan perkhidmatan asas, rakyat meluahkan kemarahannya dengan mengaitkan dengan perbelanjaan mewah Pejabat Perdana Menteri khususnya bekalan utiliti di rumah agam milik pemerintah itu yang menelan belanja jutaan ringgit setahun.  Tidak luntur dari perbelanjaan yang berjeba-jeba itu, isteri Perdana Menteri Malaysia turut dikaitkan dengan berbelanja mewah dengan menggunakan sebuah jet khas bagi mengadakan kunjungan ke luar Negara iaitu di Abu Dhabi pada November 2013 sebagai kunjungan tidak rasmi Negara. 

Kini (Disember 2013), harga bekalan elektrik pula akan meingkat.  Walaupun dikatakan kadar RM70.00 penggunaan elektrik tidak bertambah, tetapi ia tetap satu kenaikan terutama kepada pengguna yang menggunakan elektrik melebihi tariff tersebut.  Lebih tepat lagi penduduk Bandar yang menggunakan elektrik dengan besar seperti peti sejuk, televisyen, alat pemanas air dan juga pendingin hawa.  Jika dikenakan tariff kepada perniagaan, tarifnya sudah tentu berbeza dan sehingga kini tarifnya tidak sama dengan pengguna domestik.  Oleh itu, ia memang kenaikan untuk para pengguna massa bukannya sektor perniagaan. 

Tidak betah dengan semua itu, inflasi yang dijangka melarat akibat kenaikan harga gula terus menikam rakyat perlahan-lahan.  Apakah rakyat akan terus melupainya walau seinci dalam benak mereka yang terseksa itu?  Ia bakal ditambah lagi dengan beberapa kenyataan rasmi dan sehingga kini desas desus bahawa kereta yang berusia 12 tahun akan dilarang menggunakan jalan raya di Malaysia masih dibincangkan.  Sekiranya ia dilaksanakan, pengguna hanya boleh menarik nafas lega dari membayar pinjam-beli (hirer purchase) kereta mereka hanya sela tiga tahun sahaja dan selepas itu kembali berhutang membeli kereta baru.  Sedang sewa beli kereta memotong kadar pendapatan isi rumah sehingga satu pertiga, pengguna dipaksakan berhutang membayar sewa beli rumah sehingga separuh dari kadar gaji mereka selama berpuluh-puluh tahun melangsaikannya.  Apakah ini sebuah kerajaan yang semakin prihatin?

Maka, apakah tahun 2020 adalah tahun Barisan Nasional telah berkubur dan kerajaannya digantikan dengan kerajaan lain yang dilihat lebih prihatin dan menambat hati warga yang terdesak?  Masa yang akan menentukannya.  Apakah pilihan mereka kini?


Nota:  Pilihanraya ke-14 Malaysia dijangka pada 2018 (dua tahun sebelum Wawasan 2020 terlaksana)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.