Khamis, 26 Disember 2013

Larilah Mokhtar!!!

Larilah Mokhtar...
[Luahan dr Kegagalam Skuad Malaysia Pertahan Emas Sukan SEA Myanmar 2013].


Dikau penyemarak jiwa bangsa dan warga
Dikau taruhan nyawa bangsa
Dikaulah khadam bangsa
Pun bola itu khadammu
Kamu khadamku dan bola khadammu
Larilah Mokhtar Larilah, larilah dikau...

Oh dunia, Oh nyawa
Oh dunia, Oh nyawamu Mokhtar
Mereka memang inginkan nyawamu
Hutan batu itu telah membunuh jiwa muda kini
Bakarlah dirimu demi jiwa kami
Nyawamu untuk dunia ini, untuk kami...


Larilah, lari Mokhtar
Kejarlah, kejar impianku
Larilah, lari dengan kakimu
Kejarlah, kejar impianku... khadamku

Nyawamu memang taruhan bangsa
Nyawamu memang abadi di sini
Kini tiada siapa mahu berikan nyawa itu seperti mu
Mereka mati dalam kenyang mentari tua
Kami memburu seperti nyawamu lagi....

Bunuhlah dirimu demi bangsa
Bunuhlah dirimu demi semangat bangsa
Bunuhlah dirimu demi kami
Matimu menyebabkan kami akan berlari mencarimu... Kejarlah Mokhtar itu!

Larilah, lari Mokhtar
Larilah moktar
Kejarlah, kejar impianku
Lari, larilah menuju kejayaanku

Bola yang bulat itu berpusing menunggu kakimu
Kakimu sahaja mampu mengejarnya
Kini kakimu tergantung di padang beku

Bangsamu telah lari darimu
Larilah Mokhtar, larilah
Kejarlah, kejar jiwa itu
Kejarlah bangsamu
Mereka semua menanti matimu, sedang mereka yang mati bukan kamu
Kini, bangsamu berlari mengejarmu, mereka yang mati

Kejarlah Mokhtar itu
Kejarlah semangatnya
Larilah, larilah mengejar Mokhtar

p/s:  Puisi dari kegagalan skuad Bola Sepak pertahan Emas di Sukan SEA Myanmar


Faizal Muhd Faxel Wel

Selasa, 24 Disember 2013

Kenaikan Harga Barangan Semasa: Pandangan Peribadi......

Kenaikan Harga Barangan Semasa:  Pandangan Peribadi......


“Pengurangan subsidi ini hanyalah satu jentikan manja.....”
Ucapan Presiden UMNO semasa Penutup
Perhimpunan Agung UMNO ke-67 Tahun 2013 di PWTC, Kuala Lumpur. 



Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden UMNO (tonggak Parti Kerajaan Malaysia – BN) telah menggariskan beberapa langkah ekonomi yang bakal menyesakkan rakyat Malaysia dengan beberapa penstrukturan ekonomi dan subsidi negara semasa menutup tirai Mesyuarat/Perhimpunan Agung UMNO ke-67 di Kuala Lumpur baru-baru ini.  Antara Usul yang mendapat perhatian ramai sejak ia dibangkitkan dek keresahan orang ramai, ialah Kenaikan Tarif Elektrik, pengurangan subsidi gula, serta lain-lain kenaikan yang dibincangkan secara meluas dalam lelaman sosial maya (facebook) antaranya kenaikan tol, cukai pintu serta cukai-cukai lain yang membebankan rakyat terbanyak. 

Desakan dari kenaikan itu, negara yang baru selesai mengalami bencana banjir putaran pertama pada awal Disember telah dijanjikan dengan bantuan sebesar RM500.00 yang dikirakan tidak mencukupi bagi mereka yang terjejas selain bebanan kenaikan-kenaikan lainnya.  Pun begitu, bagi mangsa banjir bayaran ansuran kredit perbankan utama mereka ditangguhkan sehingga enam (6) bulan bagi membantu meredakan masalah mereka.  Bagi yang lain dan tidak terkesan kerana banjir, kenaikan itu harus dihadapi dengan keluh kesah yang panjang. 

Masyarakat Malaysia mengetahui bahawa bukan semua Melayu/Bumiputera itu telah menjadi jutawan dan menjadi golongan kelas menengah atas.  Menjadi kelas pertengahan dek ledakan ekonomi dan pendidikan tinggi pada zaman Tun Dr. Mahathir melayakkan ramai Melayu dapat menjadi bumiputera kelas pertengahan yang senantiasa tidak stabil (kecuali akademik) sahaja.  Oleh itu, kenaikan ini melibatkan periuk nasi dan wang poket mereka.  Hidup makan gaji serta tidak mengharapkan usaha-usaha ekonomi lainnya, Melayu terkesan dengan rancangan Kerajaan ini. 

Hipotesis kedua ialah Kerajaan amat prihatin dengan sokongan masyarakat Cina yang berpaling tadah dalam mengundi parti pemerintah (BN) sebelum ini pada PRU ke-13, Mei lalu.  Kira-kira 10% sahaja masyarakat Cina yang mengundi parti dokongan Cina dalam BN manakala bakinya setia dan sealiran dengan parti pembangkang Cina iaitu DAP.  Atas dasar itu, Perdana Menteri sedar bahawa Melayu/Bumiputera dan India inilah yang telah menyelamatkan kerusi empuknya di Putrajaya.  Jika tidak kerana Melayu/Bumiputera Sabah dan Sarawak serta sokongan masyarakat India, Kerajaan pimpinannya telah berubah sama sekali. 

Ironinya, setiap kemenangan BN dalam PRU menjanjikan kenaikan harga barangan yang tinggi serta melampau-lampau.  Bertambah kesal dikalangan rakyat yang menyokongnya ialah tidak ada pengecualian sekalipun.  Pun begitu, secara natijahnya Kerajaan telah menggadaikan kadar gaji minimum RM900.00 sebulan kepada sektor industri secara muktamad termasuk kenaikan gaji penjawat awam dengan satu kenaikan (1KGT).  Oleh itu, kadar boleh bayar dan penggajian buruh dipasaran terbuka memberikan kesan kepada para majikan di Malaysia.  Silap perhitungan, buruh makan gaji ini (rata-rata Melayu/Bumiputera dan India) boleh diberhentikan kerja oleh majikan kerana kenaikannya yang membebankan mereka secara khusus dalam pembayaran upah.  Dalam usaha memutar kembali wang yang ‘dipaksakan’, negara harus mempunyai kedudukan pusingan kewangan yang baik.  Inflasi atau kenaikan harga perlu berlaku dalam kitaran ekonomi sebagai usaha menambahkan aliran wang dalam negara.  Oleh itu, kenaikan gaji minimum ini boleh dipatuhi selain mengelakkan pekerja tempatan sedia ada dipecat atau dikurangkan jumlahnya.  Kadar penganguran dapat dikekalkan pada paras 3% KDNK negara. 

Kebergantungan majikan mengambil pekerja asing turut menjadi menjadi beban sosial Kerajaan.  Ini kerana aliran tunai negara mengalir berbillion ringgit setahun kerana majikan lebih suka menggajikan pekerja asing dengan kos buruh yang sangat murah.  Oleh sebab itu, dengan kenaikan ini serta bayaran levi sedia ada, ia mampu mengekang gejala ini bertambah parah serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.  Sekali lagi majikan terpaksa menggajikan pekerja Melayu/Bumiputera dan mengurangkan kadar kebergantungan pekerja asing dan menyekat aliran wang keluar negara dengan banyaknya serta mengurangkan kadar masalah sosial dengan pekerja asing ini.  Kenaikan-kenaikan ini bukan sahaja mengimbangan putaran kewangan dalam negara bahkan ia menyemarakkan pembelian dan perbelanjaan dalam negara apabila ramai pekerja tempatan menerima gaji minimum ini.  Kadar ringgit yang banyak dipasaran hanya akan boleh disekat dengan inflasi iaitu kenaikan harga (wang) mengejar barang yang sedikit, meningkatkan pendapatan syarikat.  Akhirnya, pendapatan tambahan dari inflasi itu mampu membayar gaji yang distandardkan.   

Memburukkan lagi inflasi ialah apabila Kerajaan bakal memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu rebat sebanyak RM500.00 dengan RM250.00 langsung kepada mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000.00.  Dengan lebihan wang dipasaran berbillion ringgit pada Januari dan Mac nanti, barangan sedia ada tidak mampu menampung permintaan yang tinggi tersebut.  Oleh itu, inflasi mampu menyekat lebihan ini dengan kadarnya meningkat pada 2%.  Oleh itu, kewangan negara juga dalam aliran monetori yang kukuh serta tidak berlaku lebihan wang di pasaran. 

Memang benar Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih memperolehi laba yang besar walaupun tiada peningkatan harga dibuat.  Ini kerana TNB sebagai monopoli tenaga di Malaysia tidak menaikkan kadar bayaran RM70.00 ke bawah di mana rata-rata penggunanya adalah kelas menengah ke bawah.  Bagi penduduk miskin di bawah penggunaan RM20.00 sebulan, subsidi ini masih diteruskan dan tiada apa-apa perubahan pada dasar bantuan tersebut.  Bagi mereka yang menggunakan bekalan elektrik yang besar seperti penggunaan pendingin hawa, mandian air panas, pemancar satelit tanpa henti melebihi RM70.00 adalah wajar membayar pada kadar harga semasa. 

Mustahil penduduk kelas menengah ke bawah mampu membiayai keperluan elektrik yang melampau termasuk penduduk miskin yang mempunyai peralatan elektrik domestik yang terhad.  Bagi pengguna harga semasa di bawah RM70.00 sebulan, kadar ini adalah munasabah dengan bekalan elektrik dalam rumah, peti sejuk, televisyen atau radio, kipas angin dan pendingin hawa berkuasa rendah serta mesin basuh dan pengisar yang digunakan dengan berhemah.  Bagi mereka yang membazir atau menggunakan dengan kadar ‘luar-biasa’ penduduk pendapatan sederhana, mereka wajar membayarnya dengan gaya hidup mereka sendiri.  Rata-rata masyarakat bukan Melayu/Bumiputera tidak membelanjakan elektrik dalam kuantiti yang besar bagi peralatan domestik yang terhad, maka mereka tidak terjejas secara langsung.  Manakala mereka yang relatifnya mewah dan kelas menengah ke atas, wajar membayarnya dengan tingkat harga sebenar termasuk industri-industri kecil dan sederhana. 

Pengurangan subsidi ini mampu menjimatkan wang negara hasil dari Petronas.  Dan lebihan ini boleh digunakan untuk membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah selain menggunakannya bagi tujuan pembangunan negara secara mampan.  Penjimatan wang ini juga memberikan lebihan kepada pendapatan negara serta mampu memperbaiki tahap kewangan negara dengan kadar pertumbuhan yang positif (termasuk keuntungan bercukai Kerajaan, dividend an bonus kepada para pekerja TNB).  Sehingga kini (Nov. 2013), tahap kredit Negara adalah “positif” (International rating AAA @ A3) dari sebelum pelaksanaan beberapa pelan pemansuhan subsidi (“stabil” dan International Rating: A-).  Kadar rating atau penarafan antarabangsa ini menjebak Malaysia kepada penyusunan ekonominya setara dengan ekonomi asing lain. 

Jika Malaysia masih mengekalkan kadar sedia ada (tanpa apa-apa kenaikan), kadar pertumbuhan negara serta kadar hutang negara diberikan siling yang rendah dimana kadar faedah yang harus Malaysia bayar adalah tinggi dan melambatkan pertumbuhan negara.  Jika kadar ini ditingkatkan, maka Malaysia berupaya membayar hutangnya dengan cepat serta kadar faedah yang lebih rendah.  Walaupun kadar penarafan ini kelihatan “tidak adil” dan “bias” kepada ekonomi tempatan, Malaysia tiada pilihan melainkan terpaksa akur dengan penarafan “ala Yahudi” ini bagi meletakkan ekonominya setara dengan komuniti perniagaan dunia luar. 

Oleh itu, “Jentikan” dalam maksud Presiden UMNO itu adalah harapan agar kita tidak membazirkan subsidi yang diberikan kepada mereka yang layak sahaja.  Mereka yang mampu dan berada-ada hendaklah membayar pada harga yang mereka mampu untuk membayarnya.  Oleh itu, tempoh Malaysia untuk keluar dari defisit serta menjadi negara maju semakin mudah apabila penarafan ini ditingkatkan.  Beberapa faktor yang meningkatkan kadar penarafan ini ialah BN kembali menjadi Kerajaan, reformasi subsidi Kerajaan terhadap minyak, aliran kewangan negara yang stabil, hutang negara yang mengecil serta penarafan Khazanah Nasional pada AAA yang dijamin Kerajaan  serta prospek industri Minyak dan Gas (Gas & Oil) oleh Kerajaan Malaysia serta pelbagai lagi alasan penarafan tersebut. 

Dengan penarafan itu, Malaysia boleh mencapai kadar pertumbuhan yang diharapkan untuk menjadi negara maju pada Tahun 2020.  Manakala bagi penduduk kurang pendapatan dan sederhana akan terus dibantu (biasanya Bumiputera dan Melayu serta India), bagi mereka yang berada dalam kelas ekonomi yang selesa, mereka harus belajar untuk bersyukur dan menggunakan subsidi dengan wajar serta memastikan sokongannya kepada pemerintah agar ia terus terjamin secara tidak langsung.  Bagi pengguna subsidi ini, hanya mereka yang layak sahaja akan mendapatnya manakala bagi berkemampuan misalnya, hendaklah membayar pada harga yang setara dengan perkhidmatan yang diberikan.  Sekali lagi diingatkan, Malaysia mengamalkan dasar ekonomi laisser-faire iaitu penduduk dikelaskan dengan tingkat pendapatan dan cara ekonomi kapitalis.  Yang kaya mendapat nikmat kekayaan mereka tetapi harus membayar cukai, manakala golongan sederhana menikmati secara relatifnya baik dan penduduk miskin diberikan sedikit tanggungan oleh Kerajaan.  Sistem ekonomi ini mengekalkan strata sosial yang terbaik dalam ekonomi.  Jika semua orang ingin menikmati hidup secara mewah, hendaklah mengukur kemewahannya juga dari segi pendapatan dan cukai bukannya merasai apa sahaja yang dirasai oleh majikan (usahawan) yang elit dan berusaha bersungguh-sungguh menjadi kaya.  Janganlah yang kecil ingin memakai baju si gajah dan menjadi elegan tetapi gaji serta cukai tidak setimpal dengan kerja dilakukannya.  Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud hamper kepada:-

Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): "Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? " (Allah berfirman): "Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?"








Isnin, 23 Disember 2013

GST: Beban Cukai Pengguna?

GST:  Beban Cukai Pengguna? 


Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga dikenali dengan Value-Added Tax (VAT) telah mula diperkatakan sejak tahun 1990an lagi.  Namun pelaksanaannya di Malaysia sering kali tertangguh dek beberapa faktor dalaman dan luaran termasuk ehwal ekonomi rakyat Malaysia dan krisis ekonomi dunia dan Negara sekitar 1997/98 lalu.  Kini ia menjadi semakin hangat apabila ia akan tetap dilaksanakan pada April 2015.  Mengimbau pembentangan Belanjawan Negara 2014 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 25 Oktober 2013 lalu dengan pemansuhan cukai barangan (6%) dan cukai perkhidmatan (10%). 

Pemansuhan kededua cukai ini (Cukai Barangan dan Cukai Perkhidmatan – 16%) digantikan dengan cukai GST sekadar 6% bagi kesemua barangan kecuali barangan keperluan asasi seperti makanan, pendidikan (termasuk pengajian tinggi), pengangkutan serta rawatan kesihatan dikecualikan dari dikenakan GST.  Oleh itu, cukai berganda yang dikenakan mulai dari bahan mentah sehingga barangan akhir dimansuhkan dan digantikan dengan hanya GST.  Manakala bagi cukai perkhidmatan dari restoran segera yang mengenakan cukai 10% sebelum ini dari harga belian telah dimansuhkan dan dikenakan GST juga sebanyak 6% (4% lebih menjimatkan).  Keadaan ini sebenarnya boleh dilihat menjimatkan penggunaan wang awam tetapi dengan GST ini sebenarnya Kerajaan dapat meningkatkan hasil negara kepada  RM23.18 billion dalam masa sembilan bulan pertama ia dilaksanakan berbanding RM14.08 billion bagi tempoh yang sama pada 2015 tanpa GST.  Manakala bagi tahun 2016, ia dijangka memberikan hasil mahsyul negara kepada RM32 billion, satu angka yang cukup bagus dalam menakat ekonomi dalam negara. 

Oleh itu, Kerajaan dikatakan mencetak wang dari rakyat secara membuta tuli juga adalah tidak tepat kerana bukan semua barangan akhir dikenakan GST melainkan barangan mewah serta barangan keperluan sahaja (barang kehendak adalah keperluan asasi sahaja mengikut jenis penawaran harga semasa).  Pun begitu, cukai yang dikenakan ini berbanding rantau ini juga dikirakan kecil berbanding Negara ASEAN yang lain yang rata-ratanya sebesar 7% dengan 12%.  Berbanding Singapura (GST 7%), nilai dollarnya yang kuat telah menjadikan GST sebagai satu beban pelancongan kepada warga tempatan manakala di Indonesia (GST 10%) nilai rupiahnya yang melemah menjadikannya tidak kelihatan atau dirasai secara langsung oleh pelancong Malaysia ke sana.  Tetapi bagi masyarakat kelas bawah dan menengah ke bawah di sana, GST tetap dirasai oleh setiap unit dari mereka.  Di Singapura, rebat GST dalam bentuk baucar tunai dikembalikan kepada warganya setahun dua kali pada kadar SGD500.00 manakala di Indonesia ia dibahagikan secara “sembako” iaitu pemberian bulanan kepada warga miskinnya dengan sembilan barang keperluan harian.  Di Filipina kadar GST mereka sekitar 12% dan tidak dasar afirmatif untuk mengembalikan sebahagian dari cukai itu kepada warganya kembali. 

Di Malaysia, Kerajaan telah mula memberikan baucar bayaran kepada warganya mengikut statistik pendapatan purata RM2,500.00 ke RM3,000.00  mulai tahun 2012 sebanyak RM500.00. walaupun GST belum diperkenalkan lagi.  Manakala bagi tahun 2013 bantuan ini dipanjangkan kepada golongan bujang berpendapatan di bawah RM2,000.00 dengan bantuan RM250.00 seorang.  Pulangan ini walaupun hanya sekali setahun tetapi secara langsung telah memberikan rakyat kelas menengah ke bawah dan miskin rebat pembelian (bonus) sebanyak RM250.00 ke RM500.00 seorang selain pelbagai bantuan khusus kepada golongan yang memerlukan (dinamakan sebahagiannya seperti bantuan bulanan kebajikan, bantuan sekolah dan bantuan orang kurang upaya).  Oleh itu, GST ini mampu meningkatkan pendapatan Kerajaan secara langsung dan digunakan kembali untuk membayar pampasan kepada mereka yang memerlukannya.  Secara ironinya, Robin Hood (Kerajaan) mengambil harta awam dan mengagihkan kepada rakyat yang benar-benar memerlukannya secara saksama.  Golongan Menengah Atas dan Elit akan terus membayar cukai dan GST (barangan mewah dan keperluan) mengikut kadar cukainya.  Adakah wajar untuk setiap susun lapis ekonomi rakyat (termasuk miskin) berhak meraikan kewangan mereka secara mewah?  Malaysia bukanlah negara komunis di mana hasil negara diagihkan secara adil dan saksama, dasar Kapitalism telah mengehadkan beban ekonomi warga hanya kepada yang mampu dan mewah sahaja.  Jika tidak, maka agihan ekonomi setara (Komunism) hendaklah diakui sebagai satu jalan ekonomi yang zalim dan tidak mengikut susun lapis masyarakat (semua adalah kaya atau miskin dari sisi ekonomi - setara tanpa pengagihan). 


Oleh itu, GST dapat membantu mengagihkan ekonomi laisser-faire ini secara saksama antara elit dan kelas bawah secara progresif (iaitu lebih tinggi cukai dengan lebih banyak kemewahan).  Selain itu, kadar pertumbuhan ekonomi juga akan setara dengan pendapatan dalaman negara dan juga menjamin keperluan cukai yang saksama dengan negara lain di dunia.  Pelabur juga mudah membuat kira-kira awal dalam usaha membuat pelaburan di negara ini selain dapat mengenal pasti jumlah yang bakal dibayar dan diperolehi dalam tahun kewangan syarikat masing-masing lebih awal tanpa perubahan cukai fiskal yang drastik.  GST bukanlah satu bebanan mutlak walaupun ia melibatkan cukai pada setiap peringkat dan dikenakan kepada pelanggan/pengguna.  Tetapi dengan pengenalan cukai ini, dihujung sistem rangkaian edaran barangan/perkhidmatan sahaja ia dikenakan cukai dan ini lebih terjamin pendapatan negara berbanding kaedah semasa yang sering di salahgunakan oleh pengguna industri dalam mengelak membayar cukai pembuatan.  

Isnin, 9 Disember 2013

Masyarakat Siber Singapura Terkesima dengan Rusuhan




Masyarakat dalam talian (online) terkejut dan melahirkan kesal dengan insiden rusuhan yang melibatkan lebih 400 orang di Little India, Singapura kelmarin malam (8 Disember 2013).  Kejadian sedemikian, menurut sebilangan pengelungsur Internet, boleh menjejas imej Singapura sebagai negara aman.  Sebilangan besar daripada mereka turut melahirkan penghargaan kepada polis yang berupaya mengawal keadaan dan mencegah kejadian itu daripada berlarutan.  Sesungguhnya perbuatan ini memang tidak masuk akal dan tidak dapat diterima oleh warga Singapura.  

Tinjauan Berita Harian ke ruang siber dan media sosial menunjukkan bahawa masyarakat dalam talian rata-rata yakin pihak berkuasa akan membawa pesalah ke muka pengadilan dengan secepatnya serta menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan iaitu memecahkan keamanan Singapura yang terkenal dengan dasar affirmatifnya yang tegas dan saksama tanpa mengira status.  

Pengelungsur Internet yang mengenalkan dirinya sebagai Markamah Kassim melahirkan rasa kesal melihat kejadian rusuhan itu berlaku.  "Ini tentu sekali bukan cara rakyat Singapura menjalani kehidupan. Kali terakhir saya dengar tentang rusuhan ialah pada tahun 1960-an," katanya.  Selama ini Singapura dihuni dan menjalani kehidupan dengan penuh sentosa dan makmur tanpa ada sebarang kekerasan dan kekacuan awam sebegini. 
Mohamed Rabik pula berkata kejadian seperti itu "tidak boleh diterima" mana-mana individu di Singapura.  Kejadian rusuhan ini memecahkan tradisi bahawa selama ini warga Singapura telah mendapatkan hidup yang sejahtera yang dipimpin oleh Kerajaan semasa dan sebelum ini.  Oleh itu menurut beliau ramai mahukan tindakan diambil bagi mencegah berlakunya kejadian serupa di masa akan datang.

Muhamad Yusoff Bosri berharap masyarakat dapat belajar daripada kejadian itu.  "Kita juga perlukan lebih banyak anggota polis di Little India pada hujung minggu," katanya.  Tidak kurang juga saranan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau keadaan di kawasan tersebut. Ada pula, komentar dari Klasi Gila, yang mahukan tindakan lebih tegas diambil oleh pemerintah, misalnya mengenakan perintah berkurung di kawasan Little India pada waktu malam.

Sementara itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerusi laman Facebooknya memberi jaminan pihak berkuasa akan berusaha sedaya upaya mengenal pasti dan membawa pesalah yang terlibat ke pengadilan dengan secepat mungkin tanpa sebarang pengecualian.  Ribuan pengunjung memberikan komen di laman tersebut – rata-rata melahirkan sokongan ke atas usaha pihak berkuasa mengawal rusuhan itu.
Mohd Rizwan akur kemalangan yang menyebabkan kematian itu adalah kejadian yang penuh emosi bagi teman-teman mangsa yang menyaksikannya. Namun, ia bukan alasan untuk mencetuskan rusuhan serta menimbulkan huru-hara di negara yang selama ini mampan dengan kesentosaan dan kesejahteraan warganya.  "Harap semua yang terlibat akan ditemui dan dijatuhi hukuman berat untuk mencegah yang lain daripada melakukan perbuatan itu," unjarnya.

Biarpun majoriti komen dibuat secara rasional, terdapat juga segelintir yang meluahkan pandangan kurang sensitif serta mengejek-ejek dengan pelbagai provokasi tidak sihat.  Namun, apa yang menarik, komen-komen kurang wajar menerima kritikan dan ditolak sebilangan besar pengguna Internet lain yang lebih rasional dalam memberikan ulasan dan pandangan peribadinya.  Supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan, diharap komen dan ulasan janganlah sehingga menjejaskan nama baik dan pekerti warga Singapura keseluruhannya. 

Dikupas dari Berita Harian Singapura. 

Jumaat, 6 Disember 2013

P.Ramlee Pejuang Filem Merah

Menonton filem arahan dan lakonan Tan Sri P.Ramlee menyimpulkan bahawa beliau adalah seorang:-

1) P. Ramlee adalah pejuang sosialis (Haluan Kiri) yg senada dengan Lee Kuan Yew. 

2) Anti Kapitalis dan anti darah biru (Darah Istana) seperti janji Demang Paya Lebar 

3) Mengesampingkan ideologi Malaysia dan tidak berminat dengan UMNO seperti Othman Wok (Pengkhianat UMNO di Singapura)

4) Seorang yang berfikiran liberal (Malaysian Malaysia) tetapi kaya nilai Melayu (budaya setempat) 

5) Akhirnya P. Ramlee dikhianati oleh rakan dan PM Singapura sendiri apabila Studio Jalan Ampas diarah tutup akibat mogok kerana tidak berpuas hati dengan layanan istimewa kepada P. Ramlee.

6) Setelah terpinggir, dia kembali 'rujuk' dengan Persekutuan Malaysia (tanpa Singapura) dan diterima tanpa syarat oleh Kerajaan Malaysia, cuma beliau 

7) Ingin menjadi seseorang yg penting (dalam industri filem Malaysia) tetapi sikap anti Darah Biru serta memperkecilkan UMNO di Singapura sebelumnya, menyebabkan hasratnya ditentang.  

Beliau amat bercita-cita untuk menerbitkan filem berwarna dan menjadi Pengarah (Sekarang Ketua Pengarah) di RTM dan Studio FINAS, Hulu Kelang.  Tetapi Kerajaan Malaysia telah memberikan peluang itu kepada beberapa tokoh lain yang dianggap sesuai.  Mengenai Filem Berwarna, pihak FINAS telah menyerahkan projek itu kepada Tan Sri Jins Shamsudin (anak didik P. Ramlee) setelah menamatkan pengajiannya dalam bidang filem di Amerika Syarikat atas tajaan biasiswa Kerajaan Malaysia sebelumnya. 

Meninggal dunia dengan kedukaan kerana dikhianati di Singapura dan 'dibelot' di Malaysia.  

Filem-filem yang menunjukkan P.Ramlee anti Darah Keturunan DiRaja dan berfahaman liberal (kesamaan nilai komunis) menerusi filem Antara Dua Darjat, Ibu Mertuaku dan Bujang Lapok.  Selain itu, beliau juga menimbulkan konflik dengan pihak Istana Perak apabila mengahwini Puteri dari negeri tersebut walaupun mengetahui kedudukan wanita tersebut di sisi Istana dan Masyarakat. 

Filem Pendekar Bujang Lapok ada memasukkan unsur-unsur "mengejek" terhadap idea "Kelas Dewasa" yang dianjurkan oleh UMNO dengan Sudin mengeja UMNO tetapi dibunyikannya dengan "SARKAS" sebagai analogi Kabinet Malaya pada masa itu yang kucar kacir akibat selepas kemerdekaan masih tiada pengisian bermanfaat untuk kemerdekaan negara terutama ehwal ekonomi.

Sebagai individu yang berfahaman "merah" atau liberal condong komunisme (kebersamaan setiap insan), P.Ramlee tidak pernah gagal memujuk orang Melayu untuk berubah dan menjiwai nilai keMelayuan mereka.  Ini termasuk dalam sindirannya yang tajam kepada masyarakat serta komedinya yang bersahaja tetapi meninggalkan kesan budaya pemikiran dalam karyanya.  Akhirnya, beliau meninggal dunia tetapi mengabadikan legasi ideologinya kepada generasi muda.   





(Re-Post) Chin Pheng Meninggalkan Malaya/Malaysia Selamanya


 Kemerdekaan Malaysia yang ke-50 dirai berganda dengan kematian kepala pengganas komunis, Chin Peng (90 tahun) pada 16 September 2013.

Beliau lahir di Setiawan, Perak sebelum kewujudan negara bangsa (Persekutuan Tanah Melayu 1957) dan Persekutuan Malaysia 1963. Oleh itu, beliau bukanlah warganegara mahupun rakyat/subjek Raja pada masa berkenaan.

Perjuangan menengakkan sebuah negara komunis di luar China adalah rangsangan dari kejayaan kejatuhan Jepun dalam Perang Dunia ke-II. Beliau memperoleh senjata dari British Malaya bagi tujuan menentang Jepun (MPAJA) dan bertindak balas menentang British Malaya selepas Jepun menyerah kalah tanpa syarat.

Kekejaman paling dahsyat ialah pembunuhan polis Melayu/Islam (Subjek/Raja Melayu Johor) di Kepong apabila balai polis, anggota dan isteri serta anak dibunuh dan ada dibakar (tika masih hidup). 



Walaupun Polis dan Askar semasa zaman penjajah membela British (penjajah) dengan menentang Jepun dan Komunis, tetapi mereka adalah Rakyat Raja Melayu (cukai dan aset Raja Melayu dikutip melalui British dan membayar gaji/pencen mereka) adalah Lantikan Raja-raja Melayu (terutama di Negeri Melayu Tidak Bersekutu - Kedah/Johor turut mengamalkan sistem Pelantikan Pegawai Negeri secara sendiri).

Maka membantu British adalah membantu Raja dan Sultan Negeri terbabit (waktu itu Negeri adalah satu Negara kerana diuruskan oleh Raja dan Residen hanyalah Penasihat kepada Raja). Komunis pula membunuh askar dan polis yang diupahkan oleh British (gaji dibayar oleh kutipan hasil utk Raja)(Askar/Polis adalah pekerja Raja secara tidak langsung ditadbir di bawah Residen).

Apakah dengan menyokong Komunis yang menyembelih dan membakar hidup-hidup Orang Melayu/Islam (Subjek/Rakyat Raja sesebuah Negeri) itu layak dipanggil menentang penjajah??? Sedangkan ia adalah mesin pelindung kepada rakyat dan Raja ketika itu????

Maka, komunis kekallah sebagai satu pakatan (kelompok) pemberontak yang sanggup membunuh rakyat Raja semata-mata untuk membentuk negara Ala China mengikut acuan Mao Zhedong/Dr. Sun Yat Sen.... Apakah akal kamu sedang berfikir????

Wajarkah pemberontak membunuh kalian dianggap 'hero' kerana membunuh cara kamu berfikir yang kolot itu??? Kalau begitu, layaklah kamu 'dibunuh' dan pembunuh itu ditabal sebagai 'hero' sebab berjaya memutarkan otakmu ke belakang......






Selamat Hari Malaysia.........

Khamis, 5 Disember 2013

Inflasi: Kerajaan Najib, Kerajaan Terakhir BN di Malaysia?

Inflasi:  Kerajaan Najib, Kerajaan Terakhir BN di Malaysia?


Barisan Nasional (BN) telah diberikan ungkapan baru dengan BN sebagai “Barang Naik”.  Pada pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Kerajaan BN telah bertindak menaikkan harga petroleum sebesar RM0.70 per  liter menjadikan harga minyak bersubsidi kerajaan kepada RM2.70 seliter berbanding RM2.00 seliter sebelumnya.  Ini berikutan kadar kenaikan harga minyak dunia yang meningkat di sebabkan inflasi sub-prima di Amerika.

Lantas dari itu, rakyat melontarkan kemarahan yang meluap-luap sehingga menggagalkan Tun Abdullah mendapat undi dua pertiga di parlimen Malaysia dan tewas lima buah negeri di tangan pembangkang pada PRU ke 12, tahun 2008.  Lantaran itu, BN telah mendapat satu jolokan baru sebagai agen Barangan Naik atau inflasi.  Tak luput dari ingatan rakyat, kini Kerajaan Najib pada 2 September 2013 jelang beberapa bulan selepas PRU ke-13 yang mengekalkan 3 buah negeri ke tangan pembangkang dan melorotnya kerusi Parlimen menjauhi dua pertiga telah berulang lagi.  Kali ini harga minyak dinaikkan sebanyak RM0.20 seliter kepada RM2.10 (sebelum RM1.90). 

Tanpa hujan atau ribut serta kenaikan harga minyak dunia (masih kekal RM300.00 setong atau USD100.00), Malaysia secara mengejut mengumumkan kenaikan harga minyak.  Beberapa ketika sebelum itu, harga ayam di pasaran awam juga telah meningkat dari RM6.70 sekilogram menjadi RM8.20 sekilogram.  Jawapan paling mudah dibuat oleh Menteri berkaitan perdagangan dalam negeri adalah melarang rakyat memakan ayam jika harganya meningkat.  Tersentak dengan kenyataan kurang bijak Menteri Kabinet Najib, kali ini beliau sendiri mengumumkan kenaikan harga minyak petrol RON95 tersebut tanpa sebab.  Kononnya adalah satu penakatan yang diperhatikan oleh pakar kewangan asing dalam menaikkan atau menurunkan taraf kewangan Negara.  Maka, tindakan kurang bijak ini dibuat. 

Pada sidang Parlimen membentangkan Belanjawan Negara 2014 pada 25 Oktober 2013, Najib sekali lagi mengumumkan kenaikan harga gula bersubsidi dari RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 sen sekilogram.  Ketakutan rakyat pada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) turut dinyatakan pada waktu yang sama iaitu memperkenalkan GST pada April 2015.  Ketakutan dan fobia rakyat yang masih belum kebah ditambah dengan kenaikan dan dibuat pada masa yang sama kenaikan gula dibuat memnyebabkan rakyat makin rasa tertipu waima pengundinya di kawasan luar Bandar sekali pun.  Apakah Najib betah dengan pancaroba ini kepada rakyat dan pendokongnya?

Pada 17 November 2013, Ahli Parlimen Lembah Pantai Puan Nurul Izah telah membuat satu kenyataan bahawa pihaknya akan menghantar memorandum bantahan kepada pihak berkuasa Kuala Lumpur (Dewan bandaraya Kuala Lumpur) agar mengkaji semula kenaikan harga pajakan cukai pintu di sekitar Kuala Lumpur mulai tahun cukai taksiran 2014.  Apakah ini satu hadiah atau hukuman Kerajaan Najib kepada rakyat Bandar yang tidak mengundinya?

Menjadi semakin mengarut lagi, Kerajaan Najib dijangka akan terus menaikkan beberapa harga asas di pelbagai sektor makanan dan mengurangkan beberapa subsidi dalam menangani masalah hutang Negara yang defisitnya semakin menjarak.  Sebak dengan kenaikan demi kenaikan harga dan perkhidmatan asas, rakyat meluahkan kemarahannya dengan mengaitkan dengan perbelanjaan mewah Pejabat Perdana Menteri khususnya bekalan utiliti di rumah agam milik pemerintah itu yang menelan belanja jutaan ringgit setahun.  Tidak luntur dari perbelanjaan yang berjeba-jeba itu, isteri Perdana Menteri Malaysia turut dikaitkan dengan berbelanja mewah dengan menggunakan sebuah jet khas bagi mengadakan kunjungan ke luar Negara iaitu di Abu Dhabi pada November 2013 sebagai kunjungan tidak rasmi Negara. 

Kini (Disember 2013), harga bekalan elektrik pula akan meingkat.  Walaupun dikatakan kadar RM70.00 penggunaan elektrik tidak bertambah, tetapi ia tetap satu kenaikan terutama kepada pengguna yang menggunakan elektrik melebihi tariff tersebut.  Lebih tepat lagi penduduk Bandar yang menggunakan elektrik dengan besar seperti peti sejuk, televisyen, alat pemanas air dan juga pendingin hawa.  Jika dikenakan tariff kepada perniagaan, tarifnya sudah tentu berbeza dan sehingga kini tarifnya tidak sama dengan pengguna domestik.  Oleh itu, ia memang kenaikan untuk para pengguna massa bukannya sektor perniagaan. 

Tidak betah dengan semua itu, inflasi yang dijangka melarat akibat kenaikan harga gula terus menikam rakyat perlahan-lahan.  Apakah rakyat akan terus melupainya walau seinci dalam benak mereka yang terseksa itu?  Ia bakal ditambah lagi dengan beberapa kenyataan rasmi dan sehingga kini desas desus bahawa kereta yang berusia 12 tahun akan dilarang menggunakan jalan raya di Malaysia masih dibincangkan.  Sekiranya ia dilaksanakan, pengguna hanya boleh menarik nafas lega dari membayar pinjam-beli (hirer purchase) kereta mereka hanya sela tiga tahun sahaja dan selepas itu kembali berhutang membeli kereta baru.  Sedang sewa beli kereta memotong kadar pendapatan isi rumah sehingga satu pertiga, pengguna dipaksakan berhutang membayar sewa beli rumah sehingga separuh dari kadar gaji mereka selama berpuluh-puluh tahun melangsaikannya.  Apakah ini sebuah kerajaan yang semakin prihatin?

Maka, apakah tahun 2020 adalah tahun Barisan Nasional telah berkubur dan kerajaannya digantikan dengan kerajaan lain yang dilihat lebih prihatin dan menambat hati warga yang terdesak?  Masa yang akan menentukannya.  Apakah pilihan mereka kini?


Nota:  Pilihanraya ke-14 Malaysia dijangka pada 2018 (dua tahun sebelum Wawasan 2020 terlaksana)

Selasa, 3 Disember 2013

Anwar Ibrahim Sebagai Pentadbir Kewangan Malaysia



Seorang kenalan pernah memberikan komen bahawa "sedari Anwar Ibrahim menjadi Minister of Finance, ekonomi Malaysia makmur."

Hipotesis:-

1)    Anwar Ibrahim mewarisi sistem ekonomi yang dibangunkan oleh Tun Daim Zainudin (sebelum ini ekonomi Malaysia melorot di bawah paras 3% setahun bahkan defisit)

2)     Setelah Tun Daim bangunkan ekonomi baru Malaysia bersama Tun Dr Mahathir, beberapa pelan pemulihan ekonomi dijana dan membuahkan hasil yang baik (termasuk rundingan timbal bijih dengan agenda komunis di US)

3)    Syarikat korporat (termasuk yg diswastakan) memberikan pulangan lumayan kepada cukai negara termasuk PLUS, Golden Hope (diambil alih oleh Malaysia dinamakan Dawning Reid), KTM, TM dan sudah tentu PETRONAS.

4)    Hasil dari keuntungan syarikat (milik Kerajaan sebelumnya) diswastakan, keuntungan digunakan untuk bangunkan prasarana ekonomi seperti jalan raya, perhubungan termasuk telekomunikasi dan satelit, pelabuhan dan lapangan terbang serta merancakkan struktur cukai korporat bagi menggalakkan pelabur asing masuk dengan mudah selain memperkenalkan sistem penjawat awam yang efisien dan bekerja tekun (Bersih, Cekap Amanah).

5)    Anwar hanyalah penjaga sistem yang telah disediakan serta hanya menambah baik tanpa memperkenalkan polisi-polisi baru yang radikal. Bagaimanapun beliau gagal membuat keputusan penting pada 1998 semasa ekonomi Malaysia menguncup teruk dek pasaran tukaran asing yang melemah. Beliau akhirnya menerima pakai sistem yg diperkenalkan IMF kepada Korea dan Indonesia.

6)    Tun Mahathir terpaksa memanggil Tun Daim (yang bersara dr politik) untuk menggubal satu polisi baru mengawal sistem kewangan negara (kerana beliau lebih arif sistem kewangan negara kerana beliaulah yg bangunkan sistem tersebut). Akhirnya dengan persetujuan Tun Mahathir, polisi kewangan negara digubal dan ekonomi Malaysia kembali menakat dan bermaya.

7)    Dasar ekonomi ini terus digunakan dan hanya ditambah baik sehingga kini. Satu pendekatan polisi baru masih tidak dapat diterjemahkan ke dalam sistem kewangan negara menyebabkan ekonomi hanya terpacu mengikut aliran semasa sahaja. Sekiranya sistem ekonomi kita diserang, masing-masing belum ada polisi baharu untuk diperkenalkan kepada sistem ekonomi negara ini. Bahkan, jika polisi baru dibuat secara radikal, KDNK Malaysia bakal berubah (secara relatif tinggi untung atau rugi)

8)    Oleh itu, AI hanyalah penjaga ekonomi negara dan mengupayakannya sahaja sejak mewarisi dari Tun Daim. Sedangkan perubahan radikal yang diperlukan ketika itu, beliau tidak mampu menggubalnya melainkan Tun Daim sendiri terpaksa kembali menjawat Menteri Tugas-Tugas Khas menangani isu penyagak mata wang.

Beliau Bukan Ahli/Pakar Ekonomi. Beliau hanya Menteri (Pentadbir) kepada Kewangan negara pada masa itu.

Penilaian Filem Barat: Filem Kita Wajah Produser!



Penilaian Filem:  Frozen (4 dari 5 bintang)

Tema dan Persoalan - Kasih sayang ahli keluarga. 1) Kasih sayang adik beradik lebih ikhlas dan penting berbanding pasangan hidup atau kekasih. 2) Benda yg remeh jika dilihat dalam sudut berbeza, akan menjadi menarik. 3) Petualang akan menggunakan 'love portion' untuk menyihir hati tetapi haki yg penuh kasih sayang mampu mengawal semuanya dengan ikhlas

Tema dan persoalan yang dibangkitkan dalam setiap filem Barat sangat bermoral tinggi dan menyemai nilai murni yg mulia. Tanpa menerapkan unsur Kristianiti dan Kebebasan (Liberti), filem mereka melihat setiap sesuatu perkara sebagai berat dan serius utk difikirkan dari dialog sehingga latar dan props.

Manakala cerita Melayu, latar hebat (di Mekah, Paris, Korea dll) tetapi pegun, dialog di lokasi mewah dan mahal tetapi kandungan perbualannya kosong dan umpama minum di kedai kopi pedalaman. Selain itu, cerita Melayu penuh dengan sampah, artis ingin menunjukkan body, elegan dan mewah serta harapan palsu. Antaranya Tanah Kubur yg ingin menjadi Hakim Manusia Lain, cerita-cerita sudah jatuh ditimpa tangga, tersembam terkena runtuhan tangga lalu terpelosok dan terkena tahi ayam (Kata-kata Siti Jarum – Mingguan Malaysia Disember 1, 2013), sangat tidak rasional dan rendah isinya.

Kajilah filem-filem Barat (Bukan Hedonisme) untuk menjadi pembangun kandungan yang berjaya di mata dunia dan majukan industri dengan moral dan falsafah yg tinggi, bukannya mengaut keuntungan dan kemewahan sekejap. Barat juga mencipta kekayaan dengan hiburan tetapi hiburannya mendidik masyarakatnya. Keuntungan dibuat dengan tanggungjawab. Apa guna kutipan filem berjuta berbilion tetapi sampah diberikan kepada masyarakat. Orang dah ke bulan, kita sibuk dengan hantu itu lah ini lah mcm tinggal di zaman batu pulak. Sangat setuju dengan ulasan Siti Jarum (Mingguan Malaysia, Disember 1, 2013).

Filem kita, wajah (produser)........